Friday, March 23, 2012

CerDek Lagi : Dari Kaki Naik Kepala


Pada awalnya, aku selalu menangisi kewujudan aku di muka bumi ini. Sering kali aku
merasakan bahawa keberadaan aku di alam yang fana ini hanyalah sekadar untuk menghina diri sendiri demi keselesaan orang lain.

Kalau yang melekat di tubuh ku ini setakat tanah sahaja tidaklah aku kisahkan sangat. Tanah je pun, kataku memujuk. Manusia yang mulia itu pun asalnya dari tanah. Apalah yang hendak digelikan sangat dengan tanah? Pelik juga kalau ada orang yang takut-takut hendak solat dan bersujud di taman layang-layang selayang dengan alasan kotor. Ini hujah poyo. Sudahnya terperangkap dalam jam, kemudian selepas itu tidak sempat sampai ke rumah untuk solat.

Setakat terkena tanah memang aku tidak berkira sangat. Tanah lumpur, tanah liat, tanah rezab melayu, tanah kubur, dan segala macam tanah pernah melekat dan menghinggapi tubuhku ini. Tidak pernah sekali pun aku merasakan ianya hina. Cuma kalau yang melekat itu tanah rezab Melayu, aku akan cuba kesat kembali ke bumi. Hatta kalau debunya sekalipun akan aku kibas sampai bersih dari bajuku. Bukan apa, aku takut benar kalau-kalau terambil hak rakyat. Lain ceritanya dengan orang yang makan tanah itu sampai kenyang. Dari 3 juta hektar luas asal,  sekarang ini sudah tinggal hanya 1.7 juta. Nanti kena telan dengan tanah macam Qarun baru tahu.

Akan tetapi bila tubuhku yang cantik ini mulai lebur dengan sesuatu yang bukannya tanah, contohnya seperti air longkang atau najis kucing, aku sudah mulai dapat rasakan satu penghinaan yang besar telah ditujahkan kepadaku. Adakah wujudiah aku ini hanyalah untuk diselaputi benda-benda kotor semacam itu?

Kenapa aku? Kenapa tidak disuruhkan tugas ini kepada kawan -kawan aku yang lain itu? Mereka itu kerjanya bersenang-lenang sahaja. Kalaupun kerja mereka itu ada yang susah, ia tidaklah sampai tahap menghina dan menjatuhkan maruah seperti kerja yang dipaksakan ke atasku ini. Kotor, busuk, berlendir, hei, sampai tidak lalu aku hendak ceritakannya. Aku yang menulis ini pun sampai mual-mual. Tuan-tuan pembaca apatah lagi, kan?

Menambah lagi luka di hatiku ini ialah pabila kawan-kawanku itu selalu benar mengejek-ngejek aku. Kalau tidak di depan, dikatanya aku macam-macam di  belakang. Hendak dikata bodoh pun boleh juga mereka ini. Kalaupun hendak mengumpatku, tunggulah bila sudah berada jauh dari ku. Ini tidak. Sebaik sahaja berada betul-betul di belakangku, terus sahaja mulut mereka berkata yang buruk tentangku. Macamlah telingaku ini boleh mendengar suara dari depan sahaja. Bayangkan betapa pedihnya hatiku ini!

Dakwa mereka, merekalah yang lebih mulia tugasannya. Kata mereka, merekalah yang berjasa menjadi pemula kepada perubahan dan revolusi yang merebak baru baru ini.

Kata Bic, tulisan itu terhasil dengan darahnya. Melalui dialah tulisan-tulisan dan ucapan yang bersemangat dapat disebarkan kepada semua rakyat Arab yang bangun memberontak. Entah kan ya entahkan tidak. Aku terfikir akan sejauh mana relevannya hujah dia itu, kerana dari pembacaan aku, segala maklumat untuk berhimpun itu disebarkan melalui komputer. Adakah dia menyangka zaman ini sama seperti zaman dahulu di mana datuk dan nenek kita hendak menghantar ungkapan cinta pun menggunakan kertas yang ditulis ayat-ayat dan madah berbunga?

Aku malas bertekak, lalu aku iyakan saja.

Sampuk Molotov, saudaranyalah  yang membakar kereta kebal itu. Yang ini aku percaya sedikit, sebab selepas itu memang tak pernah aku melihat dia lagi. Sudah terbakar macam saudaranya itu, mungkin.

Tapi sebelum pergi tempoh hari sempat lagi dia mengutuk.

"Kau apa ada? Pijak tahi adalah! Hahaha!"

Ceh.

Akan tetapi, bukankah Tuhan itu maha kuasa? Dia sudah menjanjikan dalam Al Quran, bahawa dia boleh menghina dan memuliakan sesiapa sahaja yang dia mahukan sekelip mata.

Baru-baru ini, kedudukanku yang dianggap hina itu tiba-tiba bertukar menjadi mulia!

Kalau sebelum ini aku ini hanya layak dikaki, sekarang ini kemuliaan aku naik sampai ke kepala!

Yang sebenarnya ini bukan kali pertama aku diangkat sampai ke kepala.

Ada. Akan tetapi  aku tidak mengira ia sebagai kemuliaan, kerana ianya dilakukan bukan dengan niat untuk mengangkat martabat kemuliaanku. Sebaliknya ia hanyalah untuk berseronok sambil dapat menyakiti orang lain! Lagipun, para pelakunya ialah kanak kanak yang ingin berseronok bermain baling selipar.

Namun, baru-baru ini aku bukan sahaja jadi barang untuk berseronok apabila dibaling. Sebaliknya aku turut menjadi sebahagian dari revolusi dan perubahan. Bayangkan, aku dibaling sebagai simbol menyatakan penentangan terhadap kezaliman. Aku dibaling dengan tujuan untuk menghinakan para penindas. Betapa gembiranya aku. Rupa rupanya kehinaan aku ini ada gunanya juga.

Aku sekarang ini sudah jadi simbol melawan!

Aku masih ingat muka kangaroo yang menkadi hakim tempoh hari tatkala dia cuba mengelak dari terkena diriku yang meluncur laju ke arahnya. Nyaris sahaja aku mencium mukanya. Nampak terkejut macam lelaki yang terkantoi curang dengan isteri!


Padan dengan muka dia.


Aku memang berbangga dengan tuanku itu. Entah dari mana dia mendapat keberanian yang luar biasa seperti itu! Mungkin dia tidak mengetahui, bahawa apa yang dilakukannya itu bukan meghina hakim kangaroo itu sahaja, akan tetapi menghina keseluruhan sistem hukum rimba yang diamalkan sekarang ini. Walaupun sebelum ini aku agak marah dengannya, kerana seperti yang aku katakan sebelum ini, bahawa kadang-kala aku terpaksa memijak benda-benda jijik dan kotor. Tak apa, sekarang aku hendak bersifat husnodzan, mungkin dia lakukannya dalam keadaan dia tidak perasan aku yang dibawah ini.

Apapun aku masih belum puas. Kerana sebelum ini salah seorang rakanku telah melakukan sesuatu yang lebih bergaya dan cool berbanding aku. Dia telah berjaya menghina Bush sang drakula yang banyak menzalimi orang lain. Sampai sekarang dia masih berbangga. Kali terakhir aku melihat gambarnya ialah di eBay. Waktu itu orang berebut rebut membida dirinya.

Sekarang ini pun aku sudah merasakan diriku cukup mulia. Jauh lebih mulia dari handbag dan cincin, walaupun hargaku tidak sampai RM 20 pun. Ciplak pula tu..

Ya, aku akan terus untuk menjalankan tugas baruku untuk menghina para penjahat dan penindas manusia lain, termasuk yang mencuri tanah rezab Melayu serta kuat rasuah. Awas kalian, jangan sampai aku masuk ke mulut kalian!


Yang Benar,

Selipar





1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete