Wednesday, September 15, 2010

Story Telling Session : Misteri Anak Bulan

Imam Johar dan rakan-rakannya semua sudah siap siaga. Malam tadi, dia sendiri tidak pun sempat melabuhkan anak mata, dek kerana sibuknya dia menelaah buku astronomi. Semuanya khusus untuk hari ini, iatu hari mereka semua akan berangkat pergi ke Teluk Kemang untuk melihat anak bulan (adapun tahun ini bulan beranak melalui teknik caesarian, katanya kepada rakan-rakan yang semuanya mengangguk berkali-kali dengan laju, setuju.)


Masing-masing melongo sebentar, menunggu ketibaan Menteri Agama yang turut mahu serta datang sekali. Apapun, mereka sudah sedia maklum akan kelewatannya, yang memang sudah menjadi fiil rutin (dia seorang menteri berbangsa Melayu).


Ayam itik berkedek pulang,

Lembu kambing masuk ke kandang


Hari sudah menjelang senja, barulah Menteri Agama pun tiba, dan mereka semua pantas-pantas naik ke tempat teleskop diletakkan. Seperti biasa, Menteri Agama yang pergi dahulu melihat,sedang yang lain semua menunggu di tepi, termasuk yang ada di situ wakil dari syarikat penyiaran Tiga Suku, sedang membuat liputan acara melihat anak bulan yang penuh bersejarah itu.


Tiba-tiba wajah Pak Menteri berubah. Wajah penuh ceria lelaki berperut gendut itu berubah mendung. Peluh menitik-nitik dari tepi mukanya, bagai titisan air di tepi cawan penuh berisi ais.


"Mam, bulan puasa syaitan tak ada, kan?"


"Betul pak menteri, betul,"jawab Imam Johar, yakin 100 peratus.


"They all kena ikat, kan?"tanya menteri lagi, meminta kepastian.


"Betul, betul,"


"Nah, you pulak try. Tak nampak pun anak bulan,"kata menteri sambil menyuruh Imam Johar pula melihat teleskop.


Dia mungkin tidak menyedari, tetapi semua yang ada di situ dapat menyedari akan perubahan pada Menteri, yang menggeletar bagai terkena demam kura dan wajahnya berkerut-kerut laksana sedang meneran gamaknya.


Pak Imam melihat menerusi corong teleskop. Dia mencari-cari dan melihat dengan ketelitian serta kekhusyukan penuh tumpuan.


Tiba-tiba, tidak semena-mena, entah dari mana, dari corong teleskop, dia melihat satu objek terang sedang terbang dengan betul laju di langit. Imam memfokuskan lagi pandangannya.


Kelihatan dengan jelasnya figur seorang tua berjambang putih panjang, dengan tanjak keemas-emasan di atas kepala, sedang terbang di langit dengan mengenderai dua ekor kambing (kambing itu serupa dengan kambing imam yang hilang bulan lepas), satu ekor kuda, dan satu ekor lagi ialah seekor rusa yang patah sebelah tanduknya. Turut kelihatan ialah dua ekor mengkarung sedang menjelir-jelir lidah. Anak bulan yang dicari-cari tidaklah pula kelihatan.


"Hohohohoho! Raya hari khamis lah! Hohohoho!" orang Tua itu menjerit-jerit sambil ketawa.


Apapun, hanya Imam Johar dan Menteri sahaja yang mendengar jeritan itu. Semua yang hadir bertambah pelik bila melihat Imam Johar turut berpeluh-peluh.


"Astaghfirullah al Adzim," serentak kedua-dua mereka beristighfar.

No comments:

Post a Comment