Friday, March 25, 2011

Rompakan Siri 2


Selepas tulisan yang lepas, maka bermacam-macamlah komen yang datang menerpa. Yang faham dan mahu bersedia menjadi saksi pendakwaan ke atas penjenayah rompakan itu, ribuan terima kasih diucapkan. Kalau ada nasi bungkus atau kek sampai pada saya, maka pasti lebih besar dan panjang lafaz ‘syukran’ akan saya hamburkan.

Namun, kalau ada yang tidak faham atau masih teraba-raba akan apa yang cuba disampaikan, maka tiada lain melainkan pastinya akan mengalir titik-titik air mutiara dari mata jantan ini. Masakan tidak, rupanya penulis ini hanya ‘syok’ dan ghairah sendiri!

Perkara ini perlulah difahami dengan cara mengenal dahulu sejarah wang. Ini penting kerana tanpa pemahaman tentang sejarah wang, maka kita tidak akan dapat melihat sangkut-paut antara kejatuhan sistem ekonomi barat dengan kenaikan harga kuih keria di pasar malam sungai buloh. Perlahan-lahan kita akan cuba memahaminya. Maka janganlah bersikap gelojoh sebaliknya tahanlah nafsu ingin tahu anda dengan baik-baik.

Kalau pada zaman dahulu, kita biasa mendengar apa yang dipanggil sebagai Sistem Barter. Untuk mendapatkan sesuatu barangan, atau perkhidmatan, maka perlulah berlakunya pertukaran. Inilah perniagaan. Adanya pertukaran manfaat bagi mendapatkan manfaat yang lain adalah sunnatullah.

Kalau dahulu, jika Abe Ja dari kampung Sematjal mahu membeli dua ekor lembu bagi majlis perkahwinanya, maka dia wajib menukarkannya dengan barangan yang sebanding dengannya. Misalnya empat ekor kambing. Jika mahukan gula, maka tukarannya mungkin beras, atau garam.

Manusia akhirnya menyedari yang sistem ini tidak cukup efisien dan menyusahkan. Dalam kes Abe Ja, dia terpaksa mengheret empat ekor kambingnya ke pasar lembu. Ini menyusahkan kerana kambing perangainya tidak seperti manusia. Tetapi, ada sahaja manusia yang berperangai seperti kambing. Itu perlu difahami betul-betul.

Maka wang pun dicipta. Konsep asasnya tetap sama dengan Barter tadi, iatu berlakunya pertukaran. Bezanya ialah barang tukaran yang digunakan telah di tetapkan kepada satu standard, iatu wang.

Kalau kita mahukan sesuatu barangan yang berharga (setiap yang bermanfaat maka ianya adalah berharga), maka tukarannya perlulah juga barangan yang bernilai dan berharga. Di sinilah timbulnya rukun wajib bagi wang, iatu wang yang akan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan barang atau manfaat tadi, mestilah benda yang memang diakui manusia ramai sebagai berharga dan bernilai.

Maka, manusia secara sepakatnya mengakui bahawa emas adalah barang yang tepat untuk dijadikan sebagai alat tukaran. Ini ialah kesepakatan sejak dari azali lagi. Tidak perlu diadakan muzakarah khas bagi memberi fatwa tentang betapa berharganya emas ini, kerana ia sudah diakui ramai.

Tidak perlukan juga fatwa dari para pegawai JAIS.

Emas akhirnya digunapakai secara meluas. Namun, timbulnya masalah bilamana sesuatu pembelian yang melibatkan skala besar-besaran mengambil tempat. Berat emas yang hendak diangkut ke pasar itu suatu perkara. Soal keselamatan turut harus diambil kira.

Masalah turut berlaku dalam pembelian yang bersifat kecil. Bagaimana mahu membayar harga sebiji gula-gula jika di dalam poket ada seketul jongkong emas?Bagaimana mahu dipecahkan?

Wang kertas pun muncul. Kertas telah digunakan sebagai perantaraan bagi emas tadi. Urusniaga dilakukan menggunakan wang kertas, dan wang kertas itu bila-bila masa sahaja boleh ditukarkan dengan emas yang disimpan dalam rizab negara. Wang kertas itu tadi telahpun disandarkan nilainya pada emas. Kita tidak rugi apa-apa, kerana kertas yang diperoleh itu ialah kertas yang nilainya sama dengan emas. Bila-bila masa yang disukai, maka ianya boleh kita tukarkan dengan emas.

Masa berlalu dan dunia makin berkembang. Nafsu manusia yang inginkan kekuasaan dan kemegahan turut sama mengalami evolusi dari sekecil telur ayam kepada menjadi nafsu sebesar seekor kuda jantan liar. Dari situlah munculnya Perang Dunia yang pertama.

Peningkatan kos peperangan menyebabkan negara-negara yang mengambil bahagian dalam perang dunia telah mencetak wang kertas dengan banyak, sehingga ianya melebihi jumlah rizab emas simpanan negara. Bermaksud jika semua wang kertas yang sedang berlegar-legar di negara itu mahu ditukarkan kembali kepada emas, maka jumlah emas itu tidak cukup untuk ditukarkan. Secara tidak langsung, kertas yang tadinya bernilai sudah menjadi tidak ubah seperti sebuah kertas sampah yang tidak ada nilainya. Berlakulah perkara yang dipanggil sebagai hyperinflasi.

Keadaan ini berterusan sehingga akhir Perang Dunia ke2, bilamana ketua Mafia dunia, Amerika Syarikat, dan beberapa negara-negara dalam dunia menandatangani perjanjian Bretton Wood pada tahun 1945. Dalam perjanjian ini, US sebagai kuasa besar dunia yang baru, bersama negara-negara yang menandatanganinya bersetuju untuk menyandarkan wang Dolar US kepada emas, manakala mata wang yang lain di dunia ini akan disandarkan pula kepada Dolar US. Ini dilakukan untuk kembali menstabilkan keadaan ekonomi yang berkeadaan hyperinflasi diakibatkan oleh perang.





No comments:

Post a Comment