Monday, May 23, 2011

Beban Puak Keris


Seringkali senjata paling ampuh yang digunakan untuk memburuk-burukkan kepimpinan Islam, khususnya di Kelantan, ialah dengan tuduhan bersabit dengan kemajuan. Berbagai tuduhan, dari kualiti jalanraya, keadaan rumah-rumah penduduk, dan sebagainya kerap dimainkan pihak media apparatus pemerintah, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya.

Mari kita tolak dahulu perbincangan mengenai sebab-sebab Kelantan menjadi tidak ‘maju’ itu, kerana nanti perbincangan ini akan berkisar kepada pengkhianatan konsep federalisme, rompakan subsidi minyak milik rakyat, dan sebagainya.

Kalau ditanya pada orang-orang yang menghunus keris dan melaungkan perang salib itu (you know who), apakah sebab mereka mahu memerintah negeri Kelantan, maka jawapan mereka ialah kerana mahu membela nasib rakyat Kelantan yang disifatkan hidup susah di bawah kepimpinan ulama.

Hujah pembebasan mereka ini menyerupai teori Beban Orang Putih / White Man’s burden yang dipelopori puak imperialis dan kapitalis dari Barat diwaktu era penjajahan dahulu. Kaum Eropah menggunakan hujah ini untuk menghalalkan penaklukan mereka ke atas tanah-tanah jajahan serata dunia.

Lantas diterapkan ke dalam jiwa-jiwa rakyat dalam negara yang dijajah, bahawa cara hidup yang mereka pegang selama ini adalah tidak bertamadun, dan apa yang dibawa penjajah itulah sebenarnya tamadun. Sifat bersederhana dalam pemilikan harta adalah tidak bertamadun, sebaliknya sifat berlumba-lumba dan persaingan dalam mengumpul harta kekayaan adalah petanda kemajuan.

Natijahnya, kemajuan dalam erti kata Barat yang dibawa masuk ke dalam tanah-tanah yang dijajah itu bukanlah bertujuan untuk memajukan anak bangsa penduduk asal negeri. Kemajuan yang dibawa itu adalah senjata, racun, dan ‘candu’ , untuk memudahkan mereka dalam mengekploitasi segala hasil mahsul bumi jajahan. Segala mesin-mesin yang canggih, besar sehingga mengakibatkan anak-anak kecil terkencing ketakutan dengan bunyinya yang bingit dan mengerunkan, bukanlah untuk menjadikan negara itu negara yang maju, sebaliknya untuk memudahkan mereka memunggah kekayaan ke negeri masing-masing.

Realitinya, penjajahan yang beratus tahun, di mana masyarakat Melayu khusunya dipinggirkan dan dibiarkan menjadi miskin, telah berjaya menjadikan mereka golongan yang cepat kagum dan terpengaruh dengan kemajuan kebendaan. Terlalu lama di dalam kepuk kemiskinan dan perhambaan sesama manusia menyebabkan mereka menjadikan gaya hidup kaum yang lebih superior pada waktu itu iatu British sebagai petanda kemajuan.

Dalam kata mudahnya, mereka diam-diam menjadikan gaya hidup British itu sebagai ‘idola’ dan impian mereka. Inilah yang dikatakan Ibnu Khaldun sebagai teori minda kaptif atau minda terjajah, di mana sesuatu bangsa yang lama hidup inferior di bawah kekuasaan sesuatu bangsa lain, akan menjadikan mereka bangsa yang memandang bangsa penjajah dan cara hidup mereka sebagai yang terunggul.

Jika kita tidak mampu mengalahkan, sekurang-kurangnya kita menjadi setanding, begitulah tanggapan mereka. Maka, mereka melihat dan mereka pun meniru. Malang sekali, mereka akhirnya terperangkap dengan mainan penjajah. Penjajah yang menjadikan materialistik sebagai tujuan kemajuan, telah berjaya mengeheret sekali pihak-pihak pengkagum mereka dari kalangan bangsa yang dijajah untuk meniru mereka.

Inilah caranya bagaimana ideologi kapitalis terus berkembang sampai ke hari ini. Kemajuan yang sepatutnya dibina atas dasar takwa dan iman, telah diberi takrifan yang salah oleh mereka-mereka yang mindanya telah dijajah.

Lukisan Anak-anak

Anak-anak yang masih di sekolah telah menjadi mangsa keadaan. Kalaulah mereka itu ditanya tentang bukti-bukti kemajuan, maka terus akan dijawab dengan gambaran Menara Bekembar Petronas, litar formula one Sepang, Carcosa Seri Negara (sejak Utusan berubah menjadi akhbar porno, maka anak-anak kita telah ingat nama ini), dan sebagainya. Lihat sajalah hasil-hasil lukisan mereka bila disuruh menggambarkan keadaan negara di tahun 2020 (contoh soalan pendidikan seni sewaktu aku sekolah dahulu). Anak-anak ini akan lantas melukisgambar bangunan-bangunan yang pelik-pelik bentuknya, kereta yang sudah tidak menyerupai kereta (sudah macam jet power rangers rupanya), dan manusia-manusia yang sedang berjalan dengan pakaian yang layak dipakai makhluk asing. Ternyata sekali mereka memandang kemajuan itu bermaksud kehidupan yang penuh dengan teknologi dan manusia tidak perlu susah-susah mahu bergerak, hanya dengan menekan satu butang, semua urusan akan selesai.

Kasihan, tiada gambar pokok pun di dalam lukisan mereka. Mungkin kerana itu apabila mereka dewasa, habis pokok-pokok dan hutan-hutan ditebang, sehingga terjadilah bermacam malapetaka seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Aku pasti bermimpi kalau-kalau aku melihat, dalam lukisan mereka itu, dilukiskan gambar saf solat yang rapat dan penuh melimpah keluar masjid, atau gambar anak-anak mencium tangan ibubapanya. Alangkah baiknya kalau begitu, kerana itulah sebenarnya takrifan kemajuan dalam Islam! Kemajuan yang lebih mementingkan kepada perkembangan sahsiah dan perhubungan sosial sesama manusia. Apapun, realitinya, pengajaran mengenai tamadun Islam itu sendiri sudah disalah tafsirkan!

Diajarlah kepada pelajar-pelajar sekolah menengah bahawa petanda kemajuan tamadun Islam zaman dahulu ialah pada terdirinya Masjid-masjid dan istana-istana khalifah yang cantik dan penuh dengan ukiran berseni. Tidak dinafikan, sememangnya ada diajar tentang kemajuan sahsiah. Aku masih ingat tentang bab yang mebincangkan perbezaan definisi antara tamadun secara Islam dan Barat. Namun, ianya tidak diberi penekanan yang lebih. Kisah-kisah mengenai keadilan insan-insan seperti Umar Abdul Aziz hanya disentuh sedikit, mungkin kerana takut ada insan-insan di atas yang ‘terasa’. Kehebatan kerohanian dan hubungan para alim ulama’ dengan Tuhan tidak diberi penekanan, padahal itulah sebenarnya faktor penting mencapai kemajuan, dan itulah tujuan kita diutus di muka bumi.

Aku tidak hairan dengan situasi ini. Sedangkan sejarah kemerdekaan pun boleh dipalsukan, apatah lagi sejarah tamadun luar.

Serupa Kaum Ad, Tsamud, dan Firaun

Aku bukan memusuhi teknologi. Namun, kalaulah kebendaan yang dijadikan petanda kemajuan, maka tidak ubahlah kita seperti kaum Tsamud, yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai kaum yang mempunyai fizikal yang kuat, mampu menebuk gunung-ganang untuk dijadikan rumah dan bangunan. Kalau anda membayangkan mereka menebuk lubang macam gua, anda tersilap. Rumah dalam gunung itu sangat cantik dan sehingga kini diiktiraf sebagai keajaiban dunia.

Kaum Ad pula terkenal sebagai pakar pertanian. Mereka mampu menukar tanah tandus di tengah padang pasir kepada amat subur dengan tanaman. Teknologi pertanian mereka sangat maju. Kaum Ad ini juga hebat membina benteng pertahanan dan memiliki kepakaran dalam senibina.

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti- pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerusakan. (Al Aa’raf :74)

Kaum Firaun juga begitu. Piramid yang megah berdiri di Mesir, sehingga kini menjadi kekaguman pakar-pakar dan jurutera binaan kerana teknologi dan cara pembinaanya yang sotisfikated. Malahan, dengan kemajuan yang ada pada zaman sekarang ini, belum tentu lagi kita dapat membina piramid yang sebanding dengannya.

Namun, apalah gunanya kemajuan itu kalau ianya tidak mendapat redha Allah. Semua kaum-kaum di atas yang dianggap maju pada zaman mereka, semuanya hancur lebur dimusnahkan. Hal ini kerana mereka juga salah mentafsir erti kemajuan, lantas mereka hanyut dalam leka kebendaan.

Apalah juga gunanya bangunan-bangunan yang tinggi, dan litar lumba bertaraf antarabangsa, jika hutang negara semakin banyak, dan rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang, yang ‘tidak dapat dielakkan’, kononnya.

Itulah yang dikatakan kemajuan yang tidak dibina atas dasar taqwa. Sebaliknya, ia kemajuan yang dibina atas dasar mahu menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah serta mahu mendapatkan pengiktirafan dari orang-orang luar.

Barangkali mereka ini lupa pada kisah Masjid Dirar di zaman Rasulullah SAW.

Kalau itulah kemajuan yang mahu dibawa ke negeri Kelantan, eloklah sahaja mereka ini disamakan dengan penjajah British dan imperialis-imperialis Barat yang lain. Mereka dengan teori Beban Orang Putih. Manakala yang di sini bolehlah dinamakan sebagai Beban Puak Keris.

3 comments:

  1. hambaNYA bertanyaMay 24, 2011 at 6:50 PM

    Assalamualaikum....
    ana tumpang bertanya, macam mana saudara boleh dapat info2 sebegini... minat mengkaji? insyaAllah teruskan...

    ReplyDelete
  2. waalaikumsalam..

    sememangnya, apa guna kekayaan dan kemajuan teknologi, kalau hati rakyat ramai yang resah, hidup tidak tenang.

    Ini kerana sejak dari dulu lagi pihak pemerintah gagal menerapkan taqwa sebagai asas hidup. Sebaliknya, materialistik yang lebih diberatkan.

    Pernah kita dengar ayah bercakap begini pada anaknya, "Belajar betul2 ya nak..nanti boleh masuk syurga.."

    Takda. Yang ada ialah, "Belajar betul2 nak..dah besar nnti jadi doktor..gaji besar.."

    Hidup sekadar cukup dan mampu membantu orang lain, bukankah itu lebih menenangkan?

    Berapa banyak kereta, berapa besar rumah, baru hati akan puas?

    ReplyDelete
  3. good job, may Allah bless you...

    ReplyDelete