Sunday, November 6, 2011

"Ini Hanyalah Politik.."kataku dengan macho.




Membaca temuramah dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengukuhkan lagi apa yang selama ini menjadi perhatian saya. Malah, apa yang saya perhatikan itu bukanlah sekadar saya memerhatikan sahaja, tetapi acap kali saya cuuba membawa isu ini kepada teman-teman sekuliah dan sahabat-sahabat yang lain untuk sama-sama difikirkan.

Beliau dipetik sebagai berkata:

"Dia (orang muda) menjadi putus asa dengan politik dan ini malang kepada masa hadapan negara kalau orang muda sudah menolak politik. Maka kita tidak mahu terjadi yang mengundi dalam pilihanraya itu adalah minoriti," katanya.

"(Bagi mereka) majoriti orang politik sama sahaja. Mereka kata orang politik ini suka cakap sahaja tetapi tidak buat dan selepas itu begitu begini dan sebagainya.

"Jadi bila saya tanya sudah daftar sebagai pemilih? Saya tidak mahu daftar (jawap mereka); ditanya lagi kenapa? Mereka menjawab saya tidak mahu mengundi. Buat apa undi, mereka kata,  tidak jadi apa pun. Jadi ini yang saya katakan "sinis" atau skeptik terhadap politik," kata Saifuddin.

Sinis Terhadap Politik

Saya cuba melihat dan memperbincnagkan isu ini dengan lebih serius, kerana ianya semakin lama semakin tampak parah lebih-lebih lagi ianya melibatkan masa depan negara.

Majoriti anak muda sememangnya berfikiran dan mempunyai pendapat yang sebegitu.

Maka eloklah kita selidiki kembali apakah yang menyebabkan terjadinya semacam itu. Mari kita lihat apa sebenarnya yang membentuk mereka sehingga bersikap begitu skeptik dan sinis kepada dunia politik.

Saya bersetuju bila Datuk Saifuddin mengatakan ketiadaan integrity dalam berpolitik menyebabkan timbulnya pemikiran yang seperti itu. Hal ketiadaan integrity ini tidaklain dan tidak bukan bilamana segolongan mereka yang berperang dan menjadi haiwan di dalam rimba politik itu memandang politik dengan pandangan yang salah.

Mereka mungkin tidak mengenali Machiavelli atau pernah membaca kitab syaitan The Prince itu (mungkin mereka Cuma pernah mendengar tentangnya sewaktu belajar sejarah di sekolah menengah dahulu), akan tetapi mereka telah secara tidak sedar menjadikan isi kandungan tulisan itu sebagai wahyu bagi mereka, dan Machiavelli diangkat sebagai nabi mereka tanpa mereka sedari.

Kelompok ini ialah kelompok yang mengeja perkataan ‘politik’ dengan awalan huruf ‘K’, iaitulah  ‘kuasa’.
Tidak terlintas langsung bahawa politik mereka untuk kesejahteraan umat. Perkataan ikhlas tidak pernah menjengah jendela hati mereka yang mengeras macam batu itu. Itulah bahananya kalau sewaktu muda tidak pernah terdedah dengan dunia tarbiyyah, ataupun usrah. Maka, bagaimana hendak mereka memahami perkara kedua dalam Arkanul Baiah iatu ikhlas?

Orang-orang seperti ini, dalam mereka merebut kuasa dalam dunia politik, akan melabur segala apa yang mereka ada, termasuk agama, persaudaraan, dan apa-apa lagi yang boleh mereka laburkan. Kalau perlu melabur sampai ke haji pun mereka sanggup.

Setelah berjaya dalam pelaburan mereka itu, iatu selepas menang dan mendapat jawatan ataupun kuasa yang dididam-idamkan itu, maka sudah tentu mereka akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk mendapat keuntungan bagi menampung kembali pelaburan yang dibuat.

Dengan kuasa, maka akan datang kewajipan. Akan tetapi mereka tidak mahu menanggung kewajipan itu. Buat apa melabur susah payah hanya sekadar untuk kemudiannya dibebankan dengan kewajipan? Maka, kewajipan yang ada tidak akan dipenuhkan, sebaliknya akan dilempar ke punggung dan kemudiannya kuasa digunakan sewenang-wenangnya untuk membayar balik segala penat lelah memfitnah, merasuah, memberi janji-janji palsu dan sebagainya yang giat dilakukan waktu berkempen merebut kuasa dahulu.

Maka bilamana kewajipan yang diberi diperlakukan sedemikian rupa, maka rosaklah pengurusan pentadbiran Negara. Tidak perlu lihat jauh. Buka dan selak apa laporan audit Negara 2010 baru-baru ini. Budak tadika belum bersunat pun tahu kalau-kalau ada dua kedai berbeza menjual gula-gula yang sama, maka mereka akan memilih kedai yang mana menjualnya pada harga paling murah. Kalau sebuah kementerian sampai membelanjakan lebihan RM 6 billion untuk membeli kereta perisai yang sepatutnya boleh dibeli dengan harga yang lebih murah sepertimana yang dilakukan oleh negara lain, maka apakah lagi bukti yang diperlukan untuk menunjukkan bahawa integriti sudah semakin pupus dari pengurusan negara yang berkait rapat dengan orang-orang politik.

Siapakah yang perlu membayar semua itu? Rakyatlah. Majoritinya anak muda. Harga barang semakin naik. Hendak dapatkan kerja susah. Mahu memiliki rumah pertama umpama mimpi. Kahwin jauh sekali, modal sekarang tinggi (boleh jadi hantaran mahal atau perempuan yang ada jual mahal? Entah, wallahualam). Mereka semua sakit dan menderita terbeban dengan apa yang berlaku. Pada siapakah harus ditunding ini semua? Kalau ditanya mereka, setiap seorang akan menghalakan 10 jari tangan dan 10  jari kaki kepada orang-orang politik. (ada yang melampau marahnya akan tambah satu lagi jari untuk ditunding. Jadi 21 tundingan. Tapi tak semua mampu berikan 21 tundingan. Kaum tertentu sahaja boleh. Kalau tak percaya cuba tanya kumpulan Seksualiti Merdeka).

Maka wajarlah mereka merasa bengang dengan apa yang berlaku. Akan tetapi, adakah betul apa yang mereka fikirkan itu?

Harus diingat, bahawa sekarang ini sedang berusahanya ramai pihak yang mahu memperbetulakn kembali dunia poltik ini. Mereka ini sedang mencuba membawa budaya politik baru yang bukan lagi dieja dengan huruf ‘K’, akan tetapi dengan huruf ‘A’ iatu amanah. Seharusnya kita golongan muda sama-sama menyertai saff mereka ini, bukannya pura-pura ambil tidak tahu.

Sebagai generasi muda, kita tidak boleh sengaja menjadikan kebobrokan dan korupnya segelintir ahli poltiki yang memegang kuasa sebagai alas an untuk kita tidak mahu melibatkan diri mengubah dunia ini. Sering kali saya dengar suara-suara berlagak macho “Alah..ini politik je nii..” yang sering dikatakan beberpa teman bilamana isu-isu kepentinagn dan masa depan negara ingin saya bawakan atau bincangkan.

Dengar, kita boleh sahaja lari dari melibatkan diri atau ambil tahu tentang apa yang berlaku. Kita boleh sahaja bersuka ria selagi masa masih ada. Tidak perlu sibuk-sibuk menyesakkan kepala dari ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam ‘dunia yang rosak ‘ itu. Orang muda buat cara orang muda. Tidak perlu bersama-sama menyertai orang-orang yang berjuang untuk memperbetulkan perkara ini.

Akan tetapi, kita pastikah bahawa cubaan kita untuk melarikan diri dan memandulkan keberanian dari mendepani isu-isu yang berlaku itu akan berhasil?  Tidakkah kalian terfikir bahawa kerosakan yang berlaku itu akan sama-sama menelan kita dan ahli keluarga kita?

Ketika itu jangan merungut apa-apa. Ketika itu kalau hendak memakan sepinggan nasi pun payah janganlah hendak marahkan apa-apa. Sebaliknya, duduk sahajalah bersandar dengan perut yang lapar sambil mulut berzikir, “Ini hanyalah politik”.

Artikel Ini Boleh Disebar Untuk Kebaikan

No comments:

Post a Comment