Friday, March 25, 2011

Rompak Merompak Siri Akhir






Pasca perang dunia kedua telah mengubah senario dunia, di mana AS telah mengambil alih peranan Britain sebagai kuasa utama dunia. Sesuai dengan wataknya sebagai ‘Power Rangers’ bagi dunia ini, AS telah sekali lagi terlibat dalam beberapa siri perang. Yang paling masyhur antaranya ialah Perang Vietnam, di mana mereka dimalukan sampai terlondeh-londeh seluar. Perang dingin yang semakin memuncak dengan USSR, turut menyebabkan kos ketenteraan meningkat.

Perkara yang sama pun berulang. AS kembali mencetak wang kertas sewenang-wenangnya, dan ini menyebabkan ketidakseimbangan antara edaran wang kertas dan jumlah rizab emas simpanan negara.

AS yang sudah tersepit, dan berada dalam keadaan buntu untuk keluar dari beban ekonomi akibat tabiatnya yang terlalu gemar menyibuk hal rumahtangga negara lain, akhirnya mengkhianati perjanjian ini. AS telah megumukan bahawa mereka menarik balik penyandaran dolar AS kepada emas. Krisis ini digelar dengan nama ‘Nixon Shock’, bersempena dengan nama presiden AS ketika itu.

Tindakan ini seolah-olah seperti menarik permaidani dari bawah kerusi di mana ramai sedang duduk di atasnya. Negara-negara yang sebelum ini telah menyandarkan wang masing-masing dengan dolar AS, dengan keyakinan bahawa AS menjamin keboleh tukaran dolar mereka dengan emas, akhirnya telah dikhianati. Tanpa penyandaran dolar kepada emas, maka nilai mata wang negara masing-masing yang disandarkan kepada dolar AS, berada dalam keadaan di mana wang kertas mereka sudah lagi tidak bernilai. Wang kertas masing-masing tidak ubah hanyalah sehelai kertas yang ditulis nombor menggunakn pensel warna. Tidak lebih dari itu.

Bolehlah kita katakan, bahawa kertas yang tidak bernilai itu, telahpun dipaksanilaikan ke atas kita.

“Wahai rakyat! Kamu mesti percaya dan beriman, bahawa kertas yang kamu gunakan itu bernilai! Hanya dengan menggunakan itu sahaja baru kamu boleh membeli dan berniaga!”

Tambah mengukuhkan lagi kejahatan licik ini, maka dibuatlah satu polisi, di mana setiap urusan jual beli petroleum, wajib menggunakan dolar AS. Mahu tidak mahu, negara-negara terutamanya dari kalangan Arab, mengikutlah perintah ketua dan pemberi makan mereka, yang ditaati lebih dari Allah dan RasulNya itu.

Jadi, timbul persoalan. Bagaimanakah kita boleh kaitkan dolar AS ini dengan penurunan nilai sekeping RM 50 yang disimpan di dalam dompet kita itu, seperti contoh yang diberikan di dalam artikel yang mula-mula dahulu?

Jawapannya terletak pada penentu nilai dolar AS itu. Setelah penyandaran kepada emas ditarik balik, maka AS telah mengapungkan nilai dolarnya, di mana nilai dolar AS akan ditentukan oleh pasaran. Maka, terbukalah ia kepada manipulasi kaum pemodal dan para penyangak mata wang yang berlegar-legar, mengejar keuntungan bagai musang lapar menyerbu ke dalam reban yang penuh dengan ayam-ayam yang lembik kerana terlalu banyak memakan dedak.

Itulah sebabnya nilai RM50 sekarang tidak akan sama dengan nilainya 10 tahun akan datang. Kerana nilainya berubah-ubah mengikut pasaran matawang. Maka, sedar atau tidak, kita memang telah pun dirompak!

Persoalannya, mengapakah kebanyakan negara-negara dunia masih lagi terus menerus berpegang kepada sistem ini, di mana mereka terus meletakkan sandaran mata wang masing-masing kepada dolar AS, walaupun telah disedari bahawa dolar AS itu tidak bernilai apa-apa, dan terdedah kepada kejatuhan ekonomi yang dasyat? Kalau AS mengalami krisis ekonomi, maka kita pun akan terheret sama?

Jawapannya terletak pada sistem politik negara-negara ini yang telah pun dipengaruhi dan dicorakkan oleh AS. AS yang merancang dan menaikkan mana-mana calon yang dirasakan sesuai untuk menjadi barua dan anjing setia sebagai pemimpin negara-negara di sunia, khususnya negara dunia ke3. Anjing dan barua inilah yang menjamin kemandirian sistem ekonomi penuh bohong dan dusta ini agar ia terus berjalan. Di samping itu, AS turut bersedia dengan pelan B, kalau-kalaulah rejim belaannya itu tiba-tiba jatuh diamuk rakyat. Pelan B yang dimaksudkan ialah dengan turt menaja penentang-penentang ini, yang kalau suatu hari mereka berjaya, akan meneruskan sistem kapitalis yang diamalkan. Contoh yang paling dekat ialah bagaimana Suharto di Indonesia dijatuhkan.

Kerana itu kita perlu jelas, bahawa di dalam setiap revolusi yang ingin dijayakan, bahawa fikrah dan arah tuju revolusi itu perlulah jelas, bahawasanya kita bukan menentang individu. Kita tidak menentang Mubarak, Ben Ali, Gaddafi, atau Datuk T. Apa yang kita tentang sekarang ialah sistem kapitalis yang diamalkan, yang menkayakan golongan kaya dengan cara memiskinkan yang miskin. Dengan itu barulah revolusi yang dihasilkan benar-benar mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat.

Akhir kata, semoga siri artikel rompakan ini mendatangkan manfaat. Tidak perlulah kita menjadi pakar ekonomi untuk memahami hal ini. Artikel ini ditulis bukanlah dengan tujuan untuk memberi Tuisyen percuma tentang subjek ekonomi kepada sahabat-sahabat semua. Paling kurang pun, kita tahu apakah sebabnya kita sampai sekarang masih bergantung nasib pada turun naik ekonomi imperialis Amerika Syarikat. Perlu diingat, bahawa ini adalah salah satu faktor krisis kewangan dan kenaikan harga barang yang berlaku saentero dunia saat ini. Masih banyak lagi faktor yang menyumbang kepada krisis yang dialami, yang kalaulah diberi umur yang panjang dan kesihatan yang baik serta kelapangan waktu oleh Yang Esa, akan saya tulis lagi selepas ini.

Salam sayang semua!

Viva la Revolucion!



*Siri tulisan ini bolehlah disebarkan untuk kebaikan. Tiada hak cipta.




Rompakan Siri 2


Selepas tulisan yang lepas, maka bermacam-macamlah komen yang datang menerpa. Yang faham dan mahu bersedia menjadi saksi pendakwaan ke atas penjenayah rompakan itu, ribuan terima kasih diucapkan. Kalau ada nasi bungkus atau kek sampai pada saya, maka pasti lebih besar dan panjang lafaz ‘syukran’ akan saya hamburkan.

Namun, kalau ada yang tidak faham atau masih teraba-raba akan apa yang cuba disampaikan, maka tiada lain melainkan pastinya akan mengalir titik-titik air mutiara dari mata jantan ini. Masakan tidak, rupanya penulis ini hanya ‘syok’ dan ghairah sendiri!

Perkara ini perlulah difahami dengan cara mengenal dahulu sejarah wang. Ini penting kerana tanpa pemahaman tentang sejarah wang, maka kita tidak akan dapat melihat sangkut-paut antara kejatuhan sistem ekonomi barat dengan kenaikan harga kuih keria di pasar malam sungai buloh. Perlahan-lahan kita akan cuba memahaminya. Maka janganlah bersikap gelojoh sebaliknya tahanlah nafsu ingin tahu anda dengan baik-baik.

Kalau pada zaman dahulu, kita biasa mendengar apa yang dipanggil sebagai Sistem Barter. Untuk mendapatkan sesuatu barangan, atau perkhidmatan, maka perlulah berlakunya pertukaran. Inilah perniagaan. Adanya pertukaran manfaat bagi mendapatkan manfaat yang lain adalah sunnatullah.

Kalau dahulu, jika Abe Ja dari kampung Sematjal mahu membeli dua ekor lembu bagi majlis perkahwinanya, maka dia wajib menukarkannya dengan barangan yang sebanding dengannya. Misalnya empat ekor kambing. Jika mahukan gula, maka tukarannya mungkin beras, atau garam.

Manusia akhirnya menyedari yang sistem ini tidak cukup efisien dan menyusahkan. Dalam kes Abe Ja, dia terpaksa mengheret empat ekor kambingnya ke pasar lembu. Ini menyusahkan kerana kambing perangainya tidak seperti manusia. Tetapi, ada sahaja manusia yang berperangai seperti kambing. Itu perlu difahami betul-betul.

Maka wang pun dicipta. Konsep asasnya tetap sama dengan Barter tadi, iatu berlakunya pertukaran. Bezanya ialah barang tukaran yang digunakan telah di tetapkan kepada satu standard, iatu wang.

Kalau kita mahukan sesuatu barangan yang berharga (setiap yang bermanfaat maka ianya adalah berharga), maka tukarannya perlulah juga barangan yang bernilai dan berharga. Di sinilah timbulnya rukun wajib bagi wang, iatu wang yang akan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan barang atau manfaat tadi, mestilah benda yang memang diakui manusia ramai sebagai berharga dan bernilai.

Maka, manusia secara sepakatnya mengakui bahawa emas adalah barang yang tepat untuk dijadikan sebagai alat tukaran. Ini ialah kesepakatan sejak dari azali lagi. Tidak perlu diadakan muzakarah khas bagi memberi fatwa tentang betapa berharganya emas ini, kerana ia sudah diakui ramai.

Tidak perlukan juga fatwa dari para pegawai JAIS.

Emas akhirnya digunapakai secara meluas. Namun, timbulnya masalah bilamana sesuatu pembelian yang melibatkan skala besar-besaran mengambil tempat. Berat emas yang hendak diangkut ke pasar itu suatu perkara. Soal keselamatan turut harus diambil kira.

Masalah turut berlaku dalam pembelian yang bersifat kecil. Bagaimana mahu membayar harga sebiji gula-gula jika di dalam poket ada seketul jongkong emas?Bagaimana mahu dipecahkan?

Wang kertas pun muncul. Kertas telah digunakan sebagai perantaraan bagi emas tadi. Urusniaga dilakukan menggunakan wang kertas, dan wang kertas itu bila-bila masa sahaja boleh ditukarkan dengan emas yang disimpan dalam rizab negara. Wang kertas itu tadi telahpun disandarkan nilainya pada emas. Kita tidak rugi apa-apa, kerana kertas yang diperoleh itu ialah kertas yang nilainya sama dengan emas. Bila-bila masa yang disukai, maka ianya boleh kita tukarkan dengan emas.

Masa berlalu dan dunia makin berkembang. Nafsu manusia yang inginkan kekuasaan dan kemegahan turut sama mengalami evolusi dari sekecil telur ayam kepada menjadi nafsu sebesar seekor kuda jantan liar. Dari situlah munculnya Perang Dunia yang pertama.

Peningkatan kos peperangan menyebabkan negara-negara yang mengambil bahagian dalam perang dunia telah mencetak wang kertas dengan banyak, sehingga ianya melebihi jumlah rizab emas simpanan negara. Bermaksud jika semua wang kertas yang sedang berlegar-legar di negara itu mahu ditukarkan kembali kepada emas, maka jumlah emas itu tidak cukup untuk ditukarkan. Secara tidak langsung, kertas yang tadinya bernilai sudah menjadi tidak ubah seperti sebuah kertas sampah yang tidak ada nilainya. Berlakulah perkara yang dipanggil sebagai hyperinflasi.

Keadaan ini berterusan sehingga akhir Perang Dunia ke2, bilamana ketua Mafia dunia, Amerika Syarikat, dan beberapa negara-negara dalam dunia menandatangani perjanjian Bretton Wood pada tahun 1945. Dalam perjanjian ini, US sebagai kuasa besar dunia yang baru, bersama negara-negara yang menandatanganinya bersetuju untuk menyandarkan wang Dolar US kepada emas, manakala mata wang yang lain di dunia ini akan disandarkan pula kepada Dolar US. Ini dilakukan untuk kembali menstabilkan keadaan ekonomi yang berkeadaan hyperinflasi diakibatkan oleh perang.