Friday, October 22, 2010

Revolusi Salman, Reformasi Al Farisi - Cerpan




Salman bingung betul kali ini. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku, di mana dia sekarang ini, atau siapa dia pada kala ini. Dia mengingat-ingat kembali tadi malam. Balik dari kerja, kemudian mandi di dalam tab panas menyegarkan, menghabiskan bacaannya tentang Revolusi Fathul Makkah, lalu terus tidur di atas katil empuknya, berseorangan seperti biasa, namun dia selesa dalam keseorangan itu kerana dia mempunyai banyak masa dan waktu untuk meneruskan impiannya tanpa ada kekangan keluarga atau rengekan tangis anak-anak.

Namun, bangunnya pagi tadi menjadi satu kejutan besar buat dirinya. Sangkanya dia bermimpi. Namun, tidak lama selepas itu dia akan sedar, rupa-rupanya apa yang dihadapinya waktu itu bukan lagi mimpi bahkan ia suatu realiti yang menakutkan. Dia mendapati dirinya berada di dalam satu ruangan semacam bilik kurungan, berlantaikan tanah berdebu, dengan pagar dari kayu, ditambah dengan suasana gelap yang hanya diterangi cahaya lampu pelita. Seperti di dalam penjara zaman purbakala

Bau hamis dan hancing, bercampur dengan busuk najis (seperti najis bintang baunya) menusuk hidungnya. Dari samar-samar cahaya pelita, dia dapat melihat ‘teman’ sepenjaranya. Namun, temannya itu tidak kelihatan seperti manusia, langsung tidak serupa. Salman memfokuskan lagi pandangannya, sambil mengangkat sedikit kepala, sehingga teman sepenjaranya itu tersedar akan tingkah lakunya, lantas menyapa.

“Ah! Sudah bangun pun kamu!” seekor singa tua tiba-tiba menyapanya.

Apa? Seekor singa? Pandai berkata-kata? Perkara ini semakin mengelirukannya. Barangkali ini memang benar mimpi. Masakan seekor singa pandai berbicara, dan, apa kenanya dia tiba-tiba di dalam penjara ala-ala zaman Medievel, sedang tadi malam dia enak berbaring ditemani bantal peluk kesayangannya?

“Haha! Ini pasti mimpi!” tertawa Salman dalam hati, sambil cuba mencubit kakinya, agar dia lekas bangun terjaga dari mimpi menggerunkan seperti ini. Siapa yang tidak gerun bila tiba-tiba dikurung bersama dengan seekor singa pandai berkata? Silap-silap, nyawa pasti melayang, dalam keadaan hanya tinggal tulang, tanpa ada secebis daging pun yang melekat.

Saat hendak mencubit itulah baru dia menyedari yang kuku tangannya telah pun menjadi panjang dan tajam, mirip kuku seekor singa. Dia meraba-raba wajahnya, dan dapat dirasakan ada misai tumbuh pada dua belah pipinya (sesuatu yang lebih mengejutkan, kerana dia memang tidak suka menyimpan misai), dengan dua lubang hidung yang besar (patutlah bau najis tadi dirasakannya terlalu kuat). Saat dia meraba kepala, dalam samar cahaya pelita itulah, kelihatan rambutnya tumbuh lebat, bersambung dengan janggut sampai ke paras dada (dia hampa kerana kalau pendek sedikit, mungkin sudah seperti John lennon, pemuzik idolanya) .

Saat itu barulah dia menyedari, dirinya sudah menjadi seekor singa!

“Auuuummmmmm!!!!” Salman memekik. Pekikannya tidak berupa manusia, sebaliknya berbunyi seperti ngauman seekor singa jantan muda.

Dua ekor singa yang bertubuh sasa, yang kelihatannya seperti pengawal datang tergesa-gesa. Dengan muka bengis dan geram akibat diganggu malam-malam buta sebegitu, mereka bersedia membuka pagar kayu penjara dan menerkam ke dalam mahu membelasah Salman. Singa tua yang menegur Salman tadi cepet-cepat merayu dengan suara terketar-ketar:

“Ma..ma..maaf tuan..Maaf.. Kawan saya ini mengigau..Tolong tuan..Maaf..” kata singa tua tadi.

Mendengar kata singa tua tadi yang merayu dengan ketakutan, mereka berdua tidak jadi menerkam ke dalam. Lantas mereka beredar. Mungkin juga niat amarah mereka tadi terbantut disebabkan mengantuk yang datang kembali menyerang. Singa tua menghela nafas lega.

“Hampir-hampir sahaja tadi..” keluhnya, sambil menghampiri Salman yang masih lagi menggigil ketakutan.

“Tenang anak muda! Tenang! Kamu nampak seperti terkeliru benar. Sejak hari pertama kamu di sini, tiga hari yang lepas, aku lihat kamu tak pernah terjaga, semacam sedang dalam tidur yang panjang, kemudian hari ini, kamu terjaga, dan tiba-tiba terpekik terlolong. Kenapa wahai anak muda?” singa tua bertanya, panjang.

Dalam hatinya berasa begitu pelik melihatkan Salman. Dia seperti sedang mengalami kejutan yang sangat besar, dan gaya duduknya, tidak seperti singa-singa lain yang biasa dia jumpai sebelum ini. Seolah-olah anak muda ini tidak tahu dirinya seekor singa! Setelah diamatinya lagi, wajah Salman seperti wajah yang sangat dikenali, yang pernah dia lihat, dengan kesan parut pada hujung keningnya. Akan tetapi sang singa tua sudah lupa di mana pernah dilihatnya singa muda yang berparut pada kening itu.

“A..a..aku di mana? Kau..kau siapa? Apa ni? Apa semua ni?” Salman terketar-ketar menujah pertanyaan bertalu-talu, lebih kerana terkejut melihatkan keadaan sekeliling yang mengelirukan, bukannya kerana takut kepada singa tua di hadapannya itu. Rasa takutnya pada sang singa tua beransur-ansur hilang bila melihatkan tindakan singa tua itu melindunginya tadi.

“Tenang anak muda! Jangan sampai mengejutkan lagi pengawal-pengawal bengis tadi, maut kita nanti dibelasahnya. Engkau sekarang di dalam penjara, sudah tiga hari engkau terlantar di sini, tidak bangun-bangun. Apa engkau tidak sedar? Bagaimana engkau sampai boleh dihumban ke dalam ini?” sang singa tua pula menabur patah-patah ayat soalan.

Wajah Salman berkerut-kerut. Jawapan yang diharapkan, tetapi soalan balas pula yang dilontar. Salman semakin keliru. Penjara? Tiga hari? Dan yang paling penting, kenapa dia boleh bertukar fizikal menjadi seekor singa, seekor binatang yang digeruni manusia, yang terkenal dengan simbol kekuatan dan kebuasan?

“Saya tidak tahu..saya keliru..Bagaimana saya boleh samapai ke dalam ini..Kenapa saya menjadi seekor singa..aaaa...se...semua ini betul membingungkan!” Salman menjawab.

Sang Singa tua terasa seperti mahu tergelak dengan jawapan Salman itu. Pada fikirannya, mungkin singa muda di hadapannya ini telah terhantuk kepala ke mana-mana busut di dalam belukar, atau pun ditimpa dahan kayu jati di hutan banat, sampai tidak ingat bahawa dirinya ialah seekor singa. Mujur dia masih sempat mengawal diri agar tidak menghamburkan tawa menggila secara tiba-tiba, yang pasti menyebabkan keesokan harinya semua giginya berterabur kerana ditempeleng satu-satu oleh pengawal-pengawal tadi.

“Ini kes berat.. Kes hilang ingatan barangkali.. Aku pernah dengar tentang ini dahulu..Kecelaruan identiti..Ini sesuatu yang kelakar, tetapi serius..,” bisik sang singa tua dalam hati.

Kedua-dua ekor singa banduan itu senyap sebentar. Masing-masing merenung tanah dingin yang menjadi ‘tilam’ untuk mereka malam itu. Api pelita meliyuk-liyuk ke kiri dan ke kanan, sambil asapnya masuk melalui celah-celah hidung dengan aroma pekat dan melemaskan. Sesekali dua tiga ekor nyamuk mencuba-cuba nasib untuk mendapatkan minuman darah perisa singa dari batang tubuh longlai singa-singa itu. Sang singa tua yang memang sudah berpengalaman menjadi seekor singa selama 60 tahun sejak lahir pantas sahaja memukul sehingga penyek nyamuk-nyamuk rakus tadi dengan ekor, sedang Salman yang baru menyedari dirinya seekor singa kurang sejam yang lalu terkial-kial mengahalu n yamuk dengan tangan barunya (atau sebenarnya kaki). Bunyi dengkuran pengawal penjara yang sedang tidur bercampur baur dengan kibasan sayap nyamuk, menjadikan malam itu malam penuh tekanan buat keduanya, khususnya Salman yang masih terkejut dan keliru.

“Siapa pak cik? Kenapa pak cik boleh berada di sini?” Salman tiba-tiba bertanya, mencuba-cuba untuk memecah keheningan malam penuh sesak itu, sambil berharap sekurang-kurangnya perbualan dengan singa tua itu dapat menghilangkan kekusutan dan kecelaruan mindanya saat itu.

“Panggil sahaja aku Sang Tua. Aku sudah dua purnama merengkok di sini, sambil menghitung hari menunggu hari hukuman untuk ku tiba. Untung ada kamu datang menemani aku di sini. Ahhh... Aku sudah lama bosan di sini, sambil setiap hari-hariku menjadi hari pengharapan agar saat hukuman ku akan tiba esok harinya, supaya badan ku lekas-lekas bercerai dari rohnya, agar aku dapat kembali ke hadrat Yang Esa, semoga dengannya segala penyiksaan yang ku tanggung selama di sini akan berakhir. Sudah tidak tertanggung lagi oleh tubuh badan ku yang sudah tua bangka ini..Ahhh..Tuhan Yang Esa sahaja tahu..” jawab Sang Tua sambil meluahkan keluhan penuh berat.

Mendengarkan perkataan roh dan badan, maka Salman sudah dapat mengagak hukuman jenis apa yang bakal dihadapi Sang Tua. Ketika itu juga timbul kebimbangan baru di dalam benak hatinya. Adakah dirinya juga bakal senasib dengan Sang Tua? Kalau begitu, habislah segala apa yang diusahakannya selama ini. Perjuangannya bakal terhenti di sebuah penjara dalam dunia yang jauh dari fikiran akal logik manusia. Cita-citanya yang mahu melakukan reformasi dan revolusi menukar rejim kejam di negara asalnya akan terbantut terus. Bagaimana dengan penyokong-penyokong kumpulannya? Akan berantakankah kesatuan mereka?

Dia mulai menyesali keputusannya yang tidak mahu kahwin awal-awal lagi. Semuanya atas alasan perjuangan, atas alasan bahawa cinta kepada kuam Hawa hanya akan melunturkan semangat juang dirinya. Kerana perjuangan reformasi itulah dia sanggup hidup membujang sampai ke umur 30 ini. Dan penghabisannya bukan di mercu kemenangan sambil menjulang panji revolusi di hadapan komrad-komrad, sebaliknya tamat di penjara kayu busuk dan tidak bertamadun ini.

Untuk kepastian yang lebih, Salman kembali bertanya, “Hukuman? Atas salah apa ya Sang Tua?”

“Aku dihukum kerana makan daging,” lemah Sang Tua bertutur, sambil wajahnya penuh dengan garis-garis kekesalan, seolah-olah itu satu kesalahan penuh mengaibkan.

Kali ini giliran Salman mahu tergelak besar. Tetapi wajah bengis pengawal tadi menyebabkan tawanya terhenti sekadar pada tahap niat, dan terlaksana hanya di dalam hati. Sejak bila pula memakan daging menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi pada seekor singa? Bukankah singa itu dicipta Tuhan fitrahnya memang memakan daging, sejak dari zaman dinosaur lagi? Lihat sahaja pada bentuk fizikal mereka. Dengan kuku yang tajam, kaki yang kuat umpama waja, kepantasan larian umpama angin panas Gurun Kalahari, dengan taring panjang yang gunanya memang untuk merobek daging mangsa. Memang dari situ pun sudah jelas akan fitrah sebenar seekor singa. Seekor singa bukanlah singa kalau makanannya bukan daging. Setiap makhluk harus mengikut fitrah kejadian ciptaan Tuhan. Jika fitrah ini dilanggar, atas apa alasan sekalipun ia dilontar untuk merasionalkan tindakan penuh kezaliman pada takdir Tuhan, maka akan haru biru, caca merbalah alam ini.

“Makan daging? Itu satu kesalahan? Celaru apa ini wahai sang Tua?” Salman bertanya, dengan suara sedikit menekan, mahukan kepastian. Jangan-jangan dia juga ditangkap atas sebab yang sama.

Sang Tua memandang Salman dengan wajah simpati. Singa muda dihadapannya ini betul-betul sudah hilang ingatan. Barangkali ini bukan sekadar terhantuk busut atau terhempap ranting jati. Boleh jadi sudah sampai tahap terjatuh ke dalam gaung di hujung hutan sehingga semua ingatan tercabut terus.

Sambil menghela nafas panjnag-panjang, Sang Tua menjawab panjang lebar, semoga jawapannya akan membuka segala kekusutan Salman,

“Barangkali kamu sudah lupa. Memakan daging sudah menjadi kesalahan besar tahap tertinggi di negara Shah Rustam ini. Semuanya sejak Raja Keldai itu mengambil tampuk pemerintahan negara ini. Semua peraturan diubahnya, bagi menjadikan semua singa-singa di negara ini bertukar menjadi pemakan sayur,agar mereka tidak lagi bernafsu pada daging binatang, dan kelangsungan hidup keturunannya dapat dipelihara.”

“Keldai menjadi raja pada singa? Terbalikkah sudah dunia ini? Ke mana fitrah sudah hilang?” hati Salman betul-betul meronta mahukan jawapan.

Melihatkan kerutan pada wajah Salman, sang Tua terus menyambung,

“Bukan itu sahaja, malah, setiap singa yang ada di negara ini diwajibkan berkhatan. Tapi bukan pada kemaluan, tetapi di gigi!” sang Tua berkata sambil menunjuk pada taringnya yang sudah tumpul semuanya.

Patutlah sejak tadi lagi Salman dapat lihat keanehan pada taring Sang Tua. Tiada satu pun yang tajam. Semuanya tumpul, macam telah diasah berkali-kali oleh batu kerikil yang kasar. Seperti berkhatan (yang dia ingat sebagai antara pengalaman paling mengerikan sepanjang hidupnya). Bezanya yang di kemaluan itu untuk melengkapkan lagi fitrahnya sebagai lelaki (pada saat ini dipanggil jantan), untuk menyempurnakan lagi kesucian dan kebersihan yang memang dituntut Tuhan. Namun, menumpulkan taring ini betul-betul sudah melanggar aturan Tuhan, bagi seekor singa!

Sang Tua terus menambah,

“Tambah menguatkan lagi kuasanya, bila dia turut disokong pembesar-pembesar negara dari keturunan singa arab, yang kerja mereka mengampu dan mengikut sahaja bontot si keldai tua celaka itu. Manakan tidak, wang emas berkati-kati, beserta singa betina muda-muda yang mongel-mongel dan gebu-gebu menjadi habuan. Sang singa keturunan arab ini zaman dahulunya memang terkenal dengan kekuatan dan ketangkasan. Namun, sejak 100 tahun yang lepas, mereka lebih dikenali sebagai keturunan pengibur yang bekerja di sarkas-sarkas demi mencari rezeki disebabkan sikap boros ketua-ketua mereka. Bila dijanjikan pulangan lumayan oleh sang Raja Keldai, maka tunduklah mereka, hampir-hampir sahaja jatuh ke tahap menjilat najis keldai sial itu pun mereka sanggup!” nada Sang Tua kali ini begitu keras. Jelas yang dia memang kecewa dengan apa yang berlaku.

Salman dapat menyelami rasa kecewa pada jawapan Sang Tua tadi. Seekor singa tidak seharusnya tunduk pada telunjuk keldai. Singa itu memang dari dahulu lagi diciptakan dengan kekuatan dan kemegahan, untuk menjadi Raja Rimba dan memerintah haiwan-haiwan lain di dalam hutan. Rambut yang panjang itu, bukankah petanda mahkota kemuliaan mereka? Bagaimana sampai mereka jadi tunduk pada sang keldai yang licik itu? Adakah harta dunia yang sementara ini telah menjadikan kekuatan mereka lebur, lantas bertukar menjadi lembut pada sang keldai, sumber makanan mereka sebelum ini, tidak ubah seperti seekor kucing belaan manusia yang asyik mengeliat dan hanya pandai mencakar-cakar manja?

Ngauman yang mengerikan itu, apakah sudah hilang gemanya? Bukankah satu ketika dahulu ngauman itulah yang menakutkan dan mengetarkan hati-hati semua makhluk di alam buana ini, lantas semuanya tunduk pada takhta keagungan yang telah ditakdirkan Tuhan pada mereka? Singa jenis apa ini, bacul pada sang Keldai? Hati Salman betul-betul dirasuk semangat reformasi yang diperjuangkannya selama ini, bila mendengarkan kisah penindasan pada fitrah golongan Singa di negeri Shah Rustam itu.

“Lalu, Sang Tua, bagaimana kamu tertangkap pula? Daging apa yang kamu makan?” Salman berminat mahu mengetahui lanjut tentang singa tua itu.

Sang Tua dengan lemah menjawab, seperti seolah-olah satu penceritaan kisah sedih yang dialaminya,

“Yang sebetulnya aku sendiri tidak berniat mahu melanggar perintah sang Raja Keldai. Aku sendiri takut dengan kebengisan hulubalang-hulubalang singa Arab kepunyaannya. Bapa saudaraku sendiri pernah dihukum pancung dari kepala sampai ke celah kelengkang kerana memakan daging seekor arnab hutan. Adik betinaku, dihukum menjadi pelacur bagi memuaskan nafsu serakah Tuan Penasihat Raja Keldai, sang Mubar dari keturunan singa Yahudi yang jarang-jarang jumlahnya wujud pada zaman ini. Memang aku tidak berani.”

“Namun, suatu hari yang malang, benar-benar telah mengubah nasibku. Aku hanya bersiar-siar di Hutan Indera, di hujung negeri ini. Sambil itu aku mencari-cari kalau-kalau ada pucuk paku-pakis yang boleh ku makan, atau sebenarnya aku katakan, dipaksa makan. “

“Aku benar-benar mengantuk kerana keletihan pada hari malang itu. Suatu ketika, kerana terlalu mengantuk, aku menguap, sambil mulutku menganga luas-luas laksana pintu gua yang besar. Kala itu, tanpa aku sedari, sepasang lalat yang sedang bercanda, tiba-tiba masuk ke dalam mulutku. Barangkali pada anggapan mereka, mulut ku ini adalah pintu masuk ke satu ruang sunyi untuk mereka melabuhka kasih berdua. Aku yang tidak menyedari apa-apa, terus sahaja menutup mulutku. Maka, alangkah malangnya nasib kedua pasangan lalat tadi, akhirnya menjadi korban kealpaan cinta berdua. Betullah kata singa tua-tua dahulu, ‘Berkasih bersayang bercumbu-cumbu, Intinya racun luarnya madu’ ”

“Tidak jauh dari situ, rupanya-rupanya ada seekor hulubalang singa Arab sedang membuat rondaan. Kejadian tragis itu telah dia sedari, lantas aku dikejar dan teus ditangkap. Kakiku diikat keempat-empatnya dan diheret sampai ke Mahkamah Agung Negara. Di sana, seekor Kanggaru yang bertugas sebagai hakim telah mengadili aku. Aku didakwa atas kesalahan paling berat dalam negara ini, iatu memakan daging,”

“Tanpa pembelaan, aku ditekan bertubi-tubi oleh barisan pendakwaan. Aku berhujah bahawa sesunguhnya lalat ini jenis makhluk kecil yang hampir-hampir tidak berdaging, bagaimana aku boleh dituduh atas dakwaan memakan daging?”

“Namun mengikut hakim Kanggaru, adalah dalam pindaan undang-undang yang baru diluluskan Raja Keldai, telah menjadi kesalahan bagi sesiapa sahaja untuk memakan benda hidup, sama ada berdaging atau tidak, hatta jin ifrit sekalipun, kalau dimakan, adalah dikira sebagai kesalahan, yang hukumannya adalah mati. Sampai begitu sekali paranoidnya Raja Keldai pada kaum singa.”

“Padahal, kami langsung tidak berniat mahukan daging tubuhnya. Melihatkan tubuh kerepot Raja Keldai itu pun sudah tidak menyelerakan. Apa yang ditakutkannya sangat pada kami ini?”

“Tapi, kalau gigit-gigit sedikit itu, err, teringin juga aku,” kata Sang Tua mengakhiri cerita penangkapannya itu.

Salman menggeleng-geleng kepala, sambil menjilat-jilat sedikit bulunya (dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan gaya seekor singa, dalam tempoh kurang dua jam). Negara Shah Rustam ini benar-benar dalam kekalutan. Pemerintahnya zalim dan tidak mahu mematuhi Hukum Alam yang sudah ditetapkan Tuhan untuk kesejahteraan semua makhluk.

Suatu revolusi harus digerakkan. Tenaga anak singa muda harus dibangkitkan. Perubahan perlu dilaungkan. Namun, bagaimana mahu dilakukan dari dalam ruang penjara penuh sempit ini?

Satu lagi persoalan yang masih belum dijawab bagi menghuraikan apa yang tersimpul dalam benaknya, iatu, apa sebabnya dia ditangkap pula?

Tiba-tiba wajah Sang Tua berubah. Seolah-olah ada mentol telah berjaya menerangi pemikirannya yang gelap gelita akibat usia tua yang sudah memamah kekuatan ingatannya.

“Aku sudah ingat! Aku sudah ingat siapa engkau hai anak muda! Wajah mu selaluk ku lihat pada poster-poster yang diedarkan ke seluruh negara oleh tentera-tentera singa Arab!”

Poster? Wajah? Salman tambah bingung. Apakah dia ini dahulunya seekor artis sarkis terkemuka di negara itu, sampai wajah terpampang di poster? Tentera? Ah, ini petanda buruk. Kalau poster yang dieedar tentera, itu bukan artis sarkis, itu barangkali poster pesalah yang dikehendaki!

“Ya! Aku ingat! Engkau ini anak muda yang memimpin pemberontakan golongan singa pada pemerintahan Raja Keldai. Ramai sekali tentera-tentera engkau, semuanya muda-muda dan berani-berani belaka. Aku sukakan ucapan dan pidato penuh berapi mu. Aku ingin sekali menyumbang tenaga, namun aku tidak terdaya disebabkan ketuaan ku ini. Ah! Sedih sekali ini! Engkau, pahlawan agung, bertembung dengan ku di dalam penjara pula! Bagaimana engkau tertangkap?” Sang Tua bersuara, hampir meninggi bunyinya, lantaran terkejut dengan memorinya tentang singa muda di hadapannya itu.

“Nama mu selalu disebut-sebut orang sebagai singa muda yang akan mengubah nasib kaum singa. Ya! Aku ingat laungan namamu itu. Al Farisi! Al Farisi! Al Farisi Sang Singa Revolusi!”

Salman terasa seperti mahu pengsan sekali lagi. Namun, dia hanya mampu merebahkan badan penuh longlai, terjelepok ke lantai tanah penjara.

“Apa semua ini?” tanyanya, lemah.

Jauh dari Shah Rustam, Al Farisi terjaga dari tidurnya. Seingatnya, dia tadinya dikejar oleh segerombolan Singa Arab pimpinan Raja Keldai sendiri. Seluruh tentera revolusi pimpinannya telah diarah untuk berpecah dan lari buat sementara waktu setelah strategi pertahanan mereka bocor akibat pembelot dalaman.

Dan, perkara terakhir yang dia ingat ialah dirinya telah terjatuh ke dalam sebuah gaung yang dalamnya hampir tidak berpenghujung. Kemudian, segalanya bertukar menjadi gelap.

Waktu terjaga, dirinya benar-benar terkejut. Tempat berbaringnya dia sangat lembut, tidak pernah ada tempat tidur selembut ini di Shah Rustam. Apa bendanya ini?

Ditolehnya ke kanan, di mana di situ terletak sebuah cermin besar.

Dan, demi melihatkan imejnya di cermin, dia terasa mahu mengaum sekuat hatinya.

“Mana misaiku?”

“Mana taringku?”

“Mana rambut panjangku?”

“Argggggghhhhhhhhhhhhhh!!” tiada ngauman, yang ada hanya pekikan bersuara manusia.

Semua persoalan di dalam diri Al Farisi itu tidak terjawab. Hanya yang boleh dia lakukan, adalah merenung pada imej manusia pada cermin di hadapannya.

No comments:

Post a Comment