Friday, October 21, 2011

Angkat Rasul Baru


“Apa yang saya katakan ini kebenaran! Tidak ada sebab ianya perlu ditarik balik! Benar tetap benar!” suara lelaki itu bergema di segenap penjuru ruang bilik mesyuarat itu. Matanya yang merah menyala saat lontaran kata-kata itu dibuat mengukuhkan lagi ketegasannya.

Prof Bara benar-benar merasa keceewa dengan apa yang berlaku. Terasa seolah-olah kebebasan yang dijanjikan untuk setiap hamba oleh Tuhan, diragut dan ingin dirampas darinya oleh hamba yang seperti dia juga. Apa hak mereka?

“Kamu pembohong dan penghasut! Mana kebenaran apa yang kamu katakan? Tuduhan yang kamu lontarkan ini terlalu berat, lebih-lebih lagi ke atas saudara semuslim kamu sendiri!” Dr Zainah Ling membalas, dengan suara separuh menjerit. Baginya api perbincangan yang sudah mulai marak itu tidak boleh disurutkan. Seharusnya ia dibiarkan terus marak, supaya lelaki di depannya itu akan terbakar dengan panas hujahannya dan akan mengalah.

“Sekarang ini kamu pilih. Kamu hendak tarik balik atau kamu akan terima akibatnya. Ingat, kami yang membayar gaji kamu!” celah Prof Rosmah. Bunyi nada ayatnya sangat angkuh. Sengaja dibuat suara sedikit sinis, dengan harapan Prof Bara akan sedar kedudukan sebenarnya dan siapakah yang sedang dia cuba tentang sekarang ini. Prof Rosmah sendiri kalau boleh mahu perbincangan ini tamat dengan cepat, kerana badannya sudah mula gartal-gatal dengan peluhnya sendiri. Pendingin hawa bilik mesyuarat nampaknya gagal mendinginkan jiwanya yang panas dengan bahang keangkuhan.

Di luar, keadaan sudah mulai panas sama. Kedengaran bunyi teriakkan anak-anak muda. Sesekali kedengaran jeritan dari pembesar suara, yang kemudiannya disambut dengan laungan secara beramai-ramai. Hiruk pikuk dengan suara-suara penuh marah dan kecewa. Jiwa muda mereka benar-benar sedang dibakar atas peristiwa yang telah berlaku. Bagi mereka, apa lagi yang tinggal untuk mereka, generasi muda, untuk mengembangkan minda dan fikiran, jikalau sumber ilmu itu sendiri sudah dcemari dengan nafsu dan perangai suka membodek.

Prof Bara menjeling dari ruang langsir berjalur yang terbuka. Dia dapat mendengar suara-suara teriakan dan protes dari bawah, namun tidak dapat dia lihat berapa ramaikah yang sedang berhimpun di bawah sana. Cuma kadang-kadang jelingannya disambut dengan sepanduk-sepanduk dan banner yang diangkat ke atas oleh para pemuda itu.

“Kalau aku masih muda..” keluh Prof Bara sebentar.

“Kamu dengar atau tidak apa yang saya katakan tadi? Sekarang buat pilihan!” sekali lagi Prof Rosmah menekan Prof Bara. Dia mulai rasa menyampah melihat wajah professor itu yang kelihatan seperti mengelamun dan malas hendak ambil pusing terhadap apa yang sedang dia hadapi sekarang ini. Seolah-seolah dia sengaja mahu menghina mereka berdua sambil mimik wajahnya seperti mengatakan, “Buatlah apa yang kamu mahu. Aku tidak takut!”.

“Benar tetap benar. Kesesatan yang kamu lakukan sudah terbukti. Kamu sudah lari dari ajaran agama kita ini. Kamu sudah mengangkat Rasul baru! Kamu mengerti? Kerana itu saya tidak akan menarik balik kenyataan saya. Saya tidak sanggup bersekongkol dengan pembodek seperti kamu berdua!” sinis Prof Bara membalas.

Iya. Dia sudah tua. Mungkin sudah tidak sekuat anak-anak muda di bawah itu. Dia tua, namun apa yang diajarnya itulah yang sering menaikkan semangat anak-anak muda. Adil dalam berilmu. Dia tidak pernah gentar. Walaupun dia tidak menentang secara berhadapan seperti yang dilakukan budak-budak itu, namun tulisan dan pendapatnya itu jauh lebih kuat dari jeritan protes dengan pembesar suara para demonstran.

Kerana itu lah sekarang ini dia berada di bilik mesyuarat itu, berhadapan dengan dua orang bekas rakan sejawatnya. Dua orang bekas rakan sejawat yang telah dinaikkan pangkat menjadi pentadbir. Prof Bara kenal benar mereka berdua, dan dia tahu sangat atas kriteria apa kedua-dua mereka dapat dinaikkan pangkat. Kerana itu kadang kala Prof Bara hanya senyum sinis bila melihatkan kedua orang bekas temannya itu kelihatan bangga berjalan ke pejabat masing-masing setiap pagi. Yang satu masuk ke pejabt Ketua Reaktor. Yang satu lagi ke pejabat pembantu ketua Reaktor. Nampak benar kesombongan dan angkuh, padahal di dalamnya kosong. Mereka umpama pokok-pokok yang tidak bermanfaat. Paling-paling pun manfaat mereka ialah menjadi kang kung untuk di makan oleh lembu-lembu.

“Dusta! Tahukah kamu betapa besarnya fitnah yang kamu bawakan ini? Tidak mungkin kami akan mengakui adanya lagi Rasul selepas Muhammad SAW. Hei, kami ini sarjana tahu! Kalau tidak masakan kami sekarang ini punyai jawatan seperti ini, di universiti islam pula! Tuduhan kamu ini fitnah yang besar. Tidak sepatutnya bagi seorang professor beragama Islam seperti kamu!” Dr Zainah Ling yang tadinya diam sekejap, kembali menyambung serangannya terhadap rakannya itu.

Dr Zainah Ling sendiri hairan bagaimana sahabatnya itu sampai sanggup menuduh dia dan ketuanya itu dengan tuduhan yang berat. Kenyataan berani Prof Bara yang disiarkan melalui media alternatif itu menyebabkan martabat universiti tempat dia menjadi pentadbir itu tercalar. Lebih-lebih lagi di sebuah universiti berlabel Islam seperti Universiti Islam Internasional (UII)  itu.

“KETUA UII ANGKAT RASUL BARU”. Begitulah bunyi kenyataan Prof Bara yang baru-baru ini disiarkan di laman media alternatif. Disebabkan ramai anak muda yang tidak lagi ambil peduli dengan media yang menjadi kuda tunggangan pemerintah dan lebih berminat membaca media alternatif, maka berita itu cepat sahaja tersebar di kalangan anak muda. Kerana itu mereka berhimpun menuntut penjelasan dari pihak pentadbiran universiti atas kenyataan itu. Mereka mempercayai benar apa yang dikatakan Prof Bara kerana dia seorang tokoh akademik ulung, yang dikenali tidak akan memberi hujah melainkan berdasarkan fakta dan bukan bermotifkan politik maupun membodek mana-mana pihak.

Berbeza pula situasinya di kalangan orang-orang tua di warung-warung kampung, di mana berita yang mereka peroleh dari media arus semasa pula berbunyi, “PROF BARA DERHAKA PADA PEMIMPIN”. Kerana itu bertimbun laporan polis telah dibuat ke atas Prof Bara oleh warga-warga tua jahil yang berfikiran seolah-olah di zaman feudal. Jahil dan bertaklid buta telah sebati menjadi amalan mereka sehinggakan dengan mudah mereka tidak mahu meneliti dengan betul-betul apa yang didakwakan oleh Prof Bara itu.

“Saya mengatakan ini dengan hujah. Saya bukan sengaja-sengaja mahu tuduh. Kenyataanya ialah kalian sekarang ini sudah mengangkat Rasul baharu. Itu sesat dan menyalahi akidah. Mana ada Rasul selepas Muhammad SAW?” Prof Bara menjawab dengan tenang dan lancar. Matanya memandang dua pasang mata yang sedang duduk dalam keadaan marah di hadapannya.

“Bila kami mengatakan demikian? Di mana? Kamu ada buktinya? Sudahlah kamu ini menderhaka pada pemimpin. Sekarang ini kamu buat tuduhan fitnah semacam ini pula kepada kami? Ini memalukan nama Universiti, tahu! Kamu boleh didakwa atas tuduhan  ‘memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti’, kamu mengerti?”

“Kepentingan universiti atau kepentingan kamu?” pantas tiba-tiba Prof Bara menjawab.

“Sememangnya kamu telah mengangkat Rasul baru. Kamu menentang dan membantah apa yang saya katakan dahulu. Saya katakan yang walaupun seorang pemimpin itu mempunyai kuasa, dan sememangnya punyai kebebasan dari segi perlembagaan untuk mengeluarkan perintah, namun setiap perintah itu haruslah mengikut lunas Islam. Wajib berlaku adil. Salahkan saya mengatakan demikian? Salahkah saya menegur sedemikan? Sejak bila pula manusia bernama pemimpin tidak boleh ditegur? Rasul kita Muhammad SAW pun kadang kala menerima teguran dari sahabat-sahabat.”

“Terus sahaja kamu semua katakan saya ini penderhaka kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kerana itu saya mengatakan yang kamu sudah melantik dan mengangkat Rasul baharu, kerana kamu beranggapan yang pemimpin tidak boleh ditegur. Masyarakat Melayu bukan bodoh untuk ditakutkan dengan tulah, keramat dan racauan-racauan serupa itu. Ini bukan zaman feudal. Kalau Nabi boleh menerima teguran, pemimpin kita yang merupakan manusia biasa kamu katakan tidak boleh ditegur. Siapa menegur kamu panggil penderhaka. Tidakkah itu seperti mengangkat Rasul baru yang lebih mulia kedudukannya dari Muhammad SAW sehingga tidak boleh ditegur sama sekali?”

“ Kamu memang diberi kuasa di dunia ini untuk berbuat semahu kamu ke atas orang bawahan yang tidak berkuasa seperti saya. Saya rela digantung tugas!” tegas Prof Bara berhujah.
Sambil berdiri dari tempat duduknya, dia memandang tajam ke arah dua orang manusia di hadapannya itu, kemudian berkata,

“Kita lihat adakah saya akan terkena sumpahan dan tulah atas apa yang saya katakan dahulu. Seingat saya sahabat-sahabat Nabi tidak ada seorang pun yang terkena sumpahan dan tulah daripada Nabi,”

“Dan di akhirat nanti kita sama-sama lihat adakah ‘Rasul’ baru kamu itu boleh memberikan syafaat kepada kamu!”

Prof Bara berlalu pergi, sedang Prof Rosmah dan Dr Zailah Ling terkulat-kulat dalam keadaan terkejut menerima hujahan tegas bekas rakan mereka itu.

Matahari semakin menegak. Demonstrasi di luar terus hangat. Prof Bara telah turun menyertai gelombak gelegak anti kang kong!


1 comment: