Wednesday, April 7, 2010

Menulis Marhaen, dengan ayat lain

Dulu, penyajak sering menggunakan dan membayangkang udara yang segar dengan ketenangan fikiran dan aman tenteramnya hati. Ah, itu penyajak dulu, dan aku sendiri bukanlah peminat sajak untuk membicarakan tentang sajak dalam tulisan merapu aku ini. Barangkali kalau penyajak-penyajak itu hidup di zaman fesbuk ini , aku rasa takkan berani mereka menyebut tentang udara sebagai perlambangan bagi ketenangan.


Aku hairan melihatkan ramai warga yang mengeluh. Aku kasihan melihatkan warga yang sesak dadanya. Susuk-susuk bernama ‘warga’ ini, dalam mengeluh dan sesak dada mereka, semua masih mampu berjalan di tengah-tenga kota mencari rezeki. Samada terpaksa ataupun rela, pasti ada sesuatu yang benar-benar menarik mereka untuk keluar dari ‘tempat persembunyian’ mereka. Sesuatu yang cukup kuat daya tarikannya, sehingga mampu memaksa mereka menempuh udara beracun zaman kapitalis ini.


Ya, tempat bersembunyi. Tempat mastautin. Tempat ini menjanjikan keselamatan, kedinginan, dan ketenangan dari hiruk pikuk penjara sangkar hidup dunia. Tapi, apa jadi, jika tempat sembunyi tidak lagi menjanji keselamatan, kedinginan, dan ketenangan? Diganti dengan sesak, bising anak-anak lapar, minta diisi perut yang sudah bernyanyi seribu satu irama duka.



Muncul pula tiba-tiba sang isteri, dengan baju compang bertampal-tampal, mengharap berita baik suami yang kepenatan, kalau-kalau ada sebuku roti buat ditukar menjadi susu badan bagi anak bayi yang merengek kelaparan sampai lelah.


Ah! Menakutkan sekali bunyi itu. Macam guruh berdentum. Rupanya bukan guruh, tapi jentolak besar berwarna oren. Bagi warga itu, jentolak itu petanda buruk. Bagi rakyat marhaen miskin biasa, di tapak-tapak setinggan, jentolak oren itu macamnya malaikatul maut. Menakutkan, mengerunkaan sekali bunyi. Siap siaga ia datang dengan angkuh, sedia bila-bila masa sahaja untuk meruntuhkan ‘tempat persembunyian’ warga setinggan. Ah, kemana mereka hendak pergi selepas ini?


Di satu sudut, tidak jauh dari ‘tempat persembunyian’ yang runtuh ranap, dengan bisingnya jentolak melemaskan tangis suara anak beranak hilang tempat sembunyi, dua tangan berjabat dengan mesra. Sambil menguntum senyum, terbanyang di mata dua susuk tubuh bersalaman tadi, ‘tapak sembunyi’ sampah-sampah marhaen tadi, bakal dijadikan tapak bangunan baru, untuk menambahkan lagi koleksi bangunan-bangunan bongkak sedia ada.


Gembira benar hatinya. Dalam hatinya, bangunan baru itu nanti akan menambahkan lagi untung hartanya, kalaulah boleh, kuburnya esok waktu mati nanti pun harus dibina megah sedemikian rupa. Dengan BMW, meluncur laju dia balki ke mahligai besar di kaki bukit, dibina dengan kelulusan ‘orang dalam’ , yang laparkan wang suap tanpa memikir bukit itu bakal runtuh ranap bila-bila. Sampai di rumah, ah, wanita gemuk mana yang menyambutnya itu? Siap dengan rantai emas berkati-kati bergantungan dileher dan lengan, sampai silau-silau mengalahkan sinarnya kalimantang. Ah, isteri rupanya. Dengan senyum menguntum mengajak suami ke Disneyland dan Paris minggu hadapan, kata mahu berseronok sambil mebeli belah.


Si marhaen tadi, berjalan mundar mandir memikir. Lalu di kedai kopi, matanya sempat singgah pada peti televisyen, melihat poltikus-politikus dengan Pelan Sejahtera, yang dicanang-canang di merta tempat. Di poster, di radio, di surau, di masjid, di forum perdana hal ehwal. Dia memerhati dengan mata kuyu, melihat orang di kedai rata-rata terpegun, memuji langkah pelan sejahtera. Sayu, politikus itu tak boleh mengenyangkan perutnya anak beranak. Cuma telinga yang barangkali kenyang dengan makanan bernama J-A-N-J-I. Fikirnya, mereka semua memuji dalam keadaan perut mereka kenyang dengan makan-makanan. Dia teringat kata ustaz dalam cermaah mingguan, di surau yang kini sudah dikunci pejabat agama kerana menjemput orang tiada tauliah, “Kita tak bisa fikir dengan baik ketika kekenyangan yanga amat,”.


Longlai dia melangkah ke rumah baru, sebuah bangsal tinggal di pinggir kota, di sebelah kilang, di tepi longkang yang tersumbat, penuh plastik buangan warga perasan bertamadun.


Waktu kala itu, aku duduk tersandar, dengan lagu Apokalips,


Hidup dan nasib..
Roller coaster..Roller Coaster…

2 comments:

  1. Salam...

    Wah, dah tukaq link rupanya. samalah kita. jemput bersinggah ke:

    http://puisikabur.blogspot.com

    ReplyDelete