Monday, May 23, 2011

Beban Puak Keris


Seringkali senjata paling ampuh yang digunakan untuk memburuk-burukkan kepimpinan Islam, khususnya di Kelantan, ialah dengan tuduhan bersabit dengan kemajuan. Berbagai tuduhan, dari kualiti jalanraya, keadaan rumah-rumah penduduk, dan sebagainya kerap dimainkan pihak media apparatus pemerintah, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya.

Mari kita tolak dahulu perbincangan mengenai sebab-sebab Kelantan menjadi tidak ‘maju’ itu, kerana nanti perbincangan ini akan berkisar kepada pengkhianatan konsep federalisme, rompakan subsidi minyak milik rakyat, dan sebagainya.

Kalau ditanya pada orang-orang yang menghunus keris dan melaungkan perang salib itu (you know who), apakah sebab mereka mahu memerintah negeri Kelantan, maka jawapan mereka ialah kerana mahu membela nasib rakyat Kelantan yang disifatkan hidup susah di bawah kepimpinan ulama.

Hujah pembebasan mereka ini menyerupai teori Beban Orang Putih / White Man’s burden yang dipelopori puak imperialis dan kapitalis dari Barat diwaktu era penjajahan dahulu. Kaum Eropah menggunakan hujah ini untuk menghalalkan penaklukan mereka ke atas tanah-tanah jajahan serata dunia.

Lantas diterapkan ke dalam jiwa-jiwa rakyat dalam negara yang dijajah, bahawa cara hidup yang mereka pegang selama ini adalah tidak bertamadun, dan apa yang dibawa penjajah itulah sebenarnya tamadun. Sifat bersederhana dalam pemilikan harta adalah tidak bertamadun, sebaliknya sifat berlumba-lumba dan persaingan dalam mengumpul harta kekayaan adalah petanda kemajuan.

Natijahnya, kemajuan dalam erti kata Barat yang dibawa masuk ke dalam tanah-tanah yang dijajah itu bukanlah bertujuan untuk memajukan anak bangsa penduduk asal negeri. Kemajuan yang dibawa itu adalah senjata, racun, dan ‘candu’ , untuk memudahkan mereka dalam mengekploitasi segala hasil mahsul bumi jajahan. Segala mesin-mesin yang canggih, besar sehingga mengakibatkan anak-anak kecil terkencing ketakutan dengan bunyinya yang bingit dan mengerunkan, bukanlah untuk menjadikan negara itu negara yang maju, sebaliknya untuk memudahkan mereka memunggah kekayaan ke negeri masing-masing.

Realitinya, penjajahan yang beratus tahun, di mana masyarakat Melayu khusunya dipinggirkan dan dibiarkan menjadi miskin, telah berjaya menjadikan mereka golongan yang cepat kagum dan terpengaruh dengan kemajuan kebendaan. Terlalu lama di dalam kepuk kemiskinan dan perhambaan sesama manusia menyebabkan mereka menjadikan gaya hidup kaum yang lebih superior pada waktu itu iatu British sebagai petanda kemajuan.

Dalam kata mudahnya, mereka diam-diam menjadikan gaya hidup British itu sebagai ‘idola’ dan impian mereka. Inilah yang dikatakan Ibnu Khaldun sebagai teori minda kaptif atau minda terjajah, di mana sesuatu bangsa yang lama hidup inferior di bawah kekuasaan sesuatu bangsa lain, akan menjadikan mereka bangsa yang memandang bangsa penjajah dan cara hidup mereka sebagai yang terunggul.

Jika kita tidak mampu mengalahkan, sekurang-kurangnya kita menjadi setanding, begitulah tanggapan mereka. Maka, mereka melihat dan mereka pun meniru. Malang sekali, mereka akhirnya terperangkap dengan mainan penjajah. Penjajah yang menjadikan materialistik sebagai tujuan kemajuan, telah berjaya mengeheret sekali pihak-pihak pengkagum mereka dari kalangan bangsa yang dijajah untuk meniru mereka.

Inilah caranya bagaimana ideologi kapitalis terus berkembang sampai ke hari ini. Kemajuan yang sepatutnya dibina atas dasar takwa dan iman, telah diberi takrifan yang salah oleh mereka-mereka yang mindanya telah dijajah.

Lukisan Anak-anak

Anak-anak yang masih di sekolah telah menjadi mangsa keadaan. Kalaulah mereka itu ditanya tentang bukti-bukti kemajuan, maka terus akan dijawab dengan gambaran Menara Bekembar Petronas, litar formula one Sepang, Carcosa Seri Negara (sejak Utusan berubah menjadi akhbar porno, maka anak-anak kita telah ingat nama ini), dan sebagainya. Lihat sajalah hasil-hasil lukisan mereka bila disuruh menggambarkan keadaan negara di tahun 2020 (contoh soalan pendidikan seni sewaktu aku sekolah dahulu). Anak-anak ini akan lantas melukisgambar bangunan-bangunan yang pelik-pelik bentuknya, kereta yang sudah tidak menyerupai kereta (sudah macam jet power rangers rupanya), dan manusia-manusia yang sedang berjalan dengan pakaian yang layak dipakai makhluk asing. Ternyata sekali mereka memandang kemajuan itu bermaksud kehidupan yang penuh dengan teknologi dan manusia tidak perlu susah-susah mahu bergerak, hanya dengan menekan satu butang, semua urusan akan selesai.

Kasihan, tiada gambar pokok pun di dalam lukisan mereka. Mungkin kerana itu apabila mereka dewasa, habis pokok-pokok dan hutan-hutan ditebang, sehingga terjadilah bermacam malapetaka seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Aku pasti bermimpi kalau-kalau aku melihat, dalam lukisan mereka itu, dilukiskan gambar saf solat yang rapat dan penuh melimpah keluar masjid, atau gambar anak-anak mencium tangan ibubapanya. Alangkah baiknya kalau begitu, kerana itulah sebenarnya takrifan kemajuan dalam Islam! Kemajuan yang lebih mementingkan kepada perkembangan sahsiah dan perhubungan sosial sesama manusia. Apapun, realitinya, pengajaran mengenai tamadun Islam itu sendiri sudah disalah tafsirkan!

Diajarlah kepada pelajar-pelajar sekolah menengah bahawa petanda kemajuan tamadun Islam zaman dahulu ialah pada terdirinya Masjid-masjid dan istana-istana khalifah yang cantik dan penuh dengan ukiran berseni. Tidak dinafikan, sememangnya ada diajar tentang kemajuan sahsiah. Aku masih ingat tentang bab yang mebincangkan perbezaan definisi antara tamadun secara Islam dan Barat. Namun, ianya tidak diberi penekanan yang lebih. Kisah-kisah mengenai keadilan insan-insan seperti Umar Abdul Aziz hanya disentuh sedikit, mungkin kerana takut ada insan-insan di atas yang ‘terasa’. Kehebatan kerohanian dan hubungan para alim ulama’ dengan Tuhan tidak diberi penekanan, padahal itulah sebenarnya faktor penting mencapai kemajuan, dan itulah tujuan kita diutus di muka bumi.

Aku tidak hairan dengan situasi ini. Sedangkan sejarah kemerdekaan pun boleh dipalsukan, apatah lagi sejarah tamadun luar.

Serupa Kaum Ad, Tsamud, dan Firaun

Aku bukan memusuhi teknologi. Namun, kalaulah kebendaan yang dijadikan petanda kemajuan, maka tidak ubahlah kita seperti kaum Tsamud, yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai kaum yang mempunyai fizikal yang kuat, mampu menebuk gunung-ganang untuk dijadikan rumah dan bangunan. Kalau anda membayangkan mereka menebuk lubang macam gua, anda tersilap. Rumah dalam gunung itu sangat cantik dan sehingga kini diiktiraf sebagai keajaiban dunia.

Kaum Ad pula terkenal sebagai pakar pertanian. Mereka mampu menukar tanah tandus di tengah padang pasir kepada amat subur dengan tanaman. Teknologi pertanian mereka sangat maju. Kaum Ad ini juga hebat membina benteng pertahanan dan memiliki kepakaran dalam senibina.

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti- pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerusakan. (Al Aa’raf :74)

Kaum Firaun juga begitu. Piramid yang megah berdiri di Mesir, sehingga kini menjadi kekaguman pakar-pakar dan jurutera binaan kerana teknologi dan cara pembinaanya yang sotisfikated. Malahan, dengan kemajuan yang ada pada zaman sekarang ini, belum tentu lagi kita dapat membina piramid yang sebanding dengannya.

Namun, apalah gunanya kemajuan itu kalau ianya tidak mendapat redha Allah. Semua kaum-kaum di atas yang dianggap maju pada zaman mereka, semuanya hancur lebur dimusnahkan. Hal ini kerana mereka juga salah mentafsir erti kemajuan, lantas mereka hanyut dalam leka kebendaan.

Apalah juga gunanya bangunan-bangunan yang tinggi, dan litar lumba bertaraf antarabangsa, jika hutang negara semakin banyak, dan rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang, yang ‘tidak dapat dielakkan’, kononnya.

Itulah yang dikatakan kemajuan yang tidak dibina atas dasar taqwa. Sebaliknya, ia kemajuan yang dibina atas dasar mahu menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah serta mahu mendapatkan pengiktirafan dari orang-orang luar.

Barangkali mereka ini lupa pada kisah Masjid Dirar di zaman Rasulullah SAW.

Kalau itulah kemajuan yang mahu dibawa ke negeri Kelantan, eloklah sahaja mereka ini disamakan dengan penjajah British dan imperialis-imperialis Barat yang lain. Mereka dengan teori Beban Orang Putih. Manakala yang di sini bolehlah dinamakan sebagai Beban Puak Keris.

Friday, May 20, 2011

Kisah Izzudin dan Pemotongan Subsidi


Alasan yang sama diguna pakai dan dikitar-kitar semula setiap kali perkara ini berlaku. Kenaikan harga minyak dan barangan-barangan lain selalunya akan diikuti oleh ‘statement’ atau ulasan mengenai beban yang ditanggung kerajaan bagi menampung kos subsidi.

Paling menakutkan orang kampung dan mak cik-mak cik di Felda yang pemberi wahyu mereka ialah Utusan Melayu, bilamana dikatakan bahawa negara ini akan bangkrap jika subsidi-subsidi ini tidak dikurangkan. Maka dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat patriotik yang wujud setelah hari-hari didoktrin oleh TV1, mereka-mereka ini dengan rela hati sanggup berkorban, biarlah dapur tidak berasap (tapi jangan sesekali mulut tidak dijamah asap rokok), biarlah kereta tidak bergerak , itu semua tidak mengapa, asalkan negara tidak bangkrap.

Sememangnya tanda-tanda negara ini akan bangkrap memang sudah nampak jelas. Paling ketara ialah pada mutu penghasilan filem. Lihat sajalah kualiti filem ‘Cinta Laknat di Carcosa’ arahan Eskay Brothers. Nyata sekali kerana kekurangan bajet, kualiti penghasilannya nyata mengecewakan sekali. Kalau di Hollywood, pelakon yang buncit boleh nampak sasa dengan penggunaan teknologi. Di Malaysia, perut pelakon yang buncit tidak mampu diubahsuai lantas menyebabkan berlaku kecacatan pada tayangan filem tersebut. Ini diakui sendiri oleh wartawan yang dijemput menghadiri tayangan perdana video itu.

Adapun aku ini teringat satu kisah yang seharusnya diambil iktibar, lebih-lebih lagi oleh puak-puak tertentu yang mengatakan bahawa golongan-golongan yang membantah kenaikan harga barang-barang keperluan ini sebagai golongan yang tidak bersyukur dan mahu melihat negara ini jatuh bangkrap. Mereka ini berhujah bahawa kenaikan ini berpunca dari kenaikan harga barang dunia, dan ianya sesuatu yang tidak dapat hendak dielakkan. Kata mereka lagi, bahawa janji-janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak adalah tidak realistik dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Maka, ingin aku khabarkan kisah ini, moga boleh diambil iktibar, tentang pengorbanan, dan siapa dulu yang harus berkorban.

Dahulu, ada seorang ulamak bernama Izzudin Ibnu Salam. Dia ini seorang yang sangat bertegas terhadap salah laku yang dilakuakn oleh pemerintah dan sultan pada zaman dahulu. Dikhabarkan bahawa pernah satu ketika dia menegur sultan dengan hanya memanggil namanya sahaja, tanpa ada rasa takut sekalipun. Tiada sebutan Datuk Seri, Datuk T, Tun, Tuanku atau sebagainya. Hanya nama.

Kabar ini tersiar di seluruh penjuru Mesir, hingga murid beliau Syaikh Abu Abdullah Muhammad An Nu’man mendengarnya, hingga ia bertanya, bagaimana gurunya itu berani melakukannya, tanpa ada rasa takut.

Lalu tenang Syeikhul Islam Izzudin menjawab,

Wahai anakku, aku melihat darinya ada perasaan bahwa dirinya terhormat, maka harus aku merendahkannya, agar kesombongannya tidak mencelakai dirinya sendiri”

Kisahnya yang paling masyur, yang sangat berguna buat iktibar ‘pencinta pengorbanan’ yang tidak mahu melihat negara yang kaya raya ini bangkrap, yang hendak aku ceritai di sini, bermula begini :

Tentera Monggol telah mara dengan penuh pantas dan ganas laksana sekkumpulan serigala kelaparan menerkan gerombolan bebiri. Baghdad telah berhasil dihancurkan dan diluluhkan sampai menjadi padang jarak padang tekukur.

Mereka semakin mara, sehingga sampailah ketika bilamana barisan tentera yang hauskan darah itu hampir sampai ke pinggir negeri Mesir, tempat dimana tinggalnya Syeikh Izzudin dan anak-anak muridnya.

Maka persiapan pun diatur untuk menghalang dan mempertahankan negeri Mesir dari serangan penuh dasyat itu. Menghadapi musuh yang sangat terkenal dengan kekuatan dan penguasaan mereka di medan perang, sudah tentu banyak persiapan yang perlu dilakukan. Adapun negara pada waktu itu berkeadaan gawat, dan kewangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung kos peperangan.

Lalu dikeluarkan arahan dari pihak istana untuk menaikkan cukai terhadap rakyat jelata. Sultan tidak bersendirian dalam memberi arahan. Dipanggil ulama-ulama di dalam negeri untuk masing-masing memberi fatwa dan sokongan terhadap arahan Sultan ini, atas aalasan keperluan jihad.

Seperti biasa, ada seorang ulama sahaja yang tidak memberi sebarang sokongan atau fatwa mengenai kenaikan cukai itu. Ulama yang ‘mahukan negaranya hancur’ ini tak lain tak bukan ialah Syeikh Izzudin.

Bagi sultan, persetujuan ulama ini amat penting kerana pengaruh beliau lebih tinggi daripada sultan Mesir sendiri. Oleh hal yang demikian Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mengadap beliau (bukan ulama mengadap pemimpin) memohon restunya dan sokongan terbukanya untuk menaikkan cukai demi keselamatan negara.

Izzudin Abdul Salam bersetuju pada dasarnya dan akan mengumumkan persetujuannya di dalam khutbah jumaat pada hari itu. Beliau meminta Sultan hadir sama bersolat jumaat dan baginda boleh mendengar sendiri khutbah Jumaat dan persetujuan Al-Iz Abdul Salam.

Di dalam khutbah Izzuddin Abdul Salam menyokong perancangan pemerintah hendak mengunakan cukai dengan satu syarat sahaja iaitu sultan dan keluarganya hendaklah terlebih dahulu menjual istana-istana mereka serta perhiasan-perhiasan yang ada pada mereka dan anak isteri mereka semuanya dan digunakan untuk perbelanjaan peperangan. Jika tidak cukup maka barulah cukai baru kepada rakyat dikenakan.

Adapun suasana di negara 1Hadhari ini nyata sekali berbeza. Ditengah-tengah seruan agar rakyat berjimat dan berkorban atas potongan subsidi, orang-orang atas terus dengan sifat bermewah-mewah dan membazir. Lihat sajalah bagaimana mereka secara boros menggunakan dana negara, lebih-lebih lagi sewaktu menghadapi pilihnraya kecil. Kemudian, merungut mengatakan kos pilihanraya kecil di negara ini terlalu mahal.

Aku sendiri secara peribadi tidak akan membantah jikalau subsidi mahu ditarik untuk mengurangkan beban kerajaan dan mengelakkan negara dari gulung tikar. Akan tetapi, bukan hanya rakyat-rakyat yang sudah sedia miskin dan sibuk mengira butir-butir beras yang tinggal untuk makanan skeluarga kekesokan harinya perlu disuruh berjimat. Mereka dari dahulu lagi sudah berjimat.

Selepas pemimpin negara pun turut sama berjimat cermat dan berhenti membiarkan isteri pergi ke Dubai, maka kemudian barulah kita bercerita tentang pengurangan subsidi dan bantuan terhadap rakyat. Aku pernah menulis kisah tentang ini, kalau-kalau ada sahabat yang masih ingat. Kisah Pengemis Rindu itu.






Saturday, April 30, 2011

Mari Kita Berpecah!


Di sana sini aku dengar tentang perkara ini. Waktu berbual di kedai makan, ketika bersembang di kedai Tom Yam kampung Melayu, atau ketika duduk-duduk dengan entah siapa-siapa entah yang sama-sama menunggu KTM sampai ke destinasi tujuan. Perkara tentang ‘perpaduan umat Melayu’ ini sudah menjadi harapan dan impian segelintir masyarakat, yang kebanyakannya melihat perpecahan di kalangan umat Melayu ini sudah sampai ke tahap paling runcing sejak zaman Hang Tuah. Malah, masyarakat di zaman Hang Tuah itu sendiri pernah berpecah belah masyarakatnya dalam krisis pemberontakan Hang Jebat kepada Sultan Melaka satu ketika dahulu.


Aku bukan mahu bersikap sinis atau mahu memperkecilkan impian mereka yang kerap bercakap tentang ini. Setiap kali ada isu yang melibatkan pertentangan antara dua belah pihak berbeza parti, namun sama bangsanya iatu Melayu, maka mereka-mereka ini akan mengatakan perkara dan ayat yang sama:


“Apa nak jadi la ni? Sesama bangsa pun nak bergaduh ke?”


“Sudah-sudah lah tu bergaduh sesama bangsa ni. Jangan lah berpecah lagi”


Tidak. Aku bukan hendak katakan apa yang dicakapkan itu salah. Apa yang dikatakan itu betul, dan datang dari hati yang betul-betul cintakan keamanan dan mahu melihat perpaduan supaya negara ini akan bertambah makmur dan lebih berkat (ini macam ayat khutbah jumaat saja).


Namun, aku suka hendak mengigatkan mereka-mereka ini tentang sirah perjuangan Rasulullah SAW dahulu. Aku harap mereka semua masih ingat kisah Abu Talib dan anak saudaranya itu.


Abu Talib ialah seorang yang cintakan perpaduan. Kerana itu dia berulang kali menasihati Rasulullah SAW supaya menghentikan dakwah baginda kerana beliau melihat dakwah baginda akan memecahbelahkan orang-orang Arab di Mekah ketika itu.


Namun apa jawab baginda?


” Wahai pamanku seandainya matahari diletakkan ditangan kananku dan bulan diletakkan ditangan kiriku agar aku berhenti berdakwah, maka aku tetap tidak mau.hingga Allah menegakkannya atau membinasakan yang lainnya."


Dari ketegasan Nabi mahu terus berdakwah itu, adakah boleh dikatakan bahawa Rasulullah SAW ialah orang yang sukakan perpecahan dan mahu melihat pertumpahan darah?


Ya. Sememenagnya Nabi sukakan perpecahan. Seseorang yang mempunyai kesedaran akan rosaknya masyarkat pada zaman itu tidak akan mahu melihat adanya perpaduan antara yang batil dengan yang benar, antara yang zalim dengan yang adil.


Kerana itu Nabi tetap meneruskan dakwah, walaupun ternyata dakwahnya itu betul-betul mencetuskan perpecahan di kalangan kaum Arab, sehingga membawa kepada beberapa siri pertumpahan darah di medan Badar dan seterusnya di medan-medan lain.


Haruslah disedari, bahawa untuk sesuatu revolusi dan perubahan sistem dapat berlaku, adalah sunnatullah bahawa pasti akan ada perpecahan dan pasti akan ada yang terkorban. Namun itulah proses pembersihan. Yang batil harus dibunuh dan dimatikan serta dipisah-pisah, dicerai berai dari kesatuan dengan manusia lain, agar mereka ini tidak terus-terusan melakukan hasutan dan keroasakan di atas muka bumi ini.


Sesiapa yang mahu terus berada di dalam kezaliman, maka meraka akan memilih untuk berpecah dan berpisah dari gelombang kebangkitan perubahan. Sesiapa yang mahukan perubahan, mereka juga akan berpecah dan berpisah meninggalkan gerakan Assabiyah menuju kepada gerakan yang memperjuangkan sistem yang diturunkan ilahi untuk dunia yang lebih aman dan damai. Jadi, perpecahan ini memang tidak boleh dielakkan.


Cakap-cakap yang mahukan perpaduan itu bagiku ialah satu terma yang baru-baru ini sahaja diadakan, selepas PRU 2008, ketika segelintir pihak yang selama ini merompak harta rakyat atas nama Ketuanan Bangsa merasakan diri mereka terancam.


Mahu berpadu? Tidak ada masalah. Marilah kita berpadu di bawah bendera Islam dan keadilan yang dibawanya.


Perpaduan itu perlulah perpaduan yang berkat dan atas kesedaran mahu menegakkan Islam. Peprbezaan mazhab dan sebagainya itu tidak perlulah dikisahkan sangat kerana itu hanyalah perbezaan pendapat antara ulama, bukannya perbezaan antara akidah dan kepercayaan.


Yang aku katakan tidak harus bercampur ialah dua perjuangan yang nyata berbeza, iatu yang satu mahu terus dengan kerjanya mahu menayangkan budaya lucah kepada masyarakat, dan yang satu lagi betul-betul mahu sistem Islam ditegakkan di negara ini.


Yang satu itu semakin lama semakin songsang pemahaman Islam nya sehinggakan orang-orang bukan Islam seperti Chua Soi Lek pun boleh keliru dengan agama ini, sedang yang satu lagi itu terus-terusan menonjolkan apa itu Islam dan budaa syumul yang dibawanya melalui ketelusan pentadbiran dan merendah diri tidak bermewah-mewah sehinggakan Karpal yang keras kepala itu tiba-tiba mahu berbincang dengan Nik Aziz tentang Islam dan keindahan sistemnya (aku doakan semoga Allah membukan hati mereka untuk melihat kebaikan Islam).


Segerombolan perompak dan penyamun pun boleh bersatu juga untuk merompak dan mencuri harta orang ramai. Namun, adakah perpaduan mereka itu perpaduan yang baik?


Kerana itu aku katakan aku tidak kisah melihat perpecahan yang berlaku, kerana hasilnya nanti akan jelaslah kepada kita, yang mana satu yang batil dan yang mana satu benar. Tidaklah nanti susah mahu melihat dengan teliti seolah-seolah seperti mahu mencari permata di celahan kaca, kerana yang munafik itu nanti akan jelas kemunafikannya.


Mari kita berpecah. Kerana perpaduan yang akan terhasil selepas perpecahan dengan yang batil itu nanti akan menghasilkan perpaduan yang benar-benar diredhai Allah SWT.



-Artikel ini boleh disebar-sebarkan untuk perpecahan-




Saturday, April 2, 2011

Tarian dan Ampaian (CerDek Baru)


Waktu ibu menyedari kepulangan Asri, dia telah pun balik ke rumah dalam keadaan yang kusut masai. Bajunya yang waktu awal pagi tadi dalam keadaan putih bersih, dan kemas rata setelah diseterika, menjadi bertompok tompok kesan lumpur dan renyuk teruk. Wajah cengkungnya jadi agak lebar dengan lebam dan bengkak di sana-sini.

Dia memang seorang anak lelaki sejati, yang malu mahu mengalirkan air matanya di hadapan perempuan, hatta pada ibunya sendiri. Bersungguh dia menahan matanya yang sudahpun merah itu, tersengguk-sengguk bahunya macam orang kena sawan.

“Ya Allah! Kenapa sampai begini kamu Asri? Kamu bergaduh dengan siapa ni?” Ibu pantas-pantas mendapatkan anaknya itu apabila melihatkan keadaan beliau yang sampai begitu menyedihkan sekali.

Dikesat-kesat muka Asri yang comot dengan hujung baju kurung hijaunya. Ibu betul-betul pening memikirkan kerenah anaknya yang seorang itu, yang tidak habis-habis melibatkan dirinya sendiri dengan masalah.

Asri diam membisu seribu bahasa. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Hanya bunyi dengusan nafasnya yang turun naik menahan tangis yang kedengaran. Sekali dengar macam kerbau matadaor yang sedang mendengus-dengus marah dan bersedia menerkam matador yang mempermain-mainkannya.

Ini bukan kali pertama, akan tetapi inilah yang paling teruk. Barangkali, Asri sudah pun ketemu dengan lawan sebenarnya. Kalau sebelum ini, biasanya tidaklah sampai mukanya bengkak-bengkak begini. Paling teruk pun, tangan dan kakinya penuh dengan calar balar dan sedikit luka di kening. Itu berlaku sewaktu dia berebutkan permainan dengan Shaifool, anak Pak Muslim. Namun, tahapan kecederaan yang dialaminya kali ini membuatkan Ibu risau. Tentu perkara yang digaduhkan itu bukan sebarangan perkara. Tentu ia perkara yang besar, bagi seorang kanak-kanak.

Ibu terpandang tangan Asri yang memegang sebuah buku. Itu buku cerita yang dihadiahkan oleh arwah suaminya dahulu kepada Asri. Asri sangat menyayangi buku itu, dan buku cerita itulah yang diusung dan diulang baca beliau berkali-kali. Sesamseng-samsengnya dia itu, masih ada lagi sudut dan ruang untuk bernostalgia di dalam hatinya.

Buku itulah yang memberikan klu dan petunjuk kepada Ibu akan punca pergaduhan terbaru anaknya itu. Buku itu kelihatan renyuk sedikit, dan balutan di muka hadapannya sudah koyak-koyak. Ibu menggeleng kepalanya, kesal. Siapakah yang sanggup merosakkan barangan kesayangan anaknya itu?

“Sebab ini ke?” tanya Ibu sambil tangannya mencapai buku itu dari tangan anaknya itu.

Selain dari helaian depan yang koyak (mungkin mereka berebutkan gambar kartun di muka hadapan buku itu), helaian-helaian di mukasurat yang lain masih berada di tempatnya. Tiada koyakan lain. Namun apa yang menimbulkan tanda tanya pada Ibu ialah, buku itu penuh dengan kesan pewarna cecair pembetulan (liquid paper). Tambahan pula, kesan pewarna cecair pembetulan itu hanya dikenakan pada huruf...

“Midah! Oooo Midah! Midah!”

Kedengaran suara memanggil Ibu dari halaman depan rumah. Ibu lekas bangun dan tergesa-gesa ke depan. Pemilik suara itu dapat dia camkan dengan baik. Itu bunyinya seperti suara Imam Khusni, dan dari nada suaranya itu, kedengaran seperti ada hal yang sangat mustahak.

“Ye saya Tuan Imam. Ada apa terpekik-pekik ni? Ada orang meninggal ke?” Ibu terus sahaja bertanya sebaik sahaja kelihatan kelibat Imam Khusni di depannya. Memang tidak salah tekaannya sebelum ini. Imam Khusni sedang berdiri di laman depan rumah. Wajahnya kelihatan tegang. Dia kelihatan agak marah, dan seolah-seolah ada sesuatau kesalahan telah dilakukan Ibu.

“Mentang-mentanglah aku ini janda. Nak menuduh aku berkhalwat lah tu agaknya. Tak pun dakwaan aku mengacau laki orang...”Ibu membuat andaian sendiri.

Dan andaiannya itu sememangnya berasas, keraana sebelum ini sudah banyak kali dia dituduh dengan tuduhan liar seperti itu. Kadang-kadang dia merasa seperti mahu menampar muka Salmiah Tambi isteri Imam Khusni itu dengan selipar. Kalau bukan dia yang mengusung menjaja cerita serata kampung, siapa lagi? Di dalam kampung itu tidak perlu ada televisyen atau radio pun tidak mengapa. Semua informasi boleh diperoleh secara terus dari mulut anak Tambi itu, lebih-lebih lagi gossip melibatkan golongan janda seperti Ibu.

“Aku mahu kau hentikan kelas tarian poco-poco kau itu. Berkuatkuasa serta merta, ngerti?” kasar Imam Khusni memberi amaran pada Ibu.

Ibu terkejut. Kelas tarian yang diadakannya setiap hujung minggu itulah salah satu punca pendapatan tambahannya. Selain dari mengajar Muqaddam kepada kanak-kanak tadika di kampung itu, kelas tarian itulah yang mengisi kelompongan dan kekosongan di dalm rak dapur rumahnya sejak kematian suaminya 5 tahun dahulu. Dan sekarang ini, Imam Khusni datang dan mahu menutup periuk nasi dia anak beranak.

Ibu sudah sehabis baik menerapkan nilai-nilai akhlak Islam kepada mereka-mereka yang mahu belajar tarian poco-poco dengannya. Kelas mesti dibuat di dalam ruangan tertutup, iatu di dalam rumahnya. Tiada lelaki yang dibenarkan menonton. Pakaian pula mesti menutup aurat, sesuai dengan batas-batas antara perempuan Muslim dengan permepuan Muslim yang lain. Sebelum menari semua orang perlu betulkan niat terlebih dahulu, iatu menari itu semata-mata untuk menyihatkan badan supaya dapat beribadah kepada Tuhan dalam keadaan yang baik. Semua mak cik-mak cik yang mengikuti kelasnya akur. Kalau sebelum ini mereka menari beramai-ramai di padang sekolah (ramai lelaki yang datang menonton sambil bersiul-siul mengejek), namun selepas guru yang mengajar tarian itu balik ke Indonesia mengikut suaminya, mereka tiada pilihan lain lagi, melainkan terpaksa mengikut arahan Ibu. Ibu memang pakar dalam berbagai-bagai jenis tarian, moden atau tradisional, namun tidak pernah dia tunjukkan atau hebohkan pada orang ramai. Segala macam tarian yang dipelajarinya itu, kalaulah ditunjukkan pada orang pun, hanyalah pada arwah suaminya sahaja.

Dan dia masih ingat wajah suaminya yang tersenyum ceria, gembira dengan kemesraan isterinya itu, setelah seharian kepenatan bekerja. Ibu berpuas hati dengan caranya itu, kerana itu adalah salah satu cara baginya membahagiakan hati suaminya itu. Bukankah syurga seorang isteri itu di bawah telapak kaki suaminya?

“Kenapa pula Imam? Apa masalahnya?”

“Syirik tu! Syirik! Haram! Haram! Kamu tak dengar fatwa terbaru ke?” Imam Khusni menjawab sambil menjegilkan biji matanya yang saling tak tumpah seperti orang kena penyakit kelenjar Tairod.

Ibu mengegeleng-geleng kepalanya. Orang tua ini betul-betul sudah ketagih haram.

“Apa yang syiriknya? Kami hanya bersenam, menyihatkan badan. Mana ada kami puja mana-mana semangat atau patung. Minggu lepas, ketua kampung bakar ancak waktu majlis pembukaan medan selera baru di kampung kita ini, tak pula Imam bising? Kami yang bersenam ini Imam katakan syirik pula?” Ibu seolah-olah mendapat keberanian untuk membalas kata-kata Imam Khusni. Kekuatan yang datang hasil pendaman perasaan marah bertahun-tahun.

“Syirik lah! Dalam tarian tu ada unsur-unsur agama kristian, kamu tahu?”

“Dan bukan itu sahaja. Ampaian rumah kamu di belakang itu. Sudah aku suruh anak-anak buahku robohkan. Bentuknya macam tiang salib Kristian, kamu tahu? Astaghfirullah, astaghfirullah..Bahaya..syirik..syirik..”



Kali ini ibu faham apa sebenarnya yang berlaku pada Asri di sekolah tadi. Patutlah semua huruf ‘t’ kecil di dalam buku cerita anaknya itu dipadam dengan menggunakan cecair pemadam pen.

“Ayah! Sini pun ada tanda salib! Tengok itu, pedang tu!” anak Imam Khusni yang umurnya sebaya dengan Asri itu menunjuk pada pedang plastik mainan yang terbiar di atas anak tangga rumahnya.

Imam Khusni menghulur tangan mahu mencapai pedang mainan itu.

Tiba-tiba,

“Arghhh!!!!”

Imam Khusni menjerit kuat, kesakitan. Bahagian kanan tangannya sedang digigit Asri dengan kuat.

Sesudah bukunya dirosakkan, tidak mungkin akan dia benarkan nasib yang sama menimpa pedang mainan kesayangannya itu!




Friday, March 25, 2011

Rompak Merompak Siri Akhir






Pasca perang dunia kedua telah mengubah senario dunia, di mana AS telah mengambil alih peranan Britain sebagai kuasa utama dunia. Sesuai dengan wataknya sebagai ‘Power Rangers’ bagi dunia ini, AS telah sekali lagi terlibat dalam beberapa siri perang. Yang paling masyhur antaranya ialah Perang Vietnam, di mana mereka dimalukan sampai terlondeh-londeh seluar. Perang dingin yang semakin memuncak dengan USSR, turut menyebabkan kos ketenteraan meningkat.

Perkara yang sama pun berulang. AS kembali mencetak wang kertas sewenang-wenangnya, dan ini menyebabkan ketidakseimbangan antara edaran wang kertas dan jumlah rizab emas simpanan negara.

AS yang sudah tersepit, dan berada dalam keadaan buntu untuk keluar dari beban ekonomi akibat tabiatnya yang terlalu gemar menyibuk hal rumahtangga negara lain, akhirnya mengkhianati perjanjian ini. AS telah megumukan bahawa mereka menarik balik penyandaran dolar AS kepada emas. Krisis ini digelar dengan nama ‘Nixon Shock’, bersempena dengan nama presiden AS ketika itu.

Tindakan ini seolah-olah seperti menarik permaidani dari bawah kerusi di mana ramai sedang duduk di atasnya. Negara-negara yang sebelum ini telah menyandarkan wang masing-masing dengan dolar AS, dengan keyakinan bahawa AS menjamin keboleh tukaran dolar mereka dengan emas, akhirnya telah dikhianati. Tanpa penyandaran dolar kepada emas, maka nilai mata wang negara masing-masing yang disandarkan kepada dolar AS, berada dalam keadaan di mana wang kertas mereka sudah lagi tidak bernilai. Wang kertas masing-masing tidak ubah hanyalah sehelai kertas yang ditulis nombor menggunakn pensel warna. Tidak lebih dari itu.

Bolehlah kita katakan, bahawa kertas yang tidak bernilai itu, telahpun dipaksanilaikan ke atas kita.

“Wahai rakyat! Kamu mesti percaya dan beriman, bahawa kertas yang kamu gunakan itu bernilai! Hanya dengan menggunakan itu sahaja baru kamu boleh membeli dan berniaga!”

Tambah mengukuhkan lagi kejahatan licik ini, maka dibuatlah satu polisi, di mana setiap urusan jual beli petroleum, wajib menggunakan dolar AS. Mahu tidak mahu, negara-negara terutamanya dari kalangan Arab, mengikutlah perintah ketua dan pemberi makan mereka, yang ditaati lebih dari Allah dan RasulNya itu.

Jadi, timbul persoalan. Bagaimanakah kita boleh kaitkan dolar AS ini dengan penurunan nilai sekeping RM 50 yang disimpan di dalam dompet kita itu, seperti contoh yang diberikan di dalam artikel yang mula-mula dahulu?

Jawapannya terletak pada penentu nilai dolar AS itu. Setelah penyandaran kepada emas ditarik balik, maka AS telah mengapungkan nilai dolarnya, di mana nilai dolar AS akan ditentukan oleh pasaran. Maka, terbukalah ia kepada manipulasi kaum pemodal dan para penyangak mata wang yang berlegar-legar, mengejar keuntungan bagai musang lapar menyerbu ke dalam reban yang penuh dengan ayam-ayam yang lembik kerana terlalu banyak memakan dedak.

Itulah sebabnya nilai RM50 sekarang tidak akan sama dengan nilainya 10 tahun akan datang. Kerana nilainya berubah-ubah mengikut pasaran matawang. Maka, sedar atau tidak, kita memang telah pun dirompak!

Persoalannya, mengapakah kebanyakan negara-negara dunia masih lagi terus menerus berpegang kepada sistem ini, di mana mereka terus meletakkan sandaran mata wang masing-masing kepada dolar AS, walaupun telah disedari bahawa dolar AS itu tidak bernilai apa-apa, dan terdedah kepada kejatuhan ekonomi yang dasyat? Kalau AS mengalami krisis ekonomi, maka kita pun akan terheret sama?

Jawapannya terletak pada sistem politik negara-negara ini yang telah pun dipengaruhi dan dicorakkan oleh AS. AS yang merancang dan menaikkan mana-mana calon yang dirasakan sesuai untuk menjadi barua dan anjing setia sebagai pemimpin negara-negara di sunia, khususnya negara dunia ke3. Anjing dan barua inilah yang menjamin kemandirian sistem ekonomi penuh bohong dan dusta ini agar ia terus berjalan. Di samping itu, AS turut bersedia dengan pelan B, kalau-kalaulah rejim belaannya itu tiba-tiba jatuh diamuk rakyat. Pelan B yang dimaksudkan ialah dengan turt menaja penentang-penentang ini, yang kalau suatu hari mereka berjaya, akan meneruskan sistem kapitalis yang diamalkan. Contoh yang paling dekat ialah bagaimana Suharto di Indonesia dijatuhkan.

Kerana itu kita perlu jelas, bahawa di dalam setiap revolusi yang ingin dijayakan, bahawa fikrah dan arah tuju revolusi itu perlulah jelas, bahawasanya kita bukan menentang individu. Kita tidak menentang Mubarak, Ben Ali, Gaddafi, atau Datuk T. Apa yang kita tentang sekarang ialah sistem kapitalis yang diamalkan, yang menkayakan golongan kaya dengan cara memiskinkan yang miskin. Dengan itu barulah revolusi yang dihasilkan benar-benar mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat.

Akhir kata, semoga siri artikel rompakan ini mendatangkan manfaat. Tidak perlulah kita menjadi pakar ekonomi untuk memahami hal ini. Artikel ini ditulis bukanlah dengan tujuan untuk memberi Tuisyen percuma tentang subjek ekonomi kepada sahabat-sahabat semua. Paling kurang pun, kita tahu apakah sebabnya kita sampai sekarang masih bergantung nasib pada turun naik ekonomi imperialis Amerika Syarikat. Perlu diingat, bahawa ini adalah salah satu faktor krisis kewangan dan kenaikan harga barang yang berlaku saentero dunia saat ini. Masih banyak lagi faktor yang menyumbang kepada krisis yang dialami, yang kalaulah diberi umur yang panjang dan kesihatan yang baik serta kelapangan waktu oleh Yang Esa, akan saya tulis lagi selepas ini.

Salam sayang semua!

Viva la Revolucion!



*Siri tulisan ini bolehlah disebarkan untuk kebaikan. Tiada hak cipta.




Rompakan Siri 2


Selepas tulisan yang lepas, maka bermacam-macamlah komen yang datang menerpa. Yang faham dan mahu bersedia menjadi saksi pendakwaan ke atas penjenayah rompakan itu, ribuan terima kasih diucapkan. Kalau ada nasi bungkus atau kek sampai pada saya, maka pasti lebih besar dan panjang lafaz ‘syukran’ akan saya hamburkan.

Namun, kalau ada yang tidak faham atau masih teraba-raba akan apa yang cuba disampaikan, maka tiada lain melainkan pastinya akan mengalir titik-titik air mutiara dari mata jantan ini. Masakan tidak, rupanya penulis ini hanya ‘syok’ dan ghairah sendiri!

Perkara ini perlulah difahami dengan cara mengenal dahulu sejarah wang. Ini penting kerana tanpa pemahaman tentang sejarah wang, maka kita tidak akan dapat melihat sangkut-paut antara kejatuhan sistem ekonomi barat dengan kenaikan harga kuih keria di pasar malam sungai buloh. Perlahan-lahan kita akan cuba memahaminya. Maka janganlah bersikap gelojoh sebaliknya tahanlah nafsu ingin tahu anda dengan baik-baik.

Kalau pada zaman dahulu, kita biasa mendengar apa yang dipanggil sebagai Sistem Barter. Untuk mendapatkan sesuatu barangan, atau perkhidmatan, maka perlulah berlakunya pertukaran. Inilah perniagaan. Adanya pertukaran manfaat bagi mendapatkan manfaat yang lain adalah sunnatullah.

Kalau dahulu, jika Abe Ja dari kampung Sematjal mahu membeli dua ekor lembu bagi majlis perkahwinanya, maka dia wajib menukarkannya dengan barangan yang sebanding dengannya. Misalnya empat ekor kambing. Jika mahukan gula, maka tukarannya mungkin beras, atau garam.

Manusia akhirnya menyedari yang sistem ini tidak cukup efisien dan menyusahkan. Dalam kes Abe Ja, dia terpaksa mengheret empat ekor kambingnya ke pasar lembu. Ini menyusahkan kerana kambing perangainya tidak seperti manusia. Tetapi, ada sahaja manusia yang berperangai seperti kambing. Itu perlu difahami betul-betul.

Maka wang pun dicipta. Konsep asasnya tetap sama dengan Barter tadi, iatu berlakunya pertukaran. Bezanya ialah barang tukaran yang digunakan telah di tetapkan kepada satu standard, iatu wang.

Kalau kita mahukan sesuatu barangan yang berharga (setiap yang bermanfaat maka ianya adalah berharga), maka tukarannya perlulah juga barangan yang bernilai dan berharga. Di sinilah timbulnya rukun wajib bagi wang, iatu wang yang akan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan barang atau manfaat tadi, mestilah benda yang memang diakui manusia ramai sebagai berharga dan bernilai.

Maka, manusia secara sepakatnya mengakui bahawa emas adalah barang yang tepat untuk dijadikan sebagai alat tukaran. Ini ialah kesepakatan sejak dari azali lagi. Tidak perlu diadakan muzakarah khas bagi memberi fatwa tentang betapa berharganya emas ini, kerana ia sudah diakui ramai.

Tidak perlukan juga fatwa dari para pegawai JAIS.

Emas akhirnya digunapakai secara meluas. Namun, timbulnya masalah bilamana sesuatu pembelian yang melibatkan skala besar-besaran mengambil tempat. Berat emas yang hendak diangkut ke pasar itu suatu perkara. Soal keselamatan turut harus diambil kira.

Masalah turut berlaku dalam pembelian yang bersifat kecil. Bagaimana mahu membayar harga sebiji gula-gula jika di dalam poket ada seketul jongkong emas?Bagaimana mahu dipecahkan?

Wang kertas pun muncul. Kertas telah digunakan sebagai perantaraan bagi emas tadi. Urusniaga dilakukan menggunakan wang kertas, dan wang kertas itu bila-bila masa sahaja boleh ditukarkan dengan emas yang disimpan dalam rizab negara. Wang kertas itu tadi telahpun disandarkan nilainya pada emas. Kita tidak rugi apa-apa, kerana kertas yang diperoleh itu ialah kertas yang nilainya sama dengan emas. Bila-bila masa yang disukai, maka ianya boleh kita tukarkan dengan emas.

Masa berlalu dan dunia makin berkembang. Nafsu manusia yang inginkan kekuasaan dan kemegahan turut sama mengalami evolusi dari sekecil telur ayam kepada menjadi nafsu sebesar seekor kuda jantan liar. Dari situlah munculnya Perang Dunia yang pertama.

Peningkatan kos peperangan menyebabkan negara-negara yang mengambil bahagian dalam perang dunia telah mencetak wang kertas dengan banyak, sehingga ianya melebihi jumlah rizab emas simpanan negara. Bermaksud jika semua wang kertas yang sedang berlegar-legar di negara itu mahu ditukarkan kembali kepada emas, maka jumlah emas itu tidak cukup untuk ditukarkan. Secara tidak langsung, kertas yang tadinya bernilai sudah menjadi tidak ubah seperti sebuah kertas sampah yang tidak ada nilainya. Berlakulah perkara yang dipanggil sebagai hyperinflasi.

Keadaan ini berterusan sehingga akhir Perang Dunia ke2, bilamana ketua Mafia dunia, Amerika Syarikat, dan beberapa negara-negara dalam dunia menandatangani perjanjian Bretton Wood pada tahun 1945. Dalam perjanjian ini, US sebagai kuasa besar dunia yang baru, bersama negara-negara yang menandatanganinya bersetuju untuk menyandarkan wang Dolar US kepada emas, manakala mata wang yang lain di dunia ini akan disandarkan pula kepada Dolar US. Ini dilakukan untuk kembali menstabilkan keadaan ekonomi yang berkeadaan hyperinflasi diakibatkan oleh perang.





Thursday, January 27, 2011

Apartheid Di Tenang


Baru-baru ini, dalam Utusan online bertarikh 28 Jan, sekali lagi keluarnya ungkapan dari pak menteri nombor dua kita, yang menonjolkan sikap ketidak adlilan dan betapa rosaknya matlamat berpolitik di dalam negara kita.

Beliau dipetik berkata, “"Jika rakyat di sini memilih calon Pas (Normala Sudirman), wakil rakyat yang dihantar adalah pembangkang, dia ini bukan mempunyai kuasa pentadbiran, bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dijanji Pas.

"Pihak yang hanya boleh menyelesaikan permasalahan di Tenang ini adalah BN, apatah lagi dengan gandingan kerajaan negeri dan pusat," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini malam ini.

Sepertimana yang pernah ditulis sbelum-sebelum ini, maka adalah baik kiranya jikalau semua yang terlibat dalam pertarungan politik di Malaysia ini balik dan meniliti balik apakah sebenarnya politik itu. Ataupun kalian semua boleh menyemak kembali ungkapan-ungkapan yang berdegar-degar, berapi-rapi yang kalian laung-laungkan di hadapan rakyat sewaktu ceramah-ceramah sebelum ini, iatu mahu membantu rakyat.

Membantu rakyat?

Maka, tertanya-tanyalah saya, akan apakah dia sebenarnya rakyat itu. Siapakah dia yang dipanggil rakyat? Apakah kriteria-kriteria yang melayakkan seseorang itu dipanggil rakyat?

Setahu saya (correct me if i’m wrong ok?) tiadalah di dalam kriteria dan syarat menjadi rakyat Malaysia, perlulah dia itu mengundi, ataupun dalam konteks sekumpulan masyarakat di sesuatu kawasan, mestilah memenangkan parti pemerintah.

Pemerintah dipilih rakyat berdasarkan keyakinan mereka akan membantu rakyat dalam memastikan hidup mereka di sesebuah negara menjadi makmur dan dapat hidup aman damai. Keyakinan ini boleh sahaja berpindah dari satu parti ke parti yang lain. Tiada siapa yang mahu mengundi parti yang akan merosakkan negara. Tidak kiraklah siapa yang dipilih rakyat, namun bilamana mereka dipilih, maka itu secara tidak langsung menterjemahkan bahawa rakyat yakin mereka yang dipilih itu akan membawa kebaikan.

Dalam sukan tinju, setiap perlawanan dikategorikan mengikut berat peninju. Ada kategori lightweighy, middleweight, dan heavyweight, iatu yang paling seronok kita tonton. Bagaimanalah agaknya nanti kalau-kalau tiada kategori ini. Sudah tentu Manny Pacquiao akan sayur dikerjakan oleh David Haye. Dalam bertanding perlulah adil.

Akan halnya yang berlaku di Dun Tenang, nyatalah sekali adanya kepincangan dalam proses berpolitik di Malaysia. Ramai yang belum mampu membezakan apakah dia parti dan apakah dia kerajaan. Ini termasuklah kepala yang memegang kementerian Pelajaran, satu jawatan yang memerlukan hanya orang yang betu-betul berpelajaran bagi memimpin pendidikan negara.

Rakyat Malaysia diwajibkan membayar cukai. Yang tak membayar cukai itu boleh dipenjarakan. Jadi, semua yang masih hidup di luar sana, bukan di dalam penjara, menjamin dirinya sendiri dengan cukai itu tadi. Kalu tidak, mereka tidak hidup berjalan-jalan ke pasar dan ke tempat kerja, pasti di dalam penjaralah tempat beristirahat.

Dari cukai itu tadilah kerajaan mendapatkan wang untuk membiayai projek-projek kemajuan dan pemakmuran negara. Maka, sepertimana dalam syarikat, setiap pemodal mempunyai hak masing-masing atas keuntungan yang diperolehi. Setiap pemodal tidak boleh mendakwa syarikat itu hanya miliknya seorang, sebab hendak membangunkannya pun adalah dengan hasil modal dari pada pelbagai pihak.

Kita lihat banyak projek dijalankan, dan setiapnya akan terpampang papan tanda berbunyi Projek Barisan Nasional. Melainkanlah kalau hanya orang-orang Barsian Nasional sahaja yang membayar cukai, maka tiadalah maslah bagi mereka mengatakan begitu. Namun, alangkah tidak malunya berkata demikin kerana semua rakyat Malaysia adalah pembayar cukai. Maka projek yang ada itu patut ditulis Projek Rakyat. Kerajaan hanya berfunsi sebagai perantara, atau orang tengah dalam melaksanaan projek itu. Wangnya adalah wang rakyat, bukan wnag parti.

Atau sebenarnya, kerajaan ada membuat pengkelasan dan mengasingkan wang cukai itu mengikut parti si pembayar? Saya tidak tahu. Cuba tanya Rizal Meerican. Dia tahu barangkali.

Mengatakan bahawa mengundi pembangkang akan menyebabkan kesukaran dalam membawa kemajuan adalah satu ugutan. Kali ini ia adalah satu situasi yang pelik, kerana mereka yang didakwa membela Melayu telah menunjukkan sikap mereka yang sebenar, iatu mereka sebenarnya bukanlah mahu membela Melayu, akan tetapi hanyalah fungsi kewujudannya untuk memberi bantuan dan kemajuan kepada orang-orang yang sebulu sahaja dengan mereka, atau separti dengan mereka, atau orang-orang yang kononnya mengaku berjuang bersama mereka (padahal semua itu hanyalah dengan tujuan mengampu sahaja).

Kerana itu Kelantan sampai sekarang dinafikan dari mendapat pelbagai projek kemajuan sepertimana yang diperoleh oleh negeri-negeri lain di dalam Semenanjung Malaysia ini.

Tiadalah saya ini mahu memihak, atau bersikap berat sebelah, namun adalah tugas kita mengingatkan pemerintah, bahawa berlaku adil adalah apa yang dituntut dan akan dipersoalkan di akhirat kelak kepada sesiapa yang diamanahkan memegang kuasa. Setiap rakyat berhak mendapat hak mereka, tanpa mengira agama, warna kulit, mahupun fahaman politik. Itulah yang dinamakan pemerintahan Islam, yang sentiasa berlaku adil dan tidak mendiskriminasi.

Jangan marah Afrika Selatan kerana dahulunya ada mengamalkan Apartheid. Yang di Malaysia ini pun sama. Cuma di Afrika ianya sudah lama hancur dan dijatuhkan, sedang di Malaysia ini, ia sedang berjalan sejak merdeka sehinggalah ke tarikh tulisan ini ditulis.