Wednesday, April 7, 2010

Pak Ungku Datang

Aku memang menanti-nantikan program petang semalam. Letih, dengan kelas padat, menjadi sebab untuk aku bermalas-malasan pada petang hari. Hendak bermain bola, kaki aku menahan, sakit lagi katanya. Duduk, mendengar burung, dengan majalah APO! di tangan, itu pastinya merehatkan. Tapi, petang itu, Pak Ungku tiba untuk siri ceramah ‘Eminent Person’. Aku memang sukakan Pak Ungku dan buah fikirnya, lebih-lebih lagi dalam PPSMI.

Tajuk diberi tentang ‘poverty’ , kemiskinan. Tapi, Pak Ungku banyak menghabiskan masa dengan buah fikirnya tentang PPSMI dan bahasa, dan kurang dari separuh masa diberi pada tajuk kemiskinan itu.

Aku menyimpulkan, pada pendapat Pak Ungku, mengikut rumusan aku, 3 ini perlu ada untuk menjamin perpaduan warga Malaysia, atau 1Malaysia, kata Tok Jib. 3 itu ialah pada :

1. Bahasa Kebangsaan, ini aku letih mahu cerita, aku pernah tulis ini dalam tulisan aku, lewat beberapa bulan dulu, waktu ini jadi isu hangat.

2. Kesamarataan ekonomi. Ini kita tahu tak mungkin dicapai selagi kita memaksa warga kita untuk membudayakan budaya konsumerisme dan menerima bulat-bulat akidah kapitalis. Tanyalah pada Bro Isham TukarTiub, dia lebih tahu tentang ini.

3. Khidmat kesihatan. Ini aku cadangkan agar rajin-rajinkan tangan, di sambil memuat turun kisah House, atau kisah cintan-cintun balak Korea dan minah mata sepet, silalah muatturun filem SiCKO, karya Michael Moore.

Cerita perpaduan ini, sudah jadi isu lapuk yang cuba sentiasa diberi nafas baru oleh sesetengah politikus yang ketandusan idea untuk berkempen. Sesudah menang, ada yang sibuk membesarkan rumah dan menambahkan lagi berat badan isteri dengan makanan berlemak dari budak kampung yang kurus melidi dan minuman manis-manis dari air mata rakyat, beserta gelang emas berkoyang-koyan dari lombong derita marhaen. Sebab itulah perpaduan di negara ini bukan semakin baik, akan tetapi jelas semakin membusuk, kerana isu perpaduan ini tidak diambil serius, sebaliknya hanya dijadikan bahan untuk kempen.

Aku hairan. Aku tetap berpendapat bahawa walau pun ketiga-tiga komponena atas tadi dicapai sekalipun, perpaduan tidak mungkin masih akan dicapai. Ini kerana nilai kedua dan ketiga itu masih berlandaskan pada materialistik, kebendaan. Jadi, kalaupun ia dicapai, ia adalah perpaduan tanpa roh yang boleh hancur bila satu hari nanti, manalah tahu kalau-kalau kita dilanda kemelesatan ekonomi, dan negara gagal memenuhi ini.

Sebabnya, barangkali Pak Ungku terlupa, bahawa di situ terdapat satu lagi nilai yang wajib ada, untuk menjamin perpaduan itu mempunyai roh dan tetap teguh, walau dalam melesetnya ekonomi.

Nilai yang aku maksudkan ialah nilai Keadilan Undang-undang.

Kita yang pernah belajar Sejarah seharusnya tahu tentang sejarah perundangan Malaysia. Tentang siapa ang menulisnya, tangan mana yang mengarahkan itu dan ini di belakangnya. Kalau masih ada yang tak tahu, maka kita pelik bagaimana boleh lulus SPM Kertas Sejarah. Bapa aku guru Sejarah, maka malulah aku kalau ini aku tak tahu.

Ini kerana, pada pandangan manusia hamba, undang-undang ciptaan ini nampak adil dan menjamin kemaslahatan warga. Kerana itu ramai yang mempertahankannya mati-matian, juga atas nama kemaslahatan sejagat. Tapi, janganlah cuba menipu. Aku tahu dan aku harap kawan-kawanku juga ambil tahu, bahawa insan-insan yang bangun mempertahankan undang-undang konvensional barat ini bukannya mempertahankan atas nama keadilan, akan tetapi atas nama kebendaan dan menjaga kepentingan bisnes masing-masing juga. Khalas. Selesai. Itu kesimpulannya. Jangan tanyakan bukti yang memang sudah berbukit-bukit lagi, kerana hanya yang buta mata hati sahaja tidak dapat melihat bukti-bukti kepincangan nyata ini. Aku tak mahu ulas lanjut yang ini juga, kerana ini perbincangan panjang lebar, dan aku tahu ramai yang bosan membaca tulisan panjang lebar aku ini.

Baca surat khabar dengan mata terbuka bukan dengan bertaklid buta, nescaya kita semua dapat melihat buktinya.

Kalau ada masa untuk aku ketemu lagi dengan Pak Ungku, pasti aku ingin tanyakan lagi tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerana semalamnya dia tidak menjawab soalan itu, sebaliknya melencong ke tempat lain.

No comments:

Post a Comment