Friday, September 17, 2010

Story Telling Session 2 : Skuad Haiwan Ajaib (as seen on tv)

Suasana di pejabat 'Angkatan Haiwan Ajaib' hening seperti biasa. Jam baru menunjukkan tepat 2.25 petang. Seekor anak tikus belanda, anak itik, dan anak kura-kura sedang berehat-rehat di kamar masing-masing.

Tidak semena-mena, petang yang hening tadi bertukar menjadi riuh.

Kriiiinggg!!! Kriiiing!!! Kriiiiingg! Tiba-tiba telefon berbunyi.

Senyap,. Tidak bergerak. Ketiga-tiga haiwan tadi yang merupakan ahli tetap pasukan 'Angkatan Haiwan Ajaib' duduk diam dan tiada seekor pun antara mereka yang mahu mengangkat telefon. Masing-masing buat muka tidak kisah.

Anak kura-kura yang memang terkenal pemalasnya, pura-pura tidur, sedang anak itik yang tidak mahu mengalah dengan anak kura-kura, berlakon seperti sedang lemas di dalam mangkuk kecil berisi air dalam sangkarnya.

Anak tikus belanda melihat jam. Sudah menunjukkan jam 2.30 petang.

"Patutlah pun..." anak tikus belanda mengeluh. Sudah jam 2,30, dan ini bermakna masa untuk mereka bekerja sudahpun tiba. Bunyi telefon tadi adalah petandanya.

"Telefon, telefon berbunyi!" anak tikus belanda memberitahu rakan-rakannya.

"Telefon, kami datang...huh," anak itik bergerak malas-malas ke telefon, dan dia terpaksa patuh pada ketuanya itu, si anak tikus belanda. Kalau tidak, pastilah bekalan daun saderi kegemarannya akan disekat.

"Telefon, telefon berbunyi!" anak kura-kura tiba-tiba ikut sama menyampuk, seperti mahu menyuruh anak itik lekas-lekas menagangkat telefon.

Panas hati anak itik mendengarnya. Tahulah dia telefon itu berbunyi, dan memang dia mahu ke sana mengangkatnya. Sekurang-kurangnya dia bergerak ke arah telefon, biarpun lambat-lambat dan malas-malas bapuk. Bukannya seperti anak kura-kura, pandai bercakap, tetapi kudratnya tidak mahu digerakkan. Dasar keturunan lembap!

"Ada haiwan dalam bahaya!"

"Ada haiwan dalam bahaya!"

"Ada haiwan dalam bahaya di sana!"

Anak itik sampai dan terus mengangkat telefon. Kalau diikutkan hatinya yang panas itu, sudah dia gigit-gigit wayar telefon itu, biar ia terus senyap dan tidak menganggu hidupnya lagi dengan bunyian kring kring yang menyakitkan hati.

Matanya pantas sahaja menuju ke arah corong telefon ajaib itu, untuk melihat-lihat apa yang berlaku. Dalam hatinya terddetik juga rasa kagum dengan telefon ajaib itu. Telefon ajaib itu bukanlah hanya sekadar mengeluarkan bunyi dan suara dari pemanggil, malahan ia juga boleh memaparkan muka dan wajah si pemanggil melalui corong ganggangnya.

Itulah tugas harian skuad 'Angkatan Haiwan Ajaib' ini. Saban hari, mereka akan menerima panggilan dari pelbagai jenis binatang yang sedang berada di dalam kesusahan. Ada kes anak paus tertelan batu karang, anak singa tercekik sayur mentimun, ibu rusa buntingkan anak luar nikah, dan bermacam-macam lagilah kes-kes yang pelik-pelik, yang kadang kala tidak masuk akal. Namun, itulah tugas mereka, menyelamatkan haiwan yang di dalam kesusahan, dan mereka tidak boleh lari darinya.

"Kawan-kawan, lihat ini!" anak itik memanggil ahli pasukannya yang lain, untuk sama-sama melihat pada ganggang telefon.

Kelihatan di skrin telefon itu, seekor anak kucing sedang mengiau-ngiau ketakutan. Seorang tua, yang berpakaian seperti seorang pembesar, sedang memeluk anak kucing itu dengan kuat.

"Anak kucing, kamu di mana? Kenapa dengan kamu?" anak tikus belanda terus bertanya.

"Tolong! Tolong saya wahai Angkatan Haiwan Ajaib!" anak kucing merayu-rayu meminta dikasihani.

"Apa masalah kamu? Nampak bahagia saja kena peluk..Tak macam bahaya pun.." anak kura-kura menyampuk.

Anak tikus belanda memandang anak kura-kura dengan pandangan penuh tajam. Hatinya kecewa dengan sikap anak kura-kura yang tidak prihatin itu. Dalam hatinya dia bertekad hendak melaporkan akan hal itu pada bosnya di Amerika sana, biar anak kura-kura kena pecat. Habislah dia tidak dapat merasa daun saderi yang sedap-sedap lagi.

"Tolong! Saya takut! Takut kena peluk! Tolong , arghhh!!!Takut! Takut! Tolong!" anak kucing merayu lagi.

"La..Itu je ke? Tak da lah bahaya sangat.."anak kura-kura menyindir. Fikirnya lagi, kalaulah sekadar itu sahaja masalahnya, lebih baik dia duduk diam-diam di dalam sangkar, dari membuang masa menolong anak kucing.

"Ada lagi bahaya dari itu.."anak kucing berkata lagi.

"Apa dia?" serentak mereka semua bertanya.

"Aku takut..tak..takut..takut kena letup! Arghhh!" kali ini anak kucing bertempik lebih kuat.

Mendengar sahaja perkataan 'letup' disebut, terus ketiga-tiga haiwan tadi mengigil. Ini kes serius, dan perlu diberi perhatian sehabis baik! Anak kura-kura yang malas-malas tadi, tiba-tiba berubah. Timbul pula rasa kasihan di hatinya terhadap anak kucing. Dia tidak mahu anak kucimg merasakan pengalaman pahit diletupkan sampai berkecai-kecai badannya.

"Anak kucing, takut kena letup.."

"Ini serius! Mesti tolong dia!"

"Selamatkan kucing! Selamatkan kucing! Selamatkan kucing!" semua bertempik semangat tiba-tiba.


 

Kemudian, mereka bergerak berlari ke arah kenderaan rasmi mereka , iatu sebuah bot ajaib yang boleh terbang. Tanpa sempat membaca doa naik kenderaan (tidak hafal sebenarnya), mereka terus memecut laju ke lokasi kejadian.

Di dalam bot mereka menyanyi lagi,

Tikus, itik, dan kura-kura juga,

Haiwan ajaib datang membantu,

Kami tak besar dan kami tak rasuah,

Bila bekerjasama semua jadi mudah,

Yeyy Haiwan Ajaib! Yeyy!


 

15 minit kemudian...

Mereka akhinya berjaya menyelamatkan anak kucing. Keadaan sungguh bahaya tadi, dan nyaris-nyaris sahaja mereka gagal. Mujurlah, dengan pengalaman dan ketangkasan mereka selaku skuad Angkatan Haiwan Ajaib, mereka berjaya juga menempuh halangan dan seterusnya membawa anak kucing jauh dari bahaya tadi.

Di dalam bot mereka menyanyi lagi, riang,

Tikus, itik, dan kura-kura juga,

Haiwan ajaib dah berjaya,

Membantu anak kucing yang kesusahan,

Kami tak besar dan kami tak rasuah,

Bila bekerjasama semua jadi mudah,

Yeyy haiwan ajaib, Yeyy!


 

"Huh..nyaris-nyaris aku diletupkan tadi..Kawan aku yang berbaka Mongolia tu dah kena dah dulu..Terima kaseh Haiwan Ajaib, terima kaseh..," anak kucing berkata dalam nada lelah, keletihan akibat berlari tadi.

"Tak mengapa.. Memang itu tugas kami.." anak tikus belanda pura-pura ikhlas.

Bot ajaib yang sarat dengan keempat-empat haiwan tadi akhirnya samapai mendarat di pengkalan Angkatan Haiwan Ajaib. Semuanya keletihan dan kelaparan, maklumlah tugas kali ini agak merbahaya, dan memerlukan tenaga yang banyak.

"Errr..Anak tikus. Boleh kita berjumpa sebentar?" tanya anak kucing sesampainya mereka di sana.

"Untuk apa?"

"Untuk bincang tentang bayarannya.." kata anak kucing lagi.

"Oh. Kamu ini. Apa bayar-bayar pula? Tapi sebab kamu dah kata, maka saya mesti terima bayarannya. Hajat orang jangan dihampakan.."kata anak tikus belanda. Kalau anak kucing tidak menawarkan bayaran pun tadi, dia akan memintanya juga.

Maklumlah, soal bayaran ini soal mustahak. Harga petrol bot terbang, harga daun saderi, semuanya naik belaka. Jadi, soal bayaran bukanlah soal main-main.

Anak tikus belanda memberi isyarat kepada rakan-rakannya yang lain agar mereka semua beredar masuk ke dalam kandang masing-masing. Soal wang ini soal mustahak, soal kempimpinan.Hanya ketua sahaja yang berhak menguruskannya. Anak itik dan kira-kura tidak berpengalaman dalam hal sepak terajang politik haiwan ini, jadi mereka tidak harus masuk campur.

"Kalau nak kritik-kritik, kena masuk politik. Kena pergi masuk bertanding. Jadi Ketua Bahagian,"katanya dahulu, pendek, sewaktu pernah anak kura-kura mempersoalkan tindakannya.

Anak itik dan kura-kura akur. Kalau membantah nanti, tidak pasal-pasal mereka dipecat dan sarang mereka dirobohkan macam Penjara Pudu. Kedua-duanya bergerak masuk ke sarang, sedang anak tikus belanda meneruskan bicaranya dengan si anak kucing.

Esok harinya, kem skuad Angkatan Haiwan Ajaib gempar dengan kehilangan anak tikus belanda. Apa yang tinggal hanyalah topi biru dan beberapa helai bulu badannya.

Tidak jauh dari situ, si anak kucing meneruskan perjalanan sambil mengosok-gosok misainya.

"Sekali-sekala merasa daging tikus belanda, sedap juga ya," katanya sendiri sambil tersenyum-senyum.

No comments:

Post a Comment