Friday, December 24, 2010

Sang Buta IT Berkisah Darihal OS


Sememangnya, manusia itu diciptakan bukanlah sekadar main-main. Kerana itu, diciptakan sekali apa yang dipanggil sebagai fitrah.

Umpama sebuah komputer, ia tidak akan berfungsi kalaulah ianya tidak dilengkapi dengan sistem pemprosesan, atau yang kita panggil dalam PPSMI sebagai OS (Operating System). Maka dengan OS itulah, maka komputer itu akan dapat kita arahkan kepada tujuan sebenar penciptaannya, iatu membantu kerja-kerja seharian manusia.

Maka, komputer yang tidak mengikut fitrahnya, iatu bilamana ia tidak mampu lagi mengikut apa yang telah diprogramkan oleh OS tadi, maka hilanglah manfaat dan erti kewujudannya.

Komputer tanpa OS hanyalah sebuah besi buruk, yang tidak lain hanyalah sumber rezeki bagi Mat Pit mencari wang saku tambahan.

Maka, fitrah yang diciptakan Tuhan untuk kita, adalah boleh kita umpamakan seperti OS itu tadi.

Jangan salah. Ini hanya sebagai contoh. Terdapat banyak bezanya antara ciptaan Tuhan dengan hasil ciptaan tangan manusia.

Kita lihat bahawa OS itu tadi ada bermacam jenis. Bill Gates datang membawa idea OS Windowsnya. Kemudian Steve Jobs muncul memperkenalkan Mac. Dan saya pasti yang sahabat-sahabat yang serba bijak dalam hal-hal IT dan perkomputeran tentu sahja pernah mendengar tentang Linux.

Nama-nama fancy di atas (cuba siasat, jangan-jangan disebalik nama itu ada muslihat Yahudi untuk memesongkan akidah kita. Tak takut kerrr??), adalah senarai sistem-sistempemprosesan yang wujud untuk memandu arah sebuah set besi buruk yang dipanggil Komputer ke arah menjadi set besi yang penuh dengan manfaat dan kenikmatan buat yang berjiwa muda. (bukan yang saudara fikirkan. Saya bercakap tentang kenikmatan lain. Misalnya PES2011)

Setiap kompueer terbuka untuk menggunakan apa sahaja jenis sistem pemprosesan yang ada. Kita sendiri kebanyakannya sudah terbiasa dengan Windows. Namun, kita boleh sahaja untuk beralih arah ke arah OS yang baru, sesuai dengan kemahuan kita.

Maka, adakah terdapat perbezaan di antara setiap OS tadi?

Jawapannya sudah tentu ya.

Setiap produk OS di atas, masing-masing punyai kekuatan dan kelemahan sendiri. Tidak perlulah saya susah payah senaraikan ia semua di sini. Kita wujud di zaman di mana adanya makhluk bernama Wak Yahoo dan Lebai Google, maka saudara-saudari bolehlah sendiri-sendiri mencari kekuatan dan kelmahan produk yang kita gunakan sekarang ini. (Tapi, saya sayangkan Windows.)

Saya ambil satu contoh. Bukan semua OS yang wujud itu sesuai untuk semua komputer. Ma c misalnya, lebih sesuai di gunakan untuk Macintosh. Adalah pelik jika komputer Acer saya menggunakan Mac sebagai sistem pemprosesannya. Tentu saya sekarang ini akan terkial-kial mencari installer permainan komputer yang sesuai dengan Mac. Ah, karut!

Umpama kejadian dan penciptaan kita. Bahwa kewujudan kita di alam ini di datangkan dengan satu pakej khas, iatu sebatang tubuh, dan sebuah sistem pemprosesnya, yang kita namakan sebagai fitrah.

Dan fitrah itu hanya ada satu bagi setiap makhluk. Bermakna, Tuhan jadikan bagi setiap makhluk, hanya satu fitrah khas yang cukup sesuai dan compatible dengan makhluk tersebut.

Bilamana manusia sebagai contohnya, mula mengambil fitrah lain sebagai pemprosesnya, maka pastilah akan kacau bilau kehidupan.

Mengingkari fitrah, bermaksud manusia tadi tiadalah nilainya sebagai hasil ciptaan yang mulia, sebaliknya hanya sekadar satu bekas batang tubuh yang kalau dalam contoh komputer tadi dipanggil besi buruk, maka dalam konteks manusia, harus layak digelar apa?

Apakah kita sekarang hidup dalam fitrah sepatutnya?



Thursday, December 16, 2010

Diam-diam Kena Rompak


Tulisan ini ada 3 siri. Baca yg ini, kemudian yg kedua, lepas itu baru baca yg ketiga. Kalau lompat dari 1 terus ke 3, takkan faham. Ingat ini Ibrahim Ali ke nak lompat-lompat?!

Merompak ialah satu jenayah, dan mereka yang bertanggungjawab menjadi perompak ini sememangnya adalah tergolong dari kalangan yang dikategorikan sebagai ‘malaon’ dan sampah masyarakat.

Tiada siapa pun suka atau mahu dirompak oleh para ‘malaon’ dan sampah masyarakat ini.

Namun, saya ingin memberi amaran di sini, bahawa sekarang ini, pada ketika saudara-saudari membaca tulisan ini, satu rompakan pada skala besar-besaran sedang mengambil tempat.

Maka, siapa yang dirompak? Siapa malaon yang merompak ini?

Jawapan untuk soalan yang pertama iatu siapa yang sedang dirompak, ialah kita, saya , dan saudara-saudari semua.

Soalan yang kedua kita simpan sehingga penghujung tulisan.

Sabar. Jangan terus melatah dan menuduh saya ini gila atau meroyan. Beri saya peluang untuk menjelaskan ini sehabis baik, supaya semua orang dapat memahami keadaan dan jenayah rompakan ini yang melibatkan kita sebagai mangsa. Maafkan saya kerana tidak memberi amaran ini secara terang-terangan. Ini kerana jenayah rompakan ini berlaku secara sembunyi-sembunyi, maka kalaulah saya menjerit-jerit umpama dalam filem, “Tolong! Tolong! Ada perompak!”, maka besar kemungkinan keesokan harinya saya pasti bermalam di wad psikiatrik Hospital Sungai Buloh.

Jadi, bagaimana rompakan senyap-senyap ala Kassim Baba ini berlaku?

Begini.

Kita menyimpan duit di dalam dompet, atas sebab-sebab keselamatan, supaya ia terjaga dan tidak mudah terjatuh lalu kemudiannya dibawa lari orang. Kerana kita seorang yang mahu berjimat, maka suatu hari kita menyimpan RM100 yang baru dikeluarkan dari bank ke dalam dompet. Kita hanya melihat, dan memegang wang itu, tanpa membelanjakannya, dengan harapan wang RM100 itu akan berguna suatu hari nanti di saat kecemasan. Contohnya, jika tiba-tiba terpaksa membeli sebuah Ipod.

Kita menyimpan wang itu selama setahun, dan disebabkan kita adalah insan yang berazam tinggi dan terkenal dengan istiqamahnya, maka selama setahunlah wang itu tersimpan rapi, tanpa diusik-usik dari dalam dompet itu.

Di sini saya mahu timbulkan soalan yang keluar sedikit dari logik matematik. Sememangnya, wang kertas RM 100 yang disimpan itu, masih lagi kekal dalam bentuk asalnya berupa sehelai kertas yang tertulis nilainya ringgit Malaysia 100. Tiada bezanya. Gambar KLCC yang tertera di dalam wang RM100 itu akan tetap berupa KLCC, dan tidak akan bertukar menjadi gambar Bangunan Warisan 100 tingkat (kalau tak tahu apa itu bangunan warisan 100 tingkat, pergilah bertanyakan pada Lebai Google).

Namun, adakah kuasa beli RM 100 itu, setahun yang lalu, akan sama dengan tahun ini?

Jika tahun ini, RM 100 mampu digunakan untuk membeli 4 kampit beras gred Super Special Tempatan dengan 5% beras hancur, maka, setahun yang akan datang, berapa kampit yang mampu kita perolehi? Jika hari ini Mak Lemah dari Felda Kota Tinggi mahu membeli RM 15 minyak masak untuk menggoreng ikan kering yang menjadi satu-satunya hidangan buat keluarga mereka yang miskin itu, maka, adakah tahun yang akan datang, sewaktu jumlah anak mereka telah bertambah dari dua kepada empat (dia mungkin mendapat kembar tahun ini), wang RM 15 itu cukup untuk minyak masak itu, dengan jumlah dan kandungan khasiat, dan kolesterol yang sama?

Hanya orang yang belajar melalui pengalaman sahaja akan mengatakan jawapannya tidak. Berbeza dengan golongan elit dan aristokrat yang memandang minyak masak sebagai perkara yang kecil. Mereka lebih memandang nilai minyak urut di pusat-pusat urut merata kota sebagai perkara yang lebih bernilai dan menghairahkan.

Adakah saya gila? Buktinya terbentang nyata. Sememangnya kita sedang dirompak saban hari tanpa ada siapa pun menyedari.

Bagaimanakah jenayah ini berlaku sebegitu licik, sehinggakan warga, termasuk ‘haiwan-haiwan’ politik yang sedang bertikam lidah itu, tidak dapat melihatnya? Apakah modus operandinya?


bersambung




Sunday, December 5, 2010

Syukur Bukan Bermaksud Duduk Diam




Antara pendekatan, dan cara tipikal, yang akan digunakan oleh ramai manusia, apabila memperkatakan tentan konsep syukur, ialah dengan cara melakukan perbandingan. Kerana konsep syukur itu sesuatu yang sangat mudah difahami dari permukaannya, namun ia sesuatu yang sukar untuk dijiwai dari segi rohnya.

Maka, penggunaan cara perbandingan sering menjadi pilihan oleh ‘penceramah-penceramah’, atau yang-yang berhormat agar rakyat faham erti syukur.

Apakah yang dikatakan ‘cara perbandingan’ itu?

Cara ini dilaksanakan dengan melakukan perbandingan antara kedudukan kita, dengan kedudukan orang yang jauh lebih buruk keadannya. Atau, dengan kata mudahnya, ayat-ayat seperti berikut :

“Kita perlu bersyukur. Lihatlah keadaan rakyat di Somalia sana, yang tidak cukup makannya”

Kalau bilamana Israel menggila sekali lagi,

“Kita rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dapat hidup aman damai, sedang saudara-saudara kita di Palestin bumi mereka bergegar dengan bom. Maka, seharusnya kita bersyukur..”

Islam sendiri sememngnya menganjurkan kita melihat keadaan orang yang lebih sukar keadaanya daripada kita, supaya kita akan lebih menjiwai konsep kesyukuran itu. Kerana itu, saya tidak menentang cara yang digunakan, kerana ia sememangnya diguna pakai sebagai salah satu kaedah yang berkesan dalam mendidik rohani kita yang selama ini diulit kemewahan.

Namun, masalah berlaku apabila penggunaan cara perbandingan itu telah akhirnya menyebabkan sebilangan pihak menjadi salah faham dengan konsep ‘SYUKUR’ itu.

Kerana sejak akhir-akhir ini, hujah ‘BERSYUKUR’ telah menjadi satu alasan dalam berlepas diri dari menentang kezaliman yang berlaku di hadapan kita.

Ini boleh kita namakan ‘counterback action’.

Maka, untuk itu, elok kiranya kita melihat kembali bagaimana konsep ‘SYUKUR’ , dan saya lebih selesa jika ia difahami melalui amalan ‘BERPUASA’. Biarpun agak terlewat (kita sudah beberapa bulan meninggalkan ramadhan), namun saya kira tidak salah jika ia disingkap kembali.

Antara sebab mengapa kita berpuasa, ialah untuk mengenang nasib para fakir yang hidup mereka jauh lebih sukar dari kita. Maka, di suruh oleh Tuhan, agar kita sama-sama berlapar dan dahaga sepanjang hari, supaya penghayatan kita kepada kesusahan yang dialami mereka akan jauh labih dalam meresapi ke lubuk rohaniah yang selama ini terbiasa dengan kenyang sampai tidak larat rukuk.

Jadi, ‘SYUKUR’ itu, dalam konteks berpuasa, ialah bukan sekadar kita duduk diam meratib ‘alhamdulillah’ sampai berayun-ayun ekor serban, atau duduk selesa di rumah, menghayati nikmat kemudahan yang diberikan Tuhan, tanpa memperjuangkan nasib golongan fakir yang sengsara itu, dengan alasan bahawa jika kita bangun melawan kezaliman yang diadakan kepada fakir-fakir tadi, itu bermakna kita tidak bersyukur terhadap nikmat kesenangan yang kita perolehi.

Atau mahukah kalian saya surahkan kisah Mus’ab bin Umair?

Mus’ab bin Umair ra ini salah seorang sahabat nabi yang terpilih. Dahulunya dia ini, sebelum memilih Islam sebagai pegangannya, hidup dalam lingkungan kemewahan yang tiada bandingannya.

Dikatakan bahawa setiap kali dia berjalan di pasar-pasar, setiap mata akan terhenti dan asyik memandang beliau. Bajunya adalah dari kain yang terbaik, dan wangiannya dari jenis yang paling mahal dan semerbak sekali bauannya. Sejak dari kecil lagi dia dipelihara dengan segala macam kemewahan oleh keluarganya.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata :

"Tidak seorangpun lebih tampan di Makkah daripada Mus'ab. Tidak ada orang di kota itu lebih baik pakaian dan diberi makan dari Mus'ab Tidak. Tidak ada anak dibesarkan dengan kasih sayang dan cinta lebih dari dia"

Namun, akibat dari memilih Islam, maka dari keadaan yang mewah tadi, dia bertukar menjadi seorang yang sangat sukar kehidupannya.

Kenapa saya memilih kisah beliau? Ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menitiskan air mata dari wajah baginda yang mulia apabila mengenangkan nasib yang dialama Mus’ab. Sehinggakan pada waktu syahidnya beliau di medan Uhud, jasadnya tidak dapat ditutp dengan sempurna disebabkan ketiadaan kain. Begitulah daifnya beliau pada ketika itu.

Adakah kita boleh mengkategorikan Mus’ab sebagai insan yang TIDAK BERSYUKUR?

Bukankah dia tidak sepatutnya melawan, sebaliknya ‘BERSYUKUR’ sahajalah dengan kemewahan yang ada itu?

Sahabat-sahabat, bahawasanya bersyukur itu bukanlah bermaksud kita redha dengan segala apa yang berlaku, dengan alasan ada orang lain yang hidupnya lebih sukar dari kita.

Sebaliknya, bersyukur itu kita bangun dan cuba merubah keadaan menjadi lebih baik dari sedia ada.

Barangkali, mungkin para pemuka Quraisy pada waktu jahiliah dulu akan mengatakan perkara serupa sepertimana yang dikatakan oleh sebilangan pihak :

“Mus’ab, kamu sepatutnya bersyukur denga n segala nikmat kemewahan yang telah kamu perolehi dari orang tuamu, sejak dari kecil lagi. Kamu tidak bersyukur, kerana kamu ingkar akan kedua orang tuamu yang selama ini memberi segala macam subsidi, dari makan, minum, perubatan, dan ‘minyak’ wangi”


Saturday, November 20, 2010

Erti Takbir Bagi Sang Kapitalis

Ini artikel lama sempena raya.


Untuk setiap kali hari raya, kedua-duanya, iani aidiladha dan aidilfitri, adanya satu perkara yang paling menyentuh jiwa saya, iatu waktu laungan takbir.

Bila saya katakan menyentuh jiwa, amatlah besar keyakinan saya, bahawa ramai yang memikirkan babak-babak yang sering di lihat di dalam siaran drama-drama tipikal hari raya, iatu, babak menangis di pagi raya kerana terlalu terharu mendnegarkan alunan takbir mendayu-dayu. (biasanya, akan diikuti pula dengan babak ibu atau ayah sedang termenung di muka pintu, sambil mengesat-ngesat air mata yang mencurah-curah memeikirkan anak yang tidak pulang-pulang. Kata Dominic, teman saya : Ini tipikal filem Melayu)

Namun, sentuhan yang menyentuh jiwa yang dimaksudkan bukanlah sentuhan kesedihan yang meruntun jiwa, lantas memaksa terbitnya titik-titik jernih air mata jantan.

Takbir itu, sebaliknya, pergi ke satu daerah penuh bergelora dan bergelojak di hati, lalu umpama fius, terus sahaja ia menyemarakkan api yang telah lama terpendam dan menanti masa untuk meluahkan ledakan penuh berapinya.

Apakah daerah itu? Itulah dia daerah 'SEMANGAT MELAWAN'.

Melawan untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan mutlak yang sebenar lagi hakiki.

Ya, takbir itu sendiri sememangnya membawa maksud dan semangat kebebasan dan kemerdekaan. Malangnya, ramai yang tidak menyedari hakikat ini, lantas hanyut dibawa kesayuan hati sambil dibuai nostalgia-nostaligia sedih zaman silam, sewaktu alunan mendayu takbir dilaungkan. Perlu di jelaskan dengan terang dan nyata di sini, bahawa bukanlah saya ini mengkritik tangisan di pagi raya. Namun, apalah gunanya tangisan itu jika ianya hanya sekadar tangisan sedih kerana tidak dapat pulang beraya, ataupun apa-apa sebab musabab lain yang tidak sempat saya fikirkan di sini. Adalah tidak sama tangisan antara dua individu, di mana seorang menangis kerana takut mengenangkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT, dengan yang seorang lagi kerana teringatkan arwah ayahanda yang tidak dapat turut sama beraya pada tahun ini.

Seseorang yang bertakbir, perlulah dia menyelidiki dalam-dalam akan maksud sebenar apa yang ditakbirkan itu, bukan sekadar bertakbir kerana ikut-ikutan, ataupun disebabkan kerana terpaut pada enaknya irama takbir ala Malaysia. Bilamana kita bertakbir, maka kita akan mengatakan bukan setakat di mulut, malahan di hati, bahawasanya ALLAH MAHA BESAR, dan tiada kekuasaan lain yang lebih besar dariNYA, lalu kita dengan sepenuh hati dan rela diri, tunduk hanya kepada Dia Yang Esa.

Bermaksud, kita telah mengisytiharkan diri kita telah bebas dari segala macam perhambaan yang wujud, samaada kepada nafsu, harta, ataupun manusia, kepada perhambaan hanya pada Allah SWT.

Namun, amatlah menyedihkan sekali, bahawa ramai sekali manusia yang bertakbir, namun pada masa yang sama, dengan rela hati, melacurkan diri dan menghambakan diri pada 'Tuhan-Tuhan' buatan yang wujud di dunia ini.

Penerusan sistem kapitalis, sebagai contoh, secara tidak sedar telah meletakkan manusia ke dalam satu sistem perhambaan yang halimunan. Sistem inilah yang bertanggungjawab menonjolkan sifat kesyaitanan di dalam diri seseorang insan, iatu sikap ketamakan dan materialistik.

Seorang budak, jika diberikan sebiji gula-gula, maka dia pasti mahukan dua. Kemudian empat, dan seterusnya. Sifat ini sepatutnya menjadi satu sifat yang tersembunyi, ataupun tersisih, dari menjadi sifat karekteristik seorang manusia. Umpama minyak hitam yang tersimpan jauh di dalam tanah di bawah dasar laut, yang bilamana minyak hitam yang sepatutnya tersembunyi itu, tiba-tiba naik ke permukaan air, maka ia sudah pasti akan mengotorkan, dan mencacatkan permukaan laut itu. Kemudian, banyaklah ikan-ikan, dan burung-burung yang mati teraniaya dek kerana kebocoran yang terjadi.

Bilamana sifat tersembunyi yang tersimpan itu, tiba-tiba naik ke 'permukaan' diri kita, maka bukan sekadar ikan dan burung, tetapi akan ramai insan dan makhluk yang akan teraniaya dek kerana ketamakan kita.

Dan sememangnya, ketamakan ialah rukun iman kepada sistem kapitalis yang sedang dianuti ramai pada waktu ini, tanpa kita sedari.

Seorang penganut kapitalis sememangnya tidak akan menyedari bahawa dia sedang menganuti satu fahaman songsang, sesat, lagi menghancurkan, yang telah banyak membawa penderitaan kepada umat manusia.

Seperti yang saya katakan dahulu, mereka mungkin sahaja pergi menunaikan haji di Makkah yang mulia, atau solat berjemaah bersama-sama, serta telahpun bersunat (berkhatan), namun akidah yang dianuti bukannya Islam, tetapi akidah songsang kapitalis yang berpaksikan dan bertunjangkan pembangunan materialistik sebagai inti utama kemajuan manusia.

Mulut mereka membaca Al Quran, namun hati mereka membaca kitab Darwin yang memberikan justifikasi Sains akan keharusan sikap tamak ini.

Batang tubuh mereka mengahadap kaabah sewaktu solat, namun batang tubuh rohani mereka menghadap ke arah sang Imperialis Amerika sebagai kiblat utama sistem kapitalis moden.

Bunyinya keras, namun saya tegas dalam berpendapat, bahawa bilamana rumah yang saya duduki sedang terbakar, dan warga-warga rumah itu tidur lena dan tidak menyedari mereka sedang perlahan-lahan menjadi 'kambing golek', maka tidak seharusnya saya mengejutkan mereka dengan hanya berbisik lembut dan manja-manja ala Mat Sotong , "Sayang..bangunlah..rumah kita tengah terbakar ni..Jomlah..". Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah menjerit dan melaungkan amaran dengan keras agar terserlah ketegasan dalam amaran, supaya warga rumah itu akan terjaga dari tidur dan sekaligus menyedari bahawa mereka sedang menuju ke arah kehancuran.




Tuesday, November 16, 2010

Story Telling Session Raya Korban Special : Pengorbanan Seorang YB




Malam kelmarin, merupakan malam pencetus perubahan pada pemikiran YB Azmil. Kalau tidak kerana ceramah malam semalamlah, sudah tentu dia masih lagi teraba-teraba tentang maksud sebenar pengorbanan. Dia yang pada mulanya malas-malas mahu ke ceramah Aidal Adha anjuran Biro Pemuda Parti Kerusi Nasional, dan lebih cenderung untuk bersenang-senang di rumah dengan isteri mudanya (mereka baru sahaja diijabkabul minggu lepas), kemudian tetap pergi semata-mata mahu menjaga air muka di hadapan penyokong-penyokongya, akhirnya men gakui betapa ceramah-ceramah seperti itu sungguh mengesankan kalbunya yang sudah lama layu tidak disirami air jernih ilmu agama.

Dia ingat lagi kata-kata Ustaz Sani,

"Pengorbanan itu hanya bila diri sanggup disusahkan demi untuk kesenangan yang lain. Rela dipayahkan, malah kalau pada tahap yang paling tinggi sekali, nyawa pun sanggup jadi taruhan. Bukan pengorbanan namanya kalau tidak temui kesusahan,"

Entah bagaimana dia temui keberanian untuk bertanya pada Ustaz Sani pada malam itu. Ataupun, kalau dia selidik lagi dalam-dalam, jauh di lubuk hatinya, niatnya bertanya soalan itu bercampur baur antara jahil tentang konteks pengorbanan, dan juga niat mahu menunjuk-nunjuk keperihatinannya akan nilai-nilai agama.

"Jadi Ustaz, bagaimana saya, dalam konteks seorang pemimpin (perkataan pemimpin itu dikeraskan sedikit, sampai berdengung mikrofon surau), mahu berkorban untuk rakyat? Saya rasa saya sudah cukup berkorban," tanya beliau lantang kepada Ustaz.

" Kalau saya berkorban sampai terkorban, siapa pula yang akan memimpin rakyat mukim ini?" tambahnya lagi separuh melawak, sambil di sambut gelak ketawa juak-juaknya yang penuh memenuhi surau kariah Hadhari. YB Azmil memang sentiasa melawak, dan kerana itu dia disenangi rakyat mukimnya.

Ustaz Sani, tenang menjawab,

"Akan hal nya pemimpin, mereka itulah dalam kalangan insan-insan yang ada, merupakan individu yang paling banyak punyai peluang untuk berkorban. Tiada insan yang lebih banyak berkorban, melainkan yang namanya pemimpin," jawab Ustaz Sani.

YB Azmil kembang semangkuk hidungnya. Perkara ini memang disedari oleh pengikut setianya, Nuar yang duduk jauh di belakang saf.

"Namun, tidaklah dinamakan berkorban, jika pemimpin itu tidak mahu meletakkan dirinya dalam jerit perih hidup rakyatnya. Perlulah pemimpin itu, denyut nadinya sama dengan denyut nadi rakyat, bermakna dia haruslah dalam-dalam menyelami dan menghayati akan kepayahan rakyatnya. Dia sendiri, perlu sama-sama hidup susah, jika rakyat hidup payah, seperti dua orang Umar yang terkenal itu," Ustaz Sani menambah.

"Umar? Pak Umar Ronggeng itu kah?" YB Azmil tertanya-tanya.

"Lihatlah kisah Umar Al Khattab dan Umar Abdul Aziz,"Ustaz Sani menyambung, seolah-olah dapat membaca persoalan di hati YB.

" Mereka itulah tauladan paling nyata, model paling selamat untuk diikuti oleh pemimpin-pemimpin yang bercita-cita untuk berkorban. Pendek kata, peranan pengorbanan pemimpin hanya akan tercapai, jika rakyatnya hidup senang, tanpa dipedulikan sedikit pun jika dirinya sendiri (pemimpin), dalam keadaan susah sekalipun. Sesungguhnya seorang pemimpin tiada langsung kelebihan taraf di atas rakyatnya, melainkan perbezaan kedua golongan ini ialah, yang satunya mempunyai beban yang maha berat berbanding yang satu lagi." Panjang lebar Ustaz Sani mengulas.

Balik dari ceramah itu, YB Azmil tidak dapat tidur. Setiap kata-kata Ustaz Sani tidak henti-henti bermain dalam benak pemikirannya.

Berkorban

Terkorban

Berkorban

Terkorban

Untuk Rakyat

Berkorban

Terkorban

Keesokan harinya, kariah Hadhari digemparkan dengan berita kematian YB Azmil. Semua orang terkejut, sedih, dan ada yang meraung-raung dek kecewa yang amat sanagt. Masakan tidak, YB Azmil memang sangat dikenali sebagai seorang YB berjiwa rakyat (beliau kerap mengacau bubur lambok dengan penduduk kariahnya), berjiwa penyayang (selalu mendukung anak kecil di mana-mana majlis yang dihadirinya), dan berjiwa patriotik (setiap kali lagu Negaraku, dialah yang paling tegak berdiri).

Isteri-isterinya yang berdua itu tidak henti-henti mengalirkan air mata, sampai merah-merah, kerana baru sahaja kehilangan seorang lelaki yang berjiwa paling romantis. Di pukul-pukul lantai, disepak-sepak barang-barang , diraung-raung sampai bergegar rumah, sehingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa orang wanita.

Yang sebenarnya, sekali lagi, jika perkara ini di selidik mereka dalam-dalam, jauh di lubuk hati mereka, tangisan itu bercampur baur, antara rasa sedih akan kematian suami tersayang, beserta dengan rasa terkilan yang amat sangat kerana YB Azmil tidak meninggalkan apa-apa wasiat tentang pembahagian harta beliau.

Apa yang ada hanyalah sekeping nota kecil, ditulis di atas keratan surat khabar lama. Pendek nota itu, bertulis kemas-kemas :

'Berkorban Untuk Rakyat'

Tidak lama kemudian, sekali lagi kariah itu digegarkan dengan kempen Pilihan Raya Kecil untuk memilih pengganti YB mereka yang telah pergi itu. Sekariah bagai berpesta, dengan pelawat-elawat yang datang memenuhi tempat itu dalam tempoh berkempen. Dari pemipmpin negara,beserta ketua pembangkang, datang menabur janji-janji kemajuan yang akan dibawa.

Belum pun lagi hari pengundian sampai, seluruh kariah telah berubah wajah menjadi semakin indah, laksana sebuah negeri penuh makmur, yang selalu dikisahkan dalam 'Fairy Tale' orang-orang barat.

Jalan berlubang semua berturap,

Jambatan goyah diganti besi setiap,

Yang miskin tak berbaju mendapat batik,

Yang lapar tak makan mendapat ringgit,

Semua gembira , semua bersuka,

Projek mari berlori-lori,

Rakyat lah raja, rakyatlah tuan,

Kami pemimpin menurut perintah

Begitulah bahagianya rakyat kariah sepanjang tempoh kempen pilihanraya itu. Mereka ditatang, diarak pemimpin, bagai minyak panas yang sedang penuh. Berbagai-bagai projek segera memenuhi tempat itu, dari komputer riba untuk anak-anak kampung (senang muatturun porno) , sampailah kepada kerja-kerja menurap jalan. Sehinggakan pada suatu tahap, jalan kampung itu menjadi sesak dengan kehadiran berbagai-bagai badan jentera parti-parti bertanding datang memberi laba demi memikat hati-hati mereka.

Pendek kata, kematian YB Azmil betul-betul mendatangkan rahmat kepada semua penduduk kariah Hadhari.

Sememangnya, YB Azmil telah berkorban.




Friday, October 22, 2010

Revolusi Salman, Reformasi Al Farisi - Cerpan




Salman bingung betul kali ini. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku, di mana dia sekarang ini, atau siapa dia pada kala ini. Dia mengingat-ingat kembali tadi malam. Balik dari kerja, kemudian mandi di dalam tab panas menyegarkan, menghabiskan bacaannya tentang Revolusi Fathul Makkah, lalu terus tidur di atas katil empuknya, berseorangan seperti biasa, namun dia selesa dalam keseorangan itu kerana dia mempunyai banyak masa dan waktu untuk meneruskan impiannya tanpa ada kekangan keluarga atau rengekan tangis anak-anak.

Namun, bangunnya pagi tadi menjadi satu kejutan besar buat dirinya. Sangkanya dia bermimpi. Namun, tidak lama selepas itu dia akan sedar, rupa-rupanya apa yang dihadapinya waktu itu bukan lagi mimpi bahkan ia suatu realiti yang menakutkan. Dia mendapati dirinya berada di dalam satu ruangan semacam bilik kurungan, berlantaikan tanah berdebu, dengan pagar dari kayu, ditambah dengan suasana gelap yang hanya diterangi cahaya lampu pelita. Seperti di dalam penjara zaman purbakala

Bau hamis dan hancing, bercampur dengan busuk najis (seperti najis bintang baunya) menusuk hidungnya. Dari samar-samar cahaya pelita, dia dapat melihat ‘teman’ sepenjaranya. Namun, temannya itu tidak kelihatan seperti manusia, langsung tidak serupa. Salman memfokuskan lagi pandangannya, sambil mengangkat sedikit kepala, sehingga teman sepenjaranya itu tersedar akan tingkah lakunya, lantas menyapa.

“Ah! Sudah bangun pun kamu!” seekor singa tua tiba-tiba menyapanya.

Apa? Seekor singa? Pandai berkata-kata? Perkara ini semakin mengelirukannya. Barangkali ini memang benar mimpi. Masakan seekor singa pandai berbicara, dan, apa kenanya dia tiba-tiba di dalam penjara ala-ala zaman Medievel, sedang tadi malam dia enak berbaring ditemani bantal peluk kesayangannya?

“Haha! Ini pasti mimpi!” tertawa Salman dalam hati, sambil cuba mencubit kakinya, agar dia lekas bangun terjaga dari mimpi menggerunkan seperti ini. Siapa yang tidak gerun bila tiba-tiba dikurung bersama dengan seekor singa pandai berkata? Silap-silap, nyawa pasti melayang, dalam keadaan hanya tinggal tulang, tanpa ada secebis daging pun yang melekat.

Saat hendak mencubit itulah baru dia menyedari yang kuku tangannya telah pun menjadi panjang dan tajam, mirip kuku seekor singa. Dia meraba-raba wajahnya, dan dapat dirasakan ada misai tumbuh pada dua belah pipinya (sesuatu yang lebih mengejutkan, kerana dia memang tidak suka menyimpan misai), dengan dua lubang hidung yang besar (patutlah bau najis tadi dirasakannya terlalu kuat). Saat dia meraba kepala, dalam samar cahaya pelita itulah, kelihatan rambutnya tumbuh lebat, bersambung dengan janggut sampai ke paras dada (dia hampa kerana kalau pendek sedikit, mungkin sudah seperti John lennon, pemuzik idolanya) .

Saat itu barulah dia menyedari, dirinya sudah menjadi seekor singa!

“Auuuummmmmm!!!!” Salman memekik. Pekikannya tidak berupa manusia, sebaliknya berbunyi seperti ngauman seekor singa jantan muda.

Dua ekor singa yang bertubuh sasa, yang kelihatannya seperti pengawal datang tergesa-gesa. Dengan muka bengis dan geram akibat diganggu malam-malam buta sebegitu, mereka bersedia membuka pagar kayu penjara dan menerkam ke dalam mahu membelasah Salman. Singa tua yang menegur Salman tadi cepet-cepat merayu dengan suara terketar-ketar:

“Ma..ma..maaf tuan..Maaf.. Kawan saya ini mengigau..Tolong tuan..Maaf..” kata singa tua tadi.

Mendengar kata singa tua tadi yang merayu dengan ketakutan, mereka berdua tidak jadi menerkam ke dalam. Lantas mereka beredar. Mungkin juga niat amarah mereka tadi terbantut disebabkan mengantuk yang datang kembali menyerang. Singa tua menghela nafas lega.

“Hampir-hampir sahaja tadi..” keluhnya, sambil menghampiri Salman yang masih lagi menggigil ketakutan.

“Tenang anak muda! Tenang! Kamu nampak seperti terkeliru benar. Sejak hari pertama kamu di sini, tiga hari yang lepas, aku lihat kamu tak pernah terjaga, semacam sedang dalam tidur yang panjang, kemudian hari ini, kamu terjaga, dan tiba-tiba terpekik terlolong. Kenapa wahai anak muda?” singa tua bertanya, panjang.

Dalam hatinya berasa begitu pelik melihatkan Salman. Dia seperti sedang mengalami kejutan yang sangat besar, dan gaya duduknya, tidak seperti singa-singa lain yang biasa dia jumpai sebelum ini. Seolah-olah anak muda ini tidak tahu dirinya seekor singa! Setelah diamatinya lagi, wajah Salman seperti wajah yang sangat dikenali, yang pernah dia lihat, dengan kesan parut pada hujung keningnya. Akan tetapi sang singa tua sudah lupa di mana pernah dilihatnya singa muda yang berparut pada kening itu.

“A..a..aku di mana? Kau..kau siapa? Apa ni? Apa semua ni?” Salman terketar-ketar menujah pertanyaan bertalu-talu, lebih kerana terkejut melihatkan keadaan sekeliling yang mengelirukan, bukannya kerana takut kepada singa tua di hadapannya itu. Rasa takutnya pada sang singa tua beransur-ansur hilang bila melihatkan tindakan singa tua itu melindunginya tadi.

“Tenang anak muda! Jangan sampai mengejutkan lagi pengawal-pengawal bengis tadi, maut kita nanti dibelasahnya. Engkau sekarang di dalam penjara, sudah tiga hari engkau terlantar di sini, tidak bangun-bangun. Apa engkau tidak sedar? Bagaimana engkau sampai boleh dihumban ke dalam ini?” sang singa tua pula menabur patah-patah ayat soalan.

Wajah Salman berkerut-kerut. Jawapan yang diharapkan, tetapi soalan balas pula yang dilontar. Salman semakin keliru. Penjara? Tiga hari? Dan yang paling penting, kenapa dia boleh bertukar fizikal menjadi seekor singa, seekor binatang yang digeruni manusia, yang terkenal dengan simbol kekuatan dan kebuasan?

“Saya tidak tahu..saya keliru..Bagaimana saya boleh samapai ke dalam ini..Kenapa saya menjadi seekor singa..aaaa...se...semua ini betul membingungkan!” Salman menjawab.

Sang Singa tua terasa seperti mahu tergelak dengan jawapan Salman itu. Pada fikirannya, mungkin singa muda di hadapannya ini telah terhantuk kepala ke mana-mana busut di dalam belukar, atau pun ditimpa dahan kayu jati di hutan banat, sampai tidak ingat bahawa dirinya ialah seekor singa. Mujur dia masih sempat mengawal diri agar tidak menghamburkan tawa menggila secara tiba-tiba, yang pasti menyebabkan keesokan harinya semua giginya berterabur kerana ditempeleng satu-satu oleh pengawal-pengawal tadi.

“Ini kes berat.. Kes hilang ingatan barangkali.. Aku pernah dengar tentang ini dahulu..Kecelaruan identiti..Ini sesuatu yang kelakar, tetapi serius..,” bisik sang singa tua dalam hati.

Kedua-dua ekor singa banduan itu senyap sebentar. Masing-masing merenung tanah dingin yang menjadi ‘tilam’ untuk mereka malam itu. Api pelita meliyuk-liyuk ke kiri dan ke kanan, sambil asapnya masuk melalui celah-celah hidung dengan aroma pekat dan melemaskan. Sesekali dua tiga ekor nyamuk mencuba-cuba nasib untuk mendapatkan minuman darah perisa singa dari batang tubuh longlai singa-singa itu. Sang singa tua yang memang sudah berpengalaman menjadi seekor singa selama 60 tahun sejak lahir pantas sahaja memukul sehingga penyek nyamuk-nyamuk rakus tadi dengan ekor, sedang Salman yang baru menyedari dirinya seekor singa kurang sejam yang lalu terkial-kial mengahalu n yamuk dengan tangan barunya (atau sebenarnya kaki). Bunyi dengkuran pengawal penjara yang sedang tidur bercampur baur dengan kibasan sayap nyamuk, menjadikan malam itu malam penuh tekanan buat keduanya, khususnya Salman yang masih terkejut dan keliru.

“Siapa pak cik? Kenapa pak cik boleh berada di sini?” Salman tiba-tiba bertanya, mencuba-cuba untuk memecah keheningan malam penuh sesak itu, sambil berharap sekurang-kurangnya perbualan dengan singa tua itu dapat menghilangkan kekusutan dan kecelaruan mindanya saat itu.

“Panggil sahaja aku Sang Tua. Aku sudah dua purnama merengkok di sini, sambil menghitung hari menunggu hari hukuman untuk ku tiba. Untung ada kamu datang menemani aku di sini. Ahhh... Aku sudah lama bosan di sini, sambil setiap hari-hariku menjadi hari pengharapan agar saat hukuman ku akan tiba esok harinya, supaya badan ku lekas-lekas bercerai dari rohnya, agar aku dapat kembali ke hadrat Yang Esa, semoga dengannya segala penyiksaan yang ku tanggung selama di sini akan berakhir. Sudah tidak tertanggung lagi oleh tubuh badan ku yang sudah tua bangka ini..Ahhh..Tuhan Yang Esa sahaja tahu..” jawab Sang Tua sambil meluahkan keluhan penuh berat.

Mendengarkan perkataan roh dan badan, maka Salman sudah dapat mengagak hukuman jenis apa yang bakal dihadapi Sang Tua. Ketika itu juga timbul kebimbangan baru di dalam benak hatinya. Adakah dirinya juga bakal senasib dengan Sang Tua? Kalau begitu, habislah segala apa yang diusahakannya selama ini. Perjuangannya bakal terhenti di sebuah penjara dalam dunia yang jauh dari fikiran akal logik manusia. Cita-citanya yang mahu melakukan reformasi dan revolusi menukar rejim kejam di negara asalnya akan terbantut terus. Bagaimana dengan penyokong-penyokong kumpulannya? Akan berantakankah kesatuan mereka?

Dia mulai menyesali keputusannya yang tidak mahu kahwin awal-awal lagi. Semuanya atas alasan perjuangan, atas alasan bahawa cinta kepada kuam Hawa hanya akan melunturkan semangat juang dirinya. Kerana perjuangan reformasi itulah dia sanggup hidup membujang sampai ke umur 30 ini. Dan penghabisannya bukan di mercu kemenangan sambil menjulang panji revolusi di hadapan komrad-komrad, sebaliknya tamat di penjara kayu busuk dan tidak bertamadun ini.

Untuk kepastian yang lebih, Salman kembali bertanya, “Hukuman? Atas salah apa ya Sang Tua?”

“Aku dihukum kerana makan daging,” lemah Sang Tua bertutur, sambil wajahnya penuh dengan garis-garis kekesalan, seolah-olah itu satu kesalahan penuh mengaibkan.

Kali ini giliran Salman mahu tergelak besar. Tetapi wajah bengis pengawal tadi menyebabkan tawanya terhenti sekadar pada tahap niat, dan terlaksana hanya di dalam hati. Sejak bila pula memakan daging menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi pada seekor singa? Bukankah singa itu dicipta Tuhan fitrahnya memang memakan daging, sejak dari zaman dinosaur lagi? Lihat sahaja pada bentuk fizikal mereka. Dengan kuku yang tajam, kaki yang kuat umpama waja, kepantasan larian umpama angin panas Gurun Kalahari, dengan taring panjang yang gunanya memang untuk merobek daging mangsa. Memang dari situ pun sudah jelas akan fitrah sebenar seekor singa. Seekor singa bukanlah singa kalau makanannya bukan daging. Setiap makhluk harus mengikut fitrah kejadian ciptaan Tuhan. Jika fitrah ini dilanggar, atas apa alasan sekalipun ia dilontar untuk merasionalkan tindakan penuh kezaliman pada takdir Tuhan, maka akan haru biru, caca merbalah alam ini.

“Makan daging? Itu satu kesalahan? Celaru apa ini wahai sang Tua?” Salman bertanya, dengan suara sedikit menekan, mahukan kepastian. Jangan-jangan dia juga ditangkap atas sebab yang sama.

Sang Tua memandang Salman dengan wajah simpati. Singa muda dihadapannya ini betul-betul sudah hilang ingatan. Barangkali ini bukan sekadar terhantuk busut atau terhempap ranting jati. Boleh jadi sudah sampai tahap terjatuh ke dalam gaung di hujung hutan sehingga semua ingatan tercabut terus.

Sambil menghela nafas panjnag-panjang, Sang Tua menjawab panjang lebar, semoga jawapannya akan membuka segala kekusutan Salman,

“Barangkali kamu sudah lupa. Memakan daging sudah menjadi kesalahan besar tahap tertinggi di negara Shah Rustam ini. Semuanya sejak Raja Keldai itu mengambil tampuk pemerintahan negara ini. Semua peraturan diubahnya, bagi menjadikan semua singa-singa di negara ini bertukar menjadi pemakan sayur,agar mereka tidak lagi bernafsu pada daging binatang, dan kelangsungan hidup keturunannya dapat dipelihara.”

“Keldai menjadi raja pada singa? Terbalikkah sudah dunia ini? Ke mana fitrah sudah hilang?” hati Salman betul-betul meronta mahukan jawapan.

Melihatkan kerutan pada wajah Salman, sang Tua terus menyambung,

“Bukan itu sahaja, malah, setiap singa yang ada di negara ini diwajibkan berkhatan. Tapi bukan pada kemaluan, tetapi di gigi!” sang Tua berkata sambil menunjuk pada taringnya yang sudah tumpul semuanya.

Patutlah sejak tadi lagi Salman dapat lihat keanehan pada taring Sang Tua. Tiada satu pun yang tajam. Semuanya tumpul, macam telah diasah berkali-kali oleh batu kerikil yang kasar. Seperti berkhatan (yang dia ingat sebagai antara pengalaman paling mengerikan sepanjang hidupnya). Bezanya yang di kemaluan itu untuk melengkapkan lagi fitrahnya sebagai lelaki (pada saat ini dipanggil jantan), untuk menyempurnakan lagi kesucian dan kebersihan yang memang dituntut Tuhan. Namun, menumpulkan taring ini betul-betul sudah melanggar aturan Tuhan, bagi seekor singa!

Sang Tua terus menambah,

“Tambah menguatkan lagi kuasanya, bila dia turut disokong pembesar-pembesar negara dari keturunan singa arab, yang kerja mereka mengampu dan mengikut sahaja bontot si keldai tua celaka itu. Manakan tidak, wang emas berkati-kati, beserta singa betina muda-muda yang mongel-mongel dan gebu-gebu menjadi habuan. Sang singa keturunan arab ini zaman dahulunya memang terkenal dengan kekuatan dan ketangkasan. Namun, sejak 100 tahun yang lepas, mereka lebih dikenali sebagai keturunan pengibur yang bekerja di sarkas-sarkas demi mencari rezeki disebabkan sikap boros ketua-ketua mereka. Bila dijanjikan pulangan lumayan oleh sang Raja Keldai, maka tunduklah mereka, hampir-hampir sahaja jatuh ke tahap menjilat najis keldai sial itu pun mereka sanggup!” nada Sang Tua kali ini begitu keras. Jelas yang dia memang kecewa dengan apa yang berlaku.

Salman dapat menyelami rasa kecewa pada jawapan Sang Tua tadi. Seekor singa tidak seharusnya tunduk pada telunjuk keldai. Singa itu memang dari dahulu lagi diciptakan dengan kekuatan dan kemegahan, untuk menjadi Raja Rimba dan memerintah haiwan-haiwan lain di dalam hutan. Rambut yang panjang itu, bukankah petanda mahkota kemuliaan mereka? Bagaimana sampai mereka jadi tunduk pada sang keldai yang licik itu? Adakah harta dunia yang sementara ini telah menjadikan kekuatan mereka lebur, lantas bertukar menjadi lembut pada sang keldai, sumber makanan mereka sebelum ini, tidak ubah seperti seekor kucing belaan manusia yang asyik mengeliat dan hanya pandai mencakar-cakar manja?

Ngauman yang mengerikan itu, apakah sudah hilang gemanya? Bukankah satu ketika dahulu ngauman itulah yang menakutkan dan mengetarkan hati-hati semua makhluk di alam buana ini, lantas semuanya tunduk pada takhta keagungan yang telah ditakdirkan Tuhan pada mereka? Singa jenis apa ini, bacul pada sang Keldai? Hati Salman betul-betul dirasuk semangat reformasi yang diperjuangkannya selama ini, bila mendengarkan kisah penindasan pada fitrah golongan Singa di negeri Shah Rustam itu.

“Lalu, Sang Tua, bagaimana kamu tertangkap pula? Daging apa yang kamu makan?” Salman berminat mahu mengetahui lanjut tentang singa tua itu.

Sang Tua dengan lemah menjawab, seperti seolah-olah satu penceritaan kisah sedih yang dialaminya,

“Yang sebetulnya aku sendiri tidak berniat mahu melanggar perintah sang Raja Keldai. Aku sendiri takut dengan kebengisan hulubalang-hulubalang singa Arab kepunyaannya. Bapa saudaraku sendiri pernah dihukum pancung dari kepala sampai ke celah kelengkang kerana memakan daging seekor arnab hutan. Adik betinaku, dihukum menjadi pelacur bagi memuaskan nafsu serakah Tuan Penasihat Raja Keldai, sang Mubar dari keturunan singa Yahudi yang jarang-jarang jumlahnya wujud pada zaman ini. Memang aku tidak berani.”

“Namun, suatu hari yang malang, benar-benar telah mengubah nasibku. Aku hanya bersiar-siar di Hutan Indera, di hujung negeri ini. Sambil itu aku mencari-cari kalau-kalau ada pucuk paku-pakis yang boleh ku makan, atau sebenarnya aku katakan, dipaksa makan. “

“Aku benar-benar mengantuk kerana keletihan pada hari malang itu. Suatu ketika, kerana terlalu mengantuk, aku menguap, sambil mulutku menganga luas-luas laksana pintu gua yang besar. Kala itu, tanpa aku sedari, sepasang lalat yang sedang bercanda, tiba-tiba masuk ke dalam mulutku. Barangkali pada anggapan mereka, mulut ku ini adalah pintu masuk ke satu ruang sunyi untuk mereka melabuhka kasih berdua. Aku yang tidak menyedari apa-apa, terus sahaja menutup mulutku. Maka, alangkah malangnya nasib kedua pasangan lalat tadi, akhirnya menjadi korban kealpaan cinta berdua. Betullah kata singa tua-tua dahulu, ‘Berkasih bersayang bercumbu-cumbu, Intinya racun luarnya madu’ ”

“Tidak jauh dari situ, rupanya-rupanya ada seekor hulubalang singa Arab sedang membuat rondaan. Kejadian tragis itu telah dia sedari, lantas aku dikejar dan teus ditangkap. Kakiku diikat keempat-empatnya dan diheret sampai ke Mahkamah Agung Negara. Di sana, seekor Kanggaru yang bertugas sebagai hakim telah mengadili aku. Aku didakwa atas kesalahan paling berat dalam negara ini, iatu memakan daging,”

“Tanpa pembelaan, aku ditekan bertubi-tubi oleh barisan pendakwaan. Aku berhujah bahawa sesunguhnya lalat ini jenis makhluk kecil yang hampir-hampir tidak berdaging, bagaimana aku boleh dituduh atas dakwaan memakan daging?”

“Namun mengikut hakim Kanggaru, adalah dalam pindaan undang-undang yang baru diluluskan Raja Keldai, telah menjadi kesalahan bagi sesiapa sahaja untuk memakan benda hidup, sama ada berdaging atau tidak, hatta jin ifrit sekalipun, kalau dimakan, adalah dikira sebagai kesalahan, yang hukumannya adalah mati. Sampai begitu sekali paranoidnya Raja Keldai pada kaum singa.”

“Padahal, kami langsung tidak berniat mahukan daging tubuhnya. Melihatkan tubuh kerepot Raja Keldai itu pun sudah tidak menyelerakan. Apa yang ditakutkannya sangat pada kami ini?”

“Tapi, kalau gigit-gigit sedikit itu, err, teringin juga aku,” kata Sang Tua mengakhiri cerita penangkapannya itu.

Salman menggeleng-geleng kepala, sambil menjilat-jilat sedikit bulunya (dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan gaya seekor singa, dalam tempoh kurang dua jam). Negara Shah Rustam ini benar-benar dalam kekalutan. Pemerintahnya zalim dan tidak mahu mematuhi Hukum Alam yang sudah ditetapkan Tuhan untuk kesejahteraan semua makhluk.

Suatu revolusi harus digerakkan. Tenaga anak singa muda harus dibangkitkan. Perubahan perlu dilaungkan. Namun, bagaimana mahu dilakukan dari dalam ruang penjara penuh sempit ini?

Satu lagi persoalan yang masih belum dijawab bagi menghuraikan apa yang tersimpul dalam benaknya, iatu, apa sebabnya dia ditangkap pula?

Tiba-tiba wajah Sang Tua berubah. Seolah-olah ada mentol telah berjaya menerangi pemikirannya yang gelap gelita akibat usia tua yang sudah memamah kekuatan ingatannya.

“Aku sudah ingat! Aku sudah ingat siapa engkau hai anak muda! Wajah mu selaluk ku lihat pada poster-poster yang diedarkan ke seluruh negara oleh tentera-tentera singa Arab!”

Poster? Wajah? Salman tambah bingung. Apakah dia ini dahulunya seekor artis sarkis terkemuka di negara itu, sampai wajah terpampang di poster? Tentera? Ah, ini petanda buruk. Kalau poster yang dieedar tentera, itu bukan artis sarkis, itu barangkali poster pesalah yang dikehendaki!

“Ya! Aku ingat! Engkau ini anak muda yang memimpin pemberontakan golongan singa pada pemerintahan Raja Keldai. Ramai sekali tentera-tentera engkau, semuanya muda-muda dan berani-berani belaka. Aku sukakan ucapan dan pidato penuh berapi mu. Aku ingin sekali menyumbang tenaga, namun aku tidak terdaya disebabkan ketuaan ku ini. Ah! Sedih sekali ini! Engkau, pahlawan agung, bertembung dengan ku di dalam penjara pula! Bagaimana engkau tertangkap?” Sang Tua bersuara, hampir meninggi bunyinya, lantaran terkejut dengan memorinya tentang singa muda di hadapannya itu.

“Nama mu selalu disebut-sebut orang sebagai singa muda yang akan mengubah nasib kaum singa. Ya! Aku ingat laungan namamu itu. Al Farisi! Al Farisi! Al Farisi Sang Singa Revolusi!”

Salman terasa seperti mahu pengsan sekali lagi. Namun, dia hanya mampu merebahkan badan penuh longlai, terjelepok ke lantai tanah penjara.

“Apa semua ini?” tanyanya, lemah.

Jauh dari Shah Rustam, Al Farisi terjaga dari tidurnya. Seingatnya, dia tadinya dikejar oleh segerombolan Singa Arab pimpinan Raja Keldai sendiri. Seluruh tentera revolusi pimpinannya telah diarah untuk berpecah dan lari buat sementara waktu setelah strategi pertahanan mereka bocor akibat pembelot dalaman.

Dan, perkara terakhir yang dia ingat ialah dirinya telah terjatuh ke dalam sebuah gaung yang dalamnya hampir tidak berpenghujung. Kemudian, segalanya bertukar menjadi gelap.

Waktu terjaga, dirinya benar-benar terkejut. Tempat berbaringnya dia sangat lembut, tidak pernah ada tempat tidur selembut ini di Shah Rustam. Apa bendanya ini?

Ditolehnya ke kanan, di mana di situ terletak sebuah cermin besar.

Dan, demi melihatkan imejnya di cermin, dia terasa mahu mengaum sekuat hatinya.

“Mana misaiku?”

“Mana taringku?”

“Mana rambut panjangku?”

“Argggggghhhhhhhhhhhhhh!!” tiada ngauman, yang ada hanya pekikan bersuara manusia.

Semua persoalan di dalam diri Al Farisi itu tidak terjawab. Hanya yang boleh dia lakukan, adalah merenung pada imej manusia pada cermin di hadapannya.

Sunday, October 17, 2010

Impian Rock Amin

"Mana dia? Cari sampai dapat!"

"Sana yah! Barangkali lari ke sungai!"

Amin memandang dari atas pokok. Berpeluh-peluh dia melarikan diri dari ayah dan abangnya. Semuanya kerana dia sayangkan rambut panjangnya itu. Semuanya disebabkan rambut panjang mirip Amy Search itulah. Sibuk dia membetul-betulkan rambutnya yang mula nampak serabut setelah dia melakukan pecutan. Laju dia memecut tadi, sampai hampir-hampir hilang nafasnya tadi. Uh, barangkali pecutan terhebat dalam hidupnya.

"Mereka semua ini tak faham! Tak faham! Gila, Hasad!" getus Amin dalam hati kecilnya.

Amin tetap berdegil. Biar orang kata dia itu anak derhaka sekalipun. Dia sudah membulat tekad. Dia tetap tidak akan mahu memotong rambutnya. Dia mahu membiarkan rambutnya terus panjang mengurai. Biar orang kata dia sudah serupa hantu raya pun. Bila sudah cukup panjang nanti, bolehlah rambut itu diikat ala 'ponytail' dengan gelang getah. Ah, macam Amy Search zaman kegemilangan rock kapak 80-an dulu.

Minat Amin pada Amy Search seperti minatnya seorang bujang yang sedang sangap mahu kahwin pada perempuan anak dara pinggitan kampung. Biliknya penuh dengan poster-poster kumpulan Search. Di sudut tepi jendela, di muka pintu, di siling atas, kesemuanya gambar Search. Syukur tiada gambar melainkan Kaabah yang mulia pada tikar sejadahnya, walaupun dia tidak solat seperti mana orang lain solat, kerana dia memang tidak pandai solat.

Dalam almarinya, dia letakkan satu gitar Kapok. Dibelai-belai, digosok-gosok setiap hari penuh kasih sayang. Bukanlah dia itu pandai memainkan gitar, apatah lagi membuat aksi meng'goreng' seperti Man Kidal. Akan tetapi dek kerana kehendah mahu menjadi seperti Amy Search, atau sekurang-kuranngya serupa, maka ditahannya untuk bekerja menolong Wak Karmin di kebun, menebas dan meracun lalang, agar dapat dia kumpulkan duit buat membeli gitar kesayangannya itu. Sebulan dia bertungkus-lumus menyimpan, sehingga pernah pengsan ketika di kelas, kerana terlalu lapar disebabkan pelan penjimatan berganda yang dia lakukan.

"Baik di buat beli buku sekolah duit tu, Amin...", lembut Rosnah menegur sambil mengusap rambut anak kesayangannya itu.

Dalam hati dia tetap kagum dengan kesanggupan Amin bekerja keras untuk mendapatkan barangan idamannya. Rosnah terfikir. Amin yang terencat itu pun punya akal dan wawasan untuk berjaya dengan mengumpul rezeki halal. Dia bukannya mencuri getah sekerap orang, atau memecah masuk rumah orang, apatah lagi membolot baja subsidi orang kampung. Rosnah pelik dengan orang lain yang punya akal sempurna, dengan tulang empat kerat, masih mahukan kerja haram untuk dijadikan punca rezeki. Apa di dunia sudah tiada barang apa-apa kerja halal lagikah? Bahkan, kalau dibilang, lebih banyak kerja halal yang ada berbanding kerja haram yang wujud dalam dunia ini. Cuma kemahuan untuk bersusah payah sedikit sahaja, untuk mencari yang halal, kerana yang halal itu, pastinya berkat, meskipun kelihatan seperti penuh dengaan usaha dan peluh yang menitik. Manakala yang haram itu mudah-mudah belaka, tapi pastilah hilang kebahagian dari apa yang dicari itu.

"Tak pe mak. Buku sekolah tu nanti Amin cari duit lain. Sekarang ni Amin maukan gitar mak. Baru nampak macam Amy Search. Feewiiit!!!" Amin menunjukkan isyarat rock kepada ibunya sambil meniru 'trademark' terkenal Amy Search itu (jari telunjuk dan jari kelingking diangkta, sedang jari yang lain semua diturunkan).

Rosnah hanya tersenyum. Dalam hati dia masih lagi risau mengenangkan anaknya yang seorang itu. Rasa simpati pada Amin masih lagi bersarang. Silap dia dan suaminya dahulu yang lambat menghantar Amin ke klinik waktu dia kecil dahulu. Ketika itu umurnya baru 2 tahun. Demam panasnya teruk, tidak mahu kebah-kebah. Sudah 3 hari. Tapi, Deraman masih belum punya cukup wang, untuk membayar sewa rumah sekalipun. Tuan Rumah Noh pula sudah mula pandai memperli-perli kasar. Malu di hati Deraman, Tuhan Maha Pengasih sahaja yang tahu.

Rosnah masih ingat dia dan sekeluarga dimalukan di kenduri arwah Lebai Salim tempoh hari. Sengaja Tuan Rumah Noh kuatkan suara ketika orang semua sedang makan-makan sambil bual-bual kosong.

"San, hari tu ada orang bertanyakan rumah sewaku itu. Katanya dia sanggup membayar RM 300 sebulan. Kau dengar San, RM 300! Errrr..aku ini, nak dapatkan RM 100 sebulan dari rumah sewaku sekarang ini pun tak dapat-dapat. Kasihan anakku yang perempuan itu. Sudah 2 bulan bajunya tidak bertukar. Kawan-kawannya sudah beli baju fesyen terbaru. Entah apa namanya. In..in..in.."

"Indie!" seorang lelaki separuh umur menyambung.

"Ha! Indie, indie. Fesyen itulah," kuat suara Tuan Rumah Noh sambil matanya melirik ke kiri, walau dia tahu Deraman duduk selang tiga orang dengannya.

Mat Kassim, Imam Wahab, memandang Deraman. Beberapa orang anak remaja yang nakal tersenyum-senyum. Deraman hanya terkulat-kulat di situ, menahan malu.

"Di sini pun jadi ya? Ah....," Deraman mengeluh.

Apa mampu Deraman? Beliau cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang beras milik tauke Guap Lee Chan. Malam jadi jaga. Siang dia mengambil upah menebas. Kalau ada orang kampung yang mahu membersihkan kebun, atau semak belakang rumah, maka Deraman yang dipanggil. Ada rumput panjang, adalah rezeki dia. Semak samun dengan segala macam ular dan kala yang tinggal, tempat yang orang ramai takut-takut hendak dekat, menjadi punca rezekinya. Sinar panas terik matahari yang bisa menyiat kulit orang kebanyakan, tidak mampu menyiat dari hatinya rasa belas ehsan pada keluarganya yang amat disayangi.

Bukan tidak bahaya. Dulu pernah sekali dia dipatuk tedung selar. Besarnya sebesar lengan orang dewasa. Sebulan dia tidak menebas. Kesan racun, bercampur dengan rasa takut. Namun, itu semua tidak lama. Ditabahkan rasa hatinya, setelah melihat anak bininya sebulan makan bawang goreng berkuah kicap.

"Biar aku mati. Tak sekali aku biar anak bini aku lapar, sedang anak orang kampung lain enak makan sampai gemuk. Jangankan ular, naga datang pun aku pergi menebas," tekad Deraman.

Dulu ada YB Jais datang menghantar gula, beras, dan minyak masak. Tapi itu lama dahulu. Sudah tiga tahun, dan Deraman masih ingat lagi kala YB Jais dan juak-juaknya, siap dengan jurugambar, datang melawat.

"Pak, errr...apa nama tadi? Oh, Pak Deraman. Pak Deraman jangan risau. Saya datang menawarkan sejahtera pada Pak dan keluarga Pak, serta seluruh penduduk kampung ini. Saya akan bawa kemajuan mega, besar-besaran ke kampung ini. Waktu tu Pak tak perlu menebas lagi. Pak akan dapat kerja lebih elok lagi. Orang berumur macam Pak tak elok kerja menebas ni, tengah panas pula tu. Pak Deraman undi saya. Saya ikhlas mahu membantu mengubah nasib orang seperti Pak Deraman! Masa untuk perubahan! We must change! " bertempik YB Jais tiba-tiba, siap dengan pelatnya sekali, hingga perkataan 'change' tadi, berbunyi 'cheng'.

Habis terdedah yang YB Jais itu rupanya bukan orang asal kampung itu, seperti mana didakwanya dalam ceramah umumnya tempoh hari. Pekat loghat Terengganunya, sampai tersembur air liurnya menutur kata 'change', sampai ke muka Deraman.

"Saya belum nak kencing, Pak cik.." tiba-tiba Amin menyampuk. Sangkanya tadi YB Jais menyuruh dia pergi kencing.

YB Jais hanya tersenyum sambil mendukung Amin mesra. Beberapa orang jururkamera menghalakan lensa dan memetik gambar YB Jais mendukung Amin. Deraman rasa bangga, kerana anaknya sudah jadi terkenal. Kalau-kalau masuk gambar di muka depan surat khabar Perutusan Malaysia.

Sangkaannya itu betul. Sebab, keesokan harinya, muka depan akhbar, memaparkan gambar YB Jais sedang mendukung Amin, sambil kelihatan juak-juaknya berhimpit-himpit satu sama lain, untuk sama-sama menempel di dalam gambar itu. Tajuk besar berwarna hitam pekat, 'JAIS CALON PENYAYANG'.

"Dasar budak terencat akal! Aku bilang change (dengan berbunyi seperti cheng), dia kata kencing! Cesssh!" gerutu YB dalam hati, dengan senyum pahit dibuat-buat manis.

Deraman ingat lagi, YB itu memakai T-shirt ala kadar serta berselipar. Gaya nampak macam pekerja kelas bawahan saja. Malah, YB Jais berbaik hati turut sama mengambil sabit di bawah rumahnya, utnuk sama-sama menyabit dengan Deraman. Deraman pelik juga, memandangkan tiada lagi rumput panjang di sekeliling rumahnya untuk disabit lagi. Maka disuruhnya sahaja YB Jais menyabit rumput pendek di padang tepi rumahnya. Jurukamera berebut-rebut mengambil gambar YB Jais menyabit. Keadaanya juga sama, dengan beberapa orang kampung, tiba-tiba menebeng, berhimpit-himpit untuk memasukkan wajah ke dalam kamera, sambil semua mengangkat ibu jari masing-masing.

"Gambar menyabit pun boleh laku ya zaman sekarang?" Deraman pelik. Memang dia ini seorang yang sangat lurus sekali, tiada hasad, tiada dengki, apatah lagi agenda peribadi dalam diri mulusnya.

Dia bukannya jenis orang yang mengikuti perkembangan semasa. Hendak membeli akhbar pun tidak mampu. Dia tidak tahu, jangankan gambar menyabit, cerita orang tidak buang air besar dua hari pun boleh dibuat bahan kempen zaman sekarang.

Tapi, baru-baru ini, dalam perjalanan ke pekan, dia terserempak dengan YB Jais, siap dengan anak-anak buah, berkot mahal, bertali leher merah berjalan megah ke arah sebuah mahligai besar.

Seingat Deraman, disitu dulu tanah rezab simpanan khas untuk orang Melayu. Macamana YB boleh dapat hak membina rumah di atas tanah rakyat itu, tidaklah kuasa Deraman memikirkan. Malas dia mahu masuk campur.

"Hal-hal politik ini orang awam biasa jangan masuk campur. Tahulah pemimpin-pemimpin kita tu macamana nak memimpin negara. Tak perlulah nak diajar-ajar lagi," fikir Deraman.

*********************************************************************************

Amin masih memandang dari atas pokok. Rasa takut bercampur geli hati. Takut mengenangkan Deraman yang garang itu mungkin akan menghambatnya dengan tali pinggang sampai ke Kedai Gunting Rambut Rajoo di pekan. Geli hati kerana melihatkan ayah dan abangnya terkial-kial ke hulu ke ke hilir mencarinya. Buat kali pertama, Amin rasa mereka berdua itu lebih terencat akal dari dirinya yang memang sedia terbantut akal fikirnya.

"Aku tak terencat! Mereka tu semua yang terencat!" jerit Amin kuat-kuat, tapi bukan dengan mulut, hanya dalam hati. Kalau dengan mulut, pastilah tempat persembunyiannya akan terdedah dan sudah tentu pasti, selipar abangnya sudah melayang ke mukanya, tepat dari bawah pokok mangga itu tadi. Amin, walau terencat, masih ada lagi sisa baki buah fikiran dalam otak kecilnya.

Amin memang sudah lama tidak berpuas hati. Rakan-rakan sekolah, abangnya, semua suka mengejeknya. Terencat, terencat, terencat, itu sahaja yang di dengarnya di sekolah dan di rumah. Kadang-kadang, bila mereka semua bosan, ditukarnya perkataan lain. Gila, gila, gila, gila, sampai naik kematu telinga kecilnya mendengar ejekan 'terencat' dan 'gila' dari insan-insan yang perasan berfikiran waras itu.

"Lagi baik berzikir, sebut nama Tuhan, dari zikir sebut gila, gila, terencat, terencat. Lainlah aku. Akukan gila. Ustazah kata orang gila dapat masuk syurga. Eh, aku ni gila ke tak sebenarnya? Entah. Hari ni makan apa agaknya ya? " Amin keliru sendiri.

Siapa kata Amin malas belajar? Dia bukan malas. Dia sudah cuba sedaya-upaya. Tapi, ilmu yang diajar cikgunya di sekolah cukup payah hendak difahaminya. Sebab itu Amin lebih banyak termenung sahaja dalam kelas. Kata ibu, ini semua bukan salah Amin. Ini semua sudah takdir Amin. Amin bukan tidak pandai, tapi Amin sudah ditakdir jadi begitu. Kata Rosnah, kalau sudah ditakdir begitu, apa lagi daya kita mahu perbuat lagi. Terus sahajalah hidup dalam keadaan terencat itu, kerana semuanya sudah ditakdir!

Amin tahu, dari tazkirah Ustazah di sekolah, dengan pelajaranlah nasib keluarganya yang miskin boleh diubah. Dia kasihan melihat ayahnya, Deraman bekerja berat semata-mata mahu menangung makan minumnya. Dia kasihan juga dengan abangnya yang selalu mengejeknya itu, yang bercita-cita mahu jadi pemain bola terkenal, macam Lionel Messi, tetapi tidak punya wang untuk membeli hatta but kain sekalipun. Kalau di padang sebelah rumahnya itu, hanya abangnya, Radhuan sahaja yang berkaki ayam. Setiap kali balik dari bermain, kakinya pasti penuh dengan kesan stud dari but bola teman-teman sepermainannya yang memang tiada belas ehsan itu. Dipijaknya kaki Radhuan itu dengan kasut stud enam, walaupun mereka tahu Radhuan itu berkaki ayam. Itu sahaja cara yang mereka ada untuk menyekat si Radhuan yang lincah itu dari menjaringkan gol. Radhuan pula memang tidak pernah merungut. Bagi anak orang kelas miskin seperti dirinya, dibenarkan bermain sekali dengan anak-anak orang kampung yang lain itu, sudahpun dikira cukup baik.

"Aku terencat bukan sebarang terencat! Aku ada wawasan!" itulah mantera yang Amin ulang-ulang hampir setiap hari.

"Memang gila adik aku ni. Cakap sorang-sorang!" kata Radhuan, bila melihat Amin berulang-ulang membaca mantera semangatnya itu.

Sebab itu Amin mahu jadi penyanyi rock kapak, macam Amy Search. Dia tahu, itu sahajalah cara yang dia ada untuk membantu keluarganya. Hendak belajar, dia tidak pandai. Bila jadi 'rockstar' nanti, dia boleh dapat royalti (orang gila pun tahu pasal royalti ya). Waktu itu, waktu sudah kaya, dia mahu belikan ayahnya kereta BMW 5 Series yang baru. Ibunya pula akan dapat baju kebaya berlabuci, siap dengan butang kilau-kilaunya sekali. Abangnya, Ridhuan pula, akan dibelikannya kasut but Adidas Predator yang harganya RM 700 sepasang itu, barulah nampak serupa Messi. Waduh, nampak kena sekali! Begitulah kira-kira yang dibuat Amin.

Sebelum mahu jadi 'rockstar', dia perlu simpan rambut panjang-panjang dahulu. Amy Search, Mus May, kumpulan Melissa, Rahmat Ekamatra, Awie Wing, semuanya ada rambut yang panjang. Cantik atau tidak mereka itu berambut panjang, tiadalah Amin ambil peduli. Yang penting, rambut panjang itu identiti rock. Kalau mahu rock, mesti perlu ada rambut yang panjang, begitulah fikir Amin. Nanti, dia akan menyanyi sambil memetik gitar eletriknya, diiringi dengan drum dan bassnya sekali. Kemudian, sambil menyanyi, rambutnya akan turut terbang mengerbang ditiup kipas di atas pentas. Wah, memang nampak rock!

"Fewwwittttt!!!," Amin akan menjerit setiap kali terbayang saat dia bakal berada di atas pentas nanti.

"Memang sah gila. Feewit fewit sorang-sorang dari tadi. Please, please, please, kamu jangan naughty," kata Radhuan sambil menyanyikan lagu Jangan Naughty nyanyian Alif Ba, penyanyi kegemarannya itu. Selera Radhuan dan Amin dalam pemilihan lagu ternyata nampak ketara bezanya.

Namun, sekarang ini, Amin sedang berada dalam krisis paling besar dalam hidupnya. Ada orang mahu menghancurkan harapan dan cita-citanya! Ah, siapa? Jahat betul mahu menganggu cita-cita orang terencat seperti Amin. Ayah dan abangnya. Mereka sedang mencari Amin. Mereka mahu rambut Amin di gunting. Perasaan kecewanya pada ayah dan abangnya semakin terasa. Tidak disangka-sangka, ahli keluarganya sendiri mahu menghancurkan cita-cita mulianya itu. Selama ini dia banyak mendengar Ustazah di sekolahnya mengajar tentang sifat hasad dengki yang sangat dikeji dalam Islam. Rupa-rupanya ayah dan abangnya sendiri telah dijangkiti penyakit penghancur agama dan bangsa itu.

"Patutlah orang Melayu tak maju-maju!" fikir Amin dalam hati.

Amin kembali mengusap-usap rambutnya. Dia tahu, ini semua mesti kerja Cikgu Berahim yang garang itu. Sudah tentu dia yang melaporkan pada Deraman tentang rambut panjangnya. Kalau tidak, Deraman pun malas mahu ambil kisah. Tetapi, bila suatu hari Cikgu Berahim datang sambil marah-marah, Pak Deraman sudah tidak boleh bersabar lagi. Ini peraturan sekolah. Rambut Amin mesti dipotong!

"Cikgu Berahim jahat! Cikgu Berahim hasad! Sial!" Amin menyumpah dalam hati.

"Bila aku sudah terkenal nanti, sudah famous, jangan harap aku naik sain autobot..ehh..ape aku cakap ni? Oh. Autograf.Ya, jangan harap aku nak sain autograf untuk Cikgu Berahim. Cikgu Berahim jahat. Cikgu Berahim tak dak wawasan," gerutu Amin lagi.

Sedang Amin leka menyumpah-nyumpah gurunya itu, suatu kejadian tidak disangka-sangka berlaku. Tiba-tiba sahaja, seekor Ular Daun datang menjalar di atas kaki Amin, barangkali Ular Daun ini sudah pening lalat sehingga tidak dapat membezakan antara dahan pokok dengan kaki budak Amin.

Amin terperanjat beruk. Dia memang sangat takutkan ular. Lebih-lebih lagi bila ular itu tiba-tiba sahaja menjelirkan lidah merah bercabangnya itu.

"Auuooooowwwwwwww!!!" Amin menjerit ketakutan.

Ketika itulah, Amin hilang imbangan badan dan terus jatuh menjunam ke bawah. Dia menutup mata. Waktu itu, apa yang difikirkannya hanya maut. Dia memikirkan juga mana tahu, barangkali mungkin di syurga nanti dia masih boleh menjadi rockstar. Akan tetapi, nasibnya baik sekali. Kebetulan, ketika itulah Wak Jo sedang lalu di bawah pokok itu sambil mengusung basikal tuanya. Di belakang basikal itu, diletakkannya satu tong besar berisi susu getah yang baru dikutipnya tadi.

Kuasa Tuhan. Amin jatuh menjunam, tepat ke dalam tong berisi susu getah itu. Keceluuuppp, bunyinya. Wak Jo jatuh beserta dengan basikal dan tongnya sekali. Habis, semua susu getah tertumpah. Wak Jo benar-benar terperanjat. Tambah memeranjatkannya lagi bila melihat, ada seorang budak yang sudah berlumuran dengan susu getah sedang duduk di depannya sambil mengosok-gosok kepalanya yang sakit. Kuasa Tuhan, mujur Amin selamat! Hanya benjol kecil sahaja. Kuasa Tuhan!

"Ayah! Amin di sini. Di sini dia!" tiba-tiba terdengar suara Radhuan menjerit memangil Deraman.

Deraman bergegas dengan tali pinggang siap di tangan. Wahai, demi sahaja melihatkan Amin yang sedang duduk sambil menggosok kepalanya yang kesakitan, Deraman melepaskan tali pinggangnya itu. Marah bertukar menjadi kasihan. Memang Tuhan itu Maha Kuasa membolak-balikkan hati. Pak Deraman segera mengosok-gosok kepala Amin. Hampir-hampir sahaja dia tidak mengenali Amin yang sudah pun penuh badan dan mukanya diselaputi susu getah yang likat melekit-lekit itu.

"Ayah...sakiiit...." Amin mengadu.

"Ayah tahu.. Siapa suruh nakal, kan sudah begini jadinya.. Sudah. Mari kita ke kedai gunting. Getah di rambut kamu itu tak boleh hilang. Gunting saja jalannya," leter Deraman.

"Sampai botak, ayah?"

"Ya, sampai botak"

Keluar titik air dari bibir kelopak mata bulatnya itu. Amin menagis teresak-esak. Habis. Khalas. Selesai. Hancur semua cita-citanya. Citanya tersekat di tengah jalan.

"Jangan risau, Amin.." tiba-tiba Radhuan bersuara lembut pada adiknya. Buat pertama kalinya.

"Amy Search pun sekarang dah botak. Tak percaya tengok poster ni," Radhuan menunjukkan pada Amin poster 'Konsert Suatu Masa' Amy Search di Istana Budaya. Kelihatan di situ Amy Search dengan penampilan barunya. Botak dan kemas. Tapi, walau botak sekalipun, Amy tetap nampak rock.

Amin berhenti menangis, lantas tersenyum. Deraman ketawa. Radhuan ketawa. Mereka anak beranak semua ketawa. Wak Jo sahaja yang termangu-mangu, pelik melihat anak beranak itu ketawa berdekah-dekah.

Deraman bersyukur dalam hatinya kerana Amin terselamat tanpa apa-apa kecederaan serius. Dia tersenyum memandang Amin dengan gigi rongaknya itu. Akan tetapi, dalam hatinya bergelojak pertanyaan maha berat.

Bagaimana mahu dia menggantikan susu getah Wak Jo?