Saturday, April 2, 2011

Tarian dan Ampaian (CerDek Baru)


Waktu ibu menyedari kepulangan Asri, dia telah pun balik ke rumah dalam keadaan yang kusut masai. Bajunya yang waktu awal pagi tadi dalam keadaan putih bersih, dan kemas rata setelah diseterika, menjadi bertompok tompok kesan lumpur dan renyuk teruk. Wajah cengkungnya jadi agak lebar dengan lebam dan bengkak di sana-sini.

Dia memang seorang anak lelaki sejati, yang malu mahu mengalirkan air matanya di hadapan perempuan, hatta pada ibunya sendiri. Bersungguh dia menahan matanya yang sudahpun merah itu, tersengguk-sengguk bahunya macam orang kena sawan.

“Ya Allah! Kenapa sampai begini kamu Asri? Kamu bergaduh dengan siapa ni?” Ibu pantas-pantas mendapatkan anaknya itu apabila melihatkan keadaan beliau yang sampai begitu menyedihkan sekali.

Dikesat-kesat muka Asri yang comot dengan hujung baju kurung hijaunya. Ibu betul-betul pening memikirkan kerenah anaknya yang seorang itu, yang tidak habis-habis melibatkan dirinya sendiri dengan masalah.

Asri diam membisu seribu bahasa. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Hanya bunyi dengusan nafasnya yang turun naik menahan tangis yang kedengaran. Sekali dengar macam kerbau matadaor yang sedang mendengus-dengus marah dan bersedia menerkam matador yang mempermain-mainkannya.

Ini bukan kali pertama, akan tetapi inilah yang paling teruk. Barangkali, Asri sudah pun ketemu dengan lawan sebenarnya. Kalau sebelum ini, biasanya tidaklah sampai mukanya bengkak-bengkak begini. Paling teruk pun, tangan dan kakinya penuh dengan calar balar dan sedikit luka di kening. Itu berlaku sewaktu dia berebutkan permainan dengan Shaifool, anak Pak Muslim. Namun, tahapan kecederaan yang dialaminya kali ini membuatkan Ibu risau. Tentu perkara yang digaduhkan itu bukan sebarangan perkara. Tentu ia perkara yang besar, bagi seorang kanak-kanak.

Ibu terpandang tangan Asri yang memegang sebuah buku. Itu buku cerita yang dihadiahkan oleh arwah suaminya dahulu kepada Asri. Asri sangat menyayangi buku itu, dan buku cerita itulah yang diusung dan diulang baca beliau berkali-kali. Sesamseng-samsengnya dia itu, masih ada lagi sudut dan ruang untuk bernostalgia di dalam hatinya.

Buku itulah yang memberikan klu dan petunjuk kepada Ibu akan punca pergaduhan terbaru anaknya itu. Buku itu kelihatan renyuk sedikit, dan balutan di muka hadapannya sudah koyak-koyak. Ibu menggeleng kepalanya, kesal. Siapakah yang sanggup merosakkan barangan kesayangan anaknya itu?

“Sebab ini ke?” tanya Ibu sambil tangannya mencapai buku itu dari tangan anaknya itu.

Selain dari helaian depan yang koyak (mungkin mereka berebutkan gambar kartun di muka hadapan buku itu), helaian-helaian di mukasurat yang lain masih berada di tempatnya. Tiada koyakan lain. Namun apa yang menimbulkan tanda tanya pada Ibu ialah, buku itu penuh dengan kesan pewarna cecair pembetulan (liquid paper). Tambahan pula, kesan pewarna cecair pembetulan itu hanya dikenakan pada huruf...

“Midah! Oooo Midah! Midah!”

Kedengaran suara memanggil Ibu dari halaman depan rumah. Ibu lekas bangun dan tergesa-gesa ke depan. Pemilik suara itu dapat dia camkan dengan baik. Itu bunyinya seperti suara Imam Khusni, dan dari nada suaranya itu, kedengaran seperti ada hal yang sangat mustahak.

“Ye saya Tuan Imam. Ada apa terpekik-pekik ni? Ada orang meninggal ke?” Ibu terus sahaja bertanya sebaik sahaja kelihatan kelibat Imam Khusni di depannya. Memang tidak salah tekaannya sebelum ini. Imam Khusni sedang berdiri di laman depan rumah. Wajahnya kelihatan tegang. Dia kelihatan agak marah, dan seolah-seolah ada sesuatau kesalahan telah dilakukan Ibu.

“Mentang-mentanglah aku ini janda. Nak menuduh aku berkhalwat lah tu agaknya. Tak pun dakwaan aku mengacau laki orang...”Ibu membuat andaian sendiri.

Dan andaiannya itu sememangnya berasas, keraana sebelum ini sudah banyak kali dia dituduh dengan tuduhan liar seperti itu. Kadang-kadang dia merasa seperti mahu menampar muka Salmiah Tambi isteri Imam Khusni itu dengan selipar. Kalau bukan dia yang mengusung menjaja cerita serata kampung, siapa lagi? Di dalam kampung itu tidak perlu ada televisyen atau radio pun tidak mengapa. Semua informasi boleh diperoleh secara terus dari mulut anak Tambi itu, lebih-lebih lagi gossip melibatkan golongan janda seperti Ibu.

“Aku mahu kau hentikan kelas tarian poco-poco kau itu. Berkuatkuasa serta merta, ngerti?” kasar Imam Khusni memberi amaran pada Ibu.

Ibu terkejut. Kelas tarian yang diadakannya setiap hujung minggu itulah salah satu punca pendapatan tambahannya. Selain dari mengajar Muqaddam kepada kanak-kanak tadika di kampung itu, kelas tarian itulah yang mengisi kelompongan dan kekosongan di dalm rak dapur rumahnya sejak kematian suaminya 5 tahun dahulu. Dan sekarang ini, Imam Khusni datang dan mahu menutup periuk nasi dia anak beranak.

Ibu sudah sehabis baik menerapkan nilai-nilai akhlak Islam kepada mereka-mereka yang mahu belajar tarian poco-poco dengannya. Kelas mesti dibuat di dalam ruangan tertutup, iatu di dalam rumahnya. Tiada lelaki yang dibenarkan menonton. Pakaian pula mesti menutup aurat, sesuai dengan batas-batas antara perempuan Muslim dengan permepuan Muslim yang lain. Sebelum menari semua orang perlu betulkan niat terlebih dahulu, iatu menari itu semata-mata untuk menyihatkan badan supaya dapat beribadah kepada Tuhan dalam keadaan yang baik. Semua mak cik-mak cik yang mengikuti kelasnya akur. Kalau sebelum ini mereka menari beramai-ramai di padang sekolah (ramai lelaki yang datang menonton sambil bersiul-siul mengejek), namun selepas guru yang mengajar tarian itu balik ke Indonesia mengikut suaminya, mereka tiada pilihan lain lagi, melainkan terpaksa mengikut arahan Ibu. Ibu memang pakar dalam berbagai-bagai jenis tarian, moden atau tradisional, namun tidak pernah dia tunjukkan atau hebohkan pada orang ramai. Segala macam tarian yang dipelajarinya itu, kalaulah ditunjukkan pada orang pun, hanyalah pada arwah suaminya sahaja.

Dan dia masih ingat wajah suaminya yang tersenyum ceria, gembira dengan kemesraan isterinya itu, setelah seharian kepenatan bekerja. Ibu berpuas hati dengan caranya itu, kerana itu adalah salah satu cara baginya membahagiakan hati suaminya itu. Bukankah syurga seorang isteri itu di bawah telapak kaki suaminya?

“Kenapa pula Imam? Apa masalahnya?”

“Syirik tu! Syirik! Haram! Haram! Kamu tak dengar fatwa terbaru ke?” Imam Khusni menjawab sambil menjegilkan biji matanya yang saling tak tumpah seperti orang kena penyakit kelenjar Tairod.

Ibu mengegeleng-geleng kepalanya. Orang tua ini betul-betul sudah ketagih haram.

“Apa yang syiriknya? Kami hanya bersenam, menyihatkan badan. Mana ada kami puja mana-mana semangat atau patung. Minggu lepas, ketua kampung bakar ancak waktu majlis pembukaan medan selera baru di kampung kita ini, tak pula Imam bising? Kami yang bersenam ini Imam katakan syirik pula?” Ibu seolah-olah mendapat keberanian untuk membalas kata-kata Imam Khusni. Kekuatan yang datang hasil pendaman perasaan marah bertahun-tahun.

“Syirik lah! Dalam tarian tu ada unsur-unsur agama kristian, kamu tahu?”

“Dan bukan itu sahaja. Ampaian rumah kamu di belakang itu. Sudah aku suruh anak-anak buahku robohkan. Bentuknya macam tiang salib Kristian, kamu tahu? Astaghfirullah, astaghfirullah..Bahaya..syirik..syirik..”



Kali ini ibu faham apa sebenarnya yang berlaku pada Asri di sekolah tadi. Patutlah semua huruf ‘t’ kecil di dalam buku cerita anaknya itu dipadam dengan menggunakan cecair pemadam pen.

“Ayah! Sini pun ada tanda salib! Tengok itu, pedang tu!” anak Imam Khusni yang umurnya sebaya dengan Asri itu menunjuk pada pedang plastik mainan yang terbiar di atas anak tangga rumahnya.

Imam Khusni menghulur tangan mahu mencapai pedang mainan itu.

Tiba-tiba,

“Arghhh!!!!”

Imam Khusni menjerit kuat, kesakitan. Bahagian kanan tangannya sedang digigit Asri dengan kuat.

Sesudah bukunya dirosakkan, tidak mungkin akan dia benarkan nasib yang sama menimpa pedang mainan kesayangannya itu!




No comments:

Post a Comment