Thursday, June 9, 2011

Padang Tak Rata



Seseorang yang berumur atas dari 21 tahun sudah dikira layak untuk mengundi di Malaysia. Ini bermakna, 21 tahun itu sudah dikira layak untuk membuat keputusan yang besar, iatu soal memilih pemimpin yang akan memimpin negara. Kalau dahulu kita selalu dengar tentang Mumayyiz, iatu sudah tahu membezakan yang mana baik yang mana buruk, maka umur 21 tahun itu bolehlah dikatakan lebih jauh matang dari mereka-mereka yang baru Mumayyiz dalam memilih.


Mumayyiz sudah tahu beza yang mana baik yang mana buruk. 21 tahun itu barangkali sudah tahu membeza yang mana kaca dan yang mana permata, yang mana Ibrahim Ali yang mana Salehudin Ayyubi.


Aku lalu bertanya, atas ukuran apakah yang digunakan untuk mengatakan umur 21 tahun itu sudah matang benar dalam memilih?


Kenapa bukan umur 18 tahun? Bukan 19 tahun? Atau 20 tahun 11 bulan?


Atas jaminan apakah pemilihan yang bakal dibuat oleh mereka yang berumur 21 tahun itu akan dibuat dengan pilihan dan neraca yang matang mencerminkan umur 21 tahun? Adapun kalau kita biasa bercampur gaul dengan orang-orang dan masyarakat yang pelbagai di luar sana, adalah tidak pelik melihat orang yang umur 40an pun pemikirannya macam budak-budak sekolah. Sesiapa yang memberi mereka makan, maka itulah yang akan diikut, diturut, dicium-cium tangannya sampai disuruh membuat yang salah pun akan dipatuhi.


Aku biasa juga berjumpa dengan segolongan anak-anak muda, yang umurnya walaupun baru mencecah 18 tahun, tapi punyai pemikiran yang matang, dan mampu menganalisa segala-segala masalah dan punca terjadinya kepada umat dunia masa kini.


Persoalan yang ingin aku bawakan di sini ialah, yakinkah kita dengan majoriti layak mengundi yang ada waktu ini?


Demokrasi


Dalam setiap tulisan aku, ayat inilah yang sama akan aku gunakna, dan yang tidka akan jemu-jemu gunakan sampai bila-bila, demi mengelakkan aku disalaherti dan disalahanggap tanpa usul periksa. Maka inilah, aku akan gunakan semula ayat ini:


Jangan salah sangka. Baca sampai habis dahulu apa yang ditulis ini.


Ya, bukan niat aku untuk meragui kematangan saudara-saudari semua yang akan menjadi pengundi nanti. Keyakinanku pada saudara-saudari semua sekukuh Gunung Gibraltar, yakinlah. Kepercayaanku setinggi kepercayaan dan keimanan Hakim Zainal Abidin Mad Diah kepada kesaksian Saiful Bukhari.


Akan tetapi yang aku ingin bawakan di sini ialah konsep demokrasi, dalam proses menentukan siapa yang berkuasa di Putrajaya sana.






Niccolo Machiavelli dalam Kitab The Prince menyatakan,


“..and to see and hear him, he should seem to be all mercy, faith, integrity, humanity and religion. And nothing is more necessary than to seem to have this last quality, for men in general judge more by eyes than hands, for everyone can see, but very few must feel. Everybody sees what you appear to be ; few feel what you are, and those few will not dare to oppose the many who have the majesty of the state to defend them...




Ada yang mengatakan bahawa demokrasi ini adalah serupa majlis syura.


Nehi.


Kedua-duanya tidak serupa sama sekali, macam Ibrahim Ali dan Sallehuddin Al Ayyubi, macam langit dan bumi beza keduanya.


Majlis Syura itu terdiri daripada mereka-mereka yang diyakini ilmunya, dan diyakini akan membuat keputusan yang benar matang dan berlandaskan hukum. Tidaklah mungkin mereka itu akan berbuat keputusan berdasarkan kepentingan nafsu dan keutamaan tembolok perut masing-masing.


Akan halnya dalam demokrasi, di mana majoriti mengatasi minoriti, adalah sama sekali tidak meletakkan syarat yang ketat sebagai pemilih. Sesiapa yang sudah melepasi usia layak mengundi, maka bolehlah diberi kebenaran memilih.


Seperti yang dikatakan Machiavelli di atas (aku ini tidaklah PPSMI, akan tetapi terasa letih hendak menterjemah ) , apakah yang dipilih jika majoriti yang ada sudah pun dirosakkan dan ditumpulkan ketajaman minda mereka, dengan hari-hari mereka disogokkan hiburan, kemudian dimomok-momokkan dengan isu-isu ketuanan dan perkauman yang lainnya? Siang ditipu Utusan, malam ditemberang tv3.


Aku tidak ada masalah dengan penggunaan konsep majoriti mengatasi minoriti ini. Ia masih boleh digunakan untuk membuat pelbagai keputusan yang lain. Namun, untuk menggunakan konsep ini sebagai penentu siapa yang akan berkuasa menjadi pemimpin kita, maka aku rasakan adalah amat sukar sekali untuk kebenaran mencapai matlamat sampai ke Putrajaya.


Majoriti yang ada hari ini akan sengaja dirosakkan. Lebih-lebih lagi mereka yang tidak berpendidikan tinggi dan masih tinggal di ceruk-ceruk hujung kampung, yang kehidupan mereka hari-hari hanyalah untuk bangun dan menatap Utusan Melayu, yang setiap hari bersurah dan bertazkirah tentang kepentingan bersyukur pada kerajaan kerana memberi mereka subsidi, yang sebetulnya datang dari poket mereka sendiri melalui pembayaran cukai!


Lalu, tidak perlulah mengundi dalam pilihan raya? Adakah begitu?


Bertahan


Aku memandang pilihanraya hanya sebagai salah satu cara dalam banyak-banyak cara dan jalan yang ada. Namun, jalan ini tidak akan menjanjikan kemenangan.


Berikan kepada aku manakah revolusi perubahan yang berlaku dengan pilihan raya? Algeria selepas berjaya dikuasai parti Islam melalui pilhanraya, terus sahaja dicabul dan ditidakkan kemenangan oleh Perancis. Hamas samapai sekarang masih tercungap-cungap mempertahankan kemenangan mereka melalui proses demokrasi sah, yang ditidakkan oleh Barat, kerana bukan Fatah yang menang, tetapi Hamas (yang sekarang ini kedua-duanya sudah dalam proses damai. Harap istiqamah)


Demokrasi sememangnya sengaja dijual dan dijaja ke serata bumi Islam sebagai satu senjata untuk menyekat kemenangan Islam. Seperti yang aku katakan tadi, majoriti yang ada akan sengaja dirosakkan pemikiran mereka, maka majoriti itu tadi akan memilih mereka yang paling banyak dilihat mampu mengenyangkan tembolok perut dan membantu proses kemandirian nafsu serakah masing-masing. Kalupun ada kesedaran di pihak majoriti, dengan segala penipuan pilihanraya dan penggunaan jentera kerajaan, maka bagaimanakah kita akan berjaya?


Mubarak sendiri sebelum digulingkan, telah memenangi pilihan raya Mesir dengan majoriti besar. Maka dimanakah mahu diletakkan pilihanraya akan berjaya menyingkirkan kezaliman?


Umpama kita bertanding dalam pelawanan bola sepak, di mana gol kita seluas pintu gerbang Istana Mahmud Taib, sedang pintu gol dipihak mereka pula ialah tiang gol bola jaring. Pengadil ialah bapa mereka, manakala penjaga garisan ialah emak saudara mereka. Kita berkaki ayam, mereka pula menggunakan kasut stud besi tajam seperti yang digunakan pelari pecut olahraga.


Namun, dalam situasi di Malysia ini, di mana untuk mengelakkan segelintir pihak yang gilakan kuasa untuk sewenang-wenangnya menggunakan parlimen sebagai ‘stamp pad’ untuk mereka meluluskan berbagai-bagai akta-akta menindas dan bersifat rimba, maka haruslah pilihan raya itu disertai untuk bertahan.


Untuk bertahan.


Akan tetapi untuk menang secara total, aku secara peribadi mengatakan bahawa aku beriman hanya dengan gaya revolusi sahajalah keadilan akan tertegak di bumi ini. Namun, untuk megundi, sudah tentu akan aku lakukan. Tahun ini umurku sudah masuk 22.


Sampai bila bertahan? Sampa suatu hari nanti ledakan amarah rakyat akibat hari-hari ditipu dan dipaksa bersabar menahan segala kezaliman, meledak pecah. Sampailah suatu hari nanti pintu hati rakyat-rakyat Malaysia terbuka utuk berubah. Bila itu? InsyaALLAH, baragkali waktunya sudah dekat, bukan?


Dengan revolusi barulah republik Islam Iran tertegak. Che dan Fidel berjaya di Cuba dengan revolusi rakyat . Di Mesir pula, setelah bertahun-tahun ditipu denga pilihanraya yang berat sebelah dan tidak adil, akhirnya meletuslah Tahrir Square, menjadi sejarah buat pegajaran kepada kita bahawasanya dimana ada penindasan, di situ pasti akan ada penentangan.


Lihat bagaimana sikap Syeikhul Azhar sebelum dan selepas revolusi. Dia yang sebelumnya mengeluarkan fatwa menentang demonstrasi yang dilakukan, secara tiba-tiba mengubah nada menjadi penyokong setelah melihat revolusi berjaya. Ini menunjukkan, dengan keberanian segelintir manusia berjiwa pahlawan dan bersemangat anak muda, maka akan berjaya mengubah majoriti yang selama ini takut dan mengikut telunjuk para tirani dan penguasa kuku besi.




Tulisan ini ialah pandangan peribadi penulis. Kalau baik ambillah jadikan teladan. Kalau buruk, sesungguhnya buruk lagi Utusan.







2 comments:

  1. assalamualaikum....
    skrg ramai yang malas nak ambil kisah terutamanya hal2 berkaitan politik,
    namun kita tak boleh lari dari power bahawa untuk memerintah sesebuah negara mengikut al-quran dan sunnah mesti melalui adanya "power" and politik adalah 1 wasilah untuk kita memegang tampuk pimpinan....

    hidup mesti matang, kerana bak kata assyahid imam hassan al-banna: "tanggungjawab melebihi masa yang ada"

    dan tiada kerehatan bagi pejuang agamaNya melainkan syahid...

    okk... good post, semoga berjaya dunia dan akhirat dan dipermudahkan Allah akan segala hal, yakinilah rezeki, jodoh, ajal, maut semua di bawah kuasa Allah....

    bittaufiq wan najah fi dunia wal akhirat...

    TAKBIR!!!

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam

    Baik, terima kaseh, serasa macam boleh cam siapa yg komen ni =)

    Apapun, demokrasi itu sememangnya ditolak. Namun, keadaan tambah teruk, bila yang dikatakan demokrasi itupun tidak mempunyai jiwa demokrasi seperti demokrasi di negara2 asal datangnya demokrasi ini, iatu di barat sana.

    Aku suka merujuk pandangan Amaluddin Darus mengenai isu ini dalam bukunya Diktator dan Demokrasi, di mana secara jelas telah menghuraikan betapa rakyat Malaysia tidak pernah merasai demokrassi seperti yang sepatutnya dirasai bagi negara yang dikatakan demokasi berparlimen.

    Tiada kebebasan bersuara, dengan hak pilihanraya yang disekat, serta penggunaan jentera kerajaan secara sewenang-wenangnya.

    Kita bukan dalam demkrasi. Kita dalam kuku besi sekarang ini.

    ReplyDelete