Saturday, December 31, 2011

Cerdek New Year Special : Bangkai


Angin bertiup dengan kuat malam itu. Laju ia menderu, bersama dengan kedinginan malam bersulam bayu laut yang menyegarkan.  Dayanya lantas mengocakkan sedikit air berbuih kuning di dalam gelas beralaskan meja. Sesekali dua buah gelas itu diangkat, kemudian disatukan oleh dua pasang tangan.


Ching! Bunyi gelas berlaga, disusuli ucapan, “Cheers! Have a drink!”.

Adha dan Sully saling berpandangan dengan tajam. Mulut mencicip air dari gelas, sedang kedua pasang mata itu saling tikam menikam antara satu sama lain. Setiap tikaman menujah laju terus mengusik hati mereka berdua. Rasa ngilu yang memabukkan!

“I rasa bahagia benar malam ini..” Adha bersuara lembut.

Suaranya menggetarkan udara malam, terbias lembut masuk ke telinga Sully. Dia sendiri dapat merasakan kebahagian yang sama dirasakan pasangannya malam itu. Ditambah lagi dengan suasana malam yang sunyi dan jauh dari hiruk pikuk sambutan tahun baru di bandar.

Sengaja mereka berdua memilih untuk tidak turun ke bandar menyambut sambutan tahun baru di kota. Lebih baik melihat sahaja bunga api dari puncak tinggi seperti ini. Malas untuk mencari parking, malas untuk bersesak-sesak. Malas untuk mabuk-mabuk di bawah (sedangmereka sendiri pun sedang mabuk di atas kondo mewah ini. Entah mabuk berkasih, atau mabuk minum air kuning berbuih!)

“I pun sama..Rasa bahagia betul malam ni..”balas Sully penuh menggoda. Berbisik tidak berucap pun tidak suaranya. Sengaja dimanja-manjakan getarnya.

“I love you..”

“I love you too..”

Mereka berdua berpelukan dan berkucupan. Saat itu juga langit yang tadinya gelap dengan sedikit terang bulan, bertukar-tukar warna. Sekejap hijau, sekejap merah, sesekali kuning dan ungu.

Dum! Hijau!

Dum! Kuning!

 Dum!Ungu!

Langit menjadi cerah dengan cahaya bunga api yang datang dari kota.

Rupanya sudah pun jam 0001. Ibu kota gegak gempita dengan teriakan dan sorakan. ‘Happy New Year!’, ‘Selamat Tahun Baru!’, dan ucapan-ucapan lain bertukar ganti. Ibu kota galak. Sambutan tahun baru yang meriah!

“I dah tahu..” tiba-tiba Adha bersuara.

Sully tersentak. Terus dia menarik bibirnya yang tadinya berkucupan. Dia merenung Adha yang sedang berdiri tegak. Raut wajahnya serius, dengan sedikit senyuman terukir. Senyuman yang bukan sebarang senyuman. Ianya lebih kepada sinis, bukan gembira.

“You tahu apa?” Sully bertanya. Dia cuba mengawal suaranya. Berusaha dia untuk menyembunyikan rasa gemuruh dan cemas.

Adha memandangdengan geram. Betina ini buat-buat tidak tahu pula!

“You jangan buat-buat tanya.. I dah tau kegiatan you selama ini..”

“Apa maksud you?! You jangan main-main dengan I Adha!” Sully bersuara , tinggi.

Suasana yang menghanyutkan dalam keghairahan nafsu tiba-tiba  bertukar musimnya. Keadaan jadi tegang. Dingin angin malam dididihkan oleh kemarahan yang sedang membakar. Mesra yang tadinya mulai mekar, layu disambar guruh prasangka.

Adha masih berlagak sinis. Dia memerhatikan gelagat Sully yang mulai hilang kawalannya. Terasa suka pula dia menyaksikan lakonan drama penipuan yang cuba disebunyikan pasangan kekasihnya itu.

“Pui!! Apa main-main? You ingat I tak tahu yang you selama ni menipu I? Oh, mentang-mentang I ni tak setaraf dengan You, you ingat you boleh bohong dan permainkan I??!! Sorry lah..” Adha bersuara, juga tinggi, cuba melawan kembali suara Sully.

Sully mulai naik marah. Ini betul-betul jantan tak berguna!

“Pui!! Jantan tak guna! Jantan tak mengenang budi! Apa tak cukup lagi ke apa yang selama ni I bagi pada you, hah??!!! Cakap! Tak cukup ke???!! Huh???” jerkah Sully.

Butir-butir suaranya umpama peluru. Dia berhenti sebentar, mengambil nafas. Kemudian dia sambung semula tembakannya.

“Pui!! I dah bagi you macam-macam!! Apa lagi?? Baju, jam tangan, dompet!! You kata nak kereta, I dah bagi!! Ni, You kata nak sambut new year dengan aman! I bagi you kondo ni!! You nak apa lagi??!! Apa lagi tak puas hati, huh!! Dasar jantan takbersyukur!! Kufur!!”  Sully menyambung dengan lebih bertenaga. Macam baru lepas minum Red Bull gamaknya. Perkataannya yang terakhir itu sudah seperti ucapan ahli politik pula.

“Pui!!! Bukan I yang kufur!! You tu yang kufur!! You jangan ingat I tak tahu macam mana you dapatkan semua ni! You kata you meniaga konon..Puiii!!! I dah tau..You pecah amanah, kan?? Jangan ingat I tak tau.. I dah tengok semua dokumen tu!! You dah mengkhianati bangsa kita, tau tak??!!!!” Adha membalas, semacam ahli politik juga.

Mujur juga kondominium itu sekelilingnya kosong hari itu. Kalau tidak, tentu sahaja pergaduhan itu akan menarik perhatian manusia lain.

Puii!!!

Puii!! Puii!!

Puii!! Puii!! Puiii!!!

Perang kata bertukar menjadi perang meludah. Air liur bersembur merata-rata. Pengotor dan jijik sekali pergaduhan ini!

“Puii!!”

Puii!! Puii!!

Puii!! Huh..huh..

Kedua-dua mereka sudahpun kehabisan air liur untuk diludah.  Adha dengan gelojoh meneguk air syaitan di atas meja.Dia perlukan bekalan air untuk menyambung kembali kata-katanya. Melihatkan gelagat Adha itu, Sully pun cepat-cepat mencapai gelas di atas meja dan melakukan tindakan sama. Dia masih tidak mahu menyerah kalah!

“I dah tahu!! Tok Gembala bagi duit pada you..Bukan sikit..250 ribu!! 250 ribu!!! You ingat I tak tahu, huh!! Tok gembala suruh you buatkan kandang baru untuk puak kita! Biar gantikan kandang lama yang dah usang tu.. Tapi you..tapi..” Adha tersekat sebentar. Air liurnya habis kembali. Dia degan pantas meneguk lagi air syaitan itu. Gluk gluk gluk bunyinya.

“Tapi you gunakan duit tu untuk beli kondo ni!! Celaka!! You tak tahu ke itu hak milik kaum kita!! I takkan senang-seang menikmati kemewahan ini kalau ianya hasil pecah amanah dan rompakan atas kaum sendiri!! Tak guna punya betina!!!”

“I tak sangka you sanggup hidup mewah di atas kondo ni, sedang teman-teman kita yang lain masih di kandang usang itu!! I takkan sanggup!!!” Adha menjerit dengan kuat, betul-betul di depan muka Sully. 
Tersembur air liurnya yang bercampur bau hanyir arak. Sully menjadi semakin marah!

Sully tekad. Jantan tak bersyukur ini harus diajar!

“Oh..jadi you tak suka lah? Tak pa..takpa.. Kalau macam tu biar I humbankan you keluar dari kemewahan ini!”

Habis sahaja dia berkata begitu, terus sahaja dia menendang Adha dengan sekuat hatinya. Penuh dengan dendam dan kemarahan kerana dikhianati teman jantannya sendiri.

Tendangan kaki belakannya tepat mengenai Adha, lantas terus sahaja dia tercampak dari pagar balkoni yang sedikit rendah itu. Sebelum Adha tercampak,sempat dia menjeling dengan kejam.

Adha tidak dapat berkata apa-apa, sedang dirinya sendiri semakin laju menjunam ke bawah. Tiada suara. Tiada jeritan. Bum!!! Sekujur tubuh terhempas ke lantai kondominium mewah itu. Impak jatuh dari tingkat 40 terus sahaja menghancurkan kepala Adha.

Keesokan harinya,berita muka hadapan sebuah akhbar melaporkan berita tentang seekor lembu disyaki lembu jantan, ditemui mati di tingkat bawah sebuah kondominium mewah di Singapura.

“Padan muka kau jantan tak guna! Ini bukan sebarang lembu betina..Ini panglima perang tau!!” getus Sully,sambil melangkah pergi.

“Hahahaha!! Hahahaah! Padan muka!! Kalau aku jumpa bangkai kau, aku tampar! Aku ludah!! Biar puas hati aku!!” Sully menyambung, sambil gelak tawanya memecah keheningan malam.







No comments:

Post a Comment