Wednesday, April 7, 2010

Akhbar

Kalau dulu, semasa kecil, saya masih ingat bagaimana cikgu-cikgu akan merampas sebarang komik yang dibawa ke sekolah.Akan tetapi, antara bahan bacaan yang dibenarkan di sekolah ialah surat khabar. Cikgu turut berkata, “Membaca akhbar akan menambahkan pengetahuan kita mengenai isu-isu semasa”.

Kalau dulu, kata-kata cikgu itu mungkin ada sedikit benar ( bukan seratus peratus benar). Tapi sekarang, rasanya nasihat cikgu itu sudah hilang relevannya.
Hari ini, membaca akhbar semacam seperti membaca komik. Atau barangkali lebih teruk dari itu. Saya tidak mengatakan membaca komik itu teruk, marahlah nanti kawan2 saya yang sebahagian besarnya minat membaca komik. (saya sendiri minat dengan komik One Piece). Akan tetapi, kita sedia maklum yang komik itu memang wujud untuk menghiburkan orang dengan jalan cerita dan jenaka-jenakanya. Maka memang logiklah komik itu ditulis dengan gaya yang bersahaja dan mampu menjadikan orang sakit perut kerana terlalu banyak ketawa (tak percaya cuba baca Dik Cerdas). Dan memang sesuailah jika dikatakan yang teralalu banyak membaca komik tidak mampu membantu membina pemikiran yang kritikal. Kalau ianya dibaca sekadar mengisi masa lapang, tidak mengapalah.

Akhbar pula tidak begitu. Akhbar wujud untuk menjadi penyampai berita, pemberi maklumat semasa yang tepat dan analisis yang kritis serta NEUTRAL kepada masyarakat kita khususnya kepada mak cik-mak cik yang masih teraba-raba dan tidak tahu apa kena mengena krisis kewangan di Amerika dengan harga ikan kembung di Pasar Tani Telok Mas. Jadi, membaca akhbar seharusnya mampu menjadikan warga semakin bijak menilai dan mampu berfikir dengan baik. Memang itu sebabnya akhbar diwujudkan.

Kerana itulah sekarang ini ramai antara kita menjadi bingung apabila melihatkan yang akhbar sudah tidak mampu lagi menjadi agen percambahan minda masyarakat. Sebaliknya, akhbar sudah berubah menjadi agen pem’bodoh’an masyrakat.

Lihatlah sendiri bentuk berita yang ditulis dan dipaparkan untuk bacaan orang ramai. Kebanyakannya berat sebelah. Dalam hal membincangkan sesuatu isu pula, kita sendiri dapat menilai bagaimana hanya pendapat dari satu pihak saja yang diminta. Kalau pun pendapat pihak sebelah ‘ sana’ diminta, ianya tidak lain dan tidak bukan hanya akan dijadikan modal untuk melaga-lagakan pihak ‘sana’ yang kebanyakannya tidak pandai untuk berhadapan media dan bercakap ‘ikut sedap mulut’.

Sebab itu kita dapat lihat yang generasi muda telah mula hilang keyakinan terhadap media akhbar. Surat khabar hanya dilihat sebagai pembodek kelas 1 yang hanya merapu-rapu mengulang irama dan dendangan sama. Maka, generasi muda lebih cenderung dengan media alternative yang dilihat mampu memberi berita yang lebih neutral dan tidak berat sebelah.

Jadi, surat khabar sudah tidak relevan lagi untuk masyarakat yang semakin bijak. Ia hanya sesuai untuk pak-pak turut yang memenuhi kebanyakan kedai kopi di kampung yang jemaah kedai kopinya lebih ramai dari jemaah di masjid.

Cuma, barangkali, akhbar cuma relevan untuk satu tugas saja.

Iatu untuk MEMBUNGKUS NASI LEMAK.

No comments:

Post a Comment