Wednesday, April 21, 2010

'Pemandu Pelancong' Yang Terbaik Ialah Bukti, Bukan Sentimen

Warga Malaysia sudah sepatutnya sampai ke persimpangan ini. Iatu persimpangan untuk memilih, samada mahu mula berfikir, dengan menolak sentimen-sentimen berdasarkan prasangka, atau memilih untuk terus menjadi bodoh, tidak mahu berfikir tetapi hanya terus disuap saban hari dengan berbagai info, tanpa perlu difikir kesahihannya.

Ini kerana kita semua sedia maklum yang negara ini sudah 52 tahun merdeka. 52 tahun ialah satu perjalanan umur yang panjang. Memetik jawapan seorang YB di DUN Kelantan, “52 tahun tu, sudah pun dikira menopause umumnya!”. Maka, kalaulah sekarang warga Malaysia belum lagi sampai ke persimpangan untuk memilih samada mahu berfikir atau terus menjadi ‘tukang nganga mulut’ (yang mengangakan sahaja mulut tanpa berfikir apa yang akan dimasukkan ke dalm mulut), jadi bolehlah dibuat kesimpulan yang perjalanan pemikiran warga amatlah lembab sekali. Mana tidak, sudah 52 tahun, tapi belum sampai-sampai lagi!

Saya memetik kata Don Michael Corleone dalam filem The Godfather, “ Don’t angry to your enemy! It cloudened your decision!”. Ya, jangan marah pada musuh, kerana ini akan menganggu kita dalam membuat keputusan untuk mengalahkan musuh. Maksudnya, kita dapat lihat bahawa sentimen ialah dinding, atau tembok paling besar dan kukuh, yang paling menganggu dan mengacau kita dalam membuat fikiran secara rasional.

Jadi, perkara pertama yang perlu dibuat, untuk mengevolusikan akal dan minda, dari seorang ‘tukang nganga’, kepada pemikiran yang lebih bercorak insaniah dan waras, ialah dengan membuang sentimen dari kotak ruang pemikiran. Sebabnya ialah, sentimen ialah sesuatu yang kita tidak punya kepastian tentangnya. Boleh jadi sentimen itu salah, boleh jadi betul, dan jarang-jarang sekali ianya betul! Salahnya lebih kerap dari benarnya.

Ini renungan, serta teguran dari Pemilik Alam, tentang sifat sentimen ini :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. )Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Maka, bagaimana mahu membuang sifat sentimen ini, terutamanya ketika mahu membuat keputusan?

Jawapannya, ialah pada kesanggupan diri untuk membentuk perangai yang dinamakan bergantung pada diri sendiri. Sama seperti kata Za’Ba dalam bukunya ( yang saya letih mencari sehinggalah akhirnya ada yang sudi meminjamkan untuk di fotokopi ), Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.

Maksudnya, seseorang itu harus punya keazaman yang kuat, untuk menyelidik sendiri apa-apa berita dan info yang diterima, dari apa-apa sumber sekalipun.

Mengapa saya katakan bergantung pada diri sendiri? Ini kerana seseorang itu harus sendiri-sendiri pergi membuat kajian kesahihan berita yang diterima. Rajin-rajinknlah tangan, mencari di internet atau di mana-mana yang diyakini sahih, atau lebih baik jika bertanya sendiri pada tuan punya badan. Memanglah ini memenatkan, tapi sampai bila kita mahu jadi warga taklid buta? Sudah tentu kita tidak boleh sentiasa mengaharapkan Utusan atau Beita Harian untuk menjdai tukang pemikir bagi kita. Kita sendirilah yang punya akal yang dipinjamkan Tuhan, maka kita sendirilah yang harus berfikir menggunakannya. Bukannya orang lain yang harus menggunakan akal kita. Kita sendirilah yang harus menggunanya!

Umpama seorang yang sudah dirasuk iblis atau syaitan, dia ketika itu sudah tiada kuasa mengawal tubuh badanya, melainkan iblis itulah yang mengawal mengikut kemahuannya. Bezanya ialah, kita tidak boleh menyalahkan orang yang dirasuk itu, kerana bukan pilihannya mahu dirasuk. Akan tetapi memang kerja iblis itu menganggu anak Adam. Namun, bagi mereka yang saya katakan tadi sebagai ‘tukang nganga’, mreka sangatlah wajar untuk dipersalahkan, kerana memang itu adalah pilihan mereka sendiri, malah, mereka berasa cukup selesa dalam zon itu.

“Biarkan! Biarkan mereka semua kuasai dan gunakan akal aku (yang sepatutnya aku sendiri gunakan), asalkan hidup aku cukup semua keperluan asas untuk hidup,” kata mereka. Sangka mereka bahawa dengan cukupnya makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan segala macam keperluan asas yang lain, maka mereka telahpun menemui kehidupan yang bernama insan. Akan tetapi, bukanlah dinamakan insan jika dia sendiri tidak punya kuasa mahu berfikir. Sebaliknya, itu ialah haiwan!

Maka, sahabat, marilah kita sama berfikir, dengan mengambil bukti dan hujah, serta menolak sentimen dari menjadi juru pandu kita. Ambillah bukti sebagai jurupandu kita dalam mencorakkan pemikiran dan keputusan yang dibuat.

Di situ, akhirnya kita akan dapat lihat, bahawa bukti yang akan menjadi jurupandu terbaik, ialah Firman Yang Maha Pemurah, dan sabda kekasih junjungan!












No comments:

Post a Comment