Thursday, June 30, 2011

Membersihkan Kutti



Semua orang di kawasan perumahan sudah sedia maklum akan kekotoran dan kejijikan itu. Sudah terang lagi bersuluh, sudah tampak yang mana kaca yang mana permata, sudah jelas macam titik hitam di atas kertas putih melepak. Namun, jelik dan kotor pun, sudah 50 tahun warga taman tiada pilihan melainkan terpaksa ke sana juga. Hanya kedai mamak itu sahaja yang bersubsidi. Bobrok, jijik, busuk, geli, berlendir macam mana sekali pun, hanya itu yang mereka mampu.

Mamak Kutti sudah memonopoli perniagaan lauk pauk di taman sejak 50 tahun lagi. Segala macam ilmu membohong, menipu dan temberang sudah dia kuasai macam ikan yang mahir berenang. Sumber-sumber ikan, ayam, daging dan sebagainya hanya dia yang berhak mendapatkannya. Tauke-tauke dan orang tengah penjual ikan dan segala macam sumber bahan memasak semuanya sudah ‘kautim’ dengan Mamak Kutti. Semua sudah sain ‘agreement’.

Warga taman pernah cuba curi-curi membeli barang dari luar. Dari beli lauk pauk pada mamak yang pengotor, jijik, berlendir itu, lebih baik mereka masak sendiri. Tetapi warga lupa. Sampai sahaja ikan di atas dapur, semua termangu-mangu, mengaru kepala dan ketiak. Masing-masing tidak tahu mahu dilakukan apa dengan ikan tersebut. Warga taman itu terlupa bahawa mereka tidak pandai memasak. Segala ilmu-ilmu memasak tidak pernah mereka pelajari di mana-mana. Tidaklah ianya diajar di sekolah mahupun di masjid-masjid. Yang di ajar di masjid ialah haram beli pada orang lain. Mesti beli pada mamak sebab dia muslim, walupun dia sudah lama tidak bayar zakat. Ada orang kata mamak Kutti bersunat pun tidak. Entah betul entah tidak, hanya Tuhan dan seluar dalam Mamak sahaja yang tahu. Apapun, ustaz yang mengajar di surau dan masjid di Taman itu dibayar upahnya oleh Mamak Kutti juga. Demi menjaga periuk nasi mereka di dunia yang sementara ini, maka hendak tak hendak perlualh mereka mematuhi segala silibus kuliah yang Mamak sendiri sediakan.

Belajar dari internet? Hendak guna internet pun mesti di kedai mamak. Tempat lain tiada akses. Di kedai mamak aksesnya disekat. Tiada laman web memasak boleh dibuka.

Namun hegemoni mamak Kutti bakal berakhir tidak lama lagi. Chef Mat Rabu yang baru hadir dan menetap di taman itu datang membawa pencerahan. Semua orang menyenangi Chef Mat Rabu. Dia baik, jujur, tidak busuk dan mulutnya tidak berbau. Sejuk mata memandang. Perutnya pun tidak buncit macam Mamak Kutti yang serupa orang berpenyakit busung.

Chef Mat Rabu baru sahaja membeli sebuah lot kedai tidak jauh dari kedai Mamak Kutti. Mamak Kutti tidak membantah atau menentang. Hal ini kerana Chef Mat Rabu ini keturunan mamak juga. Malah kalau di selidik jalur dan susur galur keturunan mereka, maka akan ditemui bahawa mereka berdua ini sebenarnya ada bau-bau getah. Moyang mamak Kutti dan Chef Mat Rabu sama-sama sekapal dari Karachi datang ke Tanah Melayu.

Mamak Kutti pun merasakan bahawa Chef Mat Rabu sedikit sebanyak akan mengurangkan sedikit beban beliau dalam menampung keperluan isi perut orang-orang di Taman itu yang semakin bertambah. Mamak Kutti tidak takut dia akan menaglami kekurangan dalam keuntungannya.

“Apa susah. Kasi naik sikit hargalah!” kata Mamak Kutti waktu ditanya isterinya bagaimana mahu mengimbangi keuntungan yang akan berkurang sedikit kalau Chef Mat Rabu berniaga di gerai barunya itu.

“Kalau Chef Mat jual murah? Nanti semua ke sana..” Rafidah isterinya berbahas manja sambil tangannya menguli-nguli, melecek-lecek, dan meraba-raba pisang.

Apa? Astaga. Bukan pisang itu wahai pembaca yang budiman sekalian. Ini pisang betul, yang tumbuh di pokok sana. Jangan sangka buruk dengan saya. Hendak berbaju kuning tidak mengapa, tidak haram di sisi agama. Tetapi jangan sesekali berotak kuning. Bersihkanlah hati anda dari kekorupan. Pisang itu akan digunakan untuk membuat kek pisang buat dijual kepada pelanggan kedai Mamak Kutti, faham? Mereka pun sudah bosan dengan roti canai. Sekali-sekala mahu mencuba yang lain. Pisang itu duli dan diurut supa ia sebati denagn tepung. Hendak buat sendiri penduduk Taman tidak pandai. Takut nanti jadi pisang lain pula. Contohnya pisang lecek.

“Huh..apalah yang susahnya Cik Pidah oii..Si Mat tu nak meniaga, barang mentah kena beli pada kita juga..Kan semua pembekal dah setuju untuk jual pada kita sahaja, semua dah sain agreement. Nanti aku jual lah mahal sedikit pada si Mat tu..”

“Janganlah tekan sangat budak Mat tu..bukannya orang lain..suku sakat kita jugak tu..Muka dia pun jauh lebih mamak dari kita tahu?” kata Rafidah sedikit simpati. Baginya wajah Chef Mat ada iras-iras Datuk Reezal Merican, seorang mamak terkenal dari Pulau pinang itu.

“Iyalah..pandailah aku menguruskannya nanti..Ini pun baik juga sebagai latihan bagi orang yang baru mula nak meniaga macam dia tu..Tak bolehlah harapkan subsidi sangat..Nanti jadi ketagih macam makan candu, kamu faham?”

Namun kali ini perkiraan Mamak Kutti silap. Seharusnya dia ikut sahaja nasihat penasihatnya Encik Apkur yang berbangsa Yahudi itu. Sejak dari awal kehadiran Chef Mat Rabu lagi Apkur sudah menegaskan bahawa dia akan menjadi ancaman terbesar pada hegemoni konsep ‘1Taman, 1Mamak’ yang dilaung-laungkan oleh Mamak Kutti. Mamak Kutti tidak bersetuju. Baginya Chef Mat itu seorang anak muda yang baik dan merupakan seorang mamak yang sangat teguh semangat kemamakkannya. Masakan mamak bergocoh sesama mamak? Malahan, Mamak Kutti sendiri pernh mendengar Chef Mat memuji kebaikannya. ‘Kalau boleh kupintal awan di langit, pasti ku pintal dengan nama Mamak Kutti dan Puan Pidah’, begitulah bunyinya kalau tidak silap saya. Silap Mamamk kutti ialah kerana tidak memahami sifat dan perangai sebenar Chef Mat. Chef Mat itu seorang yang bersopan santun, terutamanya kepada orang yang lebih tua. Kerana itu ayat di atas boleh terpacul keluar dari mulutnya.

Chef Mat memang mengotakan apa yang dia katakan itu. Dua bulan sesudah dia memulakan perniagaan, Mamak Kutti mulai rasa segala sendi-sendinya dari atas, sampai ke tengah, sehingga ke hujung kaki rasa seperti dipintal-pintal! Sangkanya Chef Mat akan menjual lauk pauknya pada harga lebih mahal dari harga di kedainya lantaran hendak mengimbangi kos harga barang yang naik. Tetapi sangkaanya meleset sama sekali, seiring dengan keadaan ekonomi hidupnya yang makin meleset. Chef Mat telah menjual pada harga yang lebih murah dari makanan di kedainya. Malahan, kualiti masakannya jauh lebih baik dan berkualiti. Masakannya memang bersih, cekap, dan amanah. Bukan seperti masakan Mamak Kutti yang jelik, kotor, busuk, jijik, dan berlendir-lendir.

Rupa-rupanya kehadiran Chef Mat ke sana bukanlah hendak mencari keuntungan melalui perniagaan. Akan tetapi datang dan hadirnya di sana mahu membawa perubahan. Tibanya ke sana atas jemputan beberapa orang penduduk taman yang sudah mulai mual dan tidak tahan dengan Mamak Kutti. Semakin hari semakin ramai penduduk yang datang makan di kedai Chef Mat. Bukan itu sahaja, mereka turut melabur dalam perniagaan Chef Mat. Kerana itu Chef Mat dapat menanggung harga barangan masakan yang mahal. Itulah konsep perniagaan berasaskan koperasi yang dibawa oleh beliau ke taman itu. Ianya jauh lebih baik dari konsep monopoli puak kapitalis seperti Mamak Kutti. Modal perniagaanya datang dari penduduk taman, untuk penduduk taman, dan kepada penduduk taman. Semua dapat makan masakan yang sedap dan enak. Semua orang mendapat untung. Tidak ada pihak yang rugi. Yang rugi hanya Mamak Kutti seorang.

“Itulah bos! Sudah saya cakap sedari awal lagi. Mat Rabu itu pandai berlakon sahaja!” kata Apkur kepada bosnya itu. Masakan dia tidak marah. Kalau Mamak Kutti rugi, bagaimana mahu dibayar gajinya?

Mamak Kutti terdiam. Kali ini dia mati akal. Nampak jelas bahawa penduduk di tamannya sudah bersatu padu untuk menjatuhkannya.

“Bodoh punya bos! Pandi kutti!” kata Apkur separuh berbisik.

“Apa kamu kata?!!” Mamak Kutti seperti terdengar perkataan yang menjadi pantang nenek moyang keturunannya dari disebut. Menyamakannya dengan makhluk tidak berleher yang haram dimakan itu satu penghinaan kepada dirinya.

“Err tak, tak, tak. Maksud saya, pandai ‘cutie' ni. Bos kan pandai dan ‘kiut’ pula tu. Tak pa bos, saya yakin kita boleh cari penyelesaiannya,” pandai Apkur berdalih. Dalam hatinya dia menyumpah diri sendiri kerana terlepas cakap. Perkataan pandi kutti itu sangat dibenci oleh golongan mamak seperti bosnya itu.

Sambil dua orang makhluk itu berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah mereka, penduduk taman sudah mulai berkumpul beramai-ramai, berarak ke kedai Mamak Kutti untuk membersihkan kekotoran perniagaannya itu!

No comments:

Post a Comment