Tuesday, June 14, 2011

Warkah Terakhir Si Penjual Burger



seorang budak menangis membaca warkah ini

"Huhuhu..warghh..biar betul, kesiannya.."


"Sabarlah sayang..jangan menangis..nanti abang pun menangis sama..huuuu.."




Warkah oleh : Penjual Burger

Warga Sungai Chemubong semua tentu sedang gelisah penuh gundah gulana. Namun, menitis air mata oren sekalipun tidak akan dpaat mengubah keadaan. Aku tahu, tidak kurang juga ramai yang marah-marah. Malah ada yang mengugut untuk mengadakan mogok lapar (tetapi iv drip dextrose dibenarkan), semata-mata kerana penguguman baru yang dibuat pihak penguasa kita.


Bahang kemarahan dan pemberontakan ini bukan sahaja melanda warga yang masih tinggal sewaktu pengunguman penuh gelojoh dan kegemparan itu dibuat. Malah, anak-anak jati Sungai Chemubong yang sekarang ini berada merata-rata di permukaan bumi, termasuk ramai yang sedang bersuka ria bercuti bersama keluarga, semuanya merasai kegeraman yang amat, serasa mahu balik dan berdemo sahaja di sungai Chemubong.


Kenaikan harga burger. Begitulah bunyinya arahan pekeliling yang baru dikeluarkan. Sudah tentu penduduk Sungai Chemubong marah. Habis ‘bersih’ dompet warga nanti.


Saudara-saudari yang dihormati lagi dikasihi sekalian,


Yang sebenarnya, ura-ura kenaikan itu memang sudah lama tersebar di tengah-tengah ke hidupan aman damai masyarakat yang saling hidup berkasih sayang, tolong menolong bantu membantu yang hidup di Sungai Chemubong ini. Namun, tidaklah ia diduga berlaku secepat dan sepantas ini ia dibuat, macam tergesa-gesa nak ke tandas setelah menahan kencing seharian gamaknya keputusan dikeluarkan penuh kegopohan.


Mulanya dikatakan bahawa harganya akan dikaji semula bulan 9 nanti. Tahu-tahu sahaja, sewaktu warga ramai yang baru bangun tidur dan mata pun masih terkebil-kebil sewaktu membuka laptop dan akaun MukaBuku masing-masing, harganya sudah dinaikkan kurang 3 minggu dari sekarang, iatu di bulan 7.


Tidak ada lain, melainkan peniaga-peniaga burger telah menjadi mangsa kecaman warga yang tidak berpuas hati. Segala macam status yang mengutuk dan mengecam kenaikan harga burger telah dibuat.


‘Persatuan Penjual Burger Tamak’, ‘Burger Korang Bukan Sedap Sangat Pun’, ‘Keluarkan Laporan Penyata Kepada Rakyat’, ‘Burger Ayam Special Satu. Nak Sayur Lebih. Hantar Dekat Bilik UG 06’, ‘Perangai Macam Kapitalis’, ‘Tukang Masak Tak Ambil Typhoid Vaccination’, dan bermacam-macamlah lagi kecaman yang dibuat, sampai habis penuh notifikasi di MukaBuku peniaga-peniaga burger akibat di tag secara beramai-ramai untuk membaca bantahan-banatahan yang dibuat.


Adapun ramai warga yang tidak sedar apa sebenarnya yang berlaku. Betapa di belakangnya ada konspirasi penuh muslihat yang menyebabkan berlakunya krisis kenaikan harga burger. Ini bukan cakap-cakap politik, akan tetapi ada sangkutpaut yang rapat dengan teori ekonomi yang sedang mengambil tempat.


Biarlah aku selaku tukang masak dikecam habis-habisan kerana menulis warkah penjelasan ini. Aku hanya menjalankan tugas selaku tukang masak merangkap setiausaha persatuan peniaga-peniaga burger, untuk menjelaskan kepada saudara-saudari tentang apa sebenarnya yang berlaku. Seperti apa yang aku katakan di atas, menangis air mata oren pun tidak ada gunanya lagi. Apalah daya kami peniaga-peniaga kecil.



Semuanya bermula begini:



Sejak perniagaan dibuka, masakan burger kami telah mendapat sambutan ramai. Malah ada ura-ura akan ada usul yang mahu dibuat di dewan perwakilan penduduk untuk menggantikan nasi dengan burger sebagai makanan ruji warga Sungai Chemubong, sampai begitu sekali tahapnya. Aku dan rakan-rakan tukang masak berhempas pulas melayan tempahan, sehingga pernah sekali kami mendapat tempahan hampir 90 biji burger dalam satu malam. Sampai hitam legam muka aku terkena asap burger. Pakai SimplySiti pun takkan mungkin kembali putih berseri. Kawan-kawan tukang masak pun ada yang angkat kaki kerana tidak tertahan menanggung kebanjiran permintaan. Kasihan mereka. Kami juga yang rugi kerana masakan burger merekalah yang paling sedap dan paling hampir dengan kesempurnaan burger.


Aku sangkakakn salju di Melbourne, rupanya panas di kota bangkok. Kegembiraan kami pada larisnya jualan tidak kekal lama. Adat bangsa Hang Tuah ini, kalau dilihat ada yang mula maju dan naik ke atas, terus sahaja dibuat bermacam-macam untuk menghalang.



Tanpa disangka-sangka, suatu hari kami mengalami kekurangan bahan-bahan masakan. Entah di mana puncanya, kami sendiri pun tidak tahu. Kami secara konsistennya mengesyaki bahawa kami telah disabotaj. Bekalan daging ayam dan daging lembu tiba-tiba mengalami keputusan. Kata orang, semua ayam dan lembu telah mengadakan mogok menuntut sayur dan dedak yang bebas E.Coli. Entahkan benar entahkan tidak, wallaua’lam bissawab.



Mengamuklah warga Sungai Chemubong hari itu. Ialah. Makanan ruji mereka tiba-tiba terputus. Hendak kembali memakan nasi mereka tidak sanggup. Lebih-lebih lagi setelah kempen ‘Tak Nak Nasi’ digerakkan oleh seorang warga yang mengadakan kajian dan berjaya membuktikan bahawa nasilah yang selama ini menyebabkan kegemukan dan obesiti yang menular macam wabak.


Bertalu-talulah datang pelanggan yang marah-marah. Kami turut diugut untuk di bawa ke Tribunal Pengguna. Aku bermati-matian mengatakan dan menjelaskan bahawa ini bukan salah kami. Kami hanya memasak. Ada bahan, adalah burgernya. Lainlah kalau kami ada ladang ayam dan lembu sendiri, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku.


Saudara-saudari yang disayangi sekalian,


Rupa-rupanya, di sebalik krisis kekurangan makanan ruji yang berlaku, ada segelintir manusia yang mengambil kesempatan dan ingin menangguk di air yang keruh. Mereka telah berjaya membawa satu usul dan cadangan ke pihak berkuasa, yang akhirnya menjadi ibu kepada masalah kenaikan harga burger yang berlaku sekarang ini.


Usul itu dibawa dengan alasan bahawa kami, para peniaga burger kecil-kecilan ini, tidak mampu untuk menampung jumlah permintaan burger yang tinggi. Maka telah dicadangkanlah kepada pihak berkuasa, untuk membuka pasaran burger sungai chemubong kepada syarikat-syarikat besar pembuat burger dari luar. Kami syarikat tempatan dituduh tidak mampu dan tidak punya cukup modal untuk mempertahankan kelangsungan makanan ruji burger di kawasan sungai chemubong.


Padahal macamlah kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mengikut maklumat yang dibawa oleh salah seorang perisik kami dari kalangan ayam, sebenarnya pihak-pihak pemberi cadangan itulah yang telah menghasut segala ayam dan lembu untuk melakukan mogok. Mereka jugalah yang sengaja meletakkan tauge dari Jerman yang dijangkiti E Coli ke dalam makanan ayam dan lembu, sampai ramai yang mati tercirit hijau. Jahat sungguh. Sampai begitu licik dan teliti sekali perancangan mereka.


Tidak cukup dengan itu, kami juga telah dipaksa untuk mengurangkan penghasilan burger. Dari semua jumlah bilangan keperluan burger warga dan rakyat termasuk jin dan segala macam binatang melata di sungai chemubong, kami hanya dibenar menghasilkan 40% sahaja jumlah keperluan burger tersebut.


Yang selebihnya 60%, akan dihasilkan oleh syarikat-syarikat burger luar yang ada hubungan kroni dengan pihak-pihak berkuasa, dan kami telah dipaksa membeli burger-burger itu dari mereka dan menjualkannya kembali kepada semua penduduk.


Masalahnya ialah, syarikat-syarikat burger luar itu tauke-taukenya memang pemuja kapitalis. Semuanya hendak untung besar sahaja, tanpa mempedulikan kesusahan rakyat jelata. Selalunya kami menjual burger dengan harga sebiji RM 2.00 untuk burger ayam. Kalau minta sos lebih atau sayur lebih pun kami tidak akan beri caj tambahan. Segalanya bersifat amal jariah, untuk sama-sama melihat warga dapat menikmati burger pada harga yang berpatutan. Sebaliknya, syarikat-syarikat besar itu telah mengenakan harga RM 2.50 bagi setiap burger, dan kami terpaksa membelinya dari mereka dan menjualkannya balik kepada pembeli-pembeli.


Dengar. Kami terpaksa membeli dari mereka dengan harga sebanyak RM2.50. Sudah tentulah kami terpaksa menjualkannya semula kepada warga dengan harga RM 2.70. Kalau tidak, habis rugilah kami. Namun apalah daya kami. Kami telah dipaksa menandatangani perjanjian berat sebelah ini, dan kesannya telah menyebabkan harga burger naik mendadak dari RM 2.00 kepada RM2.70. Lihat apa yang berlaku. Tambah men yedihkan lagi, bila kami telah dipersalahkan atas kenaikan ini, kononnya kami ini tamak. Sebenarnya mereka semualah, beberapa kerat tauke-tauke itulah, yang tamak.


Saudara- saudari yang dirindui ala bucuk-bucuk sekalian,


Marahlah kami. Kami tidak kisah pun. Hanyalah sebelum aku menamatkan warkah duka penuh berdarah ini, ingin aku mengingatkan bahawa sekarang ini strategi keuntungan yang sama telah diguna oleh syarikat-syarikat lain. Atas nama penswastaan dan membantu kerajaan mengurangkan kos kononnya, mereka telah menggunakan modus operandi yang sama seperti yang digunakan oleh syarikat-syarikat burger itu tadi.


Aku ingin mendedahkan satu contoh terdekat. Kenaikan harga elektrik baru-baru ini sebenarnya telah dilakukan menggunakan cara ini. Pada firasatku, orang-orang yang merancang kenaikan harga burger itu merupakan orang yang sama di belakang kenaikan harga elektrik baru-baru ini. Janganlah kalian menyalahkan TNB. Mereka tidak bersalah dalam hal ini.


Akan tetapi tundinglah jari kalian kepada Independence Power Produce (IPP) atau nama bukan PPSMI nya ialah Pengeluar Tenaga Bebas yang dimiliki oleh YTL, Malakoff, Syed Mokhtar dan beberapa kerat lagi kawan-kawan mereka. Krisis keputusan tenaga elektrik nasional pada 1996 merupakan titik tolak kepada masalah ini. Atas alasan kononnya TNB tidak mampu menjamin penghasilan berterusan elektrik nasional, maka syarikat-syarikat IPP itu semua telah dilantik untuk menghasilkan dan seterusnya menjualkan tenaga elektrik kepada TNB untuk disalurkan kepada seluruh negara. Tenaga elektrik yang sepatutnya murah, menjadi mahal disebabkan caj yang dikenakan oleh IPP kepada TNB jauh lebih tinggi dari harga yang sepatutnya. Semuanya kerana mereka mahukan keuntungan berlipat kali ganda. Ialah. Manakan tidak untung? Beniaga keperluan asas, yang semua orang terpaksa membelinya, walaupun mahal sekalipun, tentulah akan untung. Kerana itu aku mengesyaki orang dibelakang kenaikan harga elektrik ini merupakan dalang yang sama di belakang kenaikan harga burger.



Saudara-saudari intan payung sekalian,


Aku harap agar selepas ini kami dilepaskan dari beban tuduhan dan fitnah yang melulu-lulu ini. Sesungguhnya kami tidak bersalah dalam hal ini. Janganlah kalian terpedaya dengan cakap-cakap dan perkataan ‘rasionalisasi’, ‘penstrukturan’, dan sebagainya yang dibuat itu. Bohong dan dusta belaka. Sengaja mereka memilih perkataan yang susah-susah untuk difahami masyarakat kampung dan desa yang terpencil jauh dari ilmu pengetahuan, yang penyampai wahyu mereka sehari-harian ialah Utusan dan Berita Harian. Celaka. Akan tetapi aku tahu, saudara-saudari sekalian berpendidikan tinggi, sudah tentu tahu muslihat di sebalik penswastaan ini. Serupa menjual negara kepada kuasa asing gamaknya. Pengkhianat sungguh.


Bersabarlah saudara-saudari. Kita akan pertahankan dan akan kita tentang penghiantan ini sampai ke akar umbinya. Kita mahu Islam , bukan kapitalisme, bukan komunisme. Kita mahukan keadilan. InsyaALLAH, dengan gerak dan mobilisasi kita semua anak-anak muda dalam menyebarkan kepada masyarakat segala muslihat mereka ini, sudah tentu tidak lama lagi pemuja-pemuja kapitalis ini akan tunduk menyembah bumi. Percayalah. Masanya sudah dekat. Berjuanglah. Kerana mati kita pun sudah dekat.


Yang benar,

SpongBob Seluar Kotak

2 comments:

  1. Salam...
    encik SpongBob Seluar Kotak dah berhenti jual burger ke lepas ni?huhu...

    "warkah terakhir" macam sedih jer bunyi...

    ReplyDelete
  2. Mr krab nak hire worker yg baru. Pekerja asing dari myanmar katanya, lagi murah.

    Inilah masalahnya bila dasr gaji minima tak di jlnkn. Pekeeja tmptn mcm kami ni tak dpt cari mkn.

    Haish..baru ja beli spatula baru..

    ReplyDelete