Saturday, October 29, 2011

Apa Lagi Yang Mahu Diletakkan Harga?

Apakah lagi yang tinggal untuk dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia? Hendakkan Islam ditidakkan hak itu. Sampailah ke tahap hendak bersuka menonton bola sepak pun sudah diwujudkan kasta. Baru-baru ini, FAM menaikkan tiket final Piala Malaysia menjadi RM 50. Dahulu aku selalu menonton di stadium bersama ayah. Seingat aku kami membayar RM 10. Tidak berbaloi sebenarnya, kerana aku merasakan macam melihat pertandingan ragbi bukan lagi bola sepak. Apapun, kami pergi juga kerana menyokong bola sepak negara.

Hendak tengok bola pun sudah kira menyusahkan untuk orang-orang kebanyakan, maka selepas ini hak apakah lagi hendak dirampas dan diberikan harga untuk memilikinya? Adakah selepas ini udara pun perlu dibayar untuk dihirup?
Aku pernah dahulu menulis cerpen tentang bola sepak dan mustadifin yang mahu merasai nikmatnya. Kisah ini ditulis sewaktu Piala Dunia 2010 Afrika Selatan dahulu.



Dari Arkib 2010


PASU TEMPURUNG KELAPA


Dia tahu yang dia tidak sepatutnya keluar malam tadi. Memang dia menyesal atas sikap terburu-burunya. Dia boleh sahaja membeli tiket itu esok harinya. Namun, begitulah, dia ialah seorang yang bersikap penuh dengan gopoh-gapah dan tidak penyabarnya.


Mokui merengus ganas. Dadanya turun-naik, dengan nafas yang tertahan-tahan. Sesekali dia meronta sekuat hatinya, sehingga kelihatan bergoncang bilik kurungan itu. Letih meronta, dia berehat, menghela nafas seberapa dalam yang boleh, agar bekalan udara peparunya cukup kembali, sebagai persiapan untuk rontaan seterusnya. Rontaan yang entah kali ke berapa puluh kalinya dia lakukan, sepanjang 15 jam 27 minit 30 saat dia terkurung. Namun, apalah dayanya kudrat seorang budak kurus berumur 12 tahun yang tidak cukup nutrisi sepertinya, mahu melawan kudrat rantai besi yang memang sejak azali lagi sudah Tuhan takdirkan cukup utuh dan tahan, kecuali bila karat datang hinggap di mana-mana bahagian besi itu.

Yang sebetulnya, seingat dia, sudah berbulan-bulan lagi, barangkali hampir setahun dulu, dia telah menyatakan hasrat besarnya itu kepada ayahnya. Dia ingat, waktu dia mula-mula meluahkan harapannya, ayahnya baru sahaja pulang dari bercucuk tanam di tanah sepuluh kilometer dari rumah beratap jerami mereka. Orang tuanya itu balik dengan peluh menitik, penuh satu badan, sambil mengeluh-ngeluh memikirkan tanaman yang tidak mahu menjadi-jadi, ditambah hujan yang seolah-olah ada tutupan yang menahannya dari jatuh dan meresap masuk ke dalam tubuh sahabat baiknya, bumi. Dia ingat, waktu itulah dia mula-mula meminta pada ayahnya.


Dan kemudian, itulah rayuan yang diulang-ulang entah berapa banyak kali, dengan skrip yang hampir sama, seolah-olah kumpulan teater yang membuat persembahan yang sama, selagi mana, mereka di minta.


***********************************************************************************


“Ayah, tolonglah. Saya betul-betul mahu pergi,” Mokui meminta belas ehsan ayahnya, dengan mata berkaca penuh harapan.


Sejenak ayahnya berhenti mengelap peluh. Gyaweh memandang mata anaknya dalam-dalam. Kemudian dihelanya nafas panjang-panjang, sambil kepalanya sibuk memikirkan, alasan apa lagi boleh digunakan buat memadam impian bodoh anaknya itu. Masalahnya ialah, Mokui memang belum mahu faham-faham lagi.

“Mokui, kita tidak mampu! Kamu, atau senang katanya, kita, tidak layak berada di sana. Tiketnya sahaja sudah berapa ratus Rand! Mana kita mampu!” Gyaweh menekan suaranya kali ini, moga-moga ia melekat terus ke dalam benak anak sulungnya yang degil tidak mahu faham-faham itu.


“Ayah, sekali ini sahaja ayah. Lagipun, ianya empat tahun sekali. Kebetulan pula, tahun ini di Afrika. Bila lagi wahai ayah? Bila lagi kejohanan besar semacam ini mahu sampai lagi ke tanah miskin ini?”

“Kamu tak faham anakku..”


“Kita beli tiket yang paling murah. Bagaimana?”

“Kita masih tak mampu, Mokui..”


“Ah ayah..Kita mampu. Kalau tidak takkanlah mereka memilih Afrika sebagai tuan rumah tahun ini? Tentu mereka sudah maklum yang rakyat di sini kebanyakannya miskin, seperti kita,” Mokui menegaskan hujahnya. Sekali lihat, dia seperti seorang peguamcara yang paling petah sedang cuba mematahkan hujah para pendakwaraya.

Gyaweh ketawa kecil. Memang dasar budak hingusan anaknya itu. Baru du belas tahun, bagaimana mungkin dia memahami masalah yang berlaku kala abad 21 ini.


Anaknya itu tidak mengerti. Alasannya mengatakan, Piala Dunia diadakan di Afrika, agar rakyat-rakyat miskin seperti mereka boleh sama-sama bergembira, bertempik, bersorak sambil meniup Vuvuzela kuat-kuat. Bukan begitu, bukan begitu, sama sekali bukan begitu tujuannya.

Gyaweh faham benar apa yang berlaku. Lima puluh enam tahun dia hidup di tanah Afrika, sudah cukup untuk dia memahami beza antara kaya dan miskin, beza antara yang hitam dan putih, beza antara kuasa dan hamba.


Tolak enam belas tahun hidup sejak Nelson Mandela mengambil alih tampuk pemerintahan, maka empat puluh tahun lamanya dia hidup dalam derita. Derita ditindas dan dinafikan hak dalam segala macam perkara. Itu derita dirinya secara fisik, yang dirasai tubuh badan kurus keringnya. Belum dikira lagi derita dalam hatinya yang masih terasa sampai sekarang, yang juga, masih membekas dengan dalam, walau sudah enam belas tahun juga, sejak Parti Nasional Afrika tumbang bersama-sama dasar kejam Apartheid itu.

Ramai yang melihat, serta merasa kasihan kalau melihat rakyat-rakyat miskin Afrika yang kurus kering, dengan bibir merekah, serta wajah yang pucat lantaran kurang makanan,yang selalu ditayang-tayang di televisyen dan akhbar. Tapi, ramai yang tidak tahu, dan tidak dapat

melihat derita batin yang lebih mencengkam serta memeritkan.


Derita batin mereka, majoriti kaum kulit hitam yang dicarik-carik dan dihinakan oleh golongan minoriti kulit putih yang merasa diri cukup mulia dengan warna kulit putih mereka. Derita batin akibat rasa terhina dan maruah dijatuhkan.

Sepatutnya derita batin itulah yang dikasihankan lebih dari derita fisik mereka. Ramai yang lebih sanggup menanggung apa jua keadaan dan kesusahan, semata-mata agar batin mereka tidak menderita. Kalau tidak, masakan ramai yang sanggup mati, sanggup mengahadapi hukuman kejam lagi kasar oleh rejim terdahulu. Semua ini dilakukan agar mereka mencapai kepuasan batin, kerana batin itulah cerminannya fizikal.


Derita batin, deritalah fizikal. Puas dan gembira batin, maka puas dan bergembiralah fizikal, walau pada mata kasar mereka yang tidak memandang dengan mata hati, tubuh-tubuh para pejuang ini penuh dengan parut-parut bekas luka akibat diseksa semasa di penjara.

Sedang fizikal itu, hanyalah separuh sahaja dari refleksi kasar kepada kondisi batin seseorang. Malang sekali bagi yang lebih suka memandang dengan mata kasar, kerana mereka memandang fizikal sebagai penanda aras sebenar bagi batin seseorang. Orang-orang sebeginilah yang takut berjuang dan tidak mahu sanggup menyeksa sedikit fizikal mereka, demi untuk melihat kemenangan.


Mahu senang sahaja, dan tidak mahu bersusah-susah. Mahu menang sahaja, tetapi tidak mahu berpayah-payah. Penakut hakiki yang bacul dan rela dihambakan di bumi Tuhan yang Tuhan ciptakan buat dikongsi secara adil oleh semua makhluk, bukannya dimonopoli segelintir manusia berideologi sesat yang meletakkan warna kulit atas kemanusian.

Gyaweh terkenang bekas sahabatnya sewaktu belajar dahulu. Steven Biko, ketua pelajar di zamannya, yang mati dalam tahanan polis. Pedih hatinya, serasa mahu sahaja dia menangis tatkala terkenang rakan seperjuangannya itu. Namun, sekejap sahaja dia tersenyum, bila melihat legasi perjuangan beliau, diteruskan sehinggalah Apartheid akhirnya terkubur pada 1994.


Dia tidak merasa rugi dengan jalan yang dipilihnya dahulu. Jalan yang menyebabkan dia akhirnya dibuang dan ditamatkan dari pengajiannya di universiti. Jalan yang akhirnya mencampakkan dia ke tanah gersang kawasan Zandvliet, akibat tidak punya pekerjaan. Semuanya untuk perjuangan menamatkan Apartheid. Semua usia mudanya untuk menentang sang penzalim kulit putih yang jauh lebih hina dari najis berwarna hitam pekat.

Gyaweh tersenyum puas.


“Ah! Masa mudaku! Aku rindu masa itu. Derita dahulu itu manis belaka, sedang derita sekarang ini betul-betul menyakitkan!” keluhan itulah yang selalu bergema-gema disudut hati Gyaweh.

Benar. Derita yang sekarang itulah yang menyakitkan. Kalau dahulu, hanya dia seorang yang merasa sakitnya akibat diseksa dan dipukul polis anti-rusuhan, dan itupun dia masih menganggap ia sebagai satu kenikmatan. Namun, yang ini memang tidak dapat ditahan lagi, kerana anaknya, darah daginya sendiri yang menderita sekarang ini. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya kurus kering tidak cukup makan? Itulah yang paling memilukan hatinya sekarang.


“Ayah!”

“Ayah!”


“Bagaimana?”

Terpadam lamunan Gyaweh bila dipanggil anaknya. Mokui memandang dengan pandangan penuh harapan, minta dikasihani.


“Beginilah! Ayah ada jalan, tapi memerlukan sedikit usaha dari kamu sendiri anakku,” tenang Gyaweh bertutur dengan anaknya.

Bulat mata Mokui mendengara kata ayahhnya. Mimpi Piala Dunianya kembali cerah semula. Mentari yang dirasanya mendung tadi, seolah-olah kembali menjeling malu-malu, dari balik awan gelap hampa hatinya tadi. Dia tidak-tidak sabar, sehinga kepalanya terhangguk-hangguk, menanti apakah jalannya yang dikatakan ayahnya tadi, supaya dia dapat menonton Piala Dunia. Sambil dalam otaknya sudah terfikir-fikir, pasukan mana yang akan ditontonnya nanti. Afrika dengan Stephen Pinaar? Atau Argentina dengan si kecil lincah Lionel Messi? Kemudian stadium. Stadium mana? Durban? Johannsberg? Capetown? Kalau di Capetown, dia perlu bergerak awal. Kalau di Johannsberg, dia perlu bersiap membawa baju-baju yang tebal-tebal, kerana di sana sekarang musim sejuk.


“Kamu berniaga kraf,” Gyaweh berkata pada Mokui dengan bersahaja.

Mata Mokui membulat, lebih membulat dari tadi. Bulatnya yang ini bukan kerana gembira, akan tetapi kerana pelik dengan cadangan ayahnya. Membuat kraf?


Gyaweh tertawa melihat anaknya dan mata bulatnya itu. Dia tahu anaknya itu terkejut dengan ideanya.

“Kamu buat kraftangan . Kemudian jual kepada pelancong di pasar. Dari situ kamu kumpulkan duitnya.”


“Ayah, saya harap ayah bukan main-main..”

“Mokui, ayah tidak main-main. Kamu buat kraftangan, kemudian kamu jual di pasar. Ramai pelancong yang akan beli,” kali ini Gyaweh tegas berkata-kata, agar Mokui sedar yang dia bukan bermain-main.


Gyaweh yakin yang kraftangan itu pasti akan dibeli oleh para pelancong, meskipun ianya nampak tidak cantik. Dia punyai idea yang bernas untuk itu. Apapun, kadang-kala Gyaweh geli hati memikikan perangai pelancong-pelancong yang datang ke negaranya. Apa sahaja mahu dibeli di pasar itu. Apa sahaja yang menandakan mereka pernah sampai ke Afrika, maka akan dicapai. Padahal, pada pendapatnya, benda-benda yang dibeli itu, kadang-kadang hanya dibuang begitu sahaja oleh orang-orang Afrika sendiri.

“Mahu dibuat kraf apa ayah?” tanya Mokui, kali ini dia nampak yakin yang ayahnya serius, bukan main-main.


“Begini. Ayah pernah lihat orang tua yang tinggal selang dua buah rumah dari kita ini lakukan. Pak Tsabalala. Kamu kenal dia bukan?”

Mokui menganguk. Orang tua itu memang dia kenali. Tetapi, dia sudah meninggal akibat terjatuh ke dalam perigi bulan lepas. Ada apa dengan si tua malang itu?


“Kamu kumpulkan tempurung kelapa sebanyak yang boleh. Ayah akan ajarkan nanti.”

“Untuk apa itu semua ayah?” Mokui tergaru-garu kepalanya yang memangpun gatal

disebabkan kutu yang penuh beranak-pinak dan berfiesta darah di atas kepalanya.


“Kamu buat sahaja. Nah, ambil sekali wang 15 Rand ini, dan dapatkan untuk ayah dawai 10 meter, dan setin varnis. Bawa semuanya kemari dan ayah akan ajarkan ciptaan kraftangan baru untuk kamu” Gyaweh mengarahkan anaknya, sambil otaknya cuba mengingat-ingat apa yang pernah dilakukan oleh Pak Tsabalala dulu.

Mokui bergerak pantas mencari semua barang-barang itu. Kalaulah diikutkan letih dan panasnya cuaca di luar, pasti sahaja dia lebih selesa duduk berbaring-baring di rumah. Namun, kali ini, Piala Dunia telah menggerakkannya. Minatnya pada bola sepak sesungguhnya amatlah kuat, sehingga menyejuk dan mendinginkan cuaca di luar.


Lewat petang itu, baru Mokui pulang bersama-sama 2 guni tempurung kelapa, dan sebungkus plastik berisi dawai 10 meter dan varnis. Maka Gyaweh mengajarkan anaknya itu cara-cara membuat pasu bunga dari tempurung kelapa, sama seperti mana dia melihat Pak Tsabalala lakukan dahulu. Mula-mula, dia bersihkan dahulu tempurung itu sebersihnya, dan kemudian baru dia sapukan varnis pada tiap-tiap sudut tempurung kelapa itu, agar ia nampak bersinar dan kemas, buat menarik para pelancong yang bakal membelinya. Kemudian, diambilnya dawai, lalu dilalukan dawai itu masuk ke dalam lubang yang tadi awalnya sudah siap-siap ditebuk.


Mokui melihat dengan tekun dan lantas mencubanya.


“Hari sudah larut malam. Biar ayah masuk tidur dahulu”

“Baik ayah. Biarkan saya siapkan semua tempurung ini”


“Jangan tidur terlalu lewat, Mokui”

“Baik, ayah”


Gyaweh meninggalkan anaknya dan masuk tidur. Fikirannya ketika ini hanya tertumpu pada suatu perkara, apakah tiada jalan lain jika rancangannya yang dicadangkan pada Mokui tidak menjadi? Apakah ada sumber lain yang boleh dia dapatkan untuk mendapatkan tiket paling murah bagi anak kesayangannya itu? Gyaweh berfikir-fikir sambil berbaring di atas tikar lusuhnya. Bulan semakin terang, sedang kedinginan malam mula menikam-nikam. Akhirnya Gyaweh tertidur, bersama-sama kerisauan yang mengocak hatinya tadi.

Esoknya, dia bangun, demi untuk melihat yang Mokui
tertidur di bangsal belakang, bersama-sama pasu bunga tempurung kelapa yang sudah siap. Ada bermacam-macam bentuk. Bentuk bunga matahari, kura-kura,kumbang, dan bermacam-macam jenis lagi. Semuanya Mokui lakukan dengan kreativitinya sendiri. Terdetik rasa kagum di hati Gyaweh, bahawa anaknya ini cukup tinggi imaginasi dan bakat seninya. Tidak perlu diajar lebih-lebih, hanya sekadar asas sahaja, dan Mokui berjaya menghasilkan pasu-pasu yang cantik bersinar kesan varnis, untuk diniagakan di pasar nanti.


Selepas bangun, Mokui terus sahaja mandi. Kemudian dia bersiap, dengan memilih baju paling cantik yang dia ada, sehelai baju lusuh berwarna oren kekuning-kuningan, dengan seluar pendek khakis, dan itu sahaja yang paling cantik yang dia miliki, kerana yang lainnya semua punyai koyakkan-koyakkan kecil. Selepas kematian ibunya lima tahun lepas, tiada siapa yang mahu menjahitkan tampalan pada pakaiannya, termasuk Gyaweh yang memang langsung tidak tahu tentang hal-hal urusan menjahit. Hendak masukkan benang ke dalam jarum pun sudah menjadi masalah besar bagi dirinya. Biarlah pakaian paling cantiknya itu lusuh, kerana sekurang-kurangnya, ia tidak koyak di merata-rata.

Dengan berbekalkan sebotol air kosong, dan sebuku roti,iya, kalian betul wahai pembaca, sudah tentu Gyaweh berhutang harga roti itu dengan pekedai di pekan, maka Mokui duduk bersila di terik panas mentari, di pasar Zadfliet, sambil menjerit mempromosikan produk terbarunya.


“Pasu murah! Pasu murah! Mesra alam, menggunakan tempurung kelapa!”

“Pasu murah!”


“Miss, do you want to buy this? Very cheap! 15 Rands only!”

“10 rand? Cannot Miss..cannot..14 Rand?”


“Okay, okay! 12 Rand! 12 Rand! How is it?”

“Thank you miss! Very very thank you!”


“Pasu murah!”

“Pasu murah!”


Mokui tawar-menawar hari itu. Dia sungguh letih, dan sebuku roti pemberian ayahnya tadi pagi itulah satu-satunya bekalan tenaga yang dia bawa bersama. Namun, hatinya gembira melihatkan produk hasil kreativitinya mendapat tempat di hati para pelancong. Perniagaanya laris, macam Larva Weevil goreng panas. Keramahannya, serta kebijaksanaannya tawar-menawar, memikat para pelangannya. Mereka melihat Mokui sebagai simbol seorang budak lelaki yang miskin, yang mahu berusaha mengubah nasib keluarga dengan jalan berusaha, dan bukan dengan jalan meminta sedekah atau merayu belas ehsan orang lain. Maka, ramai antara mereka yang tidak keberatan membeli bukan sekadar satu, malah dua, atau tiga, semata-mata simpati melihat kegigihan Mokui.

Kegigihan Mokui ini barangkali diwarisi dari ayahnya. Putaran hidup mereka seolah-olah sama. Malah, kadang-kala, sewaktu duduk-duduk menghirup udara segar malam,dengan kopi cair dihirup berdikit-dikit, sambil ketika itu Mokui berbaring, tidur di atas lantai, dan Gyaweh akan merenung melihat wajah Mokui dalam-dalam. Ya, perjalanan kesusahan mereka sama. Masa muda mereka penuh dengan kesakitan mahu meneruskan hidup. Bezanya, apa yang menimpa Gyaweh adalah pilihannya sendiri, kerana dia sendiri mahu berkorban, sanggup hidup susah, dan terpisah dari keluarga, semata-mata untuk impian melihat kezaliman rejim Apartheid dihancur luluhkan dari bumi Afrika, sehingga akhirnya pilihan hidupnya itu (padan muka aku, itulah yang selalu diulang-ulangnya), mencampakkan dia ke lembah pertanian yang sebenarnya tidak pun sesuai mana untuk bercucuk tanam.


Sedang Mokui pula, ini bukan pilihannya. Bukanlah haknya mahu memilih lahir dalam keluarga mana, atau keturunan mana, atau warna kulit yang bagaimana. Adapun semua itu ketetapan Tuhan, yang memang sengaja menjadikan manusia ini berbagai-bagai bangsa, punya bermacam-macam rupa, dan berlain-lainan bahasa, semata-mata untuk manusia itu saling kenal-mengenal dan saling menghargai.


Mokui ditakdirkan lahir dalam keluarga miskin, daif seperti itu dan tiada pilihan. Dihadapan kuasa Tuhan Yang Esa, pilihan apakah yang kita ada? Tunduk dan jalanilah hidup ini dengan baik dan bersyukur, kerana ianya sementara, hanya tempat tumpangan buat sedikit masa. Falsafah ini memang Gyaweh pegang sungguh-sungguh. Hidup ini memang ujian. Ada yang diuji dengan kekayaan, dengan kecintaan, dengan kebanggaan, dan Tuhan memilih dia untuk diuji dengan kemiskinan. Lalu, haruslah dia tabah dan menjadikan hidup ini sebagai medan untuk berjuang, kerana dengan berjuang itulah baru hidup itu punya makna. Yang itu barulah betul namanya H-I-D-U-P.

Kerana itu amatlah pelik bila melihatkan, ada sesetengah insan yang mengaku punya hak istemewa ke atas yang lain, hanyalah berdasarkan warna kulit dan tempat tinggal. Sedangkan, alam ini Tuhan jadikan untuk semua manusia saling belajar berkongsi-kongsi, bertolong-tolong dalam memakmurkan ia dengan jalan baik-baik yang diatur Tuhan. Tanah milik Tuhan, dijadikan untuk semua makhluk, bukanlah hak milik istimewa sesiapa pun, bahkan untuk dikongsi. Bagaimana, kerana adalah sudah jelas bahawa meletakkan nilai kaum sebagai faktor mandatori dalam menentukan hak keistimewaan, sangatlah terkeluar dari hujah akal yang waras. Tiada siapa pun yang bisa memilih mahu lahir sebagai apa. Semuanya ketetapan Tuhan. Dari Tuhan kita datang, maka aturan Tuhanlah yang harus kita patuh, dan aturan Tuhan tegas menyatakan manusia itu tiada kelebihan atas yang lain dengan melihat pada warna kulit dan bangsa.


“Haaaaa..Hatiku puas! Hatiku puas! Aku sudah cukup besar untuk menyara diri sendiri!” Mokui menghela nafas kelegaan penuh keyakinan dan kekuatan, seolah-olah dia bukanlah lagi Mokui semalam, yang hilang punca dan terpaksa merayu-rayu pada ayahnya yang miskin itu.

Kemudian, dia berlari-lari anak, mencari kawasan yang sunyi sedikit dari orang ramai. Lalu dia duduk untuk menghilangkan lelah. Diraba-rabanya uncang dari kain guni yang dipinjam dari ayahnya, lalu ditonggengkannya uncang itu. Maka, terhamburlah bertaburan di atas lantai, wang untung perniagaan hari itu, bersama-sama bau dan bunyi-bunyinya sekali. Bau dan bunyi wang, tanda kemengan bagi Mokui hari itu. Perlahan-lahan dikiranya wang-wang itu (walaupun tidak bersekolah, Mokui pandai mengira. Ayahnya itu, sebelum dibuang pengajian dari kolej akibat pemberontakan anti-apartheid, adalah seorang mahasiswa Fakulti Matematik, dan ayahnyalah yang mengajar dia ilmu matematik di rumah).


“Seratus tujuh puluh satu..sera..errr..seratus sembilan puluh...dua..errr.dua ratus Rand! Cukup! Dua ratus Rand, sudah memadai untuk tiket paling murah! Huuuuuuuuuuuiiii!” Mokui melonjak kegembiraan dengan jumlah yang dikumpulnya hari itu.

Cepat-cepat dia bangun, mengibas-ngibas bajunya untuk menghilangkan debu. Lantas, terus bergerak ke arah pusat pekan, untuk terus ke kaunter jualan tiket perlawanan Piala Dunia. Yang sebenarnya, bukanlah kaunter tiket rasmi, melainkan ianya tempat jualan tiket secara gelap. Tiket-tiket itu, samaada dicuri, atau dibeli pada harga yang murah, kemudian dijual semula di pekan. Kemudian, disitulah akan berlaku tawar-menawar, dan sebenarnya, inilah permulaan kepada malang yang menimpa Mokui, akibat kegopohannya mahu mendapatkan tiket.



Seperti roller coaster dan hidup, begitulah Mokui. Namun, roller coaster hidup Mokui sangat cepat berubah tingginya. Berapa minit yang lalu, dia gembira, namun sekejapan sahaja, akan berlaku cerita sedih, menandakan roller coaster hidupnya kini sedang menjunam ke bawah pada kelajuan yang paling menyayat hati.

Di pekan, Mokui terus ke kaunter kecil (ataupun lebih sesuai kita panggil tapak kecil sahaja, kerana tiada meja kaunter dan sebagainya. Yang ada hanya seorang tinggi berkulit gelap pekat sedang duduk di atas bangku pendek sambil menjerit-jerit “Tiket!Tiket!”).

“Bang! Saya mahu membeli tiket. Berapa ya harganya, kira-kira yang paling murah sekali”

“Mahu perlawanan apa budak? Tinggal tiket untuk Afrika melawan Perancis sahaja. Mahu?”

“Berapa bang? Errr, maksud saya harganya?”


“200 Rand! 200 Rand! Tak lebih, tak kurang,”kata penjual itu acuh tak acuh, seolah-olah yakin benar dia, yang Mokui tidak punya cukup wang untuk itu.

Mokui berkira-kira sebentar. Pada jangkaannya, 150 Rand sudah cukup, dan 50 Rand lagi akan digunanya sebagai wang tambang ke stadium. Tetapi, ini harganya 200 Rand, cukup-cukup sahaja jumlah wangnya.


“Tidak mengapa! Nanti esok aku menjual pasu tempurung itu lagi, untuk wang tambangnya!

Tapi, yang ini harus aku beli awal-awal lagi,” Mokui berkata-kata dalam hati.

“Baiklah bang! 200 Rand, saya mahukan tiket itu,” kata Mokui, sambil mengeluarkan wang-wang itu dari uncangnya.


Berdeting-deting bunyi syiling, dicampur dengan shiu-shiu bunyi wang kertas. Akan sebenarnya, Mokui berasa agak kesal juga, kerana itu wang pertama hasil usahanya sendiri. Namun, tiba-tiba terbayang wajah Frank Ribery, pemain pujaannya dari Perancis, terus sahaja kesal itu dilempar jauh-jauh.


Penjual itu menghulurkan tiket kepada Mokui. Ketika tangan Mokui baru sahaja menyentuh tiket, dan penjual itupun masih belum melepaskan habis tiket itu dari pegangannya, tiba-tiba,

“Encik! Saya beli tiket itu! 300 Dolar! 300 Dolar!” seorang pelancong, dari Perancis barangkali, berdasarkan pada jersi pasukan yang dipakainya, tiba-tiba datang berlari-lari. Mungkin dia sedang terdesak mencari tiket. Tiket yang dijual secara rasmi selalunya habis cepat, dan jalan yang tinggal cuma ini, iatu jualan secara pasaran gelap.


Demi mendengarkan itu, penjual tadi terus menarik tiket dari tangan Mokui, lantas menyambut tawaran lelaki Perancis tadi, dengan girang tanpa ada rasa bersalah walau sedikit habuk pun.


Mokui terdiam, dan berdiri tegak, sambil tangannya masih lagi dalam keadaan posisi tadi, iatu ketika menyambut tiket itu dari sang penjual. Masih belum lama, sejak kali pertama dia merasakan hangatnya rasa tiket tadi, dengan warnanya cantik dan dicetak lambang bendera negara Afrika serta Perancis. Dan, hangat tiket itu tiba-tiba hilang, diganti dengan sejuk dingin tubuhnya, yang menggeletar tanda marah bercampur sedih, atas khianat yang berlaku tadi.


Pelancong tadi, memandang Mokui, sambil membayar wang 300 Rand kepada penjual yang juga mengeletar, dalam gembira. Harga asal tiket 150 Rand, dapat dijual 300 Rand, bemakna untung sekali ganda dia hari itu. Namun, dia merasa pelik juga melihatkan mimik muka pelik si pelancong tatkala memandang Mokui. Lama pelancong itu memerhatikan Mokui, dan kemudian pantas dia berlalu pergi dengan tiket, dan tangannya sibuk mendail nombor di telefon bimbit.

“Ya! Yang ini sesuai! Ya, pasti!” kata pelancong itu.


Penjual itu malas mahu ambil peduli, dan sama beredar, tanpa mempedulikan Mokui, yang dari tadi, masih di posisi sama.


Tuhan! Oh Tuhan! Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui apa rasanya menjadi budak malang seperti Mokui! Dia berdiri diam. Menangis tidak. Menjerit tidak. Badannya hanya tersengguk-sengguk, cuba menahan tangis, sedang nafasnya turun-naik, tercungap-cungap menahan letih berniaga di tengah panas tadi yang belum hilang. Tiada eksperesi lagi. Dia berjalan perlahan-lahan. Tidak tahu mahu berkata apa lagi. Fikirannya berkecamuk dengan pelbagai-bagai jenis tujahan memori dan emosi. Memori susah payahnya tidak tidur malam menyiapkan pasu, dan emosi tatkala dia dikhianati bercampur-baur. Orang yang lalu-lalang pelik melihat Mokui berjalan, seperti orang yang kosong, tidak punya apa-apa pemikiran dalam otak. Yang tinggal hanya naluri yang menggerakkan kaki, itupun dengan perlahan.

Sampai di satu simpang, di mana terletaknya gudang-gudang lama tempat menyimpan barang, tiba-tiba muncul sepasang tangan menarik Mokui dan terus menutup mulutnya dengan sapu tangan. Mokui mula rasa pening-pening, seperti mahu tertidur. Namun dilawannya rasa itu. Terasa mahu menjerit, tetapi tiada suara yang keluar dari anak tekaknya yang kering. Dia kemudiannya dihumban ke dalam sebuah lori pikap yang sedia menunggu di balik sebuah gudang betul-betul bersebelahan simpang.


Akhirnya, Mokui tertewas dengan kesan ubat penenang yang dilumur pada sapu tangan tadi. Matanya perlahan-lahan tertutup, sedang imej terakhir yang dilihatnya, ialah seorang lelaki kulit putih, berpakaian jersi Perancis, sedang berbincang dengan pemandu lori pikap itu. Mokui padam.

Padam. Padam. Padam. Padam. Padam.


Tup!

Mata Mokui terbuka. Bau hamis dan busuk serta hancing menusuk hidungnya. Ketika cuba menggerakkan tangan dan kaki, barulah dia sedar, yang semuanya sudah dirantai. Mokui terkena. Ini penculikan kulit hitam!

Di rumah, Ngaweh sedang leka mengecat sehelai kain putih dengan corak warna bendera negara kesayangannya, Afrika. Tekun dia mewarna, sambil matanya asyik-asyik menoleh ke muka pintu, menanti-nanti Mokui pulang.

“Ini akan Mokui bawa ke stadium nanti! Dia pasti suka, haha! Mokui, menjerit dan melompatlah kau ketika itu, tapi jangan lupa mengibarkan bendera ini! Ayah buat khusus untuk kamu anakku!” kata Gyaweh sendirian.

Di ibu kota, orang ramai sedang menari-nari sambil menyanyi gembira.

When I get older, I will be stronger,


They call me freedom, Just like a waving flag

Monday, October 24, 2011

Lalang Neutral



Lalang meliuk kanan bertari di kiri
Sopan takzim angin sepoi membuai
Sekali menyapa ke kanan dia mengurai
Sekali menjemput gemalai dia ke kiri




Lalang setia tidak sekali tegak sangah
 Haram melawan jauh menahan
Disambut hemah sapaan si angin kanan
Dirai hormat jemputan sang angin kiri
Wajib neutral mendamai kiri dan kanan




Namun seketika tiba monsun menderu
Kuat menarik teguh akar di tanah
 Lalang akur
Nyata hujah monsun mantap mencabar
 Gagah menyentap pasak sang akar

 Saat akur pada monsun bersilih
Sang Lalang perlu wajib memilih

 Sedar sang lalang akan hakikat kerdil
Berdiri di tengah belum tentu adil

Saat hujah terpasak alim
Berlaku neutral hukumnya zalim


Friday, October 21, 2011

Angkat Rasul Baru


“Apa yang saya katakan ini kebenaran! Tidak ada sebab ianya perlu ditarik balik! Benar tetap benar!” suara lelaki itu bergema di segenap penjuru ruang bilik mesyuarat itu. Matanya yang merah menyala saat lontaran kata-kata itu dibuat mengukuhkan lagi ketegasannya.

Prof Bara benar-benar merasa keceewa dengan apa yang berlaku. Terasa seolah-olah kebebasan yang dijanjikan untuk setiap hamba oleh Tuhan, diragut dan ingin dirampas darinya oleh hamba yang seperti dia juga. Apa hak mereka?

“Kamu pembohong dan penghasut! Mana kebenaran apa yang kamu katakan? Tuduhan yang kamu lontarkan ini terlalu berat, lebih-lebih lagi ke atas saudara semuslim kamu sendiri!” Dr Zainah Ling membalas, dengan suara separuh menjerit. Baginya api perbincangan yang sudah mulai marak itu tidak boleh disurutkan. Seharusnya ia dibiarkan terus marak, supaya lelaki di depannya itu akan terbakar dengan panas hujahannya dan akan mengalah.

“Sekarang ini kamu pilih. Kamu hendak tarik balik atau kamu akan terima akibatnya. Ingat, kami yang membayar gaji kamu!” celah Prof Rosmah. Bunyi nada ayatnya sangat angkuh. Sengaja dibuat suara sedikit sinis, dengan harapan Prof Bara akan sedar kedudukan sebenarnya dan siapakah yang sedang dia cuba tentang sekarang ini. Prof Rosmah sendiri kalau boleh mahu perbincangan ini tamat dengan cepat, kerana badannya sudah mula gartal-gatal dengan peluhnya sendiri. Pendingin hawa bilik mesyuarat nampaknya gagal mendinginkan jiwanya yang panas dengan bahang keangkuhan.

Di luar, keadaan sudah mulai panas sama. Kedengaran bunyi teriakkan anak-anak muda. Sesekali kedengaran jeritan dari pembesar suara, yang kemudiannya disambut dengan laungan secara beramai-ramai. Hiruk pikuk dengan suara-suara penuh marah dan kecewa. Jiwa muda mereka benar-benar sedang dibakar atas peristiwa yang telah berlaku. Bagi mereka, apa lagi yang tinggal untuk mereka, generasi muda, untuk mengembangkan minda dan fikiran, jikalau sumber ilmu itu sendiri sudah dcemari dengan nafsu dan perangai suka membodek.

Prof Bara menjeling dari ruang langsir berjalur yang terbuka. Dia dapat mendengar suara-suara teriakan dan protes dari bawah, namun tidak dapat dia lihat berapa ramaikah yang sedang berhimpun di bawah sana. Cuma kadang-kadang jelingannya disambut dengan sepanduk-sepanduk dan banner yang diangkat ke atas oleh para pemuda itu.

“Kalau aku masih muda..” keluh Prof Bara sebentar.

“Kamu dengar atau tidak apa yang saya katakan tadi? Sekarang buat pilihan!” sekali lagi Prof Rosmah menekan Prof Bara. Dia mulai rasa menyampah melihat wajah professor itu yang kelihatan seperti mengelamun dan malas hendak ambil pusing terhadap apa yang sedang dia hadapi sekarang ini. Seolah-seolah dia sengaja mahu menghina mereka berdua sambil mimik wajahnya seperti mengatakan, “Buatlah apa yang kamu mahu. Aku tidak takut!”.

“Benar tetap benar. Kesesatan yang kamu lakukan sudah terbukti. Kamu sudah lari dari ajaran agama kita ini. Kamu sudah mengangkat Rasul baru! Kamu mengerti? Kerana itu saya tidak akan menarik balik kenyataan saya. Saya tidak sanggup bersekongkol dengan pembodek seperti kamu berdua!” sinis Prof Bara membalas.

Iya. Dia sudah tua. Mungkin sudah tidak sekuat anak-anak muda di bawah itu. Dia tua, namun apa yang diajarnya itulah yang sering menaikkan semangat anak-anak muda. Adil dalam berilmu. Dia tidak pernah gentar. Walaupun dia tidak menentang secara berhadapan seperti yang dilakukan budak-budak itu, namun tulisan dan pendapatnya itu jauh lebih kuat dari jeritan protes dengan pembesar suara para demonstran.

Kerana itu lah sekarang ini dia berada di bilik mesyuarat itu, berhadapan dengan dua orang bekas rakan sejawatnya. Dua orang bekas rakan sejawat yang telah dinaikkan pangkat menjadi pentadbir. Prof Bara kenal benar mereka berdua, dan dia tahu sangat atas kriteria apa kedua-dua mereka dapat dinaikkan pangkat. Kerana itu kadang kala Prof Bara hanya senyum sinis bila melihatkan kedua orang bekas temannya itu kelihatan bangga berjalan ke pejabat masing-masing setiap pagi. Yang satu masuk ke pejabt Ketua Reaktor. Yang satu lagi ke pejabat pembantu ketua Reaktor. Nampak benar kesombongan dan angkuh, padahal di dalamnya kosong. Mereka umpama pokok-pokok yang tidak bermanfaat. Paling-paling pun manfaat mereka ialah menjadi kang kung untuk di makan oleh lembu-lembu.

“Dusta! Tahukah kamu betapa besarnya fitnah yang kamu bawakan ini? Tidak mungkin kami akan mengakui adanya lagi Rasul selepas Muhammad SAW. Hei, kami ini sarjana tahu! Kalau tidak masakan kami sekarang ini punyai jawatan seperti ini, di universiti islam pula! Tuduhan kamu ini fitnah yang besar. Tidak sepatutnya bagi seorang professor beragama Islam seperti kamu!” Dr Zainah Ling yang tadinya diam sekejap, kembali menyambung serangannya terhadap rakannya itu.

Dr Zainah Ling sendiri hairan bagaimana sahabatnya itu sampai sanggup menuduh dia dan ketuanya itu dengan tuduhan yang berat. Kenyataan berani Prof Bara yang disiarkan melalui media alternatif itu menyebabkan martabat universiti tempat dia menjadi pentadbir itu tercalar. Lebih-lebih lagi di sebuah universiti berlabel Islam seperti Universiti Islam Internasional (UII)  itu.

“KETUA UII ANGKAT RASUL BARU”. Begitulah bunyi kenyataan Prof Bara yang baru-baru ini disiarkan di laman media alternatif. Disebabkan ramai anak muda yang tidak lagi ambil peduli dengan media yang menjadi kuda tunggangan pemerintah dan lebih berminat membaca media alternatif, maka berita itu cepat sahaja tersebar di kalangan anak muda. Kerana itu mereka berhimpun menuntut penjelasan dari pihak pentadbiran universiti atas kenyataan itu. Mereka mempercayai benar apa yang dikatakan Prof Bara kerana dia seorang tokoh akademik ulung, yang dikenali tidak akan memberi hujah melainkan berdasarkan fakta dan bukan bermotifkan politik maupun membodek mana-mana pihak.

Berbeza pula situasinya di kalangan orang-orang tua di warung-warung kampung, di mana berita yang mereka peroleh dari media arus semasa pula berbunyi, “PROF BARA DERHAKA PADA PEMIMPIN”. Kerana itu bertimbun laporan polis telah dibuat ke atas Prof Bara oleh warga-warga tua jahil yang berfikiran seolah-olah di zaman feudal. Jahil dan bertaklid buta telah sebati menjadi amalan mereka sehinggakan dengan mudah mereka tidak mahu meneliti dengan betul-betul apa yang didakwakan oleh Prof Bara itu.

“Saya mengatakan ini dengan hujah. Saya bukan sengaja-sengaja mahu tuduh. Kenyataanya ialah kalian sekarang ini sudah mengangkat Rasul baharu. Itu sesat dan menyalahi akidah. Mana ada Rasul selepas Muhammad SAW?” Prof Bara menjawab dengan tenang dan lancar. Matanya memandang dua pasang mata yang sedang duduk dalam keadaan marah di hadapannya.

“Bila kami mengatakan demikian? Di mana? Kamu ada buktinya? Sudahlah kamu ini menderhaka pada pemimpin. Sekarang ini kamu buat tuduhan fitnah semacam ini pula kepada kami? Ini memalukan nama Universiti, tahu! Kamu boleh didakwa atas tuduhan  ‘memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti’, kamu mengerti?”

“Kepentingan universiti atau kepentingan kamu?” pantas tiba-tiba Prof Bara menjawab.

“Sememangnya kamu telah mengangkat Rasul baru. Kamu menentang dan membantah apa yang saya katakan dahulu. Saya katakan yang walaupun seorang pemimpin itu mempunyai kuasa, dan sememangnya punyai kebebasan dari segi perlembagaan untuk mengeluarkan perintah, namun setiap perintah itu haruslah mengikut lunas Islam. Wajib berlaku adil. Salahkan saya mengatakan demikian? Salahkah saya menegur sedemikan? Sejak bila pula manusia bernama pemimpin tidak boleh ditegur? Rasul kita Muhammad SAW pun kadang kala menerima teguran dari sahabat-sahabat.”

“Terus sahaja kamu semua katakan saya ini penderhaka kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kerana itu saya mengatakan yang kamu sudah melantik dan mengangkat Rasul baharu, kerana kamu beranggapan yang pemimpin tidak boleh ditegur. Masyarakat Melayu bukan bodoh untuk ditakutkan dengan tulah, keramat dan racauan-racauan serupa itu. Ini bukan zaman feudal. Kalau Nabi boleh menerima teguran, pemimpin kita yang merupakan manusia biasa kamu katakan tidak boleh ditegur. Siapa menegur kamu panggil penderhaka. Tidakkah itu seperti mengangkat Rasul baru yang lebih mulia kedudukannya dari Muhammad SAW sehingga tidak boleh ditegur sama sekali?”

“ Kamu memang diberi kuasa di dunia ini untuk berbuat semahu kamu ke atas orang bawahan yang tidak berkuasa seperti saya. Saya rela digantung tugas!” tegas Prof Bara berhujah.
Sambil berdiri dari tempat duduknya, dia memandang tajam ke arah dua orang manusia di hadapannya itu, kemudian berkata,

“Kita lihat adakah saya akan terkena sumpahan dan tulah atas apa yang saya katakan dahulu. Seingat saya sahabat-sahabat Nabi tidak ada seorang pun yang terkena sumpahan dan tulah daripada Nabi,”

“Dan di akhirat nanti kita sama-sama lihat adakah ‘Rasul’ baru kamu itu boleh memberikan syafaat kepada kamu!”

Prof Bara berlalu pergi, sedang Prof Rosmah dan Dr Zailah Ling terkulat-kulat dalam keadaan terkejut menerima hujahan tegas bekas rakan mereka itu.

Matahari semakin menegak. Demonstrasi di luar terus hangat. Prof Bara telah turun menyertai gelombak gelegak anti kang kong!


Wednesday, October 19, 2011

Pengkelasan Luar Sedar 2


Kalaulah dilihat pada suasana sekeliling kita, dapatlah kita ketemu dengan jelas bukti-bukti yang menunjukkan adanya kewujudan kasta yang menyusun masyarakat. 

Dalam masyarakat yang mengamalkan kasta, kasta yang di bawah akan sentiasa di kawal oleh lapisan kasta yang di atas. Jadi sering kali hak yang di bawah tertindas semata-mata untuk menjaga kepentingan hak yang di atas.

Akan tetapi, kebanyakan kita tidak menyedarinya dan masih lagi berbangga mengatakan yang setiap rakyat yang hidup di negara ini mempunyai hak yang sama rata.

Apabila ditanyakan apakah yang menyebabkan mereka gembira mengatakan yang mereka punyai hak yang sama sahaja antara setiap rakyat, maka jawapan mereka ialah kerana negara ini mengamalkan demokrasi, dan dalam demokrasi, suara setiap rakyat adalah suara yang menetukan arah tuju negara.

Melalui cara apa rakyat dapat mengemudi negara?

Dengan peti undi, kata Pak Jali yang duduk di ceruk Felda Kota Tinggi sambil minum teh o kosong (kerana gula naik harga) di warung. Gembiranya dia kerana merasakan yang dia sangat bertuah dapat hidup dalam negara yang memberikan peluang untuk rakyat menentukan hala tuju negara.

Persoalannya, benarkah begitu? Ataupun hakikat sebenarnya ialah kita, rakyat biasa, tidak berpeluang dalam menentukan hala tuju negara, hatta hala tuju kita sendiri?

Sebenarnya tiada lain melainkan hanya golongan tertentu sahaja, yang kita boleh katakan berada dalam kasta atasan, iatu golongan minoriti yang memiliki majoriti harta. Mereka inilah sebenarnya yang menetukan hala tuju negara mengikut kemudi ketamakan mereka. Mereka ini yang mnegawal segala sumber-sumber yang ada.

Sehinggalah sampai ke satu tahap di mana dalam pengagihan keperluan asas seperti makann dan sebagainya tidak dibahagikan mengikut keperluan, akan tetapi mengikut kemampuan.

Inilah kesilapan sistem pengagihan yang berlaku sekarang ini, yang menyebabkan adanya golongan yang mampu sahaja yang memperoleh keperluan-keperluan tersebut, walaupun hakikatnya mereka sudah memiliki lebih dari yang mencukupi.

Maka jadilah golongan yang memerlukan, tetapi tidak mampu, terpaksa bergantung kepada golongan-golongan yang tidak memerlukan tetapi mampu ini. Dari situ wujudnya kasta.

Bilamana adanya pergantungan satu hala kepada pihak lain, maka di situ sudah wujudnya pengkastaan, dan kehilangan hak untuk menetukan hala tuju sendiri. Pada hakikatnya, ia sebenarnya bukanlah pergantungan satu hala, kerana mereka yang di atas sangat-sangat memerlukan lapisan bawah untuk menyokong mereka, kalau tidak mereka akan rebah macam Penjara Pudu. Akan tetapi ianya menjadi satu hala apabila golongan bawah tidak menyedari bahawa golongan atasan, Mustakbirin, turut bergantung pada mereka.

Tiada nya semangat keberanian untuk berjuang dan bersatu, menyebabkan mereka berjaya dijinak dan dimandulkan seterusnya akan terus menerus duduk di bawah pengkastaan luar sedar ini dari generasi ke generasi.

Menjadilah mereka generator yang dieksploit habis-habisan tenaga mereka untuk menerangi golongan-golongan di atas, sedang mereka sendiri semakin lama lebur berada di bawah.

Apa yang ingin saya bawakan ini hanyalah sekadar satu perbincangan untuk para pembaca melihat kembali ke dalam salah satu punca yang menyebabkan berlakunya bermacam-macam masalah kepada kehidupan masyarakat mutakhir ini. Kalau pada zaman feudal, agama telah digunakan untuk mengkelaskan masyarakat, maka pada zaman ini, materialistik telah menjadi tunjang kepada pengkelasan yang berlaku. Cumanya, tiang materialistik itu disalut dan dicat dengan tiang agama (yang disalahtafsir), untuk merasionalkan tindakan zalim mustakbirin ke atas mustadh'ifin.

Kalau masyarakat tidak dapat disedarkan tentang apa yang berlaku, maka jurang perbezaan ini akan bertambah besar, dan lama kelamaan kita akan menjadi hamba yang total kepada kelompok-kelompok bernafsu besar yang suka mengeksploit manusia lain untuk kemakmuran diri sendiri. Sekarang ini pun negara kita adalah antara negara yang mempunyai jurang kaya dan miskin yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengkastaan ini harus dihentikan segera. Anak-anak muda yang fikiran dan fikrah mereka masih suci dan berani, harus menghancur leburkan susun lapis ala zaman feudal ini, supaya manusia tidak lagi menjadi hamba kepada sesama manusia.

 Mereka harus membawa budaya baru iatu budaya 'Hidup Sekadar Cukup'. Dengan mewujudkan budaya baru ini, maka pengkelasan akan terhapus kerana adanya pengagihan sumber yang adil, yang saya katakan tadi, dan ingin saya ulangi, iatu sumber diagihkan mengikut keperluan, bukan kemampuan.

Akan tetapi, kita lihat bagaimana ramai anak muda telah dipengaruhi, terutamanya oleh media. Penonjolan hidup yang berprestij dan konon romantik, macho, serta stylo yang mahal-mahal, menyebabkan mereka ini menjadi 'pelombong-pelombong' dan pengutip biji-biji kemewahan yang berterabur. Mata mereka bulat pada kilat kereta mahal, dan hati mereka dup dap dup dap pada majlis-majlis parti besar-besaran. Itulah yang mereka kejar dan itulah yang menjadi matlamat hidup mereka. Maka mereka secara tidak langsung telah ditelan sama dalam sistem busuk dan bobrok ini. Jadi, mereformasikan media juga harus dilakukan untuk mengubah persepsi anak muda terhadap hidup ini seterusnya membentuk fikiran mereka untuk 'Hidup Sekadar Cukup'.

Saturday, October 1, 2011

Filem Hantu dan Pengundi Hantu Sama2 Berbahaya

Mahathir berkata baru-baru ini, bahawa lambakan cerita hantu meracuni minda dan banyak menyumbang kepada kes histeria. Saya ingin sekali bertanya Tun akan apa gerangannya lambakan pengundi hantu?

Tiba-tiba teringat sebuah tulisan lama, sewaktu mula2 memberanikan diri menulis. Waktu itu masih di kedai lama. Ini dia:


April 27 / 2009


Janganlah Ejek Diri Sendiri!


Baru-baru ini sewaktu musim cuti, saya menjamu selera di gerai 'Burger Bundle' di Seksyen7. Sepinggan Nasi Goreng Udang dan Air Bandung Muar berharga RM6.60! Nafas saya turun naik sewaktu membayarnya.. Namun, bukan soal harga yang ingin saya tuliskan di sini. Tapi, ada sesuatu yang lebih menarik untuk tatapan kita kali ini.

Lama menunggu, maka saya alihkan perhatian ke arah TV3 yang sedang menyiarkan sebuah cerita yang amat saya kurang gemar lihat sejak saya kecil lagi. Cerita Pontianak (saya kurang ingat pontianak apa nama ceritanya). Namun, disebabkan lama menunggu tempahan yang tidak siap-siap, maka saya bersama kawan-kawan nonton jugalah ceritanya.

Dalam cerita itu, watak seorang Lebai Tua adalah Heronya. Cerita itu bermula apabila seorang wanita yang dibunuh di kampung itu menjelma menjadi pontianak dan mengamuk di kampung itu.Maka orang ramai bertanya sang Lebai, "Apakah itu sebenarnya?".

Seterusnya, jawapan sang Lebai Tua itu yang menjadi perhatian saya, "Roh perempuan tua itu tidak aman.. maka, rohnya menjelma menjadi pontianak untuk membalas dendam..".

Maka terbahak-bahak sehingga hampir terburailah usus kami mendengarkan hujahan Tok Lebai itu! Kita tahu, Lebai ialah gelaran terhormat yang diberikan oleh penduduk kampung kepada mereka yang tinggi ilmu agamanya. Tapi dapat kita lihat betapa jahilnya lebai yang dipaparkan di TV3 tadi. Walaupun kepalanya ditutupi kopiah, tapi rasanya akal beliau turut tertutup dengan tutupan pemikiran songsang masyarakat yang tidak bertamadun.

Tidak pernah ada satu dalil hadis atau Al-Quran pun yang pernah mengatakan bahawa roh seseorang itu boleh bertukar menjelma menjadi pontianak dan seterusnya pergi menyerang kampung untuk membalas dendam. Hujah apa yang mereka gunakan? Kitab mana yang mereka rujuk? Saya rasa soalan yang paling sesuai ialah, "Bomoh mana kau tanya?". Pemikiran jenis bebal apa ini?

Mungkin akan ada antara kita yang berkata, "kenapa kita perlu sibuk-sibuk, itukan cerita saja..". Saya bukan hendak menyibuk atau buat-buat sibuk dengan hal ini. Rasanya saya sudah cukup sibuk di sini. Tapi, ingin saya ingatkan di sini bahawa orang ramai terutamanya yang bukan Islam turut menonton rancangan-rancangan seperti ini. Sudah tentu akan menimbulkan persoalan di hati mereka tentang ini. Mereka mungkin bertanya adakah Islam ini sebuah agama mistik yang ada mengajar penganutnya bagaimana cara-cara melawan Pontianak atau erti kata lain, 'roh yang tak aman'. Maka di situ salah tanggapan tentang Islam sudah berlaku!

Malahan, cerita Pontianak itu turut menampakkan dan menonjolkan watak Lebai yang sangat dihormati di kalangan masyarakat kita menjadi seperti seorang tua nyanyuk yang berperanan serupa bomoh yang tahu berperang dengan hantu tetapi cetek ilmu agamanya. Pandai sembur ke kanan dan ke kiri untuk menghalau pontianak, tapi bila ditanya tentang asal-usulnya pontianak yang datang membunuh di kampung itu, maka dijawabnya dengan jawapan sasau sedemikian rupa. Generasi muda terpelajar mungkin akan menyangka bahawa inilah wajah sebenar Tok Lebai. Sedangkan kita tahu bahawa Lebai-lebailah antara golongan mulia yang mengembangkan dan mempertahankan institusi Islam di negara kita. Adalah amat menghinakan apabila kita mengambarkan watak Lebai sedemikian rupa.

Kita tahu bahawa dalam menjelaskan tentang soal makhluk halus ini, telah Allah ingatkan pada kita bahawa ia hanyalah syaitan. Dan syaitan itu tugasnya menyesatkan anak Adam. Jadi, mengatakan Pontianak itu asalnya dari roh yang tidak aman seolah-olah seperti menafikan apa yang telah diajar oleh Allah dan KekasihNya, Muhammad SAW. Di situ kita sudah berjaya disesatkan. Ya, itu hanya cerita! Tapi filem kita mencerminkan pemikiran kita. Adalah sangat pelik di zaman moden ini bila kita lihat masih ada antara kita yang berfikiran seperti ini. Seolah-olah seperti semua perkara akan dikaitkan dengan hantu. Sakit perut pun hantu, demam panas pun hantu, hatta tertelan tulang ikan pun dikatanya pelesit yang ganggu.

Bukankah selama ini kita lantang berdemonstrasi membantah apabila orang menghina agama kita yang suci ini? Tetapi mengapa kita mengejek agama kita sendiri? Jadi, meminjam kata-kata Dr Asri bin Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis (bukan Wahhabi ya, jangan silap), "Kalau tak suka dihina, janganlah menghina diri sendiri!".