Saturday, May 8, 2010

Siri CerDek 1 : Lesen Tikam-tikam Halal


Bersemangat sekali dia hari itu. Belum pernah dia bersemangat kuat seperti itu sebelum ini. Kalau dulu ucapanya di taman permainan itu hanya berkisar soal-soal remeh temeh belaka. Soal siapa yang harus jadi pengantin lelaki yang perlu disanding dengan Milah, tentang harga asam biji yang tiba-tiba naik sebab pembekal mengalami muflis gara-gara kantoi meletakkan nitrosamine dalam asam untuk menambahkan kemerahan asam bijindan segala macam remeh temeh lain. Tapi, hari ini lain. Hari ini Adek (bukan nama sebenar) begitu bersemangat dalam ucapannya.

Tidak macam hari-hari lain. Rakan-rakannya yang lain pun sedar.Hari ini Adek sangat bersemangat. Tentu ada benda yang betul-betul penting ingin dia katakan hari ini. Justeru,semua orang harus duduk dengan diam dan tekun mendengar. Abdul, kaki tidur khutbah pun turut membuka biji mata besar-besar, tidak seperti selalu-selalu, kerana semangatnya ucapan Adek hari itu.

“Tak boleh jadi,” kata Adek penuh berapi-api.

“Sejak kedai tikam-tikam baru di sebelah masjid itu buka, tidak pernah sekali pun aku menang! Ini penipuan namanya!” marah benar Adek.

“Kau Awang, pernah kau menang apa-apa di kedai itu?” Tanya Adek sambil menunding jarinya yang berdaki kesan main tanah tadi. Tersentak Awang (pun bukan nama sebenar). Hampir-hampir saja terlepas gula kapas ditangannya.

“Tak pernah,Adek. Aku tak pernah menang. Dah 10 kali aku cuba, satu pun tak kena. “ ujar Awang, jujur. Hampir-hampir saja melelh air mata innocence Awang bila mengenangkan kerugian yang ditanggung. 10 kali nilai tikamannya bersamaan dengan seminggu duit belanja sekolah, yang dia sendiri minta dicepatkan bayaran pada ayahnya kerana gila menikam itu.

“Lan, kau macamana?” Adek bertanyakan pada Lan pula. Lan itu dulu memang pakar benar bertikam-tikam ini. Tahu saja dia selok belok ilmu pertikaman ini. Kalau dibuat rangking, kepakaran Lan jatuh nombor 2 bawah Adek. Tapi itu kisah lama. Baru-baru ini Lan mengumumkan persaraannya dari bidang pertikaman dalam satu sidang media tergempar, juga bertempat di bawah gelongsor di taman permainan Taman Hadhari itu. Semuanya gara-gara kedai sebelah masjid itulah.

“Tak Adek. Aku tak dapat apa-apa. Kan aku dah kata minggu lepas. Aku dah bersara. Kau tak dengar ke?” soal Lan balik.

“Ada orang kata kedai tu tak da lesen.Tu pasal dia boleh tipu suka hati. Sebab tak kena pemantauan spot check JAIS, sebab nama tak da dalam senarai kedai-kedai tikam. Memanglah nama tak da. Tak daftar.” Tiba-tiba Lim mencelah. Lim turut marah sekali, sebab kewujudan kedai sebelah masjid itu boleh sahaja menjejaskan perniagaan bapanya.

Budak-budak yang lain menagngguk-angguk, seolah-olah semua sudah maklum tentang hal itu.

Adek berfikir sebentar.Yang sebenarnya, dia betul-betul sudah rasa tercabar. Kredibiliti dia sebagai ketua sekarang sudah tercalar. Dia naik menjadi ketua budak-budak Taman Hadhari itupun adalah atas kapasiti dia sebagai antara pemain tikam-tikam paling berjaya dalam sejarah Taman hadhari. Bila ditanyakan apa rahsia kejayaannya, dengan tersipu-sipu dia menjawab, “Ini ialah kurniaan Tuhan pada saya. Semua ini berkat usaha ayah saya yang selama ini bersusah payah membesarkan saya dengan duit titik peluh hasil nombor ekor Da Ma Cai. Terima kasih ayah. Hadiah kemenangan saya ini akan saya gunakan untuk membawa ayah saya untuk menunaikan Umrah di Mekah,”.

Dek kerana terlalu selalu menang, dia selalu sahaja membahagi-bahagi hadiah kemenangan pada kawan-kawan yang lain. Bila pembangkangnya yang paling kuat, Nuar Botak membantah, dan menuduhnya rasuah, pantas sahaja dia menjawab.

“Ini bukan rasuah. Ini politik wang. Rasuah haram. Politik wang tak haram, bahalul! Tak pergi sekolah agama punya budak!” marah Adek kembali, sambil menguatkan hujahnya dengan dalil yang diberikan Ustaz Sani, cikgu sekolah agama Taman Hadhari merangkap Ketua Pemuda Parti Dominan kawasan itu. Nuar pun tak boleh marah, sebab memang betul dia tidak pergi ke sekolah agama. Jadi, Adek memang lebih pandai agama dari dia. Orang biasa yang tak pandai agama seperti dia haruslah bertaklid buta dan mengikut sahaja. Tambah-tambah lagi ini cakap ustaz, orang pandai agama. Kita orang awam ini jangan memandai-mandai pertikai, nanti tersesat.
.
Jadi kali ini Adek betul-betul marah. Dan dia juga sudah betul-betul bertekad. Permainan tikam haram seperti ini harus dihentikan. Hanya permainan tikam halal berlesen sahaja yang boleh mengelakkan penipuan semacam ini. Kurang-kurang pun, kalaulah semua kedai tikam-tikam mendaftar serta membayar yuran pendaftaran kepada pejabat daerah, mereka juga akan untung. Pejabat daerah yang sudah pun hampir kering kantungnya disebabkan kempem pilihanraya baru-baru ini, akan punya duit untuk membaiki kemudahan taman permainan Taman Hadhari yang semakin buruk itu. Baru sahaja minggu lepas Milah jatuh sampai berbalut kepalanya, disebabkan buaian yang tiba-tiba tertanggal rantainya. Melepas Adek untuk jadi pengantin Milah minggu itu.

“Mari! Kita adukan kepada Ustaz Sani. Nanti tahulah dia perbuat akan hal ini.” Dengan semangat Adek mengajak rakan-rakannya. Semua bangun dan bergerak mengekor belakang Adek.

3 comments:

  1. nama nama itu mengingatkan saya pada..... hmmm...

    maaasyarakaaaattttt....

    ReplyDelete
  2. KAHKAHKAH. YE KE? ADA INGAT KAT SIAPA AGAK2NYA?

    ITUKAN BUKAN NAMA SEBENAR, HIHIHI.

    ReplyDelete
  3. nama diorang laaaaaa.... hehhehehe

    ReplyDelete