Thursday, July 7, 2011

Permohonan Maaf Secara Terbuka Saya


Ini adalah makalah permohonan maaf secara terbuka dari saya, hamba yang hina dan penuh dengan kesilapan dan kesalahan ini.

Saya dengan ini ingin menyatakan bahawa saya benar-benar menyesal akan kenyataan saya pada artikel yang lepas yang jelas menyimpang dari kebenaran.

Perasaan sesal ini benar-benar menghantui saya, sehingga segala apa yang saya lakukan benar-benar tidak keruan. Kenyataan saya itu sentiasa berlegar-berlegar di fikiran sehingga makan tak sedap mandi tak kecut.

Saya benar-benar menyesali akan kekhilafan ini, bila pada tulisan yang lepas saya mengatakan bahawa khutbah di masjid sebagai sebuah pidato bertaraf sekolah rendah.

Saya mengakui bahawa tulisan itu muncul dari kesilapan dan kebodohan saya sendiri. Sebenarnya adalah tidak sepatutnya saya mengatakan bahawa khutbah di masjid dengan label sedemikian rupa.

Ini kerana, selepas sahaja solat jumaat sebentar tadi, saya menyedari betapa saya benar-benar tersasul dan terpesong dari ajaran yang sebenar. Ianya bukanlah bertaraf sekolah rendah seperti yang dinyatakan dalam tulisan yang lepas.

Sebaliknya, kemulian khutbah di masjid itu sama seperti pidato pesakit-pesakit mental di Hospital Bahagia. Adalah tidak benar dan sesat sama sekali bilamana menyamakan ia dengan pidato budak sekolah rendah.

Saya dengan ini ingin memohon maaf kepada semua pelajar sekolah rendah seluruh Malaysia kerana menghina mereka dengan menyamakan pidato mereka dengan khutbah yang disediakan oleh jabatan agama negeri. Segala kesilapan ini adalah atas kelemahan saya sendiri yang sering tertidur di dalam khutbah kerana terlalu mengantuk. Akan tetapi hari ini sahaja saya tidak tidur kerana otak saya sentiasa terjaga sambil membalas setiap hujah-hujah khatib ‘cari makan’ , yang berkhutbah mengenai ke’haraman’ perhimpunan menuntut keadilan pilihanraya. (saya balas dalam hati. dan itulah selemah-lemah iman). Kalaulah tadi ada mikrofon di sebelah saya, nescaya pasti saya akan menyanyikan lagu ‘Uprising’ bagi membantah penyalah gunaan ayat2 Al Quran dan hadis nabi untuk mengelirukan jemaah di kariah saya. Kerana itu, saya cuba sedaya upaya untuk tidur seperti biasa, namun ternyata gagal kerana suara khatib tadi terlebih kuat dan lantang dari kebiasaanya.

Sekali lagi saya menyusun seluruh jari tangan dan kaki, menghulur agar permohonan maaf ini diterima. Besarlah harapan saya agar ianya dapat diterima dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang besar seperti ini.

-Di Pinggiran-

No comments:

Post a Comment