Sunday, May 30, 2010

Siri CerDek 3


Hari itu Khairunnisa balik dalam tangisan. Dia berlari sambil tersedu-sedan menangis, masuk ke dalam biilik. Beg sekolahnya dicampak, terus dia melompat ke atas katil. Dia bernasib baik katil besi itu masih mampu menampung berat badannya yang walaupun masih kecil, sudah semacam Bik Mama saiznya. Diambilnya bantal, terus sahaja dia memeluk. Menjerit meraunglah dia di dalam kamar tidurnya itu.

Ayah dan ibunya terkejut melihatkan dia. Suara tangisannya kuat, bergema satu rumah, laksana anak jin menangis gamaknya. Encik Khir memandang isterinya. Puan Rosmah mengisyaratkan dia untuk masuk ke kamar anak perempuannya, barangkali ada masalah besar jadi di sekolah.


“Hu...Hu.,.Huuuuuuuuu...hu
uuuuuu....mengapa ini semua harus berlaku, apakah ini semua kerna diriku..huuuu...huuuu..”, Khairunisa menangis, berselang-seli dengan lagu-lagu sekali.


“Kenapa ni sayang? Kenapa ni,” Encik Khir mengusap-usap rambut anak perempuannya yang baru darjah dua itu. Rasa kasihan bersarang dalam hati, mana tidak, anaknya yang selalu sungguh periang, berlari-lari keliling meja makan dengan gelak tawa sampai lelah, sampai begini jadi tangisnya.

“Hu..hu..hu..tad..tadi.. di sek..sekolah..arghhh!!!waaah!huuu...,” belum sempat Khairunnisa menjawab, tangisannya bersambung kembali. Memang betullah, kalau anak jin sekalipun pasti lari sup sap sup sap, dek kerana takut mendengar Khairunnisa menangis.

“Kenapa sayang? Tenang, tenang. Cuba bagitau daddy kenapa sayang menangis macamni..” Encik Khir bertanya, dalam risau yang kian memuncak. Manalah tahu, jangan-jngan ada mambang atau jebon yang merasuk anaknya itu.

“Tadi di sekolah. Ustazah Mash marahkan Nisa’...hu..hu...hu..”

“Oh..itu je ke? Daddy ingatkan apa tadi.. sebab apa dia marah?” En Khir senyum, ah, hal budak-budak rupanya.

“Seb..sebab Nisa’ tak jawab salam dia! Hu..hu...hu..huhuhuhhu...hu..hu..hu...huhuhuhu.huhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhu hu...hu...huu..hu...huu...huu....huuu..hhuu..huhuhuhuhuhuhuhuh...huhuhuhuhuh..huhuhuhuhuh..huhuhuhuhuhu..huhuhuhuahhuahuahuahuhuah

En Khir garu kepala. Takkan sebab salam sahaja, sampai begitu sekali Khairunnisa dimarahi. Anaknya ini anak yang baik, bersopan santun dan menghormati guru-guru.

“Eh, kenapa Nisa’ tak balas? Takkan Nisa’ tak tau nak jawab salam..cakap je la ‘Waalaikumsalam’..ha..kan senang begitu..” tenang En Khir melayan kerenah anak perempuannya itu.

“Tapi..tapi Ustazah Mash bagi salam lain..dia...dia..dia bagi sal..salam..salam 1Malaysia! Wargghhhhhh!!!huhuhu....”

En Khir terdiam. Buat seketika dia terasa yang dirinya bersangatanlah jahilnya. Rupanya ada juga jenis salam yang dia tidak tahu cara menjawabnya. Muslim jenis apakah dia ini?

Tidak lama kemudian, air mata jantannya pun tumpah juga, berderaian jatuh ke jendela pipinya, bagai manik-manik terputus dari rantai. Mereka berdua anak beranak menangis bersama.

Saturday, May 15, 2010

Surat PERKASAM : Membantah Kemenangan China Dalam Separuh Akhir Piala Thomas

Presiden PERKASAM,
Km 64, Jalan Katak Emas,
Pasir Mas,
Kelantan

Kerajaan Malaysia,
Bangunan Pentadbiran,
Putrajaya

Tuan,
BANTAHAN TERHADAP KEMENANGAN CINA DALAM SEPARUH AKHIR PIALA THOMAS

Sehubungan dengan perkara di atas, kami dari PERKASAM (dahulunya dikenali dengan nama PERKASA) ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya atas kemenangan China ke atas Malaysia pada pertemuan separuh akhir Piala Thomas yang lepas yang berkesudahan Malaysia tewas 3-0.

2. Kami merasakan kemenangan ini secara jelasnya telah melanggar perlembagaan Malaysia yang jelas memperuntukkan hak-hak istemewa untuk Malaysia dalam Piala Thomas.

3. Pasukan kita seharusnya diberikan bantuan atas dasar Ketuanan 1Malaysia ke atas China yang pemain mereka rata-ratanya jauh lebih hebat dari pemain kita.

4. Kami dengan ini menuntut perkara berikut :

- Pasukan Malaysia haruslah diberi 5 mata awal sebelum perlawanan dimulakan
- Meletakkan sebuah atau dua buah kipas besar yang dihalakan ke arah pasukan lawan (lebih afdal kalau ada tiga)
-Luas gelangang tempat pasukan Malaysia bermain haruslah lebih kecil dari pasukan lawan

5. Haruslah diingat bahawa tuntutan kami ini bukanlah bersifat rasis atau perkauman, akan tetapi kami ini mahu melindungi hak-hak istemewa pasukan Malaysia. Selain itu, kami juga mahu membantu anak tempatan agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan lain.

6. Adalah diharapkan agar tuntutan kami ini dipenuhi. Jika tidak , kami akan mengadakan demonstrasi sambil mengarak kepala lembu (kalau tiada lembu, kepala ayam pun boleh) di hadapan parlimen dalam masa satu minggu lagi.

7. Segala kerjasama dari pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih dan salam 1Malaysia


Yang Menjalankan Tugas,


___________________
(Presiden PERKASAM)

*surat ini ialah cetakan computer. Tiada tandatangan diperlukan

Friday, May 14, 2010

Siri CerDek 2 : Khutbah


Semua orang yang keluar dari masjid tadi menunjukkan wajah tidak puas hati. Masing-masing menarik muka masam. Tak kurang juga yang menggosok-gosok mata, maklumlah bermimpi menang pertaruhan bola, yang sekarang ini sudah pun halal, mengikut fatwa terbaru Al Fadhil Ustaz Vincent Tan.

“Tak patut betul. Ada ke patut khutbah tadi cerita tentang kisah Sang Kancil dan sang buaya? Apa ingat kita semua ni budak-budak kecil ka?” marah seorang jemaah.

“Entah. Adik pun tak suka gak. Asek-asek cerita sang Kancil dan sang buaya je. Kat skolah cikgu dah pernah cerita,” sambut anaknya yang baru berusia tujuh tahun setengah itu, sambil berkira-kira untuk mengundi siapa bagi konsert ‘Mahu Jadi Setar’ minggu depan.

Pendek kata, semua orang benar-benar rasa diperbudakkan hari itu.Budak-budak pula rasa seperti diper’bayi’kan hari itu. Rasa marah terbawa-bawa dalam solat jumaat. Terngiang-ngiang di kepala masing-masing cerita tentang sang kancil menipu sang buaya itu, sampai tidak khusyuk pun solat. Kalau dulu, sewaktu solat, ingatan mereka asyik pada bini di rumah, tidak pun keputusan EPL, tapi kali ini lain.

Di dalam masjid, selepas solat jumaat selesai, Imam Sani duduk tersandar di tpi mimbar. Dia benar-bnar kecewa kerana ahli kariahnya marahkan dia kerana membaca cerita Sang Kancil dan Sang Buaya.

“Bukan salah aku. Aku Cuma jalankan tugas sahaja. Aku pun bukannya suka pun baca cerita kanak-kanak di sini. Tapi nak buat macamana,” kata Imam Sani sambil tangannya memegang notis trbaru yang dikeluarkan pejabat agama.

‘LARANGAN BERPOLITIK DALAM MASJID’. Begitulah bunyinya arahan tersebut. Imam Sani betul-betul bingung. Politik itukan maksudnya segala macam hal tentang kepentinagn ummah, tentang hal ehwal ummah. Bukankah memang fungsi khutbah itu untuk membicarakan tentang persoalan ummah dan permasalahannya.

Politik pada fahamannya Imam Sani, bukanlah politik kepartian sepertimana yang dijuangkan sebilangan puak sempit yang tak habis-habis mahu hak istimewa sahaja kerjanya. Politik ialah ummat. Nabi dulu pun berpolitik juga dalam masjid.

Jadi, semalam Imam Sani betul-betul bingung sewaktu mahu menulis khutbah. Apa lagi bahan yang boleh dicerita di mimbar, kalau begitu?

Tiada jalan lain, cerita Kancil dan Sang Buaya pun jadilah. Minggu depan kisah Si Katak dan Putera pulalah.

“Biarlah mereka benci aku. Aku cuma jalankan tugas,” kata Imam Sani dalam hati.

Saturday, May 8, 2010

Siri CerDek 1 : Lesen Tikam-tikam Halal


Bersemangat sekali dia hari itu. Belum pernah dia bersemangat kuat seperti itu sebelum ini. Kalau dulu ucapanya di taman permainan itu hanya berkisar soal-soal remeh temeh belaka. Soal siapa yang harus jadi pengantin lelaki yang perlu disanding dengan Milah, tentang harga asam biji yang tiba-tiba naik sebab pembekal mengalami muflis gara-gara kantoi meletakkan nitrosamine dalam asam untuk menambahkan kemerahan asam bijindan segala macam remeh temeh lain. Tapi, hari ini lain. Hari ini Adek (bukan nama sebenar) begitu bersemangat dalam ucapannya.

Tidak macam hari-hari lain. Rakan-rakannya yang lain pun sedar.Hari ini Adek sangat bersemangat. Tentu ada benda yang betul-betul penting ingin dia katakan hari ini. Justeru,semua orang harus duduk dengan diam dan tekun mendengar. Abdul, kaki tidur khutbah pun turut membuka biji mata besar-besar, tidak seperti selalu-selalu, kerana semangatnya ucapan Adek hari itu.

“Tak boleh jadi,” kata Adek penuh berapi-api.

“Sejak kedai tikam-tikam baru di sebelah masjid itu buka, tidak pernah sekali pun aku menang! Ini penipuan namanya!” marah benar Adek.

“Kau Awang, pernah kau menang apa-apa di kedai itu?” Tanya Adek sambil menunding jarinya yang berdaki kesan main tanah tadi. Tersentak Awang (pun bukan nama sebenar). Hampir-hampir saja terlepas gula kapas ditangannya.

“Tak pernah,Adek. Aku tak pernah menang. Dah 10 kali aku cuba, satu pun tak kena. “ ujar Awang, jujur. Hampir-hampir saja melelh air mata innocence Awang bila mengenangkan kerugian yang ditanggung. 10 kali nilai tikamannya bersamaan dengan seminggu duit belanja sekolah, yang dia sendiri minta dicepatkan bayaran pada ayahnya kerana gila menikam itu.

“Lan, kau macamana?” Adek bertanyakan pada Lan pula. Lan itu dulu memang pakar benar bertikam-tikam ini. Tahu saja dia selok belok ilmu pertikaman ini. Kalau dibuat rangking, kepakaran Lan jatuh nombor 2 bawah Adek. Tapi itu kisah lama. Baru-baru ini Lan mengumumkan persaraannya dari bidang pertikaman dalam satu sidang media tergempar, juga bertempat di bawah gelongsor di taman permainan Taman Hadhari itu. Semuanya gara-gara kedai sebelah masjid itulah.

“Tak Adek. Aku tak dapat apa-apa. Kan aku dah kata minggu lepas. Aku dah bersara. Kau tak dengar ke?” soal Lan balik.

“Ada orang kata kedai tu tak da lesen.Tu pasal dia boleh tipu suka hati. Sebab tak kena pemantauan spot check JAIS, sebab nama tak da dalam senarai kedai-kedai tikam. Memanglah nama tak da. Tak daftar.” Tiba-tiba Lim mencelah. Lim turut marah sekali, sebab kewujudan kedai sebelah masjid itu boleh sahaja menjejaskan perniagaan bapanya.

Budak-budak yang lain menagngguk-angguk, seolah-olah semua sudah maklum tentang hal itu.

Adek berfikir sebentar.Yang sebenarnya, dia betul-betul sudah rasa tercabar. Kredibiliti dia sebagai ketua sekarang sudah tercalar. Dia naik menjadi ketua budak-budak Taman Hadhari itupun adalah atas kapasiti dia sebagai antara pemain tikam-tikam paling berjaya dalam sejarah Taman hadhari. Bila ditanyakan apa rahsia kejayaannya, dengan tersipu-sipu dia menjawab, “Ini ialah kurniaan Tuhan pada saya. Semua ini berkat usaha ayah saya yang selama ini bersusah payah membesarkan saya dengan duit titik peluh hasil nombor ekor Da Ma Cai. Terima kasih ayah. Hadiah kemenangan saya ini akan saya gunakan untuk membawa ayah saya untuk menunaikan Umrah di Mekah,”.

Dek kerana terlalu selalu menang, dia selalu sahaja membahagi-bahagi hadiah kemenangan pada kawan-kawan yang lain. Bila pembangkangnya yang paling kuat, Nuar Botak membantah, dan menuduhnya rasuah, pantas sahaja dia menjawab.

“Ini bukan rasuah. Ini politik wang. Rasuah haram. Politik wang tak haram, bahalul! Tak pergi sekolah agama punya budak!” marah Adek kembali, sambil menguatkan hujahnya dengan dalil yang diberikan Ustaz Sani, cikgu sekolah agama Taman Hadhari merangkap Ketua Pemuda Parti Dominan kawasan itu. Nuar pun tak boleh marah, sebab memang betul dia tidak pergi ke sekolah agama. Jadi, Adek memang lebih pandai agama dari dia. Orang biasa yang tak pandai agama seperti dia haruslah bertaklid buta dan mengikut sahaja. Tambah-tambah lagi ini cakap ustaz, orang pandai agama. Kita orang awam ini jangan memandai-mandai pertikai, nanti tersesat.
.
Jadi kali ini Adek betul-betul marah. Dan dia juga sudah betul-betul bertekad. Permainan tikam haram seperti ini harus dihentikan. Hanya permainan tikam halal berlesen sahaja yang boleh mengelakkan penipuan semacam ini. Kurang-kurang pun, kalaulah semua kedai tikam-tikam mendaftar serta membayar yuran pendaftaran kepada pejabat daerah, mereka juga akan untung. Pejabat daerah yang sudah pun hampir kering kantungnya disebabkan kempem pilihanraya baru-baru ini, akan punya duit untuk membaiki kemudahan taman permainan Taman Hadhari yang semakin buruk itu. Baru sahaja minggu lepas Milah jatuh sampai berbalut kepalanya, disebabkan buaian yang tiba-tiba tertanggal rantainya. Melepas Adek untuk jadi pengantin Milah minggu itu.

“Mari! Kita adukan kepada Ustaz Sani. Nanti tahulah dia perbuat akan hal ini.” Dengan semangat Adek mengajak rakan-rakannya. Semua bangun dan bergerak mengekor belakang Adek.

Friday, May 7, 2010

Bukan Malas

Kalau orang kata kenapa tak kemaskini blog ringkas ini, aku terus terang katakan yang sekarang ini musim peperiksaan. Ini sudah hampir 2 minggu ulangkaji, tinggal berapa hari lagi sebelum kertas pertama.

Ah, kawan,aku tak mungkin punya selera menulis selagi aku masih belum betul ingat sistem badan manusia yang berapa modul itu.

Saturday, May 1, 2010

Malam Sabtu Lepas

Malam sabtu lepas di Malam Puisi Riong. Kali ini aku sampai lewat, tapi majlis belum mula-mula. Sudah hampir 8.30, dan aku di situ, di bawah pokok, sudah mula rimas dengan 'fiesta darah' nyamuk.

Aku perhati keliling. Ini sebenarnya kali pertama aku datang ke majlis-majlis bacaan puisi seperti ini. Mulanya aku datang dengan andaian, ini mesti program yang penuh dengan orang tua berjanggut dan beruban putih penuh satu kepala.

Ini yang aku salah.

Waktu aku sampai, sudah ramai yang mengambil tempat duduk. Walau ada khemah disedia, lebih ramai yang mengambil tempat di bawah pokok, yang lebih dekat dengan pentas. Aku sendiri duduk di luar khemah. Sambil duduk, mata aku sudah mula melilau. Aku perhati, ramai anak muda yang hadir mahu mendengar puisi. Yang seorang, yang berpasang-pasang, yang bawa gitar, yang bawa balak, yang bawa anak, yang bawa selipar jepun (itu aku), yang bawa rokok, semuanya datang hendak mendengar.

Dari jauh, aku sudah nampak rambut beruban putih Pak Samad. Selain dia, aku memang menantikan untuk mendengar bacaan puisi dari Faisal Tehrani, dari Anwar Ridhwan. Tapi, mood aku malam itu hampir hancur dengan bacaan puisi pertama. Sudahlah lama, nampaknya si pemuisi itu sudah macam 'syiok' sendiri. Aku nampak sudah ramai yang penonton menepuk tangan tanda tidak puas hati.

Bagaimana membaca puisi kalau hanya si tukang baca sahaja yang paham?

Yang selepas itu, banyak yang menarik. Nanti kalau sekali lagi dibuat di sini, insyaALLAH aku mahu pergi lagi.

*kata pengacara, Pak Samad itu umpama 'the living legend'. Aku memang mengiyakan.