Sunday, November 27, 2011

Siapa orang Melaka Sila Bungkus Kepala Dengan Plastik

MONOREL MELAKA HADAPI MASALAH LAGI - Malaysiakini


Baru tiga hari operasi dimulakan semula, Perkhidmatan Monorel Melaka sekali lagi terpaksa dihentikan berikutan masalah hujan lebat.

Malaysiakini difahamkan, pada kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam, gerabak monorel berkenaan baru bergerak kira-kira 300 meter dari Stesen Hang Jebat di Pengkalan Rama sebelum ia berpatah balik ke stesen.

melaka monorailAkibat kejadian itu juga telah mengecewakan 18 pelancong Hong Kong kerana terpaksa membatalkan hasrat untuk menyaksikan keindahan bandaraya Melaka dengan menaiki perkhidmatan monorel.

Sementara itu, tambang RM10 setiap seorang untuk menaiki monorel berkenaan kemudiannya dikembalikan kepada pelancong terbabit.

Difahamkan juga keputusan membatalkan perkhidmatan berkenaan adalah berikutan ketiadaan sejenis cat thermal khas pada landasan yang membolehkan perkhidmatan dijalankan seperti biasa pada waktu hujan.

Tanpa cat berkenaan, roda monorel dikatakan tidak akan dapat mencengkam landasan dengan baik.






Komen Di Pinggiran


Melaka ialah sebuah tanah yang mulia dalam sejarah peradaban Melayu. Bangunnya Melaka pada waktu dahulu menandakan permulaan sejarah gemilang nusantara. Jatuhnya Melaka menandakan mulanya sejaraj penjajahan nusantara.


Pentingnya Melaka, sehinggakan Dr Burhanuddin Al Helmy dalam ucapan penuh bersemangatnya menegaskan,


"'atas roboh kota Melaka, kita bangunkan jiwa-jiwa yang merdeka'."


Dr Burhanuddin sedar akan kepentingan simbolik negeri Melaka. 


Apakah simbolik peristiwa Monorel ini?


Ianya telah menandakan kejatuhan martabat Melaka. Kerana apa ianya jatuh? Kalau dahulu, sejarah Melayu menceritakan kejatuhan kerajaan melaka pada waktu itu adalah disebabkan Mamak Mendeliar, Sang Kitul, dan beberapa watak lain yang merosakkan pentadbiran dengan rasuah, adu domba, dan peangai-perangai korup yang lain.


Apa yang berlaku pada Monorel ini mengulangi manifestasi sejarah melayu lama. Adanya campurtangan korupsi dan ampu mengampu dalam pentadbiran menyebabkan berlakunya perkara semacam ini.


Jadi, sinar kejatuhan Melaka sudah semakin jelas. Jatuhnya Melaka nanti akan membula lembaran baru sejarah Malaysia. Jatuhnya Melaka bermakna satu Malaysia akan jatuh.


Jangan lupa, siapakah yang sedang mentadbir Malaysia sekarang ini. Maka, bila saya katakan jatuh, saya maksudkan jatuh itu ialah kejatuhan regim sedia ada.


Kalau sesuatu jatuh, maka seseorang kena menyambutnya untuk mengelak ia dari terhempas berkecai ke tanah. Tukang sambut pun kenalah berhati hati. Kalau berebut-rebut hendak sambut, habis semua terlepas. 


---------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kerana malu, maka saya minta orang Melaka tolong bungkus kepala masing-masing. Untuk dua tiga hari sementara berita ini masih hangat, diminta tolong jangan zahirkan yang anda ialah orang Melaka. Jangan gunakan loghat Melaka. Saya cadangkan kita bercakap dalam loghat Terengganu untuk sementara ini.


"Ok. Sebut ramai-ramai! I.K.A.N.G, IKANG!"


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Saya terfikir juga. Alangkah bagusnya kalau Monorel ini kita tambah baik teknologinya. Bukan apa, supaya perkara memalukan semacam ini tidak lagi berlaku. Gunakan enjin Scorpene, ataupun enjin jet hilang yang katanya sudah dijumpai di sebuah negara Amerika Latin sana.


InsyaALLAH pasti mujarab.

Thursday, November 10, 2011

Mari Mengacau!





“When I give food to the poor, I am called a saint. But when I asked why they are poor, then they called me a troublemaker”

Kata-kata ini diucapkan Dom Helder Camara, seorang arcbishop dari Brazil, penulis buku Spiral Of Violant, dan pengasas Banco da Provi’dencia, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang miskin dan menentang ketidakadilan sosial.

Ianya sangat membawa makna, kerana pada ungkapan itu adanya kritikan terhadapa bagaimana cara masyarakat kita menyelesaikan permasalahan kemiskinan, dan dalam masa yang sama turut menyelar mentaliti pengecut masyarakat dalam mendepani isu ini.

Kita memandang mulia kepada orang yang memberi makan kepada para fakir miskin.  Mereka dermawan dan pemurah.

Kita marah dan memandang keji pula pada orang yang memerjuangkan nasib golongan ini. Kita kata mereka pengacau, tidak reti bersyukur atas keamanan negara, dan bermacam lagi kata kita lemparkan.

Memberi dan memberi sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan pokok yang menyebabkan kemiskinan. Permasalahan akarnya yang harus kita selesaikan.



The Myth Of The Lazy Poor

Baru-baru ini, ada yang tampil berhujah mengatakan,, “Pokok kemiskinan mereka ialah kerana mereka malas mahu mengubah diri sendiri. Kearjaan sudah menyediakan bla bla bla belanjawan blab la bla usahawan bla bla bla pakej rangsangan bla bla bla hand bag Birkin dan seterusnya..”

Benarkah mereka tidak mahu berubah? Atau sebenarnya ada rantai pengikat yang menjerut leher dan segala sendi mereka dari bergerak meninggalkan daerah kepapaan yang menderitakan itu?

Mari turun ke dunia realiti. Tinggalkan sebentar segala penguguman, kempen kempen besar, dan ‘feel good news’ yang dibawa oleh media massa. Kerana kemiskinan yang berlaku merupakan masalah yang tidak seharusnya kita letakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu para fakir.

Saya serba salah untuk memandang orang yang beranggapan sepeerti itu. Akan tetapi, kenyataanya ialah, pendapat mereka itu saling tidak tumpah seperti apa yang Adolf Hitler, Darwin, Herbet Spencer, dan beberapa filusuf songsang barat lain lakukan, dimana mereka cuba memberikan rasional kezaliman ke atas golongan miskin sebagai sesuatu yang perlu. Agak kasar untuk menyamakan pendapat mereka dengan pendapat sebahagian dari kita, akan tetapi realitinya ialah begitu.

Mereka berpendapat bahawa keberadaan golongan miskin, susah dan tidak berupaya merupakan manifestasi dari kewujudan kita yang dianggap bermula dari binatang. Kehidupan binatang ialah ‘survival of the fittest’. Hanya yang kuat akan terus hidup. Bermakna sesiapa yang tinggal selepas apa-apa peperangan, atau bencana alam dan sebagainya adalah individu yang cukup kuat untuk hidup, dan telah pun dipilih melalui ‘natural selection’. Darwin memberi rasional teori itu dari segi sains. Spencer merasionalkannya dari sisi sosial. Manakala Hitler scuba merealisasikannya melalui Perang Dunia ke 2. Rujuk ‘Western Civilization Condemned by Itself: Maryam Jameelah’.

Sikap kita yang menyalahkan golongan miskin kerana miskin seolah-olah merestui apa yang diteorikan oleh nama nama yang disebut di atas. Menyalahkan mereka adalah seperti merestui pendapat  bahawa mereka lemah disebabkan mereka ‘layak’ untuk lemah, maka seharusnya mereka menerima nasib kerana mereka ‘layak’ untuk menjadi miskin.

Mereka tidak cukup 'fit' untuk hidup dalam dunia yang harga barangnya semakin naik ini. Tak cukup kuat untuk 'survive' dalam dunia ini. Mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri. Padan muka kerana malas. Duduklah di situ dalam gebuk kemiskinan sambil menghidu habuk kepapaan. Semuanya kerana kamu malas berusaha sedangkan kerajaan sudah memberi bermacam-macam insentif!

Pendapat semacam ini turut sama dikongsi oleh para imperialis penjajah suatu ketika dahulu.  Syed Hussein Al Attas dalam bukunya ‘The Myth Of the Lazy Native’, telah menyelar pendapat yang semacam ini dari orientalis yang cuba merasionalkan tindakan mereka menjajah tanah kita.

Iya, kita tidak nafikan ada sebenarnya mereka yang berperangai pemalas, maka kerana itu mereka miskin.

Namun majoriti daripada mereka yang terpenjara dalam kemiskinan ialah mereka yang bekerja!

Majoriti yang miskin bukanlah yang duduk-duduk di rumah sambil makan angin.

Si miskin itu ialah petani yang berpanas berhujan membanting tulang dari pagi sampai ke petang di sawah ladang, untuk hanya kemudiannya terus kekal papa dikala yang kaya ialah para peraih dan orang tengah!

Si miskin itu ialah nelayan yang berhempas pulas melawan ombak di lautan, untuk hanya melihatkan hasil tangkapan sudah semakin berkurangan kerana penggunaan pukat tunda oleh cukong-cukong yang kebal  undang-undang!

 Si miskin itu ialah seorang bapa di kota yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja, sanggup ambil ‘overtime’ untuk wang tambahan, yang kemudiannya dibayar tidak setimpal dengan titik peluh usahanya, kerana tiadanya akta gaji minima! Bising lebih-lebih, orang asing ramai sahaja yang boleh gantikan tempatnya dengan gaji yang lebih murah, bersekali dengan kelebihan warganegara untuk mengundi.

Mereka semua ini bukan pemalas! Mereka dipaksa dan diasak untuk berhimpun di sudut kemiskinan. Leher mereka dijerut, tercekik mereka tidak mampu bersuara. Tangan dan kaki serta segala sendi dipasung dengan pelbagai akta yang tidak menguntungkan golongan yang berhempas pulas, tetapi menguntungkan bos-bos besar yang kerjanya tidak seberapa.

Tolonglah, mari kita berpijak pada realiti. Mereka ini bukan lagi bekerja untuk hidup aman makmur. Mereka ini sudah berada pada tahap terpaksa berjuang hanya untuk hidup. Teringat saya akan lagu tema filem ‘Seniman Jalanan’,

 Susah senang di kuala lumpur...
Dosa dan pahala bercampur.. 
Tapi kita perlu hidup..Kita perlu terus hidup..

Saya kira untuk kita lebih memahami keadaan dan situasi sebenar, sebuah buku tulisan Sasterawan rakyat yang baru pulang ke rahmatullah ramadhan lalu,  Allahyarham Azizi Hj Abdullah, bertajuk ‘Mustadh’ifin Yang Tertindas’, adalah buku yang baik untuk kita telaah.


Kacau dan Mengacau

Setelah kita fahami tentang situasi kemiskinan yang melanda, maka wajib kita menyelesaikan akar sebenar kepada masalah ini.

Menderma memang baik. Akan tetapi sampai bila?

Seperti yang dikatakan oleh Helder Camara tadi, masyarakat kita sering sahaja memandang serong kepada orang yang berjuang untuk menentang kemiskinan ini dari dasarnya.

Saya memandang ini berlaku kerana percubaan para revolusioner untuk mengubah sistem yang menzalimi orang miskin yang teraniaya ini telah secara tidak langsung  menggugat zon keselesaan mereka yang marah dan menentang ini.

Kenapa saya berkata begitu? Mari saya berikan contoh situasi yang berlaku.

Kita tidak marah malah suka pada mereka yang hanya menderma kerana tindakan mereka itu tidak menyusahkan kita.

Kita akan marah pada mereka yang menentang kemisikinan secara berdepan dengan punca sebenarnya kerana kita merasakan yang ianya akan mencetuskan huru hara. Akan ada FRU, water cannon, demo dan sebagainya.

Sudah tentu ia akan mencetuskan huru hara, kerana sikap berhadapan dengan punca sebenar kepada permasalahan ini iatu sistem yang rosak, akan mempertemukan kita dengan pengawal kepada sistem tersebut.

Siapa pengawalanya? Sudah tentu mereka yang berkuasa membuat dasar / para penguasa / mustakbirin.

Pembuat dasar ini punyai hubungan rapat dengan orang tengah pengaut untung petani. Para penguasa ini tidur sebantal dengan  para cukong yang mempunyai syarikat perikanan secara pukat tunda.Mustakbirin ini bercumbuan dengan syarikat-syarikat besar yang menganiaya pekerja mereka sendiri.

Mereka akan menjaga dan mengawal kepentingan orang-orang yang disebutkan di atas itu tadi. Bagaimana caranya? Ialah dengan membuat dasar-dasar yang menguntungkan para pemodal dan pemilik yang tamak itu tadi. Sebagai balasannya, akan ada modal untuk kempen bagi pemilihan penggal akan datang. Ini ialah satu rantaian pergantungan ekonomi yang merugikan majoriti manusia lain kerana hanya menguntungkan minoriti pemilik harta kekayaan. Rantaian ini akan mewujudkan apa yang dikatakan sebagai 'pengkelasan luar sedar'.(Baca artikel tulisan saya dahulu : Pengkelasan Luar  Sedar 1 dan Pengkelasan Luar Sedar 2).

Segala pertentangan dengan penguasa sudah tentu akan mencetuskan huru hara. Huru hara bukannya datang dari pihak penentang, sebaliknya ia sengaja ditelurkan dan ditetaskan  oleh pihak penguasa. Caranya dengan menggunakan media untuk membuat heboh dan propaganda. Gunakan segala jalan yang ada untuk mencetuskan keadaan kacau bilau dan sebagainya.

Apa yang dikesali ialah sikap pengecut kita yang takut hendak bersusah sebentar untuk perjuangan. Setiap penentangan terhadap kezaliman sememangnya akan mencetuskan keadaan susah, huru hara, dan berbagai mehnah yang lain. Itu ialah sunnatullah perjuangan. Tiada perjuangan yang kita akan menang dengan hanya jalan lenggang lenggang kangkong. Pergaduhan memang akan berlaku. Perpecahan memang akan berlaku. Perseteruan memang akan berlaku.

Dakwah  Nabi Muhammad mencetuskan perpecahan. Dakwah Nabi Muhammad mencetuskan pertumpahan darah. Dakwah Nabi Muhammad mencetuskan permusuhan sesama sebangsa Arab.

Tetapi untuk apa semua itu?

Semuanya untuk membebaskan bangsa Arab dari belenggu kezaliman sesama manusia yang sedang mencengkan mereka waktu itu. (Baca artikel Mari Berpecah ).

Pendek kata, huru hara dan sedikit kesusahan itu perlu untuk pembebasan mutlak. Mereka-mereka yang tamak dan selama ini mengumpul harta kekayaan dengan cara menindas, tidak akan semudah itu melepaskan apa yang menjadi amalan mereka sejak berkurun lama. Tidak mungkin segala kenikmatan memperoleh harta dengan jalan mudah dan eksploitasi itu akan ditinggalkan dengan cara diplomasi, memorandum dan marah-marah manja.  Jangan mimpi mereka akan menurut sahaja permintaan kaum yang tertindas.

Kalau kita hendak terus hidup selesa, terus lena dalam utopia negara aman dan sebagainya, kita boleh terus lakukan. Akan tetapi, hanya mereka yang buta sahaja yang tidak dapat melihat akan kerosakan yang semakin menjadi-jadi di dalam negara ini. Bagi saya insan-insan seperti ini ialah mereka yang tertipu dengan khayalan sendiri.

Seperti yang saya katakan dahulu, orang-orang seperti ini mungkin hanya akan tersedar bila negara ini sudah terjual, bila hendak mendapatkan sepinggan nasi RM 4 pun susah, maka waktu itu baru akan terjaga. Sekarang ini, mungkin mereka belum merasa lagi bagaimana agaknya menjadi mangsa sistem. ATAUPUN, mereka telahpun menjadi mangsa, namun, mereka khayal dan mabuk dengan pil kemajuan yang datang dalam bentuk bangunan tinggi, litar lumba, dan berbagai lagi kemajuan keduniaan yang mereka lihat.

Adalah menjadi tanggungjawab kita, golongan mahasiswa untuk menyedarkan mereka dari khayalan ini. Akan tetapi, adalah menyedihkan sekali bila melihat akan kelesuan mahasiswa. Kalau dahulu mahasiswa gencar memperjuangkan nasib masyarakat, tetapi sekarang, hendak memperjuangkan nasib mahasiswa sendiri pun, kita sudah tidak mampu.

-Artikel ini boleh dikongsi untuk kita ramai-ramai bekerjasama mengacau. Selamat mengacau! -


Sunday, November 6, 2011

"Ini Hanyalah Politik.."kataku dengan macho.




Membaca temuramah dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengukuhkan lagi apa yang selama ini menjadi perhatian saya. Malah, apa yang saya perhatikan itu bukanlah sekadar saya memerhatikan sahaja, tetapi acap kali saya cuuba membawa isu ini kepada teman-teman sekuliah dan sahabat-sahabat yang lain untuk sama-sama difikirkan.

Beliau dipetik sebagai berkata:

"Dia (orang muda) menjadi putus asa dengan politik dan ini malang kepada masa hadapan negara kalau orang muda sudah menolak politik. Maka kita tidak mahu terjadi yang mengundi dalam pilihanraya itu adalah minoriti," katanya.

"(Bagi mereka) majoriti orang politik sama sahaja. Mereka kata orang politik ini suka cakap sahaja tetapi tidak buat dan selepas itu begitu begini dan sebagainya.

"Jadi bila saya tanya sudah daftar sebagai pemilih? Saya tidak mahu daftar (jawap mereka); ditanya lagi kenapa? Mereka menjawab saya tidak mahu mengundi. Buat apa undi, mereka kata,  tidak jadi apa pun. Jadi ini yang saya katakan "sinis" atau skeptik terhadap politik," kata Saifuddin.

Sinis Terhadap Politik

Saya cuba melihat dan memperbincnagkan isu ini dengan lebih serius, kerana ianya semakin lama semakin tampak parah lebih-lebih lagi ianya melibatkan masa depan negara.

Majoriti anak muda sememangnya berfikiran dan mempunyai pendapat yang sebegitu.

Maka eloklah kita selidiki kembali apakah yang menyebabkan terjadinya semacam itu. Mari kita lihat apa sebenarnya yang membentuk mereka sehingga bersikap begitu skeptik dan sinis kepada dunia politik.

Saya bersetuju bila Datuk Saifuddin mengatakan ketiadaan integrity dalam berpolitik menyebabkan timbulnya pemikiran yang seperti itu. Hal ketiadaan integrity ini tidaklain dan tidak bukan bilamana segolongan mereka yang berperang dan menjadi haiwan di dalam rimba politik itu memandang politik dengan pandangan yang salah.

Mereka mungkin tidak mengenali Machiavelli atau pernah membaca kitab syaitan The Prince itu (mungkin mereka Cuma pernah mendengar tentangnya sewaktu belajar sejarah di sekolah menengah dahulu), akan tetapi mereka telah secara tidak sedar menjadikan isi kandungan tulisan itu sebagai wahyu bagi mereka, dan Machiavelli diangkat sebagai nabi mereka tanpa mereka sedari.

Kelompok ini ialah kelompok yang mengeja perkataan ‘politik’ dengan awalan huruf ‘K’, iaitulah  ‘kuasa’.
Tidak terlintas langsung bahawa politik mereka untuk kesejahteraan umat. Perkataan ikhlas tidak pernah menjengah jendela hati mereka yang mengeras macam batu itu. Itulah bahananya kalau sewaktu muda tidak pernah terdedah dengan dunia tarbiyyah, ataupun usrah. Maka, bagaimana hendak mereka memahami perkara kedua dalam Arkanul Baiah iatu ikhlas?

Orang-orang seperti ini, dalam mereka merebut kuasa dalam dunia politik, akan melabur segala apa yang mereka ada, termasuk agama, persaudaraan, dan apa-apa lagi yang boleh mereka laburkan. Kalau perlu melabur sampai ke haji pun mereka sanggup.

Setelah berjaya dalam pelaburan mereka itu, iatu selepas menang dan mendapat jawatan ataupun kuasa yang dididam-idamkan itu, maka sudah tentu mereka akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk mendapat keuntungan bagi menampung kembali pelaburan yang dibuat.

Dengan kuasa, maka akan datang kewajipan. Akan tetapi mereka tidak mahu menanggung kewajipan itu. Buat apa melabur susah payah hanya sekadar untuk kemudiannya dibebankan dengan kewajipan? Maka, kewajipan yang ada tidak akan dipenuhkan, sebaliknya akan dilempar ke punggung dan kemudiannya kuasa digunakan sewenang-wenangnya untuk membayar balik segala penat lelah memfitnah, merasuah, memberi janji-janji palsu dan sebagainya yang giat dilakukan waktu berkempen merebut kuasa dahulu.

Maka bilamana kewajipan yang diberi diperlakukan sedemikian rupa, maka rosaklah pengurusan pentadbiran Negara. Tidak perlu lihat jauh. Buka dan selak apa laporan audit Negara 2010 baru-baru ini. Budak tadika belum bersunat pun tahu kalau-kalau ada dua kedai berbeza menjual gula-gula yang sama, maka mereka akan memilih kedai yang mana menjualnya pada harga paling murah. Kalau sebuah kementerian sampai membelanjakan lebihan RM 6 billion untuk membeli kereta perisai yang sepatutnya boleh dibeli dengan harga yang lebih murah sepertimana yang dilakukan oleh negara lain, maka apakah lagi bukti yang diperlukan untuk menunjukkan bahawa integriti sudah semakin pupus dari pengurusan negara yang berkait rapat dengan orang-orang politik.

Siapakah yang perlu membayar semua itu? Rakyatlah. Majoritinya anak muda. Harga barang semakin naik. Hendak dapatkan kerja susah. Mahu memiliki rumah pertama umpama mimpi. Kahwin jauh sekali, modal sekarang tinggi (boleh jadi hantaran mahal atau perempuan yang ada jual mahal? Entah, wallahualam). Mereka semua sakit dan menderita terbeban dengan apa yang berlaku. Pada siapakah harus ditunding ini semua? Kalau ditanya mereka, setiap seorang akan menghalakan 10 jari tangan dan 10  jari kaki kepada orang-orang politik. (ada yang melampau marahnya akan tambah satu lagi jari untuk ditunding. Jadi 21 tundingan. Tapi tak semua mampu berikan 21 tundingan. Kaum tertentu sahaja boleh. Kalau tak percaya cuba tanya kumpulan Seksualiti Merdeka).

Maka wajarlah mereka merasa bengang dengan apa yang berlaku. Akan tetapi, adakah betul apa yang mereka fikirkan itu?

Harus diingat, bahawa sekarang ini sedang berusahanya ramai pihak yang mahu memperbetulakn kembali dunia poltik ini. Mereka ini sedang mencuba membawa budaya politik baru yang bukan lagi dieja dengan huruf ‘K’, akan tetapi dengan huruf ‘A’ iatu amanah. Seharusnya kita golongan muda sama-sama menyertai saff mereka ini, bukannya pura-pura ambil tidak tahu.

Sebagai generasi muda, kita tidak boleh sengaja menjadikan kebobrokan dan korupnya segelintir ahli poltiki yang memegang kuasa sebagai alas an untuk kita tidak mahu melibatkan diri mengubah dunia ini. Sering kali saya dengar suara-suara berlagak macho “Alah..ini politik je nii..” yang sering dikatakan beberpa teman bilamana isu-isu kepentinagn dan masa depan negara ingin saya bawakan atau bincangkan.

Dengar, kita boleh sahaja lari dari melibatkan diri atau ambil tahu tentang apa yang berlaku. Kita boleh sahaja bersuka ria selagi masa masih ada. Tidak perlu sibuk-sibuk menyesakkan kepala dari ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam ‘dunia yang rosak ‘ itu. Orang muda buat cara orang muda. Tidak perlu bersama-sama menyertai orang-orang yang berjuang untuk memperbetulkan perkara ini.

Akan tetapi, kita pastikah bahawa cubaan kita untuk melarikan diri dan memandulkan keberanian dari mendepani isu-isu yang berlaku itu akan berhasil?  Tidakkah kalian terfikir bahawa kerosakan yang berlaku itu akan sama-sama menelan kita dan ahli keluarga kita?

Ketika itu jangan merungut apa-apa. Ketika itu kalau hendak memakan sepinggan nasi pun payah janganlah hendak marahkan apa-apa. Sebaliknya, duduk sahajalah bersandar dengan perut yang lapar sambil mulut berzikir, “Ini hanyalah politik”.

Artikel Ini Boleh Disebar Untuk Kebaikan

Thursday, November 3, 2011

Allah Jallay Shan




Aku tidak pasti apakah bahasa yang dinyanyikan adik ini. Namun, besar kemungkinan aku dapat rasakan ini ada bunyi-bunyi hindustan.

Suara dia ini masyaALLAH sangat indah. Aku teringin benar hendak mendengar dia ini menyanyikan lagu 'Khushian Aur Gham'. Tentu menusuk.