Saturday, June 25, 2011

Bekas Yang Bocor


Sekian lama kita berada di dalam kemerdekaan yang sudah 50 tahun lebih itu, maka sejak dari itu kita warga Malaysia berada dalam keadaan untuk mengisi apa yang dipanggil sebagai kemerdekaan. Untuk mengisi, maka kita memerlukan bekas yang sempurna, iani bekas yang kukuh, tidak bocor dan tiris merata-rata. Kadangkala, bekas itu nampak kukuh, cantik dan mempersona. Akan tetapi, ternyata ianya rapuh dan tidak kuat menghalang asakan luar, umpama bekas kaca, sekali hempas ke lantai maka hancur berderailah ia.

Untuk mengisi bekas bernama kemerdekaan itu, maka perlulah warga meneliti balik keadaan bekas mereka itu. Sudah sempurnakah sifat bekas itu untuk menampung pengisisan yang bakal diisi itu nanti? Hal ini penting, agar kita tidak melakukan perbuatan yang sia-sia dan hanya membuang masa. Bayangkan, kita berusaha dengan penuh penat lelah, mengangkut ‘air kemajuan’ dan segalam macam lagi pengisian yang boleh mengisi bekas itu, kemudian menuang ia dengan harapan bekas itu nanti akan penuh, tanda kemakmuran bekas kebangaan semua. Ialah, bekas yang kosong itu petanda kemarau.

Akan tetapi, alangkah sia-sia lagi tidak bermanfaatnya segala penat lelah itu, jika setelah bertahun-tahun mengisinya, ternyata bekas itu masih juga tidak mahu penuh-penuh! Malah isinya semakin lama semakin berkurang, dan yang bertambah hanya habuk dan debu yang menyelaputi bekas yang semakin nazak kandungannya. Ah, ternyata rupa-rupanya bekas itu bocor! Air dan segala macam pengisian yang diisi menggunakan segala macam cara termasuk lelehan keringat rakyat, memancut-mancut keluar dari lubang-lubang kecil yang muncul dari segenap permukaan bekas. Ada lubang yang besar, yang kecil, dan itu belum lagi dikira kandungan bekas yang hilang keluar sebagai wap dari bekas setelah diasak panas mentari.

Maka di sini rakyat harus kembali bertanya pada diri sendiri, sudah sempurnakah bekas kemerdekaan kita sekarang ini?

Kemerdekaan hanya dikatakan sempurna bilamana ianya dinikmati semua kelompok rakyat, dan tiada rakyat yang merasai keadaan di bawah perhambaan sesama makhluk, sama ada rakyat itu sedar atau pun tidak.

Bukanlah dinamakan kemerdekaan yang sempurna, kalau perasaan bebas dan merdeka itu hanya dirasai segelintir masayarakat. Bagi sekelompok yang menikmati kemerdekaan itu, segalanya dirasakan bebas belaka, dan mereka berkuasa melakukan apa sahaja semahu-mahu mereka ke atas manusia-manusia lain. Sememangnya adat orang merdeka ke atas yang bukan merdeka. Seorang tuan memang berhak ke atas hamba-hambanya.

Sebelum itu, perlulah kita semua menyetujui bahawa yang dimaksudkan nikmat kebebasan bagi insan yang merdeka itu bukanlah ia bermaksud bebas dari segala kongkongan peraturan dan undang-undang. Peraturan dan undang-undang perlu untuk memastikan kebebasan dan kemerdekaan yang dimiliki itu terjaga, dan tidaklah sampai menganggu nikmat kebebasan orang lain. Dan peraturan terbaik untuk menjamin kemandirian kebebasan kita ialah undang-undang Allah yang menghantar kita ke muka bumi ini.

Kerana itu kita menentang, bilamana undang-undang selain yang diturunkan Allah digunapakai. Undang-undang seperti itu tidak dapat menjamin hak kebebasan seluruh umat manusia, sebaliknya ia hanya menjamin dan menjaga hak kebebasan bagi segelintir kelompok masyarakat. Sekelompok itu boleh jadi mereka yang berkepentingan dan mempunyi saham berjuta dalam harta dan khazanah manusia lainnya. Kerana itu bagi menjamin kelangsungan kemewahan yang dimiliki, maka undang-undang haruslah digubal.

Sosialis misalnya, walaupun ianya menekankan hak pengagihan harta kepada semua golongan, namun ianya turut menafikan hak pemilikan individu terhadap kemewahan hasil titik peluh sendiri. Bagi Kapitalisme pula,ianya terlalu menekankan hak pemilikan individu terhadap harta-harta dan segala sumber yang ada di muka bumi, sehingga menafikan hak manusia lainnya terutama yang hidup melarat, dan mereka bebas mengeksploitasi segala hasil kekayaan muka bumi untuk kepentingan puak mereka sahaja.

Bolehlah dikatakan di sini, bahawa inti kapitalisme dan sosialisme itu asalnya dari Islam. Namun, konsep keseimbangan antara pemilikan individu dan awam di dalam Islam telahpun dipecahkan kepada dua lalu menghasilkan kedua-dua ideologi yang disebut di atas. Ini sama seperti apa yang dikatakan Kalim Siddiqui, pengarah Muslim Institute for Research and Planning di London dalam satu kertas kerjanya pada tahun 80an (yang aku sendiri telahpun terlupa tarikh ianya diterbitkan, dan tajuknya seingat aku yang udah lupa ini ialah Nasionalisme Penghancur Gerakan Pembangkitan Ummat), bahawa di dalam Islam itu adanya Kapitalisme dan di dalam Islam itu pun adanya Sosialisme. Cuma apabila pertimbangan nafsu digunapakai di dalam menilai inti Islam itu, maka jadilah ia terpecah menjadi dua, dan tiada keseimbangan dalam apa yang diperjuangkan oleh kedua-dua ideologi anutan bangsa dunia sekarang ini.

Bilamana harta dunia dan kekayaannya hanya dimiliki oleh segelintir manusia sahaja, maka mereka sudah tentu mempunyai kuasa ke atas manusia lainnya yang terpaksa beragntung kepada mereka untuk mendapatkan sumber buat memenuhi keperluan asas kehidupan sehari-hari. Mereka terpaksa melutut, meminta-minta kepada kelompok yang punyai harta tadi. Jadi di situ sudah ada perhambaan kepada sesama manusia. Maka manusia yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makan ialah manusia yang tidak merdeka. Inilah apa yang aku maksudkan bahawa hanya segelintir pihak sahaja yang dapat merasai kemerdekaan. Hanya golongan minoriti yang kaya dan tauke yang merasa ‘merdeka’ dan boleh berbuat apa sahaja, sedang golongan majoriti yang ramai iatu pekerja menjadi hamba dan terpaksa bergantung pada mereka. Ini bukan kemerdekaan yang sepatutnya ada dalam sesebuah negara. Seperti yang aku katakan tadi, bukanlah namanya merdeka negara itu jika merdekanya hanya dirasai sekelompok masyarakat sahaja.

Jadi di situ hadirnya Islam. Seseorang individu boleh mengumpul kekayaan, namun ianya tidak boleh sampai menindas hak orang lain, dan harta yang mereka ada itu haruslah diagih-agih dan berpusing-pusing dalam masyarakat. Bukannya terkumpul dalam kalangan kelompok tertentu sahaja. Maka di situ Islam sudah menjamin hak individu dan hak awam. Harta dan hak milik awam tidak boleh diperdagangkan kemudian untungnya tidak kembali kepada masyarakat awam. Apabila harta dan sumber milik awam tidak dimiliki oleh hanya segelintir kelompok masyarakat, maka masyarakat dapat menikmatinya tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dalam buku berjudul ‘Globalization of Poverty and The New World Order’ tulisan Michael Chususdovsky yang memaparkan data-data dari IMF dan Bank Dunia bahawa 80% kekayaan dunia ini hanya tertumpu kepada segelintir golongan minoriti sahaja, sedangkan 20% bakinya lagi terpaksa dikongsi oleh majoriti warga dunia yang hidup melarat seperti di Afrika dan negara-negara miskin yang lain.

Aku berharap agar janganlah ada yang berhujah bahawa minoriti yang ada itu layak mendapat kekayaan dunia ini kerana mereka pandai dan rajin berusaha, manakala golongan majoriti yang miskin itu kerana mereka malas atau kerjanya memakan candu subsidi sahaja. Kalaulah ada yang berkata demikian, maka serupalah mereka itu seperti Hitler yang mengambil pemikiran Darwin bahawa hanya yang kuat sahaja yang layak hidup, atau lebih popular dengan ayat yang berbunyi, “Survival f the Fittest”. Sedarlah bahawa yang minoriti itu mengaut keuntungan melalui eksploitasi ke atas alam ini dan golongan majoriti yang hidup di dalamnya. Aku lantas teringat lirik lagu Internationale berbunyi, “In this world poisoned by exploitation, those who have taken now they must give!”.

Kalau kita hendak meminta kepada seseorang, maka kita perlu mengikut apa yang dikehendaki pihak terbabit. Jikalau tidak, masakan kita akan memperoleh apa yang dimahukan itu. Kita perlu mengikut telunjuk pihak pemilik harta, barrulah harta itu nanti akan kita dapat sedikit dalam bentuk gaji buat meneruskan kehidupan. Bila kita terpaksa mengikut perintah manusia hamba Tuhan ini, maka kita tidak bebas membuat keputusan mengikut kehendak kita. Jadi di situ kita sudah tidak merdeka. Perlulah kita sedar bahawa penjajahan corak baru zaman ini berlaku dalam keadaan demikian rupa. Ianya tidak ditulis atas kertas bahawa tanah atau negara tanah air kita berada di bawah naungan kuasa lain. Sebaliknya, kontrak penjajahan itu muncul dalam keadaan tidak bertulis dan tiada hitam putihnya. Sedar-sedar, kita sudah pun dijajah dan tidak lagi bebas. Penjajahan tidak lagi dilakukan oleh satu negara ke atas negara lain. Sebaliknya, penjajahan dilakukan oleh tauke-tauke pemilik syarikat-syarikat Multinasional yang memiliki modal besar dan melalui perjanjian yang dibuat dengan pihak-pihak pemerintah dalam bentuk penswastaan, Free Trade Agreement (FTA) dan pelbagai lagi ubat tajaan IMF, maka mereka dibolehkan untuk datang ke negara kita serta negara dunia ke 3 yang lain, dan mengeksploitasi segala sumber yang ada, terutamanya sumber tenaga pekerja.

Tenaga pekerja ini pula akan diperah habis-habis keringat mereka, macam mesin yang tidak henti-henti disuruh bekerja. Mereka telah diprogramkan untuk menjadi hamba kepada pekerjaan mereka. Mesin akan bekerja terus-terusan, dan tidak akan membantah atau komplen yang bukan-bukan. Tahu-tahu sahaja, ianya sudahpun rosak. Begitulah rupanya pekerja pada zaman ini. Tambah memburukkan lagi keadaan bilamana tiada akta atau ketetapan mengenai gaji minimum. Bila tiada peraturan yang menetapkan sedemikian, maka pihak syarikat bebas hendak menetapkan jumlah gaji yang perlu dibayar.

Syarikat ditubuhkan untuk mencari untung semaksima yang mungkin. Tanggungjawab sosial tiada dalam kamus gerak kerja mereka. Rukun iman dan syahadah mereka berkiblatkan keuntungan. Maka, untuk untung maksima, maka gaji untuk pekerja perlulah rendah dan tidak setimpal dengan apa yang mereka telah laburkan melalui bentuk tenaga dan peluh keringat. Pekerja tempatan tiada pilihan melainkan terpaksa menerima sahaja gaji yang rendah itu. Kalau mereka tidak mahukan gaji seperti itu, maka syarikat tidak rugi apa-apa. Mereka boleh mencari tenaga pekerja asing yang sudi menerima apa sahja bayaran, walaupun rendah.

Inilah sebenarnya antara punca lambakan tenaga pekerja asing yang terlalu banyak di negara kita ini. Ketiadaan dasar gaji minima ini dilihat lebih menguntungkan kantung kaum kapitalis. Apapun, barangkali lambakan tenaga asing ini sengaja diadakan supaya mereka ini nanti boleh diberi kad pengenalan supaya boleh mengundi dalam pilihanraya, seperti apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini, dan kes-kes seumpama ini di beberapa negeri khususnya yang ditadbir puak yang satu lagi itu, yang fakta mengenainya sengaja digelapkan dari pengetahuan umum oleh media apparatus pemerintah

Sesunggunya warga perlu disedarkan bahawa mereka tidak lagi dan belum lagi mendapatkan kemerdekaan. Tak perlulah sibuk-sibuk berbicara dan berkhutbah sana sini bagaimana hendak mengisi kemerdekaan. Merdeka yang ada sekarang ini belum cukup sempurna, bagaimana hendak diisi?

Hak-hak asasi dan kebebasan bersuara masyarakat awam seperti yang terkandung dalam sistem demokrasi, diinjak-injak dan dinafikan. Terutamanya golongan mahasiswa yang dijerut dan dipasong seluruh pancainderanya oleh AUKU, menyebabkan mereka jadi satu golongan yang lembap dan tidak agresif dalam memimpin masyarakat khususnya golongan termiskin. Jauh sekali untuk mencontohi gerakan mahasiswa tahun 70an yang sangat kedepan dalam membela nasb masyarakat, sepertimana yang tercetus melalui demonstrasi Baling 40 tahun lepas. Mahasiswa didoktrinkan bahawa tugasnya hanya belajar, kemudian lulus peperiksaan, kemudian dengan kelulusan yang ada, pergi mencari kerja, yang sekarang ini entah kan ada entahkan tidak. Lihatlah bagaimana di pusat-pusat pengajian pun gerakan mengprogramkan manusia telah pun dilakukan. Maka tujuan hidup mereka pun secara sendirinya telah berjaya diprogram dan ditetapkan oleh pihak lain. Lihatlah, sampaikan hendak menentukan tujuan hidup pun kita tidak bebas untuk berfikir sebaliknya ia telah siap ditentukan oleh golongan elit pemerintah New World Order . Masih mahu kata kita sudah merdeka?

Tulisan ini bolehlah disebar-sebarkan untuk kebaikan. Tiada hak cipta dikenakan.



No comments:

Post a Comment