Thursday, November 10, 2011

Mari Mengacau!





“When I give food to the poor, I am called a saint. But when I asked why they are poor, then they called me a troublemaker”

Kata-kata ini diucapkan Dom Helder Camara, seorang arcbishop dari Brazil, penulis buku Spiral Of Violant, dan pengasas Banco da Provi’dencia, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang miskin dan menentang ketidakadilan sosial.

Ianya sangat membawa makna, kerana pada ungkapan itu adanya kritikan terhadapa bagaimana cara masyarakat kita menyelesaikan permasalahan kemiskinan, dan dalam masa yang sama turut menyelar mentaliti pengecut masyarakat dalam mendepani isu ini.

Kita memandang mulia kepada orang yang memberi makan kepada para fakir miskin.  Mereka dermawan dan pemurah.

Kita marah dan memandang keji pula pada orang yang memerjuangkan nasib golongan ini. Kita kata mereka pengacau, tidak reti bersyukur atas keamanan negara, dan bermacam lagi kata kita lemparkan.

Memberi dan memberi sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan pokok yang menyebabkan kemiskinan. Permasalahan akarnya yang harus kita selesaikan.



The Myth Of The Lazy Poor

Baru-baru ini, ada yang tampil berhujah mengatakan,, “Pokok kemiskinan mereka ialah kerana mereka malas mahu mengubah diri sendiri. Kearjaan sudah menyediakan bla bla bla belanjawan blab la bla usahawan bla bla bla pakej rangsangan bla bla bla hand bag Birkin dan seterusnya..”

Benarkah mereka tidak mahu berubah? Atau sebenarnya ada rantai pengikat yang menjerut leher dan segala sendi mereka dari bergerak meninggalkan daerah kepapaan yang menderitakan itu?

Mari turun ke dunia realiti. Tinggalkan sebentar segala penguguman, kempen kempen besar, dan ‘feel good news’ yang dibawa oleh media massa. Kerana kemiskinan yang berlaku merupakan masalah yang tidak seharusnya kita letakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu para fakir.

Saya serba salah untuk memandang orang yang beranggapan sepeerti itu. Akan tetapi, kenyataanya ialah, pendapat mereka itu saling tidak tumpah seperti apa yang Adolf Hitler, Darwin, Herbet Spencer, dan beberapa filusuf songsang barat lain lakukan, dimana mereka cuba memberikan rasional kezaliman ke atas golongan miskin sebagai sesuatu yang perlu. Agak kasar untuk menyamakan pendapat mereka dengan pendapat sebahagian dari kita, akan tetapi realitinya ialah begitu.

Mereka berpendapat bahawa keberadaan golongan miskin, susah dan tidak berupaya merupakan manifestasi dari kewujudan kita yang dianggap bermula dari binatang. Kehidupan binatang ialah ‘survival of the fittest’. Hanya yang kuat akan terus hidup. Bermakna sesiapa yang tinggal selepas apa-apa peperangan, atau bencana alam dan sebagainya adalah individu yang cukup kuat untuk hidup, dan telah pun dipilih melalui ‘natural selection’. Darwin memberi rasional teori itu dari segi sains. Spencer merasionalkannya dari sisi sosial. Manakala Hitler scuba merealisasikannya melalui Perang Dunia ke 2. Rujuk ‘Western Civilization Condemned by Itself: Maryam Jameelah’.

Sikap kita yang menyalahkan golongan miskin kerana miskin seolah-olah merestui apa yang diteorikan oleh nama nama yang disebut di atas. Menyalahkan mereka adalah seperti merestui pendapat  bahawa mereka lemah disebabkan mereka ‘layak’ untuk lemah, maka seharusnya mereka menerima nasib kerana mereka ‘layak’ untuk menjadi miskin.

Mereka tidak cukup 'fit' untuk hidup dalam dunia yang harga barangnya semakin naik ini. Tak cukup kuat untuk 'survive' dalam dunia ini. Mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri. Padan muka kerana malas. Duduklah di situ dalam gebuk kemiskinan sambil menghidu habuk kepapaan. Semuanya kerana kamu malas berusaha sedangkan kerajaan sudah memberi bermacam-macam insentif!

Pendapat semacam ini turut sama dikongsi oleh para imperialis penjajah suatu ketika dahulu.  Syed Hussein Al Attas dalam bukunya ‘The Myth Of the Lazy Native’, telah menyelar pendapat yang semacam ini dari orientalis yang cuba merasionalkan tindakan mereka menjajah tanah kita.

Iya, kita tidak nafikan ada sebenarnya mereka yang berperangai pemalas, maka kerana itu mereka miskin.

Namun majoriti daripada mereka yang terpenjara dalam kemiskinan ialah mereka yang bekerja!

Majoriti yang miskin bukanlah yang duduk-duduk di rumah sambil makan angin.

Si miskin itu ialah petani yang berpanas berhujan membanting tulang dari pagi sampai ke petang di sawah ladang, untuk hanya kemudiannya terus kekal papa dikala yang kaya ialah para peraih dan orang tengah!

Si miskin itu ialah nelayan yang berhempas pulas melawan ombak di lautan, untuk hanya melihatkan hasil tangkapan sudah semakin berkurangan kerana penggunaan pukat tunda oleh cukong-cukong yang kebal  undang-undang!

 Si miskin itu ialah seorang bapa di kota yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja, sanggup ambil ‘overtime’ untuk wang tambahan, yang kemudiannya dibayar tidak setimpal dengan titik peluh usahanya, kerana tiadanya akta gaji minima! Bising lebih-lebih, orang asing ramai sahaja yang boleh gantikan tempatnya dengan gaji yang lebih murah, bersekali dengan kelebihan warganegara untuk mengundi.

Mereka semua ini bukan pemalas! Mereka dipaksa dan diasak untuk berhimpun di sudut kemiskinan. Leher mereka dijerut, tercekik mereka tidak mampu bersuara. Tangan dan kaki serta segala sendi dipasung dengan pelbagai akta yang tidak menguntungkan golongan yang berhempas pulas, tetapi menguntungkan bos-bos besar yang kerjanya tidak seberapa.

Tolonglah, mari kita berpijak pada realiti. Mereka ini bukan lagi bekerja untuk hidup aman makmur. Mereka ini sudah berada pada tahap terpaksa berjuang hanya untuk hidup. Teringat saya akan lagu tema filem ‘Seniman Jalanan’,

 Susah senang di kuala lumpur...
Dosa dan pahala bercampur.. 
Tapi kita perlu hidup..Kita perlu terus hidup..

Saya kira untuk kita lebih memahami keadaan dan situasi sebenar, sebuah buku tulisan Sasterawan rakyat yang baru pulang ke rahmatullah ramadhan lalu,  Allahyarham Azizi Hj Abdullah, bertajuk ‘Mustadh’ifin Yang Tertindas’, adalah buku yang baik untuk kita telaah.


Kacau dan Mengacau

Setelah kita fahami tentang situasi kemiskinan yang melanda, maka wajib kita menyelesaikan akar sebenar kepada masalah ini.

Menderma memang baik. Akan tetapi sampai bila?

Seperti yang dikatakan oleh Helder Camara tadi, masyarakat kita sering sahaja memandang serong kepada orang yang berjuang untuk menentang kemiskinan ini dari dasarnya.

Saya memandang ini berlaku kerana percubaan para revolusioner untuk mengubah sistem yang menzalimi orang miskin yang teraniaya ini telah secara tidak langsung  menggugat zon keselesaan mereka yang marah dan menentang ini.

Kenapa saya berkata begitu? Mari saya berikan contoh situasi yang berlaku.

Kita tidak marah malah suka pada mereka yang hanya menderma kerana tindakan mereka itu tidak menyusahkan kita.

Kita akan marah pada mereka yang menentang kemisikinan secara berdepan dengan punca sebenarnya kerana kita merasakan yang ianya akan mencetuskan huru hara. Akan ada FRU, water cannon, demo dan sebagainya.

Sudah tentu ia akan mencetuskan huru hara, kerana sikap berhadapan dengan punca sebenar kepada permasalahan ini iatu sistem yang rosak, akan mempertemukan kita dengan pengawal kepada sistem tersebut.

Siapa pengawalanya? Sudah tentu mereka yang berkuasa membuat dasar / para penguasa / mustakbirin.

Pembuat dasar ini punyai hubungan rapat dengan orang tengah pengaut untung petani. Para penguasa ini tidur sebantal dengan  para cukong yang mempunyai syarikat perikanan secara pukat tunda.Mustakbirin ini bercumbuan dengan syarikat-syarikat besar yang menganiaya pekerja mereka sendiri.

Mereka akan menjaga dan mengawal kepentingan orang-orang yang disebutkan di atas itu tadi. Bagaimana caranya? Ialah dengan membuat dasar-dasar yang menguntungkan para pemodal dan pemilik yang tamak itu tadi. Sebagai balasannya, akan ada modal untuk kempen bagi pemilihan penggal akan datang. Ini ialah satu rantaian pergantungan ekonomi yang merugikan majoriti manusia lain kerana hanya menguntungkan minoriti pemilik harta kekayaan. Rantaian ini akan mewujudkan apa yang dikatakan sebagai 'pengkelasan luar sedar'.(Baca artikel tulisan saya dahulu : Pengkelasan Luar  Sedar 1 dan Pengkelasan Luar Sedar 2).

Segala pertentangan dengan penguasa sudah tentu akan mencetuskan huru hara. Huru hara bukannya datang dari pihak penentang, sebaliknya ia sengaja ditelurkan dan ditetaskan  oleh pihak penguasa. Caranya dengan menggunakan media untuk membuat heboh dan propaganda. Gunakan segala jalan yang ada untuk mencetuskan keadaan kacau bilau dan sebagainya.

Apa yang dikesali ialah sikap pengecut kita yang takut hendak bersusah sebentar untuk perjuangan. Setiap penentangan terhadap kezaliman sememangnya akan mencetuskan keadaan susah, huru hara, dan berbagai mehnah yang lain. Itu ialah sunnatullah perjuangan. Tiada perjuangan yang kita akan menang dengan hanya jalan lenggang lenggang kangkong. Pergaduhan memang akan berlaku. Perpecahan memang akan berlaku. Perseteruan memang akan berlaku.

Dakwah  Nabi Muhammad mencetuskan perpecahan. Dakwah Nabi Muhammad mencetuskan pertumpahan darah. Dakwah Nabi Muhammad mencetuskan permusuhan sesama sebangsa Arab.

Tetapi untuk apa semua itu?

Semuanya untuk membebaskan bangsa Arab dari belenggu kezaliman sesama manusia yang sedang mencengkan mereka waktu itu. (Baca artikel Mari Berpecah ).

Pendek kata, huru hara dan sedikit kesusahan itu perlu untuk pembebasan mutlak. Mereka-mereka yang tamak dan selama ini mengumpul harta kekayaan dengan cara menindas, tidak akan semudah itu melepaskan apa yang menjadi amalan mereka sejak berkurun lama. Tidak mungkin segala kenikmatan memperoleh harta dengan jalan mudah dan eksploitasi itu akan ditinggalkan dengan cara diplomasi, memorandum dan marah-marah manja.  Jangan mimpi mereka akan menurut sahaja permintaan kaum yang tertindas.

Kalau kita hendak terus hidup selesa, terus lena dalam utopia negara aman dan sebagainya, kita boleh terus lakukan. Akan tetapi, hanya mereka yang buta sahaja yang tidak dapat melihat akan kerosakan yang semakin menjadi-jadi di dalam negara ini. Bagi saya insan-insan seperti ini ialah mereka yang tertipu dengan khayalan sendiri.

Seperti yang saya katakan dahulu, orang-orang seperti ini mungkin hanya akan tersedar bila negara ini sudah terjual, bila hendak mendapatkan sepinggan nasi RM 4 pun susah, maka waktu itu baru akan terjaga. Sekarang ini, mungkin mereka belum merasa lagi bagaimana agaknya menjadi mangsa sistem. ATAUPUN, mereka telahpun menjadi mangsa, namun, mereka khayal dan mabuk dengan pil kemajuan yang datang dalam bentuk bangunan tinggi, litar lumba, dan berbagai lagi kemajuan keduniaan yang mereka lihat.

Adalah menjadi tanggungjawab kita, golongan mahasiswa untuk menyedarkan mereka dari khayalan ini. Akan tetapi, adalah menyedihkan sekali bila melihat akan kelesuan mahasiswa. Kalau dahulu mahasiswa gencar memperjuangkan nasib masyarakat, tetapi sekarang, hendak memperjuangkan nasib mahasiswa sendiri pun, kita sudah tidak mampu.

-Artikel ini boleh dikongsi untuk kita ramai-ramai bekerjasama mengacau. Selamat mengacau! -


No comments:

Post a Comment