Tuesday, July 5, 2011

Membongkar Rahsia Pertubuhan Bersih.


Hari ini aku bangkit dalam keadaan berdukacita yang amat. Aku rasakan duniaku semuanya nampak kuning belaka. Alhamdulillah hanya otakku tidak diselaputi kekuningan.Kalau diikutkan hati malas hendak ku bangkit dari kamar tidur. Rasa semacam tak bersemangat sahaja. Apalah gunanya bangun, kalau hari depan ku kemungkinan besar tidak akan selamat seperti hari2 sebelum ini?

Berita semalam yang diumumkan benar-benar menjadikan aku tidak keruan. Kalau boleh, semalam juga aku sudah menempah tiket kapal terbang untuk keluar dari negara ini. Hal ini kerana negara ini sudah tidak selamat lagi untuk diduduki. Aku kecewa kerana pihak berkuasa dan keselamatan sudah melakukan kesilapan yang amat besar.

Kesilapan mereka ialah bilamana mereka membenarkan Bersih membatalkan perhimpunan jalanan 9 julai nanti.

Aku pelik adakah mereka melakukan istikharah sebelum mengambil keputusan itu? Kalaupun ada aku rasa petunjuk yang mereka dapat itu datang dari syaitan. Lain kali sebelum tidur basuhlah kaki itu betul-betul. Membenarkan Bersih membatalkan perhimpunan hanya akan mengheret negara ke kancah yang lebih serius lagi.

Kalaulah perhimpunan ini tetap dibiarkan diteruskan, besar kemungkinan banyak lagi rahsia-rahsia akan dapat dibongkarkan.

Bayangkan, kalaulah perhimpunan itu dapat diteruskan, aku yakin dalam masa dua tiga hari sebelum perhimpunan polis akan dapat menjumpai lebih banyak bukti keganasan. Aku tidak menipu. Aku yakin polis pasti akan menjumpai bukti penglibatan syarikat Linas dalam menghasilkan bom nuklear untuk digunakan pada hari perhimpunan. Percayalah. Ini bukti saheh hasil risiskan aku sendiri.

Malahan, misteri kehilangan enjin jet pejuang yang hilang tempoh hari pasti akan dapat diselesaikan. Jangan-jangan enjin itu ada disorokkan di mana-mana dalam kawasan Sogo atau Masjid Kg Baru. Carilah betul-betul. Aklu syak ianya ada di bawah meja imam masjid tersebut. Tak pun di dalam 'fitting room' Sogo. Sesungguhnya dari perkhabaran yang aku dapat dari 'orang dalam', enjin jet itu akan digunakan sebagain tempat berlindung dari water cannon oleh orang ramai.

Selain itu, sejak penguguman oleh 'Perempuan Hindu Berbahaya' untuk mengadakan perhimpunan itu, aku perhatikan beberapa ekor itik dan ayam Atuk ku di kampung semakin berkurangan seekor demi seekor. Ini tidak ada lain, sudah tentu ini kerja puak-puak Bersih ini. Kemungkinan besar mereka akan menggunakan ayam dan itik tersebut untuk dikorbankan bagi memuja semangat Pengundi Hantu yang sudah lama mengamuk sehingga mengakibatkan mereka kalah dalam banyak pilihanraya. Darah ayam dan itik itu akan digunakan untuk memujuk hantu-hantu itu supaya mereka bertenang dan duduk diam di dalam kubur agar tidak menganggu mereka dalam memenangi pilihanraya seterusnya men yebarkan fahaman komunis. Patutlah hanya ayam dan itik kuning sahaja yang hilang.

Sebelum aku berangkat beredar dari negara ini, ingin sekali lagi aku menyampaikan pesan kepada warga negara, terutamanya pihak berkuasa, anda seharusnya membiarkan sahaja perhimpunan itu dibuat di jalan-jalan. InsyaALLAH taala, anda akan pasti akan dapat membongkar lebih banyak perkara lagi. Bukan setakat molotov cocktail dan parang, jangan-jangan askar komunis sudah menunggu di perbatasana sana, siap dengan kapal selam Scorpene buat menyerang negara kita ini. Kalau itu berlaku, habislah peniaga-peniaga kecil dan pemandu teksi.

Aku memohon agar janganlah aku dituduh sebagai pembohong besar. Sesungguhnya aku ini adalah manusia yang sangat jujur, walaupun makam kejujuran ku tidaklah sampai menyamai tahap kejujuran Syeikh Rahim Tamby Chick, akan tetapi belum pernah sekalipun aku menipu apatah lagi menyebarkan fitnah.

Sekian. Adios. Aku 'chow' dulu.

No comments:

Post a Comment