Saturday, August 6, 2011

Pengutip Emas


3 orang pelombong merentas masuk ke dalam hutan. Kumpulan sahabat ini membedah rumpunan hutan dan daun-daun lalang merimbun. Ditebas ke kanan, ditebas ke kiri, dan kaki memijak rumpunan-rumpunan kecil daun kering bercampur baur dengan tanah hutan. Asal niat cuma satu, mencari gua dikatakan tempat simpanan emas yang banyak.

Disepanjang jalan mereka itu, banyak juga pacat dan nyamuk berkenduri kendara dengan darah mereka. Sampai berbintat-bintat. Namun itu semua mereka tidak peduli. Belum lagi dikira lagi calar balar badan dihiris dan ditoreh duri-duri kecil yang bagaikan sedar-tak sedar. Pun itu mereka tidak peduli. Kerana mereka sudah berada sejauh ini, iatu sudah 11 purnama lamanya mereka merentas dan membiarkan diri dimamah pelbagai kekotoran dan kepalitan hutan rimba.

Selama 11 purnama itu, tiba-tiba ketika ingin sahaja masuk ke purnama yang ke dua belas, bulan menghilang. Pun dalam keadaan tiadanya cahaya bulan memandu arah, sahabat bertiga itu dapat melihat satu pancaran cahaya dari langit, entah dari tingkat langit yang ke berapa, datang menerpa membawa mereka ke arah satu arah. Masing-masing hairan, sedang kaki melangkah dengan tergesa-gesa, sambil setiap hati berbisik, "Barangkali ini petunjuk Tuhan!"

Ternyata apa yang disangka itu benar. Apa yang mereka dengar sebelum ini dari orang-orang bijak pandai kitab ternyata sahih. Setiap kali menjelang purnama ke dua belas, memang akan ada cahaya memandu ke arah lombong emas itu. Dan apa yang dikatakan para bijak pandai kitab itu terbukti bila dihadapan mereka sudah terbentang pintu gua yang luas. Sah lah ini dia guanya! Dari luar lagi sudah memancarkan cahayanya yang kemilau. Kalau masuk barangkali akan silau.

Ketiga-tiga mereka mengeluarkan guni masing-masing. Sampai di pintu gua, tiba-tiba mereka berselisih pendapat.

Sahabat pertama berkata, "Aku mahu berehat sebentar di depan pintu ini. Sudah 11 bulan kita berjalan, dan aku rasa letih. Nanti aku menyusul kalian di akhir nanti."

Mereka semua tahu yang pintu gua itu akan tertutup di pangkal dan di hujung serentak, bila cukup genap sepurnama.

Sahabat kedua pula tanpa banyak soal telah mula mengisi karungnya dengan penuh. Sambil mulut berkata, "Aku mahu isikannya penuh dengan cepat. Takut-takut nanti aku rugi."

Sahabat ketiga pula hanya berlalu, sambil tangannya mengutip sedikit demi sedikit. Setiap langkah diambilnya seketul emas. Setiap langkah diambil dengan kadar yang sama. "Jumpa nanti di hujung, kawan-kawan! Kemudia mari kita lihat siapa paling banyak dapat mengutip emas-emas ini." katanya lagi.

Semua mengangguk tanda setuju.

Lalu sepanjang purnama itu, sahabat-sahabat yang telah terpisah itu masing-masing dengan cara masing-masing. Yang pertama masih berehat. "Nanti di hujung-hujung aku kutip sekaligus dengan banyak!" katanya.

Yang kedua pula begitu pantas mengutip sebanyak mungkin. Hendak toleh ke kiri ke kanan pun tak sempat.

Yang ketiga pula terus dengan caranya yang asal. Cuma setiap kali makin hampir ke pintu gua, ditambah kadar ambilan emasnya sedikit demi sedikit. Tambahan lagi apabila menjelang 10 hari akhir sebelum gua tertutup. Waktu itu dia semakin mengurangkan rehat, dan lebih menumpukan kepada usaha mengutip emasnya.

Manusia memang sentiasa kurang akrab dengan masa. Kerana itu Tuhan bersumpah dengannya. Ia bisa jadi pakaian menutup bahagian terdedah, dan bisa juga ia jadi pisau berbahaya. Sedar tidak sedar, sepurnama telah berlalu.

Pertama sekali sampai ialah sahabat yang ketiga tadi. Dia duduk menantikan sahabat-sahabatnya yang lain. Dalam hatinya terdetik rasa risau, bimbang-bimbang sahabatnya tidak sempat keluar. Pintu gua mula tertutup sedikit demi sedikit.

Sampai sahaja pintu gua itu menutup separuh jalan keluar, muncul sahabat yang kedua. Kedua-dua sahabat tadi berpelukan. Masing- masing bertanya khabar.

Lalu jumlah emas dibanding. Ternyata emas milik yang ketiga lebih banyak. Dua kepala ini berasa pelik.

Lalu yang pertama bertanya, " Bagaimana mungkin engkau lebih sedikit? Bukankah di awal lagi engkau sudah mengumpul sebayak mungkin?"

Dijawab yang kedua sambil tangan menyeka peluh, " Memang di awal banyak yang ku ambil. Tapi di sepanjang jalan, aku mulai merasakan beban yang terlalu banyak ku ambil dari awal, sedang pejalanan ke hujung gua masih jauh. Lalu kerana terlalu berat, aku terpaksa mengurangi sedikit demi sedikit untuk meringankan bahuku ini. Tanpa aku sedari, semakin dekat dengan pintu, semakin banyak emas yang ku keluarkan kerana ingin mempercepat jalan. Aku pun takut tidak sempat hendak keluar."

Yang ketiga menganguk sambil tersenyum.

Pintu gua sudah 2/3 ditutup, dan kedua orang sahabat ini mulai diulit risau. Mana dia sahabat yang pertama tadi?

Ketika pintu gua itu betul-betul hampir tertutup, sekonyong-konyong tiba sahabat pertama. Dia terpaksa meniarap di bawah tanah semata-mata untuk muat keluar dari pintu yang terlalu sempit. Dia berjaya selepas berhempas pulas.

Mereka bertiga berpelukan. Kedua sahabat yang sampai lebih awal tidak perlu bertanya tentang jumlah emas sahabat mereka yang baru tiba itu, kerana tanpa membuka lagi karung guninya, dapat dilihat dari luar betapa nipisnya isi di dalam.

Yang ketiga pun bertanya lagi, "Kenapa terlalu sedikit emas mu wahai sahabat? Bukankah di hujung-hujung gua ini emasnya terlalu banyak berbanding di hadapan tadi? Kata engkau dahulu, engkau mahu mengambil sebanyak mungkin di akhir-akhir jalan?"

"Aku terlalu letih dan penat pada awalnya. Badan ku juga sakit-sakit dan pedih-pedih di hiris duri sepanjang jalan. Itu kerana aku tidak mempersiap diri dari awal sebelum masuk ke hutan ini dengan memakai pakaian yang mampu melindung tubuhku." jawabnya.

"Lalu aku berehat sebentar. Tapi, tanpa aku sedari, rupa-rupanya waktu pintu gua ini tertutup sudah semakin hampir, dan perjalanan ku masih jauh. Lalu aku berkejaran dengan laju agar tidak sampai aku terperangkap di dalam ini. Kerana terlalu tergopoh-gapah berlari, maka aku tidak sempat mengutip emas dengan banyak, dan hanya ini yang aku sempat dapatkan," jawab sahabat pertama lagi, termengah-mengah.

Pengembara ketiga tersenyum lebar. Pengembara kedua tiada respon di wajah. Dan pengembara pertama masam mencuka.

Anda mahu AFUNDI pengembara yang mana?

2 comments: