Wednesday, October 19, 2011

Pengkelasan Luar Sedar 2


Kalaulah dilihat pada suasana sekeliling kita, dapatlah kita ketemu dengan jelas bukti-bukti yang menunjukkan adanya kewujudan kasta yang menyusun masyarakat. 

Dalam masyarakat yang mengamalkan kasta, kasta yang di bawah akan sentiasa di kawal oleh lapisan kasta yang di atas. Jadi sering kali hak yang di bawah tertindas semata-mata untuk menjaga kepentingan hak yang di atas.

Akan tetapi, kebanyakan kita tidak menyedarinya dan masih lagi berbangga mengatakan yang setiap rakyat yang hidup di negara ini mempunyai hak yang sama rata.

Apabila ditanyakan apakah yang menyebabkan mereka gembira mengatakan yang mereka punyai hak yang sama sahaja antara setiap rakyat, maka jawapan mereka ialah kerana negara ini mengamalkan demokrasi, dan dalam demokrasi, suara setiap rakyat adalah suara yang menetukan arah tuju negara.

Melalui cara apa rakyat dapat mengemudi negara?

Dengan peti undi, kata Pak Jali yang duduk di ceruk Felda Kota Tinggi sambil minum teh o kosong (kerana gula naik harga) di warung. Gembiranya dia kerana merasakan yang dia sangat bertuah dapat hidup dalam negara yang memberikan peluang untuk rakyat menentukan hala tuju negara.

Persoalannya, benarkah begitu? Ataupun hakikat sebenarnya ialah kita, rakyat biasa, tidak berpeluang dalam menentukan hala tuju negara, hatta hala tuju kita sendiri?

Sebenarnya tiada lain melainkan hanya golongan tertentu sahaja, yang kita boleh katakan berada dalam kasta atasan, iatu golongan minoriti yang memiliki majoriti harta. Mereka inilah sebenarnya yang menetukan hala tuju negara mengikut kemudi ketamakan mereka. Mereka ini yang mnegawal segala sumber-sumber yang ada.

Sehinggalah sampai ke satu tahap di mana dalam pengagihan keperluan asas seperti makann dan sebagainya tidak dibahagikan mengikut keperluan, akan tetapi mengikut kemampuan.

Inilah kesilapan sistem pengagihan yang berlaku sekarang ini, yang menyebabkan adanya golongan yang mampu sahaja yang memperoleh keperluan-keperluan tersebut, walaupun hakikatnya mereka sudah memiliki lebih dari yang mencukupi.

Maka jadilah golongan yang memerlukan, tetapi tidak mampu, terpaksa bergantung kepada golongan-golongan yang tidak memerlukan tetapi mampu ini. Dari situ wujudnya kasta.

Bilamana adanya pergantungan satu hala kepada pihak lain, maka di situ sudah wujudnya pengkastaan, dan kehilangan hak untuk menetukan hala tuju sendiri. Pada hakikatnya, ia sebenarnya bukanlah pergantungan satu hala, kerana mereka yang di atas sangat-sangat memerlukan lapisan bawah untuk menyokong mereka, kalau tidak mereka akan rebah macam Penjara Pudu. Akan tetapi ianya menjadi satu hala apabila golongan bawah tidak menyedari bahawa golongan atasan, Mustakbirin, turut bergantung pada mereka.

Tiada nya semangat keberanian untuk berjuang dan bersatu, menyebabkan mereka berjaya dijinak dan dimandulkan seterusnya akan terus menerus duduk di bawah pengkastaan luar sedar ini dari generasi ke generasi.

Menjadilah mereka generator yang dieksploit habis-habisan tenaga mereka untuk menerangi golongan-golongan di atas, sedang mereka sendiri semakin lama lebur berada di bawah.

Apa yang ingin saya bawakan ini hanyalah sekadar satu perbincangan untuk para pembaca melihat kembali ke dalam salah satu punca yang menyebabkan berlakunya bermacam-macam masalah kepada kehidupan masyarakat mutakhir ini. Kalau pada zaman feudal, agama telah digunakan untuk mengkelaskan masyarakat, maka pada zaman ini, materialistik telah menjadi tunjang kepada pengkelasan yang berlaku. Cumanya, tiang materialistik itu disalut dan dicat dengan tiang agama (yang disalahtafsir), untuk merasionalkan tindakan zalim mustakbirin ke atas mustadh'ifin.

Kalau masyarakat tidak dapat disedarkan tentang apa yang berlaku, maka jurang perbezaan ini akan bertambah besar, dan lama kelamaan kita akan menjadi hamba yang total kepada kelompok-kelompok bernafsu besar yang suka mengeksploit manusia lain untuk kemakmuran diri sendiri. Sekarang ini pun negara kita adalah antara negara yang mempunyai jurang kaya dan miskin yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengkastaan ini harus dihentikan segera. Anak-anak muda yang fikiran dan fikrah mereka masih suci dan berani, harus menghancur leburkan susun lapis ala zaman feudal ini, supaya manusia tidak lagi menjadi hamba kepada sesama manusia.

 Mereka harus membawa budaya baru iatu budaya 'Hidup Sekadar Cukup'. Dengan mewujudkan budaya baru ini, maka pengkelasan akan terhapus kerana adanya pengagihan sumber yang adil, yang saya katakan tadi, dan ingin saya ulangi, iatu sumber diagihkan mengikut keperluan, bukan kemampuan.

Akan tetapi, kita lihat bagaimana ramai anak muda telah dipengaruhi, terutamanya oleh media. Penonjolan hidup yang berprestij dan konon romantik, macho, serta stylo yang mahal-mahal, menyebabkan mereka ini menjadi 'pelombong-pelombong' dan pengutip biji-biji kemewahan yang berterabur. Mata mereka bulat pada kilat kereta mahal, dan hati mereka dup dap dup dap pada majlis-majlis parti besar-besaran. Itulah yang mereka kejar dan itulah yang menjadi matlamat hidup mereka. Maka mereka secara tidak langsung telah ditelan sama dalam sistem busuk dan bobrok ini. Jadi, mereformasikan media juga harus dilakukan untuk mengubah persepsi anak muda terhadap hidup ini seterusnya membentuk fikiran mereka untuk 'Hidup Sekadar Cukup'.

No comments:

Post a Comment