Friday, March 23, 2012

CerDek Lagi : Dari Kaki Naik Kepala


Pada awalnya, aku selalu menangisi kewujudan aku di muka bumi ini. Sering kali aku
merasakan bahawa keberadaan aku di alam yang fana ini hanyalah sekadar untuk menghina diri sendiri demi keselesaan orang lain.

Kalau yang melekat di tubuh ku ini setakat tanah sahaja tidaklah aku kisahkan sangat. Tanah je pun, kataku memujuk. Manusia yang mulia itu pun asalnya dari tanah. Apalah yang hendak digelikan sangat dengan tanah? Pelik juga kalau ada orang yang takut-takut hendak solat dan bersujud di taman layang-layang selayang dengan alasan kotor. Ini hujah poyo. Sudahnya terperangkap dalam jam, kemudian selepas itu tidak sempat sampai ke rumah untuk solat.

Setakat terkena tanah memang aku tidak berkira sangat. Tanah lumpur, tanah liat, tanah rezab melayu, tanah kubur, dan segala macam tanah pernah melekat dan menghinggapi tubuhku ini. Tidak pernah sekali pun aku merasakan ianya hina. Cuma kalau yang melekat itu tanah rezab Melayu, aku akan cuba kesat kembali ke bumi. Hatta kalau debunya sekalipun akan aku kibas sampai bersih dari bajuku. Bukan apa, aku takut benar kalau-kalau terambil hak rakyat. Lain ceritanya dengan orang yang makan tanah itu sampai kenyang. Dari 3 juta hektar luas asal,  sekarang ini sudah tinggal hanya 1.7 juta. Nanti kena telan dengan tanah macam Qarun baru tahu.

Akan tetapi bila tubuhku yang cantik ini mulai lebur dengan sesuatu yang bukannya tanah, contohnya seperti air longkang atau najis kucing, aku sudah mulai dapat rasakan satu penghinaan yang besar telah ditujahkan kepadaku. Adakah wujudiah aku ini hanyalah untuk diselaputi benda-benda kotor semacam itu?

Kenapa aku? Kenapa tidak disuruhkan tugas ini kepada kawan -kawan aku yang lain itu? Mereka itu kerjanya bersenang-lenang sahaja. Kalaupun kerja mereka itu ada yang susah, ia tidaklah sampai tahap menghina dan menjatuhkan maruah seperti kerja yang dipaksakan ke atasku ini. Kotor, busuk, berlendir, hei, sampai tidak lalu aku hendak ceritakannya. Aku yang menulis ini pun sampai mual-mual. Tuan-tuan pembaca apatah lagi, kan?

Menambah lagi luka di hatiku ini ialah pabila kawan-kawanku itu selalu benar mengejek-ngejek aku. Kalau tidak di depan, dikatanya aku macam-macam di  belakang. Hendak dikata bodoh pun boleh juga mereka ini. Kalaupun hendak mengumpatku, tunggulah bila sudah berada jauh dari ku. Ini tidak. Sebaik sahaja berada betul-betul di belakangku, terus sahaja mulut mereka berkata yang buruk tentangku. Macamlah telingaku ini boleh mendengar suara dari depan sahaja. Bayangkan betapa pedihnya hatiku ini!

Dakwa mereka, merekalah yang lebih mulia tugasannya. Kata mereka, merekalah yang berjasa menjadi pemula kepada perubahan dan revolusi yang merebak baru baru ini.

Kata Bic, tulisan itu terhasil dengan darahnya. Melalui dialah tulisan-tulisan dan ucapan yang bersemangat dapat disebarkan kepada semua rakyat Arab yang bangun memberontak. Entah kan ya entahkan tidak. Aku terfikir akan sejauh mana relevannya hujah dia itu, kerana dari pembacaan aku, segala maklumat untuk berhimpun itu disebarkan melalui komputer. Adakah dia menyangka zaman ini sama seperti zaman dahulu di mana datuk dan nenek kita hendak menghantar ungkapan cinta pun menggunakan kertas yang ditulis ayat-ayat dan madah berbunga?

Aku malas bertekak, lalu aku iyakan saja.

Sampuk Molotov, saudaranyalah  yang membakar kereta kebal itu. Yang ini aku percaya sedikit, sebab selepas itu memang tak pernah aku melihat dia lagi. Sudah terbakar macam saudaranya itu, mungkin.

Tapi sebelum pergi tempoh hari sempat lagi dia mengutuk.

"Kau apa ada? Pijak tahi adalah! Hahaha!"

Ceh.

Akan tetapi, bukankah Tuhan itu maha kuasa? Dia sudah menjanjikan dalam Al Quran, bahawa dia boleh menghina dan memuliakan sesiapa sahaja yang dia mahukan sekelip mata.

Baru-baru ini, kedudukanku yang dianggap hina itu tiba-tiba bertukar menjadi mulia!

Kalau sebelum ini aku ini hanya layak dikaki, sekarang ini kemuliaan aku naik sampai ke kepala!

Yang sebenarnya ini bukan kali pertama aku diangkat sampai ke kepala.

Ada. Akan tetapi  aku tidak mengira ia sebagai kemuliaan, kerana ianya dilakukan bukan dengan niat untuk mengangkat martabat kemuliaanku. Sebaliknya ia hanyalah untuk berseronok sambil dapat menyakiti orang lain! Lagipun, para pelakunya ialah kanak kanak yang ingin berseronok bermain baling selipar.

Namun, baru-baru ini aku bukan sahaja jadi barang untuk berseronok apabila dibaling. Sebaliknya aku turut menjadi sebahagian dari revolusi dan perubahan. Bayangkan, aku dibaling sebagai simbol menyatakan penentangan terhadap kezaliman. Aku dibaling dengan tujuan untuk menghinakan para penindas. Betapa gembiranya aku. Rupa rupanya kehinaan aku ini ada gunanya juga.

Aku sekarang ini sudah jadi simbol melawan!

Aku masih ingat muka kangaroo yang menkadi hakim tempoh hari tatkala dia cuba mengelak dari terkena diriku yang meluncur laju ke arahnya. Nyaris sahaja aku mencium mukanya. Nampak terkejut macam lelaki yang terkantoi curang dengan isteri!


Padan dengan muka dia.


Aku memang berbangga dengan tuanku itu. Entah dari mana dia mendapat keberanian yang luar biasa seperti itu! Mungkin dia tidak mengetahui, bahawa apa yang dilakukannya itu bukan meghina hakim kangaroo itu sahaja, akan tetapi menghina keseluruhan sistem hukum rimba yang diamalkan sekarang ini. Walaupun sebelum ini aku agak marah dengannya, kerana seperti yang aku katakan sebelum ini, bahawa kadang-kala aku terpaksa memijak benda-benda jijik dan kotor. Tak apa, sekarang aku hendak bersifat husnodzan, mungkin dia lakukannya dalam keadaan dia tidak perasan aku yang dibawah ini.

Apapun aku masih belum puas. Kerana sebelum ini salah seorang rakanku telah melakukan sesuatu yang lebih bergaya dan cool berbanding aku. Dia telah berjaya menghina Bush sang drakula yang banyak menzalimi orang lain. Sampai sekarang dia masih berbangga. Kali terakhir aku melihat gambarnya ialah di eBay. Waktu itu orang berebut rebut membida dirinya.

Sekarang ini pun aku sudah merasakan diriku cukup mulia. Jauh lebih mulia dari handbag dan cincin, walaupun hargaku tidak sampai RM 20 pun. Ciplak pula tu..

Ya, aku akan terus untuk menjalankan tugas baruku untuk menghina para penjahat dan penindas manusia lain, termasuk yang mencuri tanah rezab Melayu serta kuat rasuah. Awas kalian, jangan sampai aku masuk ke mulut kalian!


Yang Benar,

Selipar





Wednesday, March 21, 2012

53? Tak Lah Besar Sangat


Hutang negara kini pada paras 53% KDNK
Hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin.

NONE"Ia tidak berada pada tahap yang kritikal pada masa ini. Had kita adalah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kini cuma berada pada paras 53 peratus. Jadi tidak perlu bimbang tentang hal itu," katanya semasa sesi soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Awang Adek menjawab soalan tambahan daripada Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang) mengenai apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal hutang kerajaan yang semakin meningkat.
Memetik rekod kewangan 2008 dan seterusnya yang mempamerkan peningkatan hutang dari tahun ke tahun, Saifuddin mendakwa bahawa trend peningkatan hutang akan menyaksikan negara berhutang sehingga 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Had kami adalah pada 55 peratus. Jika kita tidak cecah 55 peratus, maka kita tidak akan capai100 peratus," kata Awang Adek sambil menambah sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mereka tidak akan membenarkan perbelanjaan dan pinjaman melebihi had yang ditetapkan.

-------------------------------------------------------------------------------------------

‎53 bukan lah besar
Apa yang kau orang semua sibuk berdegar-degar?
Padi Pak Mat kan ada boleh dibuat cagaran?
Sampan Pak Senik kan ada boleh jadi bayaran?
Tak perlu susah2 pergi ke IMF untuk selesaikan
Kami dimahligai boleh jadi wakil tolong gadaikan! 

Kamu marhaen jangan pandai-pandai pertikai,
Kalian tak belajar tinggi mana tahu ekonomi,

Bukan, Pak Mat..Bukan, Pak Senik..
Jangan salah Pak Mat, Jangan silap Pak Senik..

Ekonomi bukan
Apa yang akan masuk ke perut anak dan isteri,
Setelah penat membanting di sawah padi,
Bukan juga tanah untuk cucu cicit terus warisi,
Setelah berzaman di gebuk dan pondok kalian berdiri

Ekonomi itu besar Pak Mat, Ekonomi itu berjuta wahai Pak Senik,
Ekonomi itu berapa tinggi lagi bangunan untuk kita dipanggil mulia dan maju,
Dan juga berapa gedung eksklusif tempat orang kehormat berjamu,
Atau berapa banyak kereta Pak Menteri jalan menderu
Itu baru betul ekonomi
Yang akan terus maju dan bakal memacu

Jangan Pak Mat Jangan Pak Senik kami berpesan
Tak belajar tinggi jangan pandai melawan 

Wednesday, February 29, 2012

Berhenti Meracau dan Mengigau


Wajib kaum muslimin semuanya ambil tahu apa yang berlaku di Syria. Ini episod ke 4 filem bertajuk 'Revolusi' yang sedang mengambil tempat di pawagam sejarah tamadun manusia.

Untuk memahami jalan cerita episod ke 4 ini, harus kita menonton kembali episod sebelumnya yang sudah pun di tayangkan sejak awal tahun lepas. Untuk makluman, idea untuk mencetuskan revolusi ini sudah lama bercambah dan membara di dalam hati bangsa arab yang satu ketika dahulu pernah menjadi bangsa termulia dalam sejarah tamadun umat manusia, sebelum ianya layu dan kendur selepas hilang idea jihad dari urusan harian mereka. Namun tiba tiba pemuda bernama Ahmad Bouazizi mengetuk kepala setiap anak muda dengan percikan api yang membakar tubuhnya, lantas menghidupkan nyalaan harapan reformasi yang semakin malap kerana sebelum ini, diktator seperti Mubarak dilihat sangat kebal seperti tembok Constantinople

 Laksana meriam manjanik, kekuatan anak muda ini berjaya meleburkan terus keangkuhan diktator yang mengenepikan hak rakyatnya.  Ledakan mereka ini umpama ribut terus menderu laju dan merebak arusnya ke serata tanah Arab.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Namun, sayang sekali, dalam pementasan 'Revolusi Arab Spring' yang sedang menjadi fenomena dan box office di kalangan warga, masih ada juga suara sumbang dari para penonton yang menontonnya secara percuma. Saya katakan mereka mendapat tiket percuma kerana mereka tidak mengeluarkan walau sesen pun, mahupun sesaat untuk memgorbanKan sedikit kesenangan dunia mereka untuk sama- sama menjadi sebahagian dari pementasan tersebut. Penonton yang mendapat tiket percuma ini hanya duduk melopong    di kerusi masing-masing. Lebih tragis, ada yang tertidur terus! Kemudian tiba-tiba bangun mengigau dan meracau yang bukan-bukan.

Racauan mereka ini kadang kadang kalau sekali dengar bunyinya macam benar. Kadang - kadang macam khutbah jumaat pun ada.

Yang kasihannya pula, mereka tidak sedar yang racauan mereka itu sebenarnya adalah penghinaan.

Kata kata dan racauan mereka kedengaran seperti baik, namun maksud tersirat di dalamnya adalah satu penghinaan tanpa mereka sedari.

Apakah racauan yang menghina itu?

Kalau menghina, kepada siapakah penghinaan itu dituju?


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ya, keadaan kita di Malaysia ini memanglah berbeza dengan saudara-saudara kita di negara-negara yang sedang bergolak itu. Kita punya rasa simpati, dan hasrat yang membuak untuk bersama-sama mereka dalam perjuangan menghancurkan para penzalim yang durhaka pada Tuhannya.

Namun,seringkali kita bercakap dalam nada seolah-olah menyalahkan mereka, para pejuang, atas sebab kacau bilau yang berlaku.

“Alhamdulillah..Kita bersyukur kerana negara kita aman makmur, tidak seperti di Syria dan Palestin yang kacau bilau.”

Perhatikan ayat yang sering kita dengar atau baca ini. Ianya kelihatan seperti biasa. Nampak macam ayat tipikal rakyat Malaysia.

Mari kaji ayat di atas.

Apakah dia kacau bilau yang dimaksudkan? Sudah tentu ianya merujuk pada situasi tidak aman yang sedang berlaku di negara-negara terbabit.

Apakah punca ianya berlaku? Ia berlaku kerana adanya dua pihak yang sedang bertarung waktu ini. Rakyat yang mahukan keadilan, menentang penzalim yang mahu terus berkuasa berbuat sewenang wenangnya di muka bumi ini.

Siapakahyang memulakan revolusi yang dikatakan kacau bilau suasananya itu?

Sudah tentu rakyat di Syria sendiri, yang sudah lama membara api perubahan yang meronta-ronta ingin meledak selama ini, yang hanya terhambur keluar dan menjulang apinya bila ada pencetusnya iatu revolusi di negara-negara jiran.

Timbul satu persoalan di sini. Adakah ini bermakna bahawa rakyat yang sedang berperang dengan penguasa mereka itulah yang memulakan kacau bilau ini?

Saya berkata ya.

Adakah mereka sukakan suasana kacau bilau itu?

Sudah tentu tidak.

Namun, atas sebab apa mereka tetap meneruskan perjuangan mereka itu, walaupun mereka tahu yang ianya akan menyebabkan negara mereka mengalami pergolakan yang entah bila akan berakhir? Tidakkah sepatutnya mereka jangan terus melawan para penguasa terbabit, dan duduk diam-diam sahaja di rumah masing-masing?Bukankah itu lebih aman?

Manusia memang bencikan huru hara. Kita sentiasa mahukan suasana yang damai dan tenang sahaja tanpaada kacau bila dan pergolakan.

Dalam Al Baqarah, ayat 216, Allah SWT berfirman:

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dna boleh jadi kamu menyukai sesautu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Allah SWT Yang Maha Memahami tahu akan sifat dan perangai manusia yang tidak mahu hidup dalam keadaan bersusah payah. Dia Maha Tahu yang manusia mahu segalanya nampak indah dan enak-enak belaka.

Namun, Dia tetap mengarahkan manusia untuk mengorbankan kesedapan duduk dalam pelukan isteri di rumah, dan terjun ke kancah perang yang diselaputi debu-debu kaki kuda yang berterbangan. Kerana sunnatullah perobahan ialah pengorbanan.

Tiada perubahan akan terhasil tanpa pengorbanan. Tiada revolusi yang tercetus tanpa adanya korban.
Kerana itu rakyat diSyria, yang mulai menyedari hakikat bahawa selama ini keamanan yang mereka perolehi bukanlah keaman yang sebenar, sebaliknya keamanan yang palsu dan menipu., telah bangkit dan melawan. Biarlah negara mereka huru hara pun. Biarlah ada anak-anak yang yatim kehilangan ibu dan ayah. Biarlah ada isteri kehilangan suami yang dicintai. Biarlah ada syuhada yang bercerai berai tubuh badan dibedil senjata. Biarlah!Biarlah!

Kerana mereka sedar, yang perubahan perlukan pengorbanan. Perubahan harus dimulai dengan suasana yang susah payah dan sedikit kacau bilau. Ianya lumrah, kerana dalam menuntut keadilan, para penzalim tidak akan dengan mudahnya melepaskan kekuasaan yang mereka kecapi dan nikmati selama  ini dengan mudah. Meraka akan melawan. Maka, rakyat Syria pun wajib melawan. (Baca artikel saya bertajuk ‘Mari Mengacau’)

Rasulullah SAW juga boleh memilih jalan yang sama. Baginda boleh sahaja bersenang lenang di rumah bersama Saiditina Khadijah yang berharta dan kaya pula. Malah, sewaktu misi dakwah sudah pun dimulakan, Baginda boleh sahaja menerima pelawaan menjadi raja di Makkah dan hidup dalam kenikmatan. Pendek kata, Baginda boleh memilih untuk hidup aman damai tanpa kacau bilau! Namun, baginda tidak rela hidup dalam kenikmatan sedang di sekeliling baginda ada insan-insan yang tertindas dan menjadi hamba kepada sesama manusia. Maka Baginda memilih untuk mengalami susah payah, yang bukan melibatkan diri Baginda sahaja, malah bencana dan siksaannya turt mengheret sama Bani Hasyim dan untuk tempoh-tempoh seterusnya, Madinah sekali. Bukankah sudah dikatakan, pengorbanan itu perlu?

Justeru, kenyataan ayat di atas, yang sering diucapkan itu, adalah seolah-olah menghina perjuangan rakyat Syria yang mahukan perubahan. Ianya seolah-olah menyalahkan rakyat Syria kerana memilih untuk melawan dan mencetuskan kekacauan terbabit. Walaupun yang berkata tidak berniat begitu, akan tetapi maksud tersirat yang boleh timbul adalah satu penghinaan.

Ianya penghinaan kepada anak yatim yang memilih untuk kehilangan ibu dan ayah demi revolusi. Ianya penghinaan kepada isteri yang kematian suami demi reformasi. Ianya menghina syuhada yang bercerai tubuh badan mereka demi memperjuangkan keadilan insani.

Ianya menghina mereka semua itu yang memilih kacau bilau demi sebuah perubahan!

Saya tidak menyalahkan lafaz sukur yang diucapkan. Namun, sungguh lafaz itu kelihatan seperti kemunafikan yang nyata, yang ditutur atas dasar pengecut yang takut untuk berkorban demi sebuah perubahan! Adakah sang pengucap tidak menyedari bahawa merekalah sebenarnya yang kufur nikmat dan tidak tahu bersyukur, kerana lena dan leka dibuai kenikmatan dunia, tanpa menyedari yang hukum Allahmasih belum tertegak di muka bumi ini, dan tidak pula mereka mahu berjuang dan berkorban seperti rakyat di Syria, di Mesir, dan sebagainya?

Tidakkah mereka malu, apabila selesai sahaja mengucapkan lafaz syukur terbabit, terus sahaja mereka tersandar kekenyangan di sofa ruang tamu, sambil mata terus menatap berita-berita kekejaman yang berlaku di Syria, sambil mulut berdikir, “syukur..syukur..syukur tak jadi seperti ini di sini..”. Tidakkah hipokrit keadaan begitu?

Kita tidak berbuat apa-apa, mengapa berani kita katakan kita bersyukur? Rakyat di Syria itu jauh lebih mulia walaupun mereka hidup dalam sengsara ketika ini. Selagi kita tidak membantu mereka atas cara bagaimana sekalipun, ataupun turut sama berjuang mencetuskan perubahan kita sendiri di rantau ini, maka belum bolehlah dikatakan kita ini bersyukur atas nikmat keamanan ini. Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi ini, boleh jadi satu cubaan dari Allah untuk melihat samaada kita akan tenggelam dalam kemewahan hidup ataupun kita akan sanggup mengorbankan kenikmatan yang kita nikmati demi memastikan keadilan tertegak di muka bumi ini, dan kalimah Allah menjadi yang paling tinggi, dan tiada yang lebih dijunjung melebihiNya.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ‘SYUKUR BUKAN ALASAN’.

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” At Taubah:41

Khatimah

Adapun apayang saya tulis ini bukanlah bermaksud saya ingin mepromosikan kekacauan dan huru hara. Islam ini agama yang cintakan kedamaian, dan sukakan keamanan. Namun, untuk kita mengecapi keamanan dan kedamaian, maka kita harus berkorban dahulu, dengan cara menghapuskan parasit-parasit yang suka berlaku zalim ke atas orang lain, hanya dengan sebab mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Sesungguhnya, bagi seorang Muslim, tiada keamanan dan kedamaian yang sebenr, melainkan di akhirat nanti apabila bertemu dengan Tuhan mereka sambil memakai wangian yang semerbak harum baunya, sambil di kelilingi bidadari yang sentiasa menantikan hadir para syuhada yang melangkah gagah penuh mulia.

Ianya akan dapat diperoleh, dengan cara berhenti dari meracau dan mengigau perkataan syukur dalam nada munafik.

Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh danperjalan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, “Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu.” Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahwa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta,” At Taubah : 42.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


SYAIR GARISAN (TIADA PATAH BALIK)

Kapal sudah terbakar,
  Kata Tariq, 
ke depan musuh, ke belakang laut,
ke depan syahid ke belakang maut,
ke depan menang ke belakang pengecut

Kapal sudah dibakar,
tiada patah balik,
Buka Sepanyol itu,
 Atau mati penuh mulia

Wahai Syria,
Ke depan Bashar, ke belakang penjara,
Ke depan syahid, ke belakang kem seksa,
Ke depan revolusi, ke belakang hina

Darah sudah tertumpah,
tiada patah balik,
Tumbangkan sang penzalim itu,
Atau mati penuh mulia 

Saturday, February 11, 2012

Makin Lama Makin Cool : 3


Untuk saya ke Tok Guru?


Hehe..Alamak.. saya tak makan sayur lah..


Nak ayam sebelah tu boleh?




*Anak Muda Semakin Sayang Tok Guru!








"Seekor haiwan tidak akan peduli tentang halal haram makanan yang ditelannya. Ia tidak peduli kebun orang atau harta orang kerana halal haram bukan satu persoalan baginya. Berbeza dengan manusia, halal dan haram merupakan satu persoalan yang perlu difikir sebelum makan atau melakukan sesuatu. Jika tidak, seorang manusia itu samalah tarafnya dengan haiwan.."

Ucapan di majlis perasmian Radix Fried Chicken Kubang Kerian pada 25 Julai 2010.








Gambar Cool Lagi : 2


 "Orang zaman dulu miskin sampai nak beli selimut pun tidak ada duit. Ada suami isteri yang tidur berlaga belakang sebab nak tumpang panas. Tapi Alhamdulillah sampai ke tua tak pernah berbalah sampai cerai berai. Orang hari ini gaji besar, dua tiga bulan bercerai. Ini menunjukkan bahagia itu bukan pada harta yang banyak, tetapi pada jiwa yang tenang. Tenang ini bukan boleh beli di market, tapi ia datang daripada Allah SWT...." - Tok Guru Nik Aziz






Tok Guru tak mainlah bagi hand bag 


Apatah lagi bagi cincin dan gelang


Bagi bunga pun dah boleh cair hati


Ini bukti beliau lebih mantap




*Anak Muda Sayang Tok Guru!

Koleksi Gambar Cool :1



Tok Guru sangat santai..

Tok guru tgh jaga remote sekali ke?

Nak tukar channel 811 boleh?  =)


*tak payah sofa mahal pun. Atas lantai pun jadi. Yang ini bukan lakon2. Ini dia pemimpin idaman anak muda

Monday, February 6, 2012

Kalau Dia Muncul Di Situ

Seujurnya sudah lama saya tidak menonton televisyen. Kalau pun ada di Selayang, ruang menonton itu hanya diisi dengan Premiere League, ya, dan kadang-kadang Hassan Ali di Buletin Utama (yang ini biasanya saya akan cepat-cepat habiskan makanan kemudian keluar kerana malas mahu mendengar. Takut dijangkiti parasit).

Apapun, hari itu di chalet kemaman, kebetulan TV di rumah tumpangan itu ada siaran TV Al Hijrah, maka saya yang belum pernah buka channel itu terus sahaja berbaring di sofa, kemudian layan sebentar.

'Lau Kana Bainana'. Saya pernah dengar lagunya dan ada teman pernah ceritakan ia pada saya. Tapi ini kali pertama saya tonton.

Siapakah dia yang tidak akan merasa hiba mendengar ungkapan Lau Kana Bainana? Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu mahu berkata apa kalau-kalau di hadapan saya wajah yang mulia itu muncul. Pasti kelu dan hanya tubuh akan tergerak untuk merapati dan memeluk kekasih Allah itu.

Saya benar-benar terfikir satu perkara.

Kalau saya menjadi hos rancangan ini, ada satu tempat yang saya sangat inginkan rancangan ini dibuat.

Iatu di hadapan kaabah. Ya, kalaulah Nabi ada bersama kita, sedang berdiri di hadapan kaabah, sambil tangannya yang mulia memegang kiswah hitam bersulam emas, sambil mulut bagida bersabda,

"Apakah dia ini?"


Apa yang kita mahu jawab?