Thursday, January 27, 2011

Apartheid Di Tenang


Baru-baru ini, dalam Utusan online bertarikh 28 Jan, sekali lagi keluarnya ungkapan dari pak menteri nombor dua kita, yang menonjolkan sikap ketidak adlilan dan betapa rosaknya matlamat berpolitik di dalam negara kita.

Beliau dipetik berkata, “"Jika rakyat di sini memilih calon Pas (Normala Sudirman), wakil rakyat yang dihantar adalah pembangkang, dia ini bukan mempunyai kuasa pentadbiran, bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dijanji Pas.

"Pihak yang hanya boleh menyelesaikan permasalahan di Tenang ini adalah BN, apatah lagi dengan gandingan kerajaan negeri dan pusat," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini malam ini.

Sepertimana yang pernah ditulis sbelum-sebelum ini, maka adalah baik kiranya jikalau semua yang terlibat dalam pertarungan politik di Malaysia ini balik dan meniliti balik apakah sebenarnya politik itu. Ataupun kalian semua boleh menyemak kembali ungkapan-ungkapan yang berdegar-degar, berapi-rapi yang kalian laung-laungkan di hadapan rakyat sewaktu ceramah-ceramah sebelum ini, iatu mahu membantu rakyat.

Membantu rakyat?

Maka, tertanya-tanyalah saya, akan apakah dia sebenarnya rakyat itu. Siapakah dia yang dipanggil rakyat? Apakah kriteria-kriteria yang melayakkan seseorang itu dipanggil rakyat?

Setahu saya (correct me if i’m wrong ok?) tiadalah di dalam kriteria dan syarat menjadi rakyat Malaysia, perlulah dia itu mengundi, ataupun dalam konteks sekumpulan masyarakat di sesuatu kawasan, mestilah memenangkan parti pemerintah.

Pemerintah dipilih rakyat berdasarkan keyakinan mereka akan membantu rakyat dalam memastikan hidup mereka di sesebuah negara menjadi makmur dan dapat hidup aman damai. Keyakinan ini boleh sahaja berpindah dari satu parti ke parti yang lain. Tiada siapa yang mahu mengundi parti yang akan merosakkan negara. Tidak kiraklah siapa yang dipilih rakyat, namun bilamana mereka dipilih, maka itu secara tidak langsung menterjemahkan bahawa rakyat yakin mereka yang dipilih itu akan membawa kebaikan.

Dalam sukan tinju, setiap perlawanan dikategorikan mengikut berat peninju. Ada kategori lightweighy, middleweight, dan heavyweight, iatu yang paling seronok kita tonton. Bagaimanalah agaknya nanti kalau-kalau tiada kategori ini. Sudah tentu Manny Pacquiao akan sayur dikerjakan oleh David Haye. Dalam bertanding perlulah adil.

Akan halnya yang berlaku di Dun Tenang, nyatalah sekali adanya kepincangan dalam proses berpolitik di Malaysia. Ramai yang belum mampu membezakan apakah dia parti dan apakah dia kerajaan. Ini termasuklah kepala yang memegang kementerian Pelajaran, satu jawatan yang memerlukan hanya orang yang betu-betul berpelajaran bagi memimpin pendidikan negara.

Rakyat Malaysia diwajibkan membayar cukai. Yang tak membayar cukai itu boleh dipenjarakan. Jadi, semua yang masih hidup di luar sana, bukan di dalam penjara, menjamin dirinya sendiri dengan cukai itu tadi. Kalu tidak, mereka tidak hidup berjalan-jalan ke pasar dan ke tempat kerja, pasti di dalam penjaralah tempat beristirahat.

Dari cukai itu tadilah kerajaan mendapatkan wang untuk membiayai projek-projek kemajuan dan pemakmuran negara. Maka, sepertimana dalam syarikat, setiap pemodal mempunyai hak masing-masing atas keuntungan yang diperolehi. Setiap pemodal tidak boleh mendakwa syarikat itu hanya miliknya seorang, sebab hendak membangunkannya pun adalah dengan hasil modal dari pada pelbagai pihak.

Kita lihat banyak projek dijalankan, dan setiapnya akan terpampang papan tanda berbunyi Projek Barisan Nasional. Melainkanlah kalau hanya orang-orang Barsian Nasional sahaja yang membayar cukai, maka tiadalah maslah bagi mereka mengatakan begitu. Namun, alangkah tidak malunya berkata demikin kerana semua rakyat Malaysia adalah pembayar cukai. Maka projek yang ada itu patut ditulis Projek Rakyat. Kerajaan hanya berfunsi sebagai perantara, atau orang tengah dalam melaksanaan projek itu. Wangnya adalah wang rakyat, bukan wnag parti.

Atau sebenarnya, kerajaan ada membuat pengkelasan dan mengasingkan wang cukai itu mengikut parti si pembayar? Saya tidak tahu. Cuba tanya Rizal Meerican. Dia tahu barangkali.

Mengatakan bahawa mengundi pembangkang akan menyebabkan kesukaran dalam membawa kemajuan adalah satu ugutan. Kali ini ia adalah satu situasi yang pelik, kerana mereka yang didakwa membela Melayu telah menunjukkan sikap mereka yang sebenar, iatu mereka sebenarnya bukanlah mahu membela Melayu, akan tetapi hanyalah fungsi kewujudannya untuk memberi bantuan dan kemajuan kepada orang-orang yang sebulu sahaja dengan mereka, atau separti dengan mereka, atau orang-orang yang kononnya mengaku berjuang bersama mereka (padahal semua itu hanyalah dengan tujuan mengampu sahaja).

Kerana itu Kelantan sampai sekarang dinafikan dari mendapat pelbagai projek kemajuan sepertimana yang diperoleh oleh negeri-negeri lain di dalam Semenanjung Malaysia ini.

Tiadalah saya ini mahu memihak, atau bersikap berat sebelah, namun adalah tugas kita mengingatkan pemerintah, bahawa berlaku adil adalah apa yang dituntut dan akan dipersoalkan di akhirat kelak kepada sesiapa yang diamanahkan memegang kuasa. Setiap rakyat berhak mendapat hak mereka, tanpa mengira agama, warna kulit, mahupun fahaman politik. Itulah yang dinamakan pemerintahan Islam, yang sentiasa berlaku adil dan tidak mendiskriminasi.

Jangan marah Afrika Selatan kerana dahulunya ada mengamalkan Apartheid. Yang di Malaysia ini pun sama. Cuma di Afrika ianya sudah lama hancur dan dijatuhkan, sedang di Malaysia ini, ia sedang berjalan sejak merdeka sehinggalah ke tarikh tulisan ini ditulis.



No comments:

Post a Comment