Thursday, January 27, 2011

Apartheid Di Tenang


Baru-baru ini, dalam Utusan online bertarikh 28 Jan, sekali lagi keluarnya ungkapan dari pak menteri nombor dua kita, yang menonjolkan sikap ketidak adlilan dan betapa rosaknya matlamat berpolitik di dalam negara kita.

Beliau dipetik berkata, “"Jika rakyat di sini memilih calon Pas (Normala Sudirman), wakil rakyat yang dihantar adalah pembangkang, dia ini bukan mempunyai kuasa pentadbiran, bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dijanji Pas.

"Pihak yang hanya boleh menyelesaikan permasalahan di Tenang ini adalah BN, apatah lagi dengan gandingan kerajaan negeri dan pusat," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini malam ini.

Sepertimana yang pernah ditulis sbelum-sebelum ini, maka adalah baik kiranya jikalau semua yang terlibat dalam pertarungan politik di Malaysia ini balik dan meniliti balik apakah sebenarnya politik itu. Ataupun kalian semua boleh menyemak kembali ungkapan-ungkapan yang berdegar-degar, berapi-rapi yang kalian laung-laungkan di hadapan rakyat sewaktu ceramah-ceramah sebelum ini, iatu mahu membantu rakyat.

Membantu rakyat?

Maka, tertanya-tanyalah saya, akan apakah dia sebenarnya rakyat itu. Siapakah dia yang dipanggil rakyat? Apakah kriteria-kriteria yang melayakkan seseorang itu dipanggil rakyat?

Setahu saya (correct me if i’m wrong ok?) tiadalah di dalam kriteria dan syarat menjadi rakyat Malaysia, perlulah dia itu mengundi, ataupun dalam konteks sekumpulan masyarakat di sesuatu kawasan, mestilah memenangkan parti pemerintah.

Pemerintah dipilih rakyat berdasarkan keyakinan mereka akan membantu rakyat dalam memastikan hidup mereka di sesebuah negara menjadi makmur dan dapat hidup aman damai. Keyakinan ini boleh sahaja berpindah dari satu parti ke parti yang lain. Tiada siapa yang mahu mengundi parti yang akan merosakkan negara. Tidak kiraklah siapa yang dipilih rakyat, namun bilamana mereka dipilih, maka itu secara tidak langsung menterjemahkan bahawa rakyat yakin mereka yang dipilih itu akan membawa kebaikan.

Dalam sukan tinju, setiap perlawanan dikategorikan mengikut berat peninju. Ada kategori lightweighy, middleweight, dan heavyweight, iatu yang paling seronok kita tonton. Bagaimanalah agaknya nanti kalau-kalau tiada kategori ini. Sudah tentu Manny Pacquiao akan sayur dikerjakan oleh David Haye. Dalam bertanding perlulah adil.

Akan halnya yang berlaku di Dun Tenang, nyatalah sekali adanya kepincangan dalam proses berpolitik di Malaysia. Ramai yang belum mampu membezakan apakah dia parti dan apakah dia kerajaan. Ini termasuklah kepala yang memegang kementerian Pelajaran, satu jawatan yang memerlukan hanya orang yang betu-betul berpelajaran bagi memimpin pendidikan negara.

Rakyat Malaysia diwajibkan membayar cukai. Yang tak membayar cukai itu boleh dipenjarakan. Jadi, semua yang masih hidup di luar sana, bukan di dalam penjara, menjamin dirinya sendiri dengan cukai itu tadi. Kalu tidak, mereka tidak hidup berjalan-jalan ke pasar dan ke tempat kerja, pasti di dalam penjaralah tempat beristirahat.

Dari cukai itu tadilah kerajaan mendapatkan wang untuk membiayai projek-projek kemajuan dan pemakmuran negara. Maka, sepertimana dalam syarikat, setiap pemodal mempunyai hak masing-masing atas keuntungan yang diperolehi. Setiap pemodal tidak boleh mendakwa syarikat itu hanya miliknya seorang, sebab hendak membangunkannya pun adalah dengan hasil modal dari pada pelbagai pihak.

Kita lihat banyak projek dijalankan, dan setiapnya akan terpampang papan tanda berbunyi Projek Barisan Nasional. Melainkanlah kalau hanya orang-orang Barsian Nasional sahaja yang membayar cukai, maka tiadalah maslah bagi mereka mengatakan begitu. Namun, alangkah tidak malunya berkata demikin kerana semua rakyat Malaysia adalah pembayar cukai. Maka projek yang ada itu patut ditulis Projek Rakyat. Kerajaan hanya berfunsi sebagai perantara, atau orang tengah dalam melaksanaan projek itu. Wangnya adalah wang rakyat, bukan wnag parti.

Atau sebenarnya, kerajaan ada membuat pengkelasan dan mengasingkan wang cukai itu mengikut parti si pembayar? Saya tidak tahu. Cuba tanya Rizal Meerican. Dia tahu barangkali.

Mengatakan bahawa mengundi pembangkang akan menyebabkan kesukaran dalam membawa kemajuan adalah satu ugutan. Kali ini ia adalah satu situasi yang pelik, kerana mereka yang didakwa membela Melayu telah menunjukkan sikap mereka yang sebenar, iatu mereka sebenarnya bukanlah mahu membela Melayu, akan tetapi hanyalah fungsi kewujudannya untuk memberi bantuan dan kemajuan kepada orang-orang yang sebulu sahaja dengan mereka, atau separti dengan mereka, atau orang-orang yang kononnya mengaku berjuang bersama mereka (padahal semua itu hanyalah dengan tujuan mengampu sahaja).

Kerana itu Kelantan sampai sekarang dinafikan dari mendapat pelbagai projek kemajuan sepertimana yang diperoleh oleh negeri-negeri lain di dalam Semenanjung Malaysia ini.

Tiadalah saya ini mahu memihak, atau bersikap berat sebelah, namun adalah tugas kita mengingatkan pemerintah, bahawa berlaku adil adalah apa yang dituntut dan akan dipersoalkan di akhirat kelak kepada sesiapa yang diamanahkan memegang kuasa. Setiap rakyat berhak mendapat hak mereka, tanpa mengira agama, warna kulit, mahupun fahaman politik. Itulah yang dinamakan pemerintahan Islam, yang sentiasa berlaku adil dan tidak mendiskriminasi.

Jangan marah Afrika Selatan kerana dahulunya ada mengamalkan Apartheid. Yang di Malaysia ini pun sama. Cuma di Afrika ianya sudah lama hancur dan dijatuhkan, sedang di Malaysia ini, ia sedang berjalan sejak merdeka sehinggalah ke tarikh tulisan ini ditulis.



Wednesday, January 19, 2011

Keris Dijulang, Tapi Beraninya Menghilang


Dari dahulu sehinggalah ke masa ini, kita sudah dibiasakan dengan sikap malas mahu menyelidik akan sesuatu apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi jika sesuatu fakta atau laporan itu datangnya dari sekelompok yang sudah dipanggil arif dan pakar di dalam bidang tersebut.

Gelaran pakar dan professor atau segala apa pun bukan lah satu cop mohor suci, satu sacred thing yang menyerupai nabi. Gelaran itu adalah pemb
erian manusia, berbeza dengan nabi yang jawatannya itu datang dari Sang Penguasa Alam.

Ia sama sekali tidak sama dengan gelaran Datuk. (sekarang ini ada jualan murah gelaran datuk, siapa berminat boleh telefon Sultan Sulu)
Maka, bilamana sesuatu perbincangan dan perbahasan akan sesuatu hal berlaku, maka sudah menjadi satu lumrah dan sikap yang bukan asal orang Melayu, kerana dahulunya Melayu ini bangsa terpuji, iatu melulu menerima, tanpa terdetik l
angsung untuk menyelidik hujah yang diberi.

Sikap yang semacam ini memudahkan proses yang selalu didengar sebagai 'penjajahan minda'.

Ianya sangat bijak, dilakukan penuh tersusun, untu
k memastikan semua kemungkaran yang dijadikan undang-undang dapat dijalankan penuh lancar, tanpa ada siapapun berani membuka mulut yang dengan rela sengaja dimangga dengan kunci sikap malas, termasuk oleh golongan muda dan para mahasiswa yang diharapkan akan menjadi penyambung warisan pemerintahan dan pembela masyarakat yang sebenar tanpa ada kepentingan seperti haiwan-haiwan politik yang bertarung di dalam rimba sekular itu.

Kejahatan yang terancang akan mengalahkan kebaikan yang berterabur gerakannya.

Sikap pemalas ini menjadikan akhirnya bangsa Melayu m
udah percaya dengan momokan, serta ditakut-takutkan, sedang dalam masa yang sama mendakwa mereka bangsa berani sehingga sampai ke tahap menjulang keris yang kononnya hauskan darah. Ini sangatlah menghairankan!



Peluang yang wujud dari sifat merendah diri ke tahap serendah-rendahnya, malah lebih rendah dari makhluk yang tidak berakal, membuka peluang kepada sesetengah manusia yang tamakkan kuasa bagi mencorakkan kehidupan rakyat m
engikut kehendak nafsu mereka.

Dalam hal ini, masyarakat ditakutkan agar sama sekali tidak mencampuri urusan politik, kononnya ianya kotor dan penuh dengan tipu helah.

Ditambah pula dengan kewujudan insan yang kita tahu memang ikhlas memperjuangkan agama, namun tidak langsung punya agenda memartabatkan politik sebagai salah satu kurikulum perjuangan, dengan alasan politik akan memecahbelahkan kesatuan umat.

Ini secara jelasnya adalah hujah yang dangkal dan memalukan dari pengikut sebuah manhaj yang diciptakan dengan sifat lengkap dan mencakupi semua hal kehidupan manusia, dari bangun tidur sewaktu tidur pun ada panduan yang divberikan.

Memalukan. Anda mengaku Islam, tetapi tidak mahu mencampuri politik. Ini perbuatan yang merendahkan martabat agama Islam dan perjuangan menegakkannya.

Perlulah mereka-mereka ini balik, dan merajin-rajinkan tangan menyelidik buku-buku agama, akan apa dia maksud 'zalim'.

Memanglah diakui bahawa politik sekarang ini kotor. Ianya adalah kerana politik tadi dipandang dari pandangan pihak sekutu syaitan, iatu barat.

Janganlah bersikap sinis dan mengatakan saya berkata sesuatu yang lapuk bilamana disebutkan tentang agenda barat, konon ianya dikatakan atas dasar emosi dan sikap dengki akibat gagal menandingi barat. Sememangnya wujud kelompok yang menafikan teori2 konspirasi seperti ini. Perkara nombor satu kelemahan umat Islam sememangnya adalah sikap umat itu sendiri. Namun, faktor perancangan licik penuh teliti barat beserta sokongan tali barut dari kalangan umat juga merupakan faktor yang turut sama menyumbang.

Jadi dalam sisi pandangan barat yang diguna pakai oleh sebahagian umat ini, politik ialah medan kuasa. Dalam sisi pandangan itu, segala yang berkait rapat dengan politik ialah perkara-perkara yang berkisar darihal mendapatkan, menggunakan, dan mengekalkan kuasa. Baca The Prince dari Niccolo Machiavelli.

Politik yang sebenar (bila dikatakan sebenar, bermaksud secara Islamnya), ialah ilmu pengurusan hal ehwal ummat. Apa-apa perkara yang kena mengena dan bersangkut paut dengan kesejahteraan umat, maka itu dikira politik. Mendapatkan kuasa bukan tujuan utama berpolitik.

Ummat ialah tujuan utama.

Bila masyarakat sudah berjaya ditakut-takutkan dengan konsep dosa dan neraka yang diputarbelitkan, maka menjadilah mereka golongan yang takut mencampuri hal ehwal politik (a.k.a pengurusan ummat).

Kemudian, di akhirnya, hanyalah tinggal sekelompok golongan gila kuasa untuk merebut tempat2 kosong dalam pemerintahan negara.

Golongan2 semacam ini perjuangan mereka tiada fikrah. Rakyat tiada tempat dalam penentuan hala tuju negara. Yang ada ialah sayrikat kroni, dan saham2 asing yang menyeludup masuk secara sembunyi2 bagi menguasai kepentingan2 strategik dalam negara kita.


p/s: Ini tulisan selepas lama menyisih diri dari menulis. Bebanan kerja, termasuk kelas, lebih2 lagi di Clinical Year, haha, kalau sempat menulis tu pun sudah dikira rezeki.




Friday, December 24, 2010

Sang Buta IT Berkisah Darihal OS


Sememangnya, manusia itu diciptakan bukanlah sekadar main-main. Kerana itu, diciptakan sekali apa yang dipanggil sebagai fitrah.

Umpama sebuah komputer, ia tidak akan berfungsi kalaulah ianya tidak dilengkapi dengan sistem pemprosesan, atau yang kita panggil dalam PPSMI sebagai OS (Operating System). Maka dengan OS itulah, maka komputer itu akan dapat kita arahkan kepada tujuan sebenar penciptaannya, iatu membantu kerja-kerja seharian manusia.

Maka, komputer yang tidak mengikut fitrahnya, iatu bilamana ia tidak mampu lagi mengikut apa yang telah diprogramkan oleh OS tadi, maka hilanglah manfaat dan erti kewujudannya.

Komputer tanpa OS hanyalah sebuah besi buruk, yang tidak lain hanyalah sumber rezeki bagi Mat Pit mencari wang saku tambahan.

Maka, fitrah yang diciptakan Tuhan untuk kita, adalah boleh kita umpamakan seperti OS itu tadi.

Jangan salah. Ini hanya sebagai contoh. Terdapat banyak bezanya antara ciptaan Tuhan dengan hasil ciptaan tangan manusia.

Kita lihat bahawa OS itu tadi ada bermacam jenis. Bill Gates datang membawa idea OS Windowsnya. Kemudian Steve Jobs muncul memperkenalkan Mac. Dan saya pasti yang sahabat-sahabat yang serba bijak dalam hal-hal IT dan perkomputeran tentu sahja pernah mendengar tentang Linux.

Nama-nama fancy di atas (cuba siasat, jangan-jangan disebalik nama itu ada muslihat Yahudi untuk memesongkan akidah kita. Tak takut kerrr??), adalah senarai sistem-sistempemprosesan yang wujud untuk memandu arah sebuah set besi buruk yang dipanggil Komputer ke arah menjadi set besi yang penuh dengan manfaat dan kenikmatan buat yang berjiwa muda. (bukan yang saudara fikirkan. Saya bercakap tentang kenikmatan lain. Misalnya PES2011)

Setiap kompueer terbuka untuk menggunakan apa sahaja jenis sistem pemprosesan yang ada. Kita sendiri kebanyakannya sudah terbiasa dengan Windows. Namun, kita boleh sahaja untuk beralih arah ke arah OS yang baru, sesuai dengan kemahuan kita.

Maka, adakah terdapat perbezaan di antara setiap OS tadi?

Jawapannya sudah tentu ya.

Setiap produk OS di atas, masing-masing punyai kekuatan dan kelemahan sendiri. Tidak perlulah saya susah payah senaraikan ia semua di sini. Kita wujud di zaman di mana adanya makhluk bernama Wak Yahoo dan Lebai Google, maka saudara-saudari bolehlah sendiri-sendiri mencari kekuatan dan kelmahan produk yang kita gunakan sekarang ini. (Tapi, saya sayangkan Windows.)

Saya ambil satu contoh. Bukan semua OS yang wujud itu sesuai untuk semua komputer. Ma c misalnya, lebih sesuai di gunakan untuk Macintosh. Adalah pelik jika komputer Acer saya menggunakan Mac sebagai sistem pemprosesannya. Tentu saya sekarang ini akan terkial-kial mencari installer permainan komputer yang sesuai dengan Mac. Ah, karut!

Umpama kejadian dan penciptaan kita. Bahwa kewujudan kita di alam ini di datangkan dengan satu pakej khas, iatu sebatang tubuh, dan sebuah sistem pemprosesnya, yang kita namakan sebagai fitrah.

Dan fitrah itu hanya ada satu bagi setiap makhluk. Bermakna, Tuhan jadikan bagi setiap makhluk, hanya satu fitrah khas yang cukup sesuai dan compatible dengan makhluk tersebut.

Bilamana manusia sebagai contohnya, mula mengambil fitrah lain sebagai pemprosesnya, maka pastilah akan kacau bilau kehidupan.

Mengingkari fitrah, bermaksud manusia tadi tiadalah nilainya sebagai hasil ciptaan yang mulia, sebaliknya hanya sekadar satu bekas batang tubuh yang kalau dalam contoh komputer tadi dipanggil besi buruk, maka dalam konteks manusia, harus layak digelar apa?

Apakah kita sekarang hidup dalam fitrah sepatutnya?



Thursday, December 16, 2010

Diam-diam Kena Rompak


Tulisan ini ada 3 siri. Baca yg ini, kemudian yg kedua, lepas itu baru baca yg ketiga. Kalau lompat dari 1 terus ke 3, takkan faham. Ingat ini Ibrahim Ali ke nak lompat-lompat?!

Merompak ialah satu jenayah, dan mereka yang bertanggungjawab menjadi perompak ini sememangnya adalah tergolong dari kalangan yang dikategorikan sebagai ‘malaon’ dan sampah masyarakat.

Tiada siapa pun suka atau mahu dirompak oleh para ‘malaon’ dan sampah masyarakat ini.

Namun, saya ingin memberi amaran di sini, bahawa sekarang ini, pada ketika saudara-saudari membaca tulisan ini, satu rompakan pada skala besar-besaran sedang mengambil tempat.

Maka, siapa yang dirompak? Siapa malaon yang merompak ini?

Jawapan untuk soalan yang pertama iatu siapa yang sedang dirompak, ialah kita, saya , dan saudara-saudari semua.

Soalan yang kedua kita simpan sehingga penghujung tulisan.

Sabar. Jangan terus melatah dan menuduh saya ini gila atau meroyan. Beri saya peluang untuk menjelaskan ini sehabis baik, supaya semua orang dapat memahami keadaan dan jenayah rompakan ini yang melibatkan kita sebagai mangsa. Maafkan saya kerana tidak memberi amaran ini secara terang-terangan. Ini kerana jenayah rompakan ini berlaku secara sembunyi-sembunyi, maka kalaulah saya menjerit-jerit umpama dalam filem, “Tolong! Tolong! Ada perompak!”, maka besar kemungkinan keesokan harinya saya pasti bermalam di wad psikiatrik Hospital Sungai Buloh.

Jadi, bagaimana rompakan senyap-senyap ala Kassim Baba ini berlaku?

Begini.

Kita menyimpan duit di dalam dompet, atas sebab-sebab keselamatan, supaya ia terjaga dan tidak mudah terjatuh lalu kemudiannya dibawa lari orang. Kerana kita seorang yang mahu berjimat, maka suatu hari kita menyimpan RM100 yang baru dikeluarkan dari bank ke dalam dompet. Kita hanya melihat, dan memegang wang itu, tanpa membelanjakannya, dengan harapan wang RM100 itu akan berguna suatu hari nanti di saat kecemasan. Contohnya, jika tiba-tiba terpaksa membeli sebuah Ipod.

Kita menyimpan wang itu selama setahun, dan disebabkan kita adalah insan yang berazam tinggi dan terkenal dengan istiqamahnya, maka selama setahunlah wang itu tersimpan rapi, tanpa diusik-usik dari dalam dompet itu.

Di sini saya mahu timbulkan soalan yang keluar sedikit dari logik matematik. Sememangnya, wang kertas RM 100 yang disimpan itu, masih lagi kekal dalam bentuk asalnya berupa sehelai kertas yang tertulis nilainya ringgit Malaysia 100. Tiada bezanya. Gambar KLCC yang tertera di dalam wang RM100 itu akan tetap berupa KLCC, dan tidak akan bertukar menjadi gambar Bangunan Warisan 100 tingkat (kalau tak tahu apa itu bangunan warisan 100 tingkat, pergilah bertanyakan pada Lebai Google).

Namun, adakah kuasa beli RM 100 itu, setahun yang lalu, akan sama dengan tahun ini?

Jika tahun ini, RM 100 mampu digunakan untuk membeli 4 kampit beras gred Super Special Tempatan dengan 5% beras hancur, maka, setahun yang akan datang, berapa kampit yang mampu kita perolehi? Jika hari ini Mak Lemah dari Felda Kota Tinggi mahu membeli RM 15 minyak masak untuk menggoreng ikan kering yang menjadi satu-satunya hidangan buat keluarga mereka yang miskin itu, maka, adakah tahun yang akan datang, sewaktu jumlah anak mereka telah bertambah dari dua kepada empat (dia mungkin mendapat kembar tahun ini), wang RM 15 itu cukup untuk minyak masak itu, dengan jumlah dan kandungan khasiat, dan kolesterol yang sama?

Hanya orang yang belajar melalui pengalaman sahaja akan mengatakan jawapannya tidak. Berbeza dengan golongan elit dan aristokrat yang memandang minyak masak sebagai perkara yang kecil. Mereka lebih memandang nilai minyak urut di pusat-pusat urut merata kota sebagai perkara yang lebih bernilai dan menghairahkan.

Adakah saya gila? Buktinya terbentang nyata. Sememangnya kita sedang dirompak saban hari tanpa ada siapa pun menyedari.

Bagaimanakah jenayah ini berlaku sebegitu licik, sehinggakan warga, termasuk ‘haiwan-haiwan’ politik yang sedang bertikam lidah itu, tidak dapat melihatnya? Apakah modus operandinya?


bersambung




Sunday, December 5, 2010

Syukur Bukan Bermaksud Duduk Diam




Antara pendekatan, dan cara tipikal, yang akan digunakan oleh ramai manusia, apabila memperkatakan tentan konsep syukur, ialah dengan cara melakukan perbandingan. Kerana konsep syukur itu sesuatu yang sangat mudah difahami dari permukaannya, namun ia sesuatu yang sukar untuk dijiwai dari segi rohnya.

Maka, penggunaan cara perbandingan sering menjadi pilihan oleh ‘penceramah-penceramah’, atau yang-yang berhormat agar rakyat faham erti syukur.

Apakah yang dikatakan ‘cara perbandingan’ itu?

Cara ini dilaksanakan dengan melakukan perbandingan antara kedudukan kita, dengan kedudukan orang yang jauh lebih buruk keadannya. Atau, dengan kata mudahnya, ayat-ayat seperti berikut :

“Kita perlu bersyukur. Lihatlah keadaan rakyat di Somalia sana, yang tidak cukup makannya”

Kalau bilamana Israel menggila sekali lagi,

“Kita rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dapat hidup aman damai, sedang saudara-saudara kita di Palestin bumi mereka bergegar dengan bom. Maka, seharusnya kita bersyukur..”

Islam sendiri sememngnya menganjurkan kita melihat keadaan orang yang lebih sukar keadaanya daripada kita, supaya kita akan lebih menjiwai konsep kesyukuran itu. Kerana itu, saya tidak menentang cara yang digunakan, kerana ia sememangnya diguna pakai sebagai salah satu kaedah yang berkesan dalam mendidik rohani kita yang selama ini diulit kemewahan.

Namun, masalah berlaku apabila penggunaan cara perbandingan itu telah akhirnya menyebabkan sebilangan pihak menjadi salah faham dengan konsep ‘SYUKUR’ itu.

Kerana sejak akhir-akhir ini, hujah ‘BERSYUKUR’ telah menjadi satu alasan dalam berlepas diri dari menentang kezaliman yang berlaku di hadapan kita.

Ini boleh kita namakan ‘counterback action’.

Maka, untuk itu, elok kiranya kita melihat kembali bagaimana konsep ‘SYUKUR’ , dan saya lebih selesa jika ia difahami melalui amalan ‘BERPUASA’. Biarpun agak terlewat (kita sudah beberapa bulan meninggalkan ramadhan), namun saya kira tidak salah jika ia disingkap kembali.

Antara sebab mengapa kita berpuasa, ialah untuk mengenang nasib para fakir yang hidup mereka jauh lebih sukar dari kita. Maka, di suruh oleh Tuhan, agar kita sama-sama berlapar dan dahaga sepanjang hari, supaya penghayatan kita kepada kesusahan yang dialami mereka akan jauh labih dalam meresapi ke lubuk rohaniah yang selama ini terbiasa dengan kenyang sampai tidak larat rukuk.

Jadi, ‘SYUKUR’ itu, dalam konteks berpuasa, ialah bukan sekadar kita duduk diam meratib ‘alhamdulillah’ sampai berayun-ayun ekor serban, atau duduk selesa di rumah, menghayati nikmat kemudahan yang diberikan Tuhan, tanpa memperjuangkan nasib golongan fakir yang sengsara itu, dengan alasan bahawa jika kita bangun melawan kezaliman yang diadakan kepada fakir-fakir tadi, itu bermakna kita tidak bersyukur terhadap nikmat kesenangan yang kita perolehi.

Atau mahukah kalian saya surahkan kisah Mus’ab bin Umair?

Mus’ab bin Umair ra ini salah seorang sahabat nabi yang terpilih. Dahulunya dia ini, sebelum memilih Islam sebagai pegangannya, hidup dalam lingkungan kemewahan yang tiada bandingannya.

Dikatakan bahawa setiap kali dia berjalan di pasar-pasar, setiap mata akan terhenti dan asyik memandang beliau. Bajunya adalah dari kain yang terbaik, dan wangiannya dari jenis yang paling mahal dan semerbak sekali bauannya. Sejak dari kecil lagi dia dipelihara dengan segala macam kemewahan oleh keluarganya.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata :

"Tidak seorangpun lebih tampan di Makkah daripada Mus'ab. Tidak ada orang di kota itu lebih baik pakaian dan diberi makan dari Mus'ab Tidak. Tidak ada anak dibesarkan dengan kasih sayang dan cinta lebih dari dia"

Namun, akibat dari memilih Islam, maka dari keadaan yang mewah tadi, dia bertukar menjadi seorang yang sangat sukar kehidupannya.

Kenapa saya memilih kisah beliau? Ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menitiskan air mata dari wajah baginda yang mulia apabila mengenangkan nasib yang dialama Mus’ab. Sehinggakan pada waktu syahidnya beliau di medan Uhud, jasadnya tidak dapat ditutp dengan sempurna disebabkan ketiadaan kain. Begitulah daifnya beliau pada ketika itu.

Adakah kita boleh mengkategorikan Mus’ab sebagai insan yang TIDAK BERSYUKUR?

Bukankah dia tidak sepatutnya melawan, sebaliknya ‘BERSYUKUR’ sahajalah dengan kemewahan yang ada itu?

Sahabat-sahabat, bahawasanya bersyukur itu bukanlah bermaksud kita redha dengan segala apa yang berlaku, dengan alasan ada orang lain yang hidupnya lebih sukar dari kita.

Sebaliknya, bersyukur itu kita bangun dan cuba merubah keadaan menjadi lebih baik dari sedia ada.

Barangkali, mungkin para pemuka Quraisy pada waktu jahiliah dulu akan mengatakan perkara serupa sepertimana yang dikatakan oleh sebilangan pihak :

“Mus’ab, kamu sepatutnya bersyukur denga n segala nikmat kemewahan yang telah kamu perolehi dari orang tuamu, sejak dari kecil lagi. Kamu tidak bersyukur, kerana kamu ingkar akan kedua orang tuamu yang selama ini memberi segala macam subsidi, dari makan, minum, perubatan, dan ‘minyak’ wangi”


Saturday, November 20, 2010

Erti Takbir Bagi Sang Kapitalis

Ini artikel lama sempena raya.


Untuk setiap kali hari raya, kedua-duanya, iani aidiladha dan aidilfitri, adanya satu perkara yang paling menyentuh jiwa saya, iatu waktu laungan takbir.

Bila saya katakan menyentuh jiwa, amatlah besar keyakinan saya, bahawa ramai yang memikirkan babak-babak yang sering di lihat di dalam siaran drama-drama tipikal hari raya, iatu, babak menangis di pagi raya kerana terlalu terharu mendnegarkan alunan takbir mendayu-dayu. (biasanya, akan diikuti pula dengan babak ibu atau ayah sedang termenung di muka pintu, sambil mengesat-ngesat air mata yang mencurah-curah memeikirkan anak yang tidak pulang-pulang. Kata Dominic, teman saya : Ini tipikal filem Melayu)

Namun, sentuhan yang menyentuh jiwa yang dimaksudkan bukanlah sentuhan kesedihan yang meruntun jiwa, lantas memaksa terbitnya titik-titik jernih air mata jantan.

Takbir itu, sebaliknya, pergi ke satu daerah penuh bergelora dan bergelojak di hati, lalu umpama fius, terus sahaja ia menyemarakkan api yang telah lama terpendam dan menanti masa untuk meluahkan ledakan penuh berapinya.

Apakah daerah itu? Itulah dia daerah 'SEMANGAT MELAWAN'.

Melawan untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan mutlak yang sebenar lagi hakiki.

Ya, takbir itu sendiri sememangnya membawa maksud dan semangat kebebasan dan kemerdekaan. Malangnya, ramai yang tidak menyedari hakikat ini, lantas hanyut dibawa kesayuan hati sambil dibuai nostalgia-nostaligia sedih zaman silam, sewaktu alunan mendayu takbir dilaungkan. Perlu di jelaskan dengan terang dan nyata di sini, bahawa bukanlah saya ini mengkritik tangisan di pagi raya. Namun, apalah gunanya tangisan itu jika ianya hanya sekadar tangisan sedih kerana tidak dapat pulang beraya, ataupun apa-apa sebab musabab lain yang tidak sempat saya fikirkan di sini. Adalah tidak sama tangisan antara dua individu, di mana seorang menangis kerana takut mengenangkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT, dengan yang seorang lagi kerana teringatkan arwah ayahanda yang tidak dapat turut sama beraya pada tahun ini.

Seseorang yang bertakbir, perlulah dia menyelidiki dalam-dalam akan maksud sebenar apa yang ditakbirkan itu, bukan sekadar bertakbir kerana ikut-ikutan, ataupun disebabkan kerana terpaut pada enaknya irama takbir ala Malaysia. Bilamana kita bertakbir, maka kita akan mengatakan bukan setakat di mulut, malahan di hati, bahawasanya ALLAH MAHA BESAR, dan tiada kekuasaan lain yang lebih besar dariNYA, lalu kita dengan sepenuh hati dan rela diri, tunduk hanya kepada Dia Yang Esa.

Bermaksud, kita telah mengisytiharkan diri kita telah bebas dari segala macam perhambaan yang wujud, samaada kepada nafsu, harta, ataupun manusia, kepada perhambaan hanya pada Allah SWT.

Namun, amatlah menyedihkan sekali, bahawa ramai sekali manusia yang bertakbir, namun pada masa yang sama, dengan rela hati, melacurkan diri dan menghambakan diri pada 'Tuhan-Tuhan' buatan yang wujud di dunia ini.

Penerusan sistem kapitalis, sebagai contoh, secara tidak sedar telah meletakkan manusia ke dalam satu sistem perhambaan yang halimunan. Sistem inilah yang bertanggungjawab menonjolkan sifat kesyaitanan di dalam diri seseorang insan, iatu sikap ketamakan dan materialistik.

Seorang budak, jika diberikan sebiji gula-gula, maka dia pasti mahukan dua. Kemudian empat, dan seterusnya. Sifat ini sepatutnya menjadi satu sifat yang tersembunyi, ataupun tersisih, dari menjadi sifat karekteristik seorang manusia. Umpama minyak hitam yang tersimpan jauh di dalam tanah di bawah dasar laut, yang bilamana minyak hitam yang sepatutnya tersembunyi itu, tiba-tiba naik ke permukaan air, maka ia sudah pasti akan mengotorkan, dan mencacatkan permukaan laut itu. Kemudian, banyaklah ikan-ikan, dan burung-burung yang mati teraniaya dek kerana kebocoran yang terjadi.

Bilamana sifat tersembunyi yang tersimpan itu, tiba-tiba naik ke 'permukaan' diri kita, maka bukan sekadar ikan dan burung, tetapi akan ramai insan dan makhluk yang akan teraniaya dek kerana ketamakan kita.

Dan sememangnya, ketamakan ialah rukun iman kepada sistem kapitalis yang sedang dianuti ramai pada waktu ini, tanpa kita sedari.

Seorang penganut kapitalis sememangnya tidak akan menyedari bahawa dia sedang menganuti satu fahaman songsang, sesat, lagi menghancurkan, yang telah banyak membawa penderitaan kepada umat manusia.

Seperti yang saya katakan dahulu, mereka mungkin sahaja pergi menunaikan haji di Makkah yang mulia, atau solat berjemaah bersama-sama, serta telahpun bersunat (berkhatan), namun akidah yang dianuti bukannya Islam, tetapi akidah songsang kapitalis yang berpaksikan dan bertunjangkan pembangunan materialistik sebagai inti utama kemajuan manusia.

Mulut mereka membaca Al Quran, namun hati mereka membaca kitab Darwin yang memberikan justifikasi Sains akan keharusan sikap tamak ini.

Batang tubuh mereka mengahadap kaabah sewaktu solat, namun batang tubuh rohani mereka menghadap ke arah sang Imperialis Amerika sebagai kiblat utama sistem kapitalis moden.

Bunyinya keras, namun saya tegas dalam berpendapat, bahawa bilamana rumah yang saya duduki sedang terbakar, dan warga-warga rumah itu tidur lena dan tidak menyedari mereka sedang perlahan-lahan menjadi 'kambing golek', maka tidak seharusnya saya mengejutkan mereka dengan hanya berbisik lembut dan manja-manja ala Mat Sotong , "Sayang..bangunlah..rumah kita tengah terbakar ni..Jomlah..". Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah menjerit dan melaungkan amaran dengan keras agar terserlah ketegasan dalam amaran, supaya warga rumah itu akan terjaga dari tidur dan sekaligus menyedari bahawa mereka sedang menuju ke arah kehancuran.




Tuesday, November 16, 2010

Story Telling Session Raya Korban Special : Pengorbanan Seorang YB




Malam kelmarin, merupakan malam pencetus perubahan pada pemikiran YB Azmil. Kalau tidak kerana ceramah malam semalamlah, sudah tentu dia masih lagi teraba-teraba tentang maksud sebenar pengorbanan. Dia yang pada mulanya malas-malas mahu ke ceramah Aidal Adha anjuran Biro Pemuda Parti Kerusi Nasional, dan lebih cenderung untuk bersenang-senang di rumah dengan isteri mudanya (mereka baru sahaja diijabkabul minggu lepas), kemudian tetap pergi semata-mata mahu menjaga air muka di hadapan penyokong-penyokongya, akhirnya men gakui betapa ceramah-ceramah seperti itu sungguh mengesankan kalbunya yang sudah lama layu tidak disirami air jernih ilmu agama.

Dia ingat lagi kata-kata Ustaz Sani,

"Pengorbanan itu hanya bila diri sanggup disusahkan demi untuk kesenangan yang lain. Rela dipayahkan, malah kalau pada tahap yang paling tinggi sekali, nyawa pun sanggup jadi taruhan. Bukan pengorbanan namanya kalau tidak temui kesusahan,"

Entah bagaimana dia temui keberanian untuk bertanya pada Ustaz Sani pada malam itu. Ataupun, kalau dia selidik lagi dalam-dalam, jauh di lubuk hatinya, niatnya bertanya soalan itu bercampur baur antara jahil tentang konteks pengorbanan, dan juga niat mahu menunjuk-nunjuk keperihatinannya akan nilai-nilai agama.

"Jadi Ustaz, bagaimana saya, dalam konteks seorang pemimpin (perkataan pemimpin itu dikeraskan sedikit, sampai berdengung mikrofon surau), mahu berkorban untuk rakyat? Saya rasa saya sudah cukup berkorban," tanya beliau lantang kepada Ustaz.

" Kalau saya berkorban sampai terkorban, siapa pula yang akan memimpin rakyat mukim ini?" tambahnya lagi separuh melawak, sambil di sambut gelak ketawa juak-juaknya yang penuh memenuhi surau kariah Hadhari. YB Azmil memang sentiasa melawak, dan kerana itu dia disenangi rakyat mukimnya.

Ustaz Sani, tenang menjawab,

"Akan hal nya pemimpin, mereka itulah dalam kalangan insan-insan yang ada, merupakan individu yang paling banyak punyai peluang untuk berkorban. Tiada insan yang lebih banyak berkorban, melainkan yang namanya pemimpin," jawab Ustaz Sani.

YB Azmil kembang semangkuk hidungnya. Perkara ini memang disedari oleh pengikut setianya, Nuar yang duduk jauh di belakang saf.

"Namun, tidaklah dinamakan berkorban, jika pemimpin itu tidak mahu meletakkan dirinya dalam jerit perih hidup rakyatnya. Perlulah pemimpin itu, denyut nadinya sama dengan denyut nadi rakyat, bermakna dia haruslah dalam-dalam menyelami dan menghayati akan kepayahan rakyatnya. Dia sendiri, perlu sama-sama hidup susah, jika rakyat hidup payah, seperti dua orang Umar yang terkenal itu," Ustaz Sani menambah.

"Umar? Pak Umar Ronggeng itu kah?" YB Azmil tertanya-tanya.

"Lihatlah kisah Umar Al Khattab dan Umar Abdul Aziz,"Ustaz Sani menyambung, seolah-olah dapat membaca persoalan di hati YB.

" Mereka itulah tauladan paling nyata, model paling selamat untuk diikuti oleh pemimpin-pemimpin yang bercita-cita untuk berkorban. Pendek kata, peranan pengorbanan pemimpin hanya akan tercapai, jika rakyatnya hidup senang, tanpa dipedulikan sedikit pun jika dirinya sendiri (pemimpin), dalam keadaan susah sekalipun. Sesungguhnya seorang pemimpin tiada langsung kelebihan taraf di atas rakyatnya, melainkan perbezaan kedua golongan ini ialah, yang satunya mempunyai beban yang maha berat berbanding yang satu lagi." Panjang lebar Ustaz Sani mengulas.

Balik dari ceramah itu, YB Azmil tidak dapat tidur. Setiap kata-kata Ustaz Sani tidak henti-henti bermain dalam benak pemikirannya.

Berkorban

Terkorban

Berkorban

Terkorban

Untuk Rakyat

Berkorban

Terkorban

Keesokan harinya, kariah Hadhari digemparkan dengan berita kematian YB Azmil. Semua orang terkejut, sedih, dan ada yang meraung-raung dek kecewa yang amat sanagt. Masakan tidak, YB Azmil memang sangat dikenali sebagai seorang YB berjiwa rakyat (beliau kerap mengacau bubur lambok dengan penduduk kariahnya), berjiwa penyayang (selalu mendukung anak kecil di mana-mana majlis yang dihadirinya), dan berjiwa patriotik (setiap kali lagu Negaraku, dialah yang paling tegak berdiri).

Isteri-isterinya yang berdua itu tidak henti-henti mengalirkan air mata, sampai merah-merah, kerana baru sahaja kehilangan seorang lelaki yang berjiwa paling romantis. Di pukul-pukul lantai, disepak-sepak barang-barang , diraung-raung sampai bergegar rumah, sehingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa orang wanita.

Yang sebenarnya, sekali lagi, jika perkara ini di selidik mereka dalam-dalam, jauh di lubuk hati mereka, tangisan itu bercampur baur, antara rasa sedih akan kematian suami tersayang, beserta dengan rasa terkilan yang amat sangat kerana YB Azmil tidak meninggalkan apa-apa wasiat tentang pembahagian harta beliau.

Apa yang ada hanyalah sekeping nota kecil, ditulis di atas keratan surat khabar lama. Pendek nota itu, bertulis kemas-kemas :

'Berkorban Untuk Rakyat'

Tidak lama kemudian, sekali lagi kariah itu digegarkan dengan kempen Pilihan Raya Kecil untuk memilih pengganti YB mereka yang telah pergi itu. Sekariah bagai berpesta, dengan pelawat-elawat yang datang memenuhi tempat itu dalam tempoh berkempen. Dari pemipmpin negara,beserta ketua pembangkang, datang menabur janji-janji kemajuan yang akan dibawa.

Belum pun lagi hari pengundian sampai, seluruh kariah telah berubah wajah menjadi semakin indah, laksana sebuah negeri penuh makmur, yang selalu dikisahkan dalam 'Fairy Tale' orang-orang barat.

Jalan berlubang semua berturap,

Jambatan goyah diganti besi setiap,

Yang miskin tak berbaju mendapat batik,

Yang lapar tak makan mendapat ringgit,

Semua gembira , semua bersuka,

Projek mari berlori-lori,

Rakyat lah raja, rakyatlah tuan,

Kami pemimpin menurut perintah

Begitulah bahagianya rakyat kariah sepanjang tempoh kempen pilihanraya itu. Mereka ditatang, diarak pemimpin, bagai minyak panas yang sedang penuh. Berbagai-bagai projek segera memenuhi tempat itu, dari komputer riba untuk anak-anak kampung (senang muatturun porno) , sampailah kepada kerja-kerja menurap jalan. Sehinggakan pada suatu tahap, jalan kampung itu menjadi sesak dengan kehadiran berbagai-bagai badan jentera parti-parti bertanding datang memberi laba demi memikat hati-hati mereka.

Pendek kata, kematian YB Azmil betul-betul mendatangkan rahmat kepada semua penduduk kariah Hadhari.

Sememangnya, YB Azmil telah berkorban.