Friday, May 14, 2010

Siri CerDek 2 : Khutbah


Semua orang yang keluar dari masjid tadi menunjukkan wajah tidak puas hati. Masing-masing menarik muka masam. Tak kurang juga yang menggosok-gosok mata, maklumlah bermimpi menang pertaruhan bola, yang sekarang ini sudah pun halal, mengikut fatwa terbaru Al Fadhil Ustaz Vincent Tan.

“Tak patut betul. Ada ke patut khutbah tadi cerita tentang kisah Sang Kancil dan sang buaya? Apa ingat kita semua ni budak-budak kecil ka?” marah seorang jemaah.

“Entah. Adik pun tak suka gak. Asek-asek cerita sang Kancil dan sang buaya je. Kat skolah cikgu dah pernah cerita,” sambut anaknya yang baru berusia tujuh tahun setengah itu, sambil berkira-kira untuk mengundi siapa bagi konsert ‘Mahu Jadi Setar’ minggu depan.

Pendek kata, semua orang benar-benar rasa diperbudakkan hari itu.Budak-budak pula rasa seperti diper’bayi’kan hari itu. Rasa marah terbawa-bawa dalam solat jumaat. Terngiang-ngiang di kepala masing-masing cerita tentang sang kancil menipu sang buaya itu, sampai tidak khusyuk pun solat. Kalau dulu, sewaktu solat, ingatan mereka asyik pada bini di rumah, tidak pun keputusan EPL, tapi kali ini lain.

Di dalam masjid, selepas solat jumaat selesai, Imam Sani duduk tersandar di tpi mimbar. Dia benar-bnar kecewa kerana ahli kariahnya marahkan dia kerana membaca cerita Sang Kancil dan Sang Buaya.

“Bukan salah aku. Aku Cuma jalankan tugas sahaja. Aku pun bukannya suka pun baca cerita kanak-kanak di sini. Tapi nak buat macamana,” kata Imam Sani sambil tangannya memegang notis trbaru yang dikeluarkan pejabat agama.

‘LARANGAN BERPOLITIK DALAM MASJID’. Begitulah bunyinya arahan tersebut. Imam Sani betul-betul bingung. Politik itukan maksudnya segala macam hal tentang kepentinagn ummah, tentang hal ehwal ummah. Bukankah memang fungsi khutbah itu untuk membicarakan tentang persoalan ummah dan permasalahannya.

Politik pada fahamannya Imam Sani, bukanlah politik kepartian sepertimana yang dijuangkan sebilangan puak sempit yang tak habis-habis mahu hak istimewa sahaja kerjanya. Politik ialah ummat. Nabi dulu pun berpolitik juga dalam masjid.

Jadi, semalam Imam Sani betul-betul bingung sewaktu mahu menulis khutbah. Apa lagi bahan yang boleh dicerita di mimbar, kalau begitu?

Tiada jalan lain, cerita Kancil dan Sang Buaya pun jadilah. Minggu depan kisah Si Katak dan Putera pulalah.

“Biarlah mereka benci aku. Aku cuma jalankan tugas,” kata Imam Sani dalam hati.

3 comments:

  1. menarik!! n itulah realitinye kan??

    ReplyDelete
  2. kerana itu isi khutbah kurang mantap, skema, dan menyebabkan mata memberat saja mendengarkannya

    ReplyDelete
  3. cerita nya sangat menginspira dan menarik.

    ReplyDelete