Friday, May 20, 2011

Kisah Izzudin dan Pemotongan Subsidi


Alasan yang sama diguna pakai dan dikitar-kitar semula setiap kali perkara ini berlaku. Kenaikan harga minyak dan barangan-barangan lain selalunya akan diikuti oleh ‘statement’ atau ulasan mengenai beban yang ditanggung kerajaan bagi menampung kos subsidi.

Paling menakutkan orang kampung dan mak cik-mak cik di Felda yang pemberi wahyu mereka ialah Utusan Melayu, bilamana dikatakan bahawa negara ini akan bangkrap jika subsidi-subsidi ini tidak dikurangkan. Maka dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat patriotik yang wujud setelah hari-hari didoktrin oleh TV1, mereka-mereka ini dengan rela hati sanggup berkorban, biarlah dapur tidak berasap (tapi jangan sesekali mulut tidak dijamah asap rokok), biarlah kereta tidak bergerak , itu semua tidak mengapa, asalkan negara tidak bangkrap.

Sememangnya tanda-tanda negara ini akan bangkrap memang sudah nampak jelas. Paling ketara ialah pada mutu penghasilan filem. Lihat sajalah kualiti filem ‘Cinta Laknat di Carcosa’ arahan Eskay Brothers. Nyata sekali kerana kekurangan bajet, kualiti penghasilannya nyata mengecewakan sekali. Kalau di Hollywood, pelakon yang buncit boleh nampak sasa dengan penggunaan teknologi. Di Malaysia, perut pelakon yang buncit tidak mampu diubahsuai lantas menyebabkan berlaku kecacatan pada tayangan filem tersebut. Ini diakui sendiri oleh wartawan yang dijemput menghadiri tayangan perdana video itu.

Adapun aku ini teringat satu kisah yang seharusnya diambil iktibar, lebih-lebih lagi oleh puak-puak tertentu yang mengatakan bahawa golongan-golongan yang membantah kenaikan harga barang-barang keperluan ini sebagai golongan yang tidak bersyukur dan mahu melihat negara ini jatuh bangkrap. Mereka ini berhujah bahawa kenaikan ini berpunca dari kenaikan harga barang dunia, dan ianya sesuatu yang tidak dapat hendak dielakkan. Kata mereka lagi, bahawa janji-janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak adalah tidak realistik dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Maka, ingin aku khabarkan kisah ini, moga boleh diambil iktibar, tentang pengorbanan, dan siapa dulu yang harus berkorban.

Dahulu, ada seorang ulamak bernama Izzudin Ibnu Salam. Dia ini seorang yang sangat bertegas terhadap salah laku yang dilakuakn oleh pemerintah dan sultan pada zaman dahulu. Dikhabarkan bahawa pernah satu ketika dia menegur sultan dengan hanya memanggil namanya sahaja, tanpa ada rasa takut sekalipun. Tiada sebutan Datuk Seri, Datuk T, Tun, Tuanku atau sebagainya. Hanya nama.

Kabar ini tersiar di seluruh penjuru Mesir, hingga murid beliau Syaikh Abu Abdullah Muhammad An Nu’man mendengarnya, hingga ia bertanya, bagaimana gurunya itu berani melakukannya, tanpa ada rasa takut.

Lalu tenang Syeikhul Islam Izzudin menjawab,

Wahai anakku, aku melihat darinya ada perasaan bahwa dirinya terhormat, maka harus aku merendahkannya, agar kesombongannya tidak mencelakai dirinya sendiri”

Kisahnya yang paling masyur, yang sangat berguna buat iktibar ‘pencinta pengorbanan’ yang tidak mahu melihat negara yang kaya raya ini bangkrap, yang hendak aku ceritai di sini, bermula begini :

Tentera Monggol telah mara dengan penuh pantas dan ganas laksana sekkumpulan serigala kelaparan menerkan gerombolan bebiri. Baghdad telah berhasil dihancurkan dan diluluhkan sampai menjadi padang jarak padang tekukur.

Mereka semakin mara, sehingga sampailah ketika bilamana barisan tentera yang hauskan darah itu hampir sampai ke pinggir negeri Mesir, tempat dimana tinggalnya Syeikh Izzudin dan anak-anak muridnya.

Maka persiapan pun diatur untuk menghalang dan mempertahankan negeri Mesir dari serangan penuh dasyat itu. Menghadapi musuh yang sangat terkenal dengan kekuatan dan penguasaan mereka di medan perang, sudah tentu banyak persiapan yang perlu dilakukan. Adapun negara pada waktu itu berkeadaan gawat, dan kewangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung kos peperangan.

Lalu dikeluarkan arahan dari pihak istana untuk menaikkan cukai terhadap rakyat jelata. Sultan tidak bersendirian dalam memberi arahan. Dipanggil ulama-ulama di dalam negeri untuk masing-masing memberi fatwa dan sokongan terhadap arahan Sultan ini, atas aalasan keperluan jihad.

Seperti biasa, ada seorang ulama sahaja yang tidak memberi sebarang sokongan atau fatwa mengenai kenaikan cukai itu. Ulama yang ‘mahukan negaranya hancur’ ini tak lain tak bukan ialah Syeikh Izzudin.

Bagi sultan, persetujuan ulama ini amat penting kerana pengaruh beliau lebih tinggi daripada sultan Mesir sendiri. Oleh hal yang demikian Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mengadap beliau (bukan ulama mengadap pemimpin) memohon restunya dan sokongan terbukanya untuk menaikkan cukai demi keselamatan negara.

Izzudin Abdul Salam bersetuju pada dasarnya dan akan mengumumkan persetujuannya di dalam khutbah jumaat pada hari itu. Beliau meminta Sultan hadir sama bersolat jumaat dan baginda boleh mendengar sendiri khutbah Jumaat dan persetujuan Al-Iz Abdul Salam.

Di dalam khutbah Izzuddin Abdul Salam menyokong perancangan pemerintah hendak mengunakan cukai dengan satu syarat sahaja iaitu sultan dan keluarganya hendaklah terlebih dahulu menjual istana-istana mereka serta perhiasan-perhiasan yang ada pada mereka dan anak isteri mereka semuanya dan digunakan untuk perbelanjaan peperangan. Jika tidak cukup maka barulah cukai baru kepada rakyat dikenakan.

Adapun suasana di negara 1Hadhari ini nyata sekali berbeza. Ditengah-tengah seruan agar rakyat berjimat dan berkorban atas potongan subsidi, orang-orang atas terus dengan sifat bermewah-mewah dan membazir. Lihat sajalah bagaimana mereka secara boros menggunakan dana negara, lebih-lebih lagi sewaktu menghadapi pilihnraya kecil. Kemudian, merungut mengatakan kos pilihanraya kecil di negara ini terlalu mahal.

Aku sendiri secara peribadi tidak akan membantah jikalau subsidi mahu ditarik untuk mengurangkan beban kerajaan dan mengelakkan negara dari gulung tikar. Akan tetapi, bukan hanya rakyat-rakyat yang sudah sedia miskin dan sibuk mengira butir-butir beras yang tinggal untuk makanan skeluarga kekesokan harinya perlu disuruh berjimat. Mereka dari dahulu lagi sudah berjimat.

Selepas pemimpin negara pun turut sama berjimat cermat dan berhenti membiarkan isteri pergi ke Dubai, maka kemudian barulah kita bercerita tentang pengurangan subsidi dan bantuan terhadap rakyat. Aku pernah menulis kisah tentang ini, kalau-kalau ada sahabat yang masih ingat. Kisah Pengemis Rindu itu.






No comments:

Post a Comment