Thursday, July 28, 2011

Rom dan Harimau Malaya

Tumpuan hampir seluruh rakyat Malaysia ialah mengenai apa yang berlaku kepada pasukan bola sepak kebangsaan kita itu. Yang dahulunya segan-segan mahu memakai jersi kuning berjalur hitam itu, tiba-tiba menjadi galak dan berbangga dengannya. Peniaga pun memang berotak kapitalis bijak. Dan dan, jersi Malaysia naik harga. Kalaulah Malaysia menang Piala AFF itu beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 yang tersohor itu, aku yakin harganya akan jauh lebih melambung. Ialah. Warna kuning, ‘kan? Benda haram sememangnya mahal.

Apapun, Malaysia kalah malam tadi, dan semua orang bersedih.

Aku secara tiba-tiba teringat kepada apa yang berlaku di zaman Rom dahulu.

Apalah kena mengenanya Rom dengan bola sepak ini? Kalau bertanya pada Rajagobal pun aku rasa dia takkan tahu. Cuma mungkin kalau ditanya siapa yang pergi ke Vatican dekat Rom tempoh hari untuk berjumpa Pope Benedict, itu kalau ditanyakan pada hantu Altantuya pun insyaALLAH dia tahu.

Pengajaran Dari Rom

Adalah menurut kisah yang sahih pernah berlaku, bahawa waktu itu kerajaan Rom mengalami kemerosotan yang amat. Sesungguhnya tiada lah kerajaan yang akan kekal kecuali kerjaan Tuhan Yang Esa juga. Rom waktu itu memang sedang meniti hari-hari akhirnya. Rakyat sudah mula memberontak dan berdemo di jalan-jalan sekitar kota Rom. Kemarahan mereka sudah tidak dapat dibendung lagi oleh Nero, raja Rom pada masa itu.

Hal ini berlaku kerana rakyat sudah mulai merasa kesan daripada kejatuhan ekonomi Rom ketika itu. Kos untuk membiayai barisan pertahanan yang terlalu besar, lengkap dengan catapults dan balistae telah memerah negara sampai ke tulang-tulangnya. Adakah kapal selam mereka tidak tenggelam dan enjin jet mereka juga hilang seperti yang berlaku zaman ini, wallahualam bissawab, tiadalah kita tahu. Ditambah dengan subsidi yang perlu diberikan kepada negara-negara satelit jajahan mereka yang diperoleh hasil kearkusan menumpahkan darah merata-rata menyebabkan keadaan ekonomi mereka bertambah nazak.

Lalu di tengah-tengah krisis itu, maka sekonyong-konyong muncullah kaptan kapal perdagangan Rom datang tergesa-gesa menaiki kereta kuda pergi berjumpa pihak atasan pemerintah negara. Maka kereta kuda dipecut penuh laju supaya perkhabaran penting yang akan menentukan masa depan negara Rom itu dapat sampai ke telinga-telinga pihak elitis dan bangsawan untuk diperbincangkan.

“Kapal perdagangan kita sudah sampai di Mesir, cuma menunggu masa sahaja untuk diisi,” khabar si pembawa berita.

“Sama ada ianya akan diisi dengan tepung untuk rakyat kita yang sedang kelaparan, atau...”

“atau kita isinya penuh dengan pasir khas bermutu dari mesir untuk kita bina arena gladiator terbaik,” pembawa khabar menghabiskan ayat.

“Engkau gila?!!!” tiba-tiba wakil penguasa bertempik.

“Engkau tidak tahukah bahawa keadaan sekarang ini sudah di luar kawalan kita? Rakyat sudah berdemo di jalan-jalan kerana marahkan kita. For God sake, penuhkan ianya dengan pasir! Kita mesti tenangkan kemarahan mereka!” jawab wakil penguasa.

Dan ianya menjadi. Rakyat mulai lupa akan kesengsaraan mereka. Sepnajang hari mereka beramia-ramai berhibur menonton pertarungan galdiator dan berbagai-bagai lagi acara brutal yang dipersembahkan. Kegembiraan dan jerit tempik mereka menenggelamkan segala tangis duka mereka selama ini.

Sounds Familiar, isn’t it?

Dengan cara itulah aku memandang kejayaan berturut-turut pasukan bola sepak negara.

Aku tahu kalaulah tulisan ku ini ada dibaca oleh peminat bola sepak negara, sudah tentu esoknya aku akan diserang dengan laser sampai mata jadi buta. Aku yakin bahawa akan datang tohmahan mengatakan aku ini anti bola sepak, kaki bangku, sepak penalti tak masuk, dan sebagainya.

Hendak aku tegaskan di sini, bahawa sesungguhnya bola sepak itulah mainan aku dari kecil sampai sekarang. Aku pernah retak kaki kiri sampai berbalut kerana bola sepak sewaktu di tingkatan 3. Keudian, tulang bahuku patah dua selepas dirempuh penjaga gol yang macam pemain ragbi besarnya. Yang itu waktu di tingkatan 5. Malah cita-cita asal aku ialah menjadi seorang pemain bola, sebelum akhirnya aku menyedari bahawa menjadi pengamal perubatan tidak memerlukan seseorang itu berbadan besar untuk sekurang-kurangnya tidak melayang bila dilanggar.

Jadi bola sepak itu sudah jadi macam ‘bread and butter’ bagi ku.

Aku mahu mengatakan bahawa selama ini cara inilah yang telah dilakukan untuk mengalihkan amarah rakyat. Bukan hanya bola sepak. Anda para pembaca boleh menambah sendiri senarai itu. Janganlah asyik jawab Akademi Fantasia. Carilah jawapan lain. Sesungguhnya senarai itu terlalu panjang.

Saturday, July 23, 2011

Selamat Mencuba!


Di awal nikmat, di akhir barangkali sengsara. Akan tetapi, perkara bernama ‘jawatan’ dan ‘kuasa’ inilah perkara yang sangat direbut-rebutkan, kerana ia umpama tiket ke arah kenikmatan-kenikmatan duniawi yang lain. Akan tetapi, sedarkah kita bahawa cabaran yang menati seorang ketua itu sangat besar, sepertimana besarnya kenikmatan dunia yang bakal diperoleh. Cabaran yang besar itupun, kalau tidak dihadapi di dunia (bagi mereka yang senang lenang dengan kuasa dan tidak mengambil ia dengan serius), pasti akan dihadapi tepat pada batang hidung, bila di hadapan Yang Maha Kuasa nanti.

Maka kalau aku ditanya, apa cabaran paling besar bagi seorang pemimpin, maka aku katakan cabaran itu akan terselak hijabnya di hadapan Tuhan nanti. Jangan bersikap skeptikal bila aku katakan mengenai agama dan Tuhan di sini, kerana ia perkara yang pasti, dan pasti, akan kita hadapi. Sudah pasti bagi setiap insan, dari serendah-rendah pengemis, hingga sekaya-kaya Qarun, cabaran paling besar yang akan dihadapi ialah di akhirat nanti. Akan tetapi, apa yang menanti seorang pemimpin ialah sesuatu yang jauh lebih besar dari manusia-manusia yang lainnya. Kerana apa yang akan terbeban di bahu mereka nanti saat hari pembalasan, ialah amanah rakyat, atau pun senang kita katakan mereka yang dipimpin. Itulah sebenarnya cabaran terbesar pemimpin.

Cabaran bernama amanah ini, tidak akan dapat dilaksanakan, selagi mereka yang memimpin, tidak berusaha untuk menyelami, dan menghayati denyut dan nadi hidup rakyat kebanyakan. Bagaimana seorang pemimpin itu mampu untuk hidup senang-lenang, sedang rakyat di sekeliling hidup penuh kesukaran? Bagaimana boleh mereka tidur lena di atas katil bersulam cadar keemasan, di istana mewah di puncak bukit? (dibina di situ supaya semua rakyat banyak dapat mendongak, melihatnya saat mengelap peluh ketika menuai padi di tengah panas, dan kemudian seraya mereka semua akan berkata dengan penuh kesyukuran, “Lihat, inilah nikmat merdeka! Anak melayu dapat hidup dengan mewah! Kami berbangga!”). Kalian sepatutnya takut, gementar, dan risau tentang setiap kesengsaraan semua yang dipimpin, kerana itulah bebanan kalian di akhirat kelak. Perlukah aku ulang kisah dua orang Umar itu? Kalian pernah dengar, bukan?

Yang sebenarnya, aku tidak pelik jika melihat ramai yang mula membesarkan rumah, menukar kereta, dan yang lebih main kasar, menukar bini (hehehe), apabila mendapat kuasa. Hal ini berlaku kerana mereka telah melabur hampir segalanya semata-mata untuk memperoleh jawatan yang diidamkan itu. Rasuah, wang kopi, duit bawah meja, politik wang dan berbagai lagi istilah sedap didengar, enak dilakukan, yang diberi untuk merasionalkan tindakan penuh khianat dan kebejatan(kita ini bangsa yang kaya bahasa), semua ini dilakukan sebagai pelaburan untuk menang pemilihan. Maka, pada anggapan mereka, adalah tidak salah jika mereka meraikan ‘kemenangan’ meraih jawatan itu dengan bermewah-mewahan, menukar segala yang boleh ditukar, walaupun sumbernya dari air mata, peluh, dan darah para petani miskin, para nelayan sengsara, para penoreh getah, yang saban hari membilang butir nasi untuk makan anak-anak. Kalaulah permualaanya sudah salah (ketika merebut jawatan), maka penghabisannya sudah pasti lebih teruk. Matlamat tidak menghalalkna cara, betul semua?

Pemimpin itu tarafnya sama seperti rakyat kebanyakan, tiada keistimewaanya. Bezanya ialah pemimpin akan memikul beban Yang Maha Berat, itu sahaja.

Bagaimana? Berat untuk dilaksanakan, bukan? Tetapi itulah cabaran seorang pemimpin.

Orang selalu katakan, ‘Ditanggung Halal’.

Akan tetapi bagi pemimpin, aku katakan, ‘Ditanggung Sendiri’ (quote to Bro Isham).

SELAMAT MENCUBA!

Ps: Jangan takut untuk memimpin, jika anda insan yang layak. Jangan tersalah sangka. Adapun artikel ini bersifat umum, sebagai memupuk kesedaran ke atas sesetengah pihak yang menyalahgunakan amanah di beri Tuhan di muka bumi.


Saturday, July 16, 2011

Awal Kasih Mengenal Kekasih


Awal agama mengenal Tuhan,

Pada hakikat langit tak bertiang,

Pada sejuk embun daun di hutan,

Di situ letak indah bersayang



Awal kasih mengenal kekasih,

Pada mukjizat dan ayat bersilih,

Pada sabda kekasih terpilih,

Di situ berahikan rahmat kembang mencambah

nampak cantik


Tiada kasih tanpa kenal,

Tiada iman tanpa tahu maarifat,

Kerana awal agama itu mengenal Tuhan,

Dari lidah kasih junjungan

Pokok Untuk Yang Muda

Masyarakat Malaysia, orang muda terutamanya, ada yang sudah hilang kelayakan untuk memimpin. Saya tidak katakan semua. Bukanlah mereka ini tidak mempunyai akal yang sihat, memandangkan ramai yang membesar dengan bermacam susu tepung yang penuh dengan DHA dan entah apa-apa lagi yang disumbat dalam itu. Asalnya, akal yang ada itu memang cukup sihat, dan mampu memikir perkara-perkara besar, dari hal-hal penting umat, tentang kebesaran Yang Maha Pencipta, serta mampu menyelesai masalah-masalah besar dalam hidup.

Cuma, masalahnya sekarang, ialah akal yang pada lahirnya tadi mampu, sudah ditumpulkan dan dibonsaikan! Umpama kita melihat pada pokok-pokok kecil yang dibonsaikan, yang sekarang ada dijual di merata-rata Nursery. Lihatlah, pada asalnya, pokok yang penuh dengan daun dan ranting itu, dipotong-potong, dicabut-cabut dahannya, sehingga jadilah ia togel dan berbentuk yang pelik-pelik, mengikut kehendak tukang bonsai. Begitulah akal yang dibonsaikan. Akal itu penuh dan bercabang-cabang dengan berbagai idea, kemudian habis jadi togel dikerjakan. Maka, bagaimana sampai ini terjadi?

1. Pertama, ialah bila akal muda remaja itu tadi dihalang, dipaksa tahan, dari berfikir. Ini berlaku bila ada segelintir, iani sebilangan pihak, yang takut pada kekuatan pemikiran anak muda. Pada anak muda, apa yang dilihat akal mereka, ialah memandang pada perkara ke hadapan. Akal mereka neutral, akal mereka cergas bertenaga, untuk mengeluarkan idea-idea yang baharu, dan itu dikuatkan lagi dengan fizikal yang masih utuh, sesuai dengan nama remaja itu tadi. Izinkanlah diri kita memandang ke belakang sebentar, menyelak jendela-jendela sejarah dunia. Lihat bagaimana nama-nama seperti Saidina Ali, Tariq bin Ziyad, dan nama-nama lain seperti Napoleon Bonaparte, Lenin, dan sebagainya. Ini tokoh-tokoh yang mengubah dunia pada zaman muda mereka. (mari kita tolak sebentar ideologi salah sebahagian mereka, kerana apa yang ingin disampaikan di sini ialah fakta kebenaran bahawa pemikiran anak mudalah yang banyak mengubah dunia). Kerana itu ramai pihak yang takut pada anak muda yang mampu berfikir luas dan memiliki ranting-ranting idea yang lebat pada pokok akal mereka. Sebabnya adalah, kerana anak muda ini nanti pasti akan mengubah dan menghukum kebejatan dan ketamakan sosial golongan-golongan pemuja kapitalis ini.

2. Kedua, ialah bila akal anak muda remaja itu tadi, berjaya diprogramkan. Komputer tidak akan sesuka hati berfungsi, kecuali hanya mengikut apa yang diprogramkan ia untuk dilakukan. Maka, akal yang berjaya diprogramkan, hanya akan berfikir mengikut apa yang telah diprogramkan mereka untuk berfikir. Maka dalam kes anak muda, mereka telah diprogramkan hanya untuk berfikir pada hal yang remeh-temeh belaka. Sibuk dengan cerita bahagia kemudian cerai ‘super setar-super setar’ Malaysia, cerita kawan serumah mereka baru ‘clash’ dengan balak barunya, dan ini memang kenyataan! Bukalah fesbuk kalau hendak tengok sendiri secara langsung.

Jadi, lihatlah pada falsafah pokok bonsai; yang hilang ranting-rantingnya dan menjadi togel dengan berbagai bentuk mengikut acuan tukang ‘pembonsai’.

Sudah tentu, tukang pembonsai itu tiada lain, ialah ‘golongan-golongan’ penagih tegar kuasa dan harta, tidak kisahlah mereka itu dari Barat pun, kerana yang beragama Islam dan Melayu itu pun ramai juga yang begitu perangainya. Manakala, gunting tajam untuk membuat corak bonsai pada akal anak muda kita, juga tidak mengejutkan, ialah media, dan sekali lagi saya katakan, tidak kisahlah mereka itu media kafir di Amerika sana pun, kerana media yang beragama Islam pun, yang baca Yassin sampai berbuih pun, sama dua kali lima perangainya. Barangkali, mereka membaca dan langsung tidak faham apa yang dibacakan.Maka samalah mereka itu seperti burung murai.

-Burung apa?

“Burung Murai!” (jawab dengan ceria)

-Burung apa?

“Burung Murai...”

-Burung apa?

“Pis, sekali lagi ko tanya, aku bagi penyepak sepam kat ko!” kata seorang kawan.

Inilah dia, 2 perkara penghalang anak muda berfikir, pada pendapat hamba yang lemah ini. Sekadar renungan dan kritikan kritis, yang semoga dengannya, akan mempromosikan budaya berfikir dengan betul di kalangan anak muda.

Wahai yang berfikir, mari kita sama-sama hayati kata Hamka,

KITA BERSATU PADA URAT DAN PADA POHON. ADAPUN JIKA BANYAK CABANG KAYU ADALAH ITU ALAMAT SUBURNYA - Hamka

Buat yang terakhir, sekali lagi saya ingin bertanya,

Burung a... Adeh!! (penulis telah ditinju tiga kali di ulu hatinya sebelum dia sempat menghabiskan soalan. Kesian)

Thursday, July 7, 2011

Permohonan Maaf Secara Terbuka Saya


Ini adalah makalah permohonan maaf secara terbuka dari saya, hamba yang hina dan penuh dengan kesilapan dan kesalahan ini.

Saya dengan ini ingin menyatakan bahawa saya benar-benar menyesal akan kenyataan saya pada artikel yang lepas yang jelas menyimpang dari kebenaran.

Perasaan sesal ini benar-benar menghantui saya, sehingga segala apa yang saya lakukan benar-benar tidak keruan. Kenyataan saya itu sentiasa berlegar-berlegar di fikiran sehingga makan tak sedap mandi tak kecut.

Saya benar-benar menyesali akan kekhilafan ini, bila pada tulisan yang lepas saya mengatakan bahawa khutbah di masjid sebagai sebuah pidato bertaraf sekolah rendah.

Saya mengakui bahawa tulisan itu muncul dari kesilapan dan kebodohan saya sendiri. Sebenarnya adalah tidak sepatutnya saya mengatakan bahawa khutbah di masjid dengan label sedemikian rupa.

Ini kerana, selepas sahaja solat jumaat sebentar tadi, saya menyedari betapa saya benar-benar tersasul dan terpesong dari ajaran yang sebenar. Ianya bukanlah bertaraf sekolah rendah seperti yang dinyatakan dalam tulisan yang lepas.

Sebaliknya, kemulian khutbah di masjid itu sama seperti pidato pesakit-pesakit mental di Hospital Bahagia. Adalah tidak benar dan sesat sama sekali bilamana menyamakan ia dengan pidato budak sekolah rendah.

Saya dengan ini ingin memohon maaf kepada semua pelajar sekolah rendah seluruh Malaysia kerana menghina mereka dengan menyamakan pidato mereka dengan khutbah yang disediakan oleh jabatan agama negeri. Segala kesilapan ini adalah atas kelemahan saya sendiri yang sering tertidur di dalam khutbah kerana terlalu mengantuk. Akan tetapi hari ini sahaja saya tidak tidur kerana otak saya sentiasa terjaga sambil membalas setiap hujah-hujah khatib ‘cari makan’ , yang berkhutbah mengenai ke’haraman’ perhimpunan menuntut keadilan pilihanraya. (saya balas dalam hati. dan itulah selemah-lemah iman). Kalaulah tadi ada mikrofon di sebelah saya, nescaya pasti saya akan menyanyikan lagu ‘Uprising’ bagi membantah penyalah gunaan ayat2 Al Quran dan hadis nabi untuk mengelirukan jemaah di kariah saya. Kerana itu, saya cuba sedaya upaya untuk tidur seperti biasa, namun ternyata gagal kerana suara khatib tadi terlebih kuat dan lantang dari kebiasaanya.

Sekali lagi saya menyusun seluruh jari tangan dan kaki, menghulur agar permohonan maaf ini diterima. Besarlah harapan saya agar ianya dapat diterima dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang besar seperti ini.

-Di Pinggiran-

Apakah Tonik Sehingga Penzalim Sanggup Berlaku Zalim?

Macam di langgar burung geroda jadinya negara kita. Semuanya disebabkan rancangan sepasukan geroda berwarna Kuning yang menggelar diri sebagai kumpulan Bersih yang mahu mengadakan perhimpunan di ibu kota bagi menuntut pilihanraya adil.

Maka dikerah segala jenis jentera yang ada di dalam negara untuk menghalang perhimpunan yang disifatkan haram itu. Dari sekecil-kecil institusi seperti masjid melalui khutbah jumaat (baca:pidato bertaraf budak sekolah rendah) , sehinggalah kepada kemungkinan penggunaan kuasa tentera, telah diacukan kepada para pendokong dan penggerak yang mahu menjayakan perhimpunan tersebut.

Mengapakah elit penguasa negara ini mengambil sikap yang begitu radikal dan drastik seperti ini?

Saya melihat ini melalui dua kemungkinan.

Dua kemungkinan inilah yang memberikan mereka nafsu yang membuak-buak untuk menghalang perhimpunan Bersih dari menjadi kenyataan. Raja silat yang berkerusi roda itupun tiba-tiba bangkit semangat kepahlawanannya. Ini sangat memeranjatkan. Ternyata kuasa Dua Kemungkinan ini begitu kuat sekali, sehinggakan seorang yang berkerusi roda pun merasa terpanggil untuk bangun bersilat. Minum air tongkat Ali setangki penuh pun takkan mampu menaikkan semangat kejantanan seperti itu! (Minum secawan pun takkan larat. Pahit tu..)

Kemungkinan pertama ialah faktor perasaan takut yang menghantui para elitis yang mempunyai sifat dan perangai seperti Mubarak. Bagi kelompok yang sudah memerintah negara ini selama 50 tahun melalui cara kuku besi, apa yang menimpa klon mereka di Mesir itu merupakan satu kemungkinan yang tidak mustahil untuk berlaku di sini.

Kita sendiri menjadi saksi bahawa rantau ini pernah berjaya menyaksikan jatuhnya rejim Suharto dan Marcos melalui jalanraya. Maka, faktor geografi bukan penghalang untuk rantau ini mencontohi revolusi yang berlaku di Timur Tengah itu. Malahan, hampir-hampir sahaja ia berlaku di bumi bertuah Malaysia ini saat reformasi tahun 1998.

Walaupun para aktivis Bersih sudah memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan berlangsung dengan aman, bermula jam 2 dan tamat jam 4, serta tidak aka berlarutan sehingga berhari-hari seperti apa yang berlaku di Mesir, namun mereka sudah berada di dalam keadaan orang yang takut pada bayang-bayang. Segala perhimpunan yang disokong oleh parti pembangkang akan dipandang sebagai satu cubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada. Sedangkan Bersih bukanlah satu gerakan atau demonstrasi untuk manan-mana parti. Tiada satu pun tuntutan Bersih yang 8 itu memberi kelebihan kepada mana-mana Parti. Sepatutnya pihak Umno Barisan Nasional harus bersama menyokong pilihanraya yang adil. Barulah anak jantan namanya.

Jadi mungkin kerana takut yang amat sangat, maka mereka berkelakuan seperti Hitler yang sesuak hati menangkap sesiapa yang dilihat mampu menjatuhkan hegemoninya.

Kemungkinan kedua pula ialah kemungkinan yang paling saya takuti.

Kemungkinan kedua ialah keyakinan yang segala penipuan mereka pada pilihanraya akan datang pasti akan berhasil bagi menjamin kemenangan mereka.

Atau kata lain, mereka sudah terlalu yakin akan kemenangan mereka nanti, sehingga mereka tidak peduli lagi akan segala tindakan ganas dan tidak bertamadun yang dilakukan akan menyebabkan kemarahan majoriti rakyat.

Dari penangkapan ke atas mana-mana pihak yang memakai, menyimpan, dan menjual t shirt kuning bertulisan Bersih, sehinggalah kepada perintah melarang 91 orang individu dari memasuki Kuala Lumpur pada 9 Julai, telah mempamerkan kepada rakyat seluruh negara bahawa kerajaan yang ada sekarang sudah pun melanggar dan tidak mengikut perlembagaan. Mana-mana kerajaan yang sudah tidak lagi mengikut perlembagaan sudah boleh dikategorikan sebagai kerajaan bercorak diktator. Diktator bersifat di atas undang-undang. Merekalah undang-undang.

Adakah mereka tidak takut rakyat akan marah atas segala tindakan sesuka hati yang dilakukan? Ya, mereka tahu rakyat akan marah. Namun, apa gunanya marah rakyat. Ini kerana kemarahan itu tidak akan dapat diterjemahkan melalui kertas undi, sementalah hanya itu sahaja cara revolusi yang diketahu oleh rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi terpimpin itu. Marahlah sebesar manapun. Undi dan pangkahlah parti pembangkang sebnayak mana pun, mereka akan tetap menang. Ini kerana penipuan besar-besaran sudahpun dirancang untuk digunakan pada pilihanraya seterusnya nanti, dan mereka sudah yakin yang penipuan itu pasti berjaya. Pasti ianya rancangan penipuan paling licik dan sotistifikated pernah dibuat di dunia ini, sampaikan mereka merasa keyakinan yang amat. Kerana itu mereka berani mengambil tindakan-tindakan ala barbarian terhadapa apa-apa faktor atau perkara yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan Bersih. Apapun, manusia merancang, dan Tuhan juga merancang. Dan sesungguhnya perancangan Tuhanlah yang paling berjaya sekali.

Bagi saya, dua faktor inilah yang menjadi tonik tenaga bagi memberikan mereka kekuatan dan kesanggupan untuk bersikap zalim terhadap rakyat sendiri.

Tuesday, July 5, 2011

Membongkar Rahsia Pertubuhan Bersih.


Hari ini aku bangkit dalam keadaan berdukacita yang amat. Aku rasakan duniaku semuanya nampak kuning belaka. Alhamdulillah hanya otakku tidak diselaputi kekuningan.Kalau diikutkan hati malas hendak ku bangkit dari kamar tidur. Rasa semacam tak bersemangat sahaja. Apalah gunanya bangun, kalau hari depan ku kemungkinan besar tidak akan selamat seperti hari2 sebelum ini?

Berita semalam yang diumumkan benar-benar menjadikan aku tidak keruan. Kalau boleh, semalam juga aku sudah menempah tiket kapal terbang untuk keluar dari negara ini. Hal ini kerana negara ini sudah tidak selamat lagi untuk diduduki. Aku kecewa kerana pihak berkuasa dan keselamatan sudah melakukan kesilapan yang amat besar.

Kesilapan mereka ialah bilamana mereka membenarkan Bersih membatalkan perhimpunan jalanan 9 julai nanti.

Aku pelik adakah mereka melakukan istikharah sebelum mengambil keputusan itu? Kalaupun ada aku rasa petunjuk yang mereka dapat itu datang dari syaitan. Lain kali sebelum tidur basuhlah kaki itu betul-betul. Membenarkan Bersih membatalkan perhimpunan hanya akan mengheret negara ke kancah yang lebih serius lagi.

Kalaulah perhimpunan ini tetap dibiarkan diteruskan, besar kemungkinan banyak lagi rahsia-rahsia akan dapat dibongkarkan.

Bayangkan, kalaulah perhimpunan itu dapat diteruskan, aku yakin dalam masa dua tiga hari sebelum perhimpunan polis akan dapat menjumpai lebih banyak bukti keganasan. Aku tidak menipu. Aku yakin polis pasti akan menjumpai bukti penglibatan syarikat Linas dalam menghasilkan bom nuklear untuk digunakan pada hari perhimpunan. Percayalah. Ini bukti saheh hasil risiskan aku sendiri.

Malahan, misteri kehilangan enjin jet pejuang yang hilang tempoh hari pasti akan dapat diselesaikan. Jangan-jangan enjin itu ada disorokkan di mana-mana dalam kawasan Sogo atau Masjid Kg Baru. Carilah betul-betul. Aklu syak ianya ada di bawah meja imam masjid tersebut. Tak pun di dalam 'fitting room' Sogo. Sesungguhnya dari perkhabaran yang aku dapat dari 'orang dalam', enjin jet itu akan digunakan sebagain tempat berlindung dari water cannon oleh orang ramai.

Selain itu, sejak penguguman oleh 'Perempuan Hindu Berbahaya' untuk mengadakan perhimpunan itu, aku perhatikan beberapa ekor itik dan ayam Atuk ku di kampung semakin berkurangan seekor demi seekor. Ini tidak ada lain, sudah tentu ini kerja puak-puak Bersih ini. Kemungkinan besar mereka akan menggunakan ayam dan itik tersebut untuk dikorbankan bagi memuja semangat Pengundi Hantu yang sudah lama mengamuk sehingga mengakibatkan mereka kalah dalam banyak pilihanraya. Darah ayam dan itik itu akan digunakan untuk memujuk hantu-hantu itu supaya mereka bertenang dan duduk diam di dalam kubur agar tidak menganggu mereka dalam memenangi pilihanraya seterusnya men yebarkan fahaman komunis. Patutlah hanya ayam dan itik kuning sahaja yang hilang.

Sebelum aku berangkat beredar dari negara ini, ingin sekali lagi aku menyampaikan pesan kepada warga negara, terutamanya pihak berkuasa, anda seharusnya membiarkan sahaja perhimpunan itu dibuat di jalan-jalan. InsyaALLAH taala, anda akan pasti akan dapat membongkar lebih banyak perkara lagi. Bukan setakat molotov cocktail dan parang, jangan-jangan askar komunis sudah menunggu di perbatasana sana, siap dengan kapal selam Scorpene buat menyerang negara kita ini. Kalau itu berlaku, habislah peniaga-peniaga kecil dan pemandu teksi.

Aku memohon agar janganlah aku dituduh sebagai pembohong besar. Sesungguhnya aku ini adalah manusia yang sangat jujur, walaupun makam kejujuran ku tidaklah sampai menyamai tahap kejujuran Syeikh Rahim Tamby Chick, akan tetapi belum pernah sekalipun aku menipu apatah lagi menyebarkan fitnah.

Sekian. Adios. Aku 'chow' dulu.