Thursday, July 7, 2011

Apakah Tonik Sehingga Penzalim Sanggup Berlaku Zalim?

Macam di langgar burung geroda jadinya negara kita. Semuanya disebabkan rancangan sepasukan geroda berwarna Kuning yang menggelar diri sebagai kumpulan Bersih yang mahu mengadakan perhimpunan di ibu kota bagi menuntut pilihanraya adil.

Maka dikerah segala jenis jentera yang ada di dalam negara untuk menghalang perhimpunan yang disifatkan haram itu. Dari sekecil-kecil institusi seperti masjid melalui khutbah jumaat (baca:pidato bertaraf budak sekolah rendah) , sehinggalah kepada kemungkinan penggunaan kuasa tentera, telah diacukan kepada para pendokong dan penggerak yang mahu menjayakan perhimpunan tersebut.

Mengapakah elit penguasa negara ini mengambil sikap yang begitu radikal dan drastik seperti ini?

Saya melihat ini melalui dua kemungkinan.

Dua kemungkinan inilah yang memberikan mereka nafsu yang membuak-buak untuk menghalang perhimpunan Bersih dari menjadi kenyataan. Raja silat yang berkerusi roda itupun tiba-tiba bangkit semangat kepahlawanannya. Ini sangat memeranjatkan. Ternyata kuasa Dua Kemungkinan ini begitu kuat sekali, sehinggakan seorang yang berkerusi roda pun merasa terpanggil untuk bangun bersilat. Minum air tongkat Ali setangki penuh pun takkan mampu menaikkan semangat kejantanan seperti itu! (Minum secawan pun takkan larat. Pahit tu..)

Kemungkinan pertama ialah faktor perasaan takut yang menghantui para elitis yang mempunyai sifat dan perangai seperti Mubarak. Bagi kelompok yang sudah memerintah negara ini selama 50 tahun melalui cara kuku besi, apa yang menimpa klon mereka di Mesir itu merupakan satu kemungkinan yang tidak mustahil untuk berlaku di sini.

Kita sendiri menjadi saksi bahawa rantau ini pernah berjaya menyaksikan jatuhnya rejim Suharto dan Marcos melalui jalanraya. Maka, faktor geografi bukan penghalang untuk rantau ini mencontohi revolusi yang berlaku di Timur Tengah itu. Malahan, hampir-hampir sahaja ia berlaku di bumi bertuah Malaysia ini saat reformasi tahun 1998.

Walaupun para aktivis Bersih sudah memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan berlangsung dengan aman, bermula jam 2 dan tamat jam 4, serta tidak aka berlarutan sehingga berhari-hari seperti apa yang berlaku di Mesir, namun mereka sudah berada di dalam keadaan orang yang takut pada bayang-bayang. Segala perhimpunan yang disokong oleh parti pembangkang akan dipandang sebagai satu cubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada. Sedangkan Bersih bukanlah satu gerakan atau demonstrasi untuk manan-mana parti. Tiada satu pun tuntutan Bersih yang 8 itu memberi kelebihan kepada mana-mana Parti. Sepatutnya pihak Umno Barisan Nasional harus bersama menyokong pilihanraya yang adil. Barulah anak jantan namanya.

Jadi mungkin kerana takut yang amat sangat, maka mereka berkelakuan seperti Hitler yang sesuak hati menangkap sesiapa yang dilihat mampu menjatuhkan hegemoninya.

Kemungkinan kedua pula ialah kemungkinan yang paling saya takuti.

Kemungkinan kedua ialah keyakinan yang segala penipuan mereka pada pilihanraya akan datang pasti akan berhasil bagi menjamin kemenangan mereka.

Atau kata lain, mereka sudah terlalu yakin akan kemenangan mereka nanti, sehingga mereka tidak peduli lagi akan segala tindakan ganas dan tidak bertamadun yang dilakukan akan menyebabkan kemarahan majoriti rakyat.

Dari penangkapan ke atas mana-mana pihak yang memakai, menyimpan, dan menjual t shirt kuning bertulisan Bersih, sehinggalah kepada perintah melarang 91 orang individu dari memasuki Kuala Lumpur pada 9 Julai, telah mempamerkan kepada rakyat seluruh negara bahawa kerajaan yang ada sekarang sudah pun melanggar dan tidak mengikut perlembagaan. Mana-mana kerajaan yang sudah tidak lagi mengikut perlembagaan sudah boleh dikategorikan sebagai kerajaan bercorak diktator. Diktator bersifat di atas undang-undang. Merekalah undang-undang.

Adakah mereka tidak takut rakyat akan marah atas segala tindakan sesuka hati yang dilakukan? Ya, mereka tahu rakyat akan marah. Namun, apa gunanya marah rakyat. Ini kerana kemarahan itu tidak akan dapat diterjemahkan melalui kertas undi, sementalah hanya itu sahaja cara revolusi yang diketahu oleh rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi terpimpin itu. Marahlah sebesar manapun. Undi dan pangkahlah parti pembangkang sebnayak mana pun, mereka akan tetap menang. Ini kerana penipuan besar-besaran sudahpun dirancang untuk digunakan pada pilihanraya seterusnya nanti, dan mereka sudah yakin yang penipuan itu pasti berjaya. Pasti ianya rancangan penipuan paling licik dan sotistifikated pernah dibuat di dunia ini, sampaikan mereka merasa keyakinan yang amat. Kerana itu mereka berani mengambil tindakan-tindakan ala barbarian terhadapa apa-apa faktor atau perkara yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan Bersih. Apapun, manusia merancang, dan Tuhan juga merancang. Dan sesungguhnya perancangan Tuhanlah yang paling berjaya sekali.

Bagi saya, dua faktor inilah yang menjadi tonik tenaga bagi memberikan mereka kekuatan dan kesanggupan untuk bersikap zalim terhadap rakyat sendiri.

No comments:

Post a Comment