Saturday, July 23, 2011

Selamat Mencuba!


Di awal nikmat, di akhir barangkali sengsara. Akan tetapi, perkara bernama ‘jawatan’ dan ‘kuasa’ inilah perkara yang sangat direbut-rebutkan, kerana ia umpama tiket ke arah kenikmatan-kenikmatan duniawi yang lain. Akan tetapi, sedarkah kita bahawa cabaran yang menati seorang ketua itu sangat besar, sepertimana besarnya kenikmatan dunia yang bakal diperoleh. Cabaran yang besar itupun, kalau tidak dihadapi di dunia (bagi mereka yang senang lenang dengan kuasa dan tidak mengambil ia dengan serius), pasti akan dihadapi tepat pada batang hidung, bila di hadapan Yang Maha Kuasa nanti.

Maka kalau aku ditanya, apa cabaran paling besar bagi seorang pemimpin, maka aku katakan cabaran itu akan terselak hijabnya di hadapan Tuhan nanti. Jangan bersikap skeptikal bila aku katakan mengenai agama dan Tuhan di sini, kerana ia perkara yang pasti, dan pasti, akan kita hadapi. Sudah pasti bagi setiap insan, dari serendah-rendah pengemis, hingga sekaya-kaya Qarun, cabaran paling besar yang akan dihadapi ialah di akhirat nanti. Akan tetapi, apa yang menanti seorang pemimpin ialah sesuatu yang jauh lebih besar dari manusia-manusia yang lainnya. Kerana apa yang akan terbeban di bahu mereka nanti saat hari pembalasan, ialah amanah rakyat, atau pun senang kita katakan mereka yang dipimpin. Itulah sebenarnya cabaran terbesar pemimpin.

Cabaran bernama amanah ini, tidak akan dapat dilaksanakan, selagi mereka yang memimpin, tidak berusaha untuk menyelami, dan menghayati denyut dan nadi hidup rakyat kebanyakan. Bagaimana seorang pemimpin itu mampu untuk hidup senang-lenang, sedang rakyat di sekeliling hidup penuh kesukaran? Bagaimana boleh mereka tidur lena di atas katil bersulam cadar keemasan, di istana mewah di puncak bukit? (dibina di situ supaya semua rakyat banyak dapat mendongak, melihatnya saat mengelap peluh ketika menuai padi di tengah panas, dan kemudian seraya mereka semua akan berkata dengan penuh kesyukuran, “Lihat, inilah nikmat merdeka! Anak melayu dapat hidup dengan mewah! Kami berbangga!”). Kalian sepatutnya takut, gementar, dan risau tentang setiap kesengsaraan semua yang dipimpin, kerana itulah bebanan kalian di akhirat kelak. Perlukah aku ulang kisah dua orang Umar itu? Kalian pernah dengar, bukan?

Yang sebenarnya, aku tidak pelik jika melihat ramai yang mula membesarkan rumah, menukar kereta, dan yang lebih main kasar, menukar bini (hehehe), apabila mendapat kuasa. Hal ini berlaku kerana mereka telah melabur hampir segalanya semata-mata untuk memperoleh jawatan yang diidamkan itu. Rasuah, wang kopi, duit bawah meja, politik wang dan berbagai lagi istilah sedap didengar, enak dilakukan, yang diberi untuk merasionalkan tindakan penuh khianat dan kebejatan(kita ini bangsa yang kaya bahasa), semua ini dilakukan sebagai pelaburan untuk menang pemilihan. Maka, pada anggapan mereka, adalah tidak salah jika mereka meraikan ‘kemenangan’ meraih jawatan itu dengan bermewah-mewahan, menukar segala yang boleh ditukar, walaupun sumbernya dari air mata, peluh, dan darah para petani miskin, para nelayan sengsara, para penoreh getah, yang saban hari membilang butir nasi untuk makan anak-anak. Kalaulah permualaanya sudah salah (ketika merebut jawatan), maka penghabisannya sudah pasti lebih teruk. Matlamat tidak menghalalkna cara, betul semua?

Pemimpin itu tarafnya sama seperti rakyat kebanyakan, tiada keistimewaanya. Bezanya ialah pemimpin akan memikul beban Yang Maha Berat, itu sahaja.

Bagaimana? Berat untuk dilaksanakan, bukan? Tetapi itulah cabaran seorang pemimpin.

Orang selalu katakan, ‘Ditanggung Halal’.

Akan tetapi bagi pemimpin, aku katakan, ‘Ditanggung Sendiri’ (quote to Bro Isham).

SELAMAT MENCUBA!

Ps: Jangan takut untuk memimpin, jika anda insan yang layak. Jangan tersalah sangka. Adapun artikel ini bersifat umum, sebagai memupuk kesedaran ke atas sesetengah pihak yang menyalahgunakan amanah di beri Tuhan di muka bumi.


No comments:

Post a Comment