Saturday, August 13, 2011

Mahu Terjun Tingkap

Petang semalam hujan lebat selebat-lebatnya. Air yang mencurah-curah meliuk-liuk ditiup angin lantas tempiasnya masuk melalui celahan tingkap yang terbuka sedikit. Hempasan mutiara-mutiara cair langit pada atap mendengungkan bunyian-bunyian simfoni indah gabungan alam hijau dan alam moden. Ditambah pula dengan hon kenderaan di jalanan yang lambat-lambat dapat sampai ke destinasi lantaran hujan yang lebat.

Su berjalan melalui kiub-kiub wad. Matanya melilau mencari-cari melalui katil-katil pesakit yang tersusun berhadap-hadapan. Cuaca yang sedingin begitu di luar, disulam bekukan lagi dengan pendingin hawa yang masih terbuka, bisa sahaja membuatkan mana-mana pelajar perubatan untuk balik tidur di bilik menunggu waktu berbuka. Ditarik sedikit kot putih yang labuh sampai ke lutut untuk melindungi tubuh dari dimamah kesejukan.

Tetapi Su memang bertekad hari itu. Dia mahu cepat-cepat melaksanakan apa yang timbul secara tiba-tiba dalam dirinya. Kesedaran yang baru berputik itu mahu ditunaskan secepat mungkin agar nanti ianya tidak kering sebelum sempat dibajai.

Dia sedar yang selama ini dia dan kawan-kawannya telah mengabaikan sesuatu yang lebih penting dari dunia dan seluruh isinya. Walaupun mereka rajin dan sering pergi bertemu dengan pesakit-pesakit di wad, bertanya itu dan ini, dan mengeluarkan bermacam-macam khazanah ilmu dan pengalaman bersama penyakit-penyakit yang wujud pada pesakit mereka, ternyata mereka sering meninggalkan kewajipan muslim kepada muslim yang lain. Itulah kewajipan bertanyakan tentang khabar iman mereka.

Bertanya khabar tentang kesihatan itu memang rutin harian mereka di wad. Akan tetapi, khabar iman para pesakit jarang sekali ditanya atau dibualbicarakan, sedang isi rohaniah itulah inti sebenar kehidupan. Akan halnya kesihatan jasmani itu hanyalah sekadar ianya kulit buat sebuah bekas bernama insan tercipta dari tanah yang hina. Soalan-soalan lazim yang selalu ditanya hanyalah ,"apa khabar hari ini? ok ke tak?", "sakit di mana pak cik? Tunjukkan dengan jari?", "ada anak perempuan, pak cik? Dah kahwin?", dan bermacam-macam lagi soalan ada dalam template untuk history taking dalam membuat diagnosis sesuatu penyakit (soalan terakhir itu adalah soalan tambahan dalam template history taking seorang sahabat penulis. Penulis tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa yang berlaku kalau-kalau ada pelajar perubatan yang mahu mengambil soalan itu sebagai isi dalam pembentangan di hadapan pensyarah- Apes-)

Namun yang sering tertinggal atau hilang terus dari template ialah soalan-soalan yang menjurus pada kondisi iman pesakit-pesakit. Soalan-soalan sepeerti, "Dah solat pak cik?", "Hari ini ada baca Al Quran?", dan sebagainya selalu tiada ditanyakan.

Maka itulah sebabnya Su mahu menebus kesilapannya selama ini. Sudah 1 tahun lebih dalam tahun klinikal, dan dia tidak pernah melakukan ini. Sebelum syaitan dan iblis pulang dari lokap balai ramadhan, adalah lebih baik dia mulakan perkara-perkara yang baik di bulan yang penuh berkah ini.

Lalu matanya terus terlihat seorang lelaki yang sedang duduk di atas katil sambil kakinya dilunjurkan. Dengan perwatakan fizikal dan helaian-helaian putih di atas kepala, dapatlah diagak bahawa lelaki ini berada dalam lingkungan umur pertengahan 40an.

Setelah berbasa basi dengan soalan-soalan lazim sekadar untuk membasahkan gear perbualan, maka terus sahaja Su mengambil langkah bertanya soalan sebenar.

"Pak cik di sini solatnya bagaimana?" Su bertanya. Gugup pada mulanya, kerana tidak biasa.

Orang tua itu menajam sedikit pandangannya. Dia bukannya marah, akan tetapi berasa pelik kerana inilah kali pertama ada orang di wad yang bertanyakan soalan seperti itu padanya.

"Sejak masuk ke wad, pak cik memang tak solat.." jawab lelaki itu.

Hah! Ini tugas engkau Su! Ini tugas engkau! Cepatlah tanya dan nasihatkan dia!

Segan la pulak. Nanti karang tak pasal-pasal dia kecik hati nanti

Hairan, engkau merasakan hatimu berat bagai memikul dunia dan seiisinya semata-mata untuk menjaga hati seorang manusia? Seganmu dengan Tuhan engkau kuburkan di mana?

Emmmmmmm.....

Cepat! Sekarang inilah masanya!

Cepat!

Cepat!

Su menarik nafas panjang, terus sahaja dia bertanya,

"Kenapa, pak cik?"

Lelaki itu memandang Su. Hendak cerita ke tidak? Hendak cerita ke tidak? Ah! Cerita sahajalah


"Pak cik pelik tengok orang Melayu ni.." lelaki itu tiba-tiba bersuara.

Su pelik mendengar soalan tentang kepelikan lelaki itu. Nampak macam hendak lari dari tajuk sahjaa.

"Kenapa pelik, pak cik?"

"Iyelah. pak cik pelik."

"Apa yang pak cik pelik?" dalam hati Su mula merasakan yang lelaki di depannya itu memanglah pelik. Tiadalah lebih pelik melainkan pelik yang ini.

"Orang Melayu ni teruk. Bila susah baru nak solat.."

Sekurang-kurangnya mereka insaf hendak solat di waktu susah. Macam engkau, lebih teruk, kata Su, akan tetapi di dalam hati.

"Jadi?"

"Teruklah. Bila susah baru nak cari Tuhan. Pak cik tak. Pak cik lain." jawab orang tua itu.

"Kalau pak cik?" Su bertanya bodoh-bodoh alang.

"Pak cik cari Tuhan waktu senang. Sebab itu pak cik solat waktu tak sakit. Ni sekarang waktu susah. Jadi pak cik tak solat lah," panjang lebar lelaki itu menerangkan.

"Pak cik tak hipokrit macam Melayu lain. Solat bila susah. Pak cik solat bila senang saja. Pandai tak pak cik?"

Demi mendengarkan jawapan jujur lelaki itu, Su mulai merasakan titik-titik air mata keharuaan mulai terbit dari jendela matanya. Tidak pernah dia mendengarkah hujah yang sedemikian rupa. Dia terkesima, mulutnya terkunci tidak behujah. Saat itu Su tiba-tiba rasa seperti mahu terjun melalui tingkap wad, sedang lelaki tua itu tiba-tiba ketawa berdekah-dekah hingga bergegar satu wad.

"Keh keh keh kehkeh! Kah kahkahkahkahahkahkah kahkah! Hipokrit! Hipokrit! Warghhhhhhhahahahahahahahahahhahaha! Hipokrit!"

Su terlupa bertanya di kaunter terlebih dahulu. Lelaki itu terencat akal sebenarnya.








Arghhhhhhhhhh!!!! Cerita apa ni apes? Dari buang masa baca cerita ni baik aku terjun bangunan!

4 comments:

  1. mungkinkah wujud golongan mcm ni?? huhu..:)

    ReplyDelete
  2. Ini kesah benar ini.Pengalaman sebenar. Mmg wujud apa.. haha

    ReplyDelete
  3. parah ni...
    tapi bulan-bulan puasa ni tak baik terjun tingkap... sabar 3X

    ReplyDelete
  4. Marah teoh beng hock kerana mempopularkan budaya tingkap ini

    ReplyDelete