Tuesday, December 27, 2011

Rambut Panjang


Ya, kebelakangan ini ramai sekali yang mengomel macam-macam pabila bertembung dengan aku. Tidak semua,tetapi ada sebilangan, yang mengkritik rambut ku yang makin panjang.

Teman-teman yang dikasehi, nanti sesudah exam akan aku potong. Buat sementara ini bersabarlah dengan aku seadanya haha

Nabi Muhammad SAW pun berambut panjang. Akan tetapi baginda sangat kemas dan tersusun penampilan baginda. Allahumma Solli A'la Muhammad, Wa A'la Ali Muhammad.

Aku kemudian teringat satu kesah yang pernah aku tulis penghujung tahun lepas. Ya, cerpen panjang pertama ku.

Bercerita tentang rambut panjang.




___________________________________________________________________________




IMPIAN ROCK AMIN




"Mana dia? Cari sampai dapat!"

"Sana yah! Barangkali lari ke sungai!"


Amin memandang dari atas pokok. Berpeluh-peluh dia melarikan diri dari ayah dan abangnya. Semuanya kerana dia sayangkan rambut panjangnya itu. Semuanya disebabkan rambut panjang mirip Amy Search itulah. 


Sibuk dia membetul-betulkan rambutnya yang mula nampak serabut setelah dia melakukan pecutan. Laju dia memecut tadi, sampai hampir-hampir hilang nafasnya tadi. Uh, barangkali pecutan terhebat dalam hidupnya.


"Mereka semua ini tak faham! Tak faham! Gila, Hasad!" getus Amin dalam hati kecilnya.


Amin tetap berdegil. Biar orang kata dia itu anak derhaka sekalipun. Dia sudah membulat tekad. Dia tetap tidak akan mahu memotong rambutnya. Dia mahu membiarkan rambutnya terus panjang mengurai. Biar orang kata dia sudah serupa hantu raya pun. Bila sudah cukup panjang nanti, bolehlah rambut itu diikat ala 'ponytail' dengan gelang getah. Ah, macam Amy Search zaman kegemilangan rock kapak 80-an dulu.


Minat Amin pada Amy Search seperti minatnya seorang bujang yang sedang sangap mahu kahwin pada perempuan anak dara pinggitan kampung. Biliknya penuh dengan poster-poster kumpulan Search. Di sudut tepi jendela, di muka pintu, di siling atas, kesemuanya gambar Search. Syukur tiada gambar melainkan Kaabah yang mulia pada tikar sejadahnya, walaupun dia tidak solat seperti mana orang lain solat, kerana dia memang tidak pandai solat.


Dalam almarinya, dia letakkan satu gitar Kapok. Dibelai-belai, digosok-gosok setiap hari penuh kasih sayang. Bukanlah dia itu pandai memainkan gitar, apatah lagi membuat aksi meng'goreng' seperti Man Kidal. Akan tetapi dek kerana kehendah mahu menjadi seperti Amy Search, atau sekurang-kuranngya serupa, maka ditahannya untuk bekerja menolong Wak Karmin di kebun, menebas dan meracun lalang, agar dapat dia kumpulkan duit buat membeli gitar kesayangannya itu. Sebulan dia bertungkus-lumus menyimpan, sehingga pernah pengsan ketika di kelas, kerana terlalu lapar disebabkan pelan penjimatan berganda yang dia lakukan.


"Baik di buat beli buku sekolah duit tu, Amin...", lembut Rosnah menegur sambil mengusap rambut anak kesayangannya itu.


Dalam hati dia tetap kagum dengan kesanggupan Amin bekerja keras untuk mendapatkan barangan idamannya. 


Rosnah terfikir, Amin yang terencat itu pun punya akal dan wawasan untuk berjaya dengan mengumpul rezeki halal. Dia bukannya mencuri getah sekerap orang, atau memecah masuk rumah orang, apatah lagi membolot baja subsidi orang kampung. 


Rosnah pelik dengan orang lain yang punya akal sempurna, dengan tulang empat kerat, masih mahukan kerja haram untuk dijadikan punca rezeki. Apa di dunia sudah tiada barang apa-apa kerja halal lagikah? 


Bahkan, kalau dibilang, lebih banyak kerja halal yang ada berbanding kerja haram yang wujud dalam dunia ini. Cuma kemahuan untuk bersusah payah sedikit sahaja, untuk mencari yang halal, kerana yang halal itu, pastinya berkat, meskipun kelihatan seperti penuh dengaan usaha dan peluh yang menitik. Manakala yang haram itu mudah-mudah belaka, tapi pastilah hilang kebahagian dari apa yang dicari itu.


"Tak pe mak. Buku sekolah tu nanti Amin cari duit lain. Sekarang ni Amin maukan gitar mak. Baru nampak macam Amy Search. Feewiiit!!!" Amin menunjukkan isyarat rock kepada ibunya sambil meniru 'trademark' terkenal Amy Search itu (jari telunjuk dan jari kelingking diangkta, sedang jari yang lain semua diturunkan).


Rosnah hanya tersenyum. Dalam hati dia masih lagi risau mengenangkan anaknya yang seorang itu. Rasa simpati pada Amin masih lagi bersarang. Silap dia dan suaminya dahulu yang lambat menghantar Amin ke klinik waktu dia kecil dahulu. Ketika itu umurnya baru 2 tahun. Demam panasnya teruk, tidak mahu kebah-kebah. Sudah 3 hari. 


Tapi, Deraman masih belum punya cukup wang, untuk membayar sewa rumah sekalipun. Tuan Rumah Noh pula sudah mula pandai memperli-perli kasar. Malu di hati Deraman, Tuhan Maha Pengasih sahaja yang tahu.


Rosnah masih ingat dia dan sekeluarga dimalukan di kenduri arwah Lebai Salim tempoh hari. Sengaja Tuan Rumah Noh kuatkan suara ketika orang semua sedang makan-makan sambil bual-bual kosong.


"San, hari tu ada orang bertanyakan rumah sewaku itu. Katanya dia sanggup membayar RM 300 sebulan. Kau dengar San, RM 300! Errrr..aku ini, nak dapatkan RM 100 sebulan dari rumah sewaku sekarang ini pun tak dapat-dapat. Kasihan anakku yang perempuan itu. Sudah 2 bulan bajunya tidak bertukar. Kawan-kawannya sudah beli baju fesyen terbaru. Entah apa namanya. In..in..in.."


"Indie!" seorang lelaki separuh umur menyambung.


"Ha! Indie, indie. Fesyen itulah," kuat suara Tuan Rumah Noh sambil matanya melirik ke kiri, walau dia tahu  Deraman duduk selang tiga orang dengannya.


Mat Kassim, Imam Wahab, memandang Deraman. Beberapa orang anak remaja yang nakal tersenyum-senyum. Deraman hanya terkulat-kulat di situ, menahan malu.


"Di sini pun jadi ya? Ah....," Deraman mengeluh.


Apa mampu Deraman? Beliau cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang beras milik tauke Guap Lee Chan. Malam jadi jaga. Siang dia mengambil upah menebas. Kalau ada orang kampung yang mahu membersihkan kebun, atau semak belakang rumah, maka Deraman yang dipanggil. Ada rumput panjang, adalah rezeki dia. 


Semak samun dengan segala macam ular dan kala yang tinggal, tempat yang orang ramai takut-takut hendak dekat, menjadi punca rezekinya. Sinar panas terik matahari yang bisa menyiat kulit orang kebanyakan, tidak mampu menyiat dari hatinya rasa belas ehsan pada keluarganya yang amat disayangi.


Bukan tidak bahaya. Dulu pernah sekali dia dipatuk tedung selar. Besarnya sebesar lengan orang dewasa. Sebulan dia tidak menebas. Kesan racun, bercampur dengan rasa takut. Namun, itu semua tidak lama. Ditabahkan rasa hatinya, setelah melihat anak bininya sebulan makan bawang goreng berkuah kicap.


"Biar aku mati. Tak sekali aku biar anak bini aku lapar, sedang anak orang kampung lain enak makan sampai gemuk. Jangankan ular, naga datang pun aku pergi menebas," tekad Deraman.


Dulu ada YB Jais datang menghantar gula, beras, dan minyak masak. Tapi itu lama dahulu. Sudah tiga tahun, dan Deraman masih ingat lagi kala YB Jais dan juak-juaknya, siap dengan jurugambar, datang melawat.


"Pak, errr...apa nama tadi? Oh, Pak Deraman. Pak Deraman jangan risau. Saya datang menawarkan sejahtera pada Pak dan keluarga Pak, serta seluruh penduduk kampung ini. Saya akan bawa kemajuan mega, besar-besaran ke kampung ini.."


" Waktu tu Pak tak perlu menebas lagi. Pak akan dapat kerja lebih elok lagi. Orang berumur macam Pak tak elok kerja menebas ni, tengah panas pula tu. Pak Deraman undi saya. Saya ikhlas mahu membantu mengubah nasib orang seperti Pak Deraman! Masa untuk perubahan! We must change! " bertempik YB Jais tiba-tiba, siap dengan pelatnya sekali, hingga perkataan 'change' tadi, berbunyi 'cheng'.


Habis terdedah yang YB Jais itu rupanya bukan orang asal kampung itu, seperti mana didakwanya dalam ceramah umumnya tempoh hari. Pekat loghat Terengganunya, sehingga tersembur air liurnya menutur kata 'change', sampai ke muka Deraman.


"Saya belum nak kencing, Pak cik.." tiba-tiba Amin menyampuk. Sangkanya tadi YB Jais menyuruh dia pergi kencing.


YB Jais hanya tersenyum sambil mendukung Amin mesra. Beberapa orang jururkamera menghalakan lensa dan memetik gambar YB Jais mendukung Amin. Deraman rasa bangga, kerana anaknya sudah jadi terkenal. Kalau-kalau masuk gambar di muka depan surat khabar Perutusan Malaysia.


Sangkaannya itu betul. Sebab, keesokan harinya, muka depan akhbar, memaparkan gambar YB Jais sedang mendukung Amin, sambil kelihatan juak-juaknya berhimpit-himpit satu sama lain, untuk sama-sama menempel di dalam gambar itu. Tajuk besar berwarna hitam pekat, 'JAIS CALON PENYAYANG'.


"Dasar budak terencat akal! Aku bilang change (dengan berbunyi seperti cheng), dia kata kencing! Cesssh!" gerutu YB dalam hati, dengan senyum pahit dibuat-buat manis.


Deraman ingat lagi, YB itu memakai T-shirt ala kadar serta berselipar. Gaya nampak macam pekerja kelas bawahan saja. Malah, YB Jais berbaik hati turut sama mengambil sabit di bawah rumahnya, utnuk sama-sama menyabit dengan Deraman. Deraman pelik juga, memandangkan tiada lagi rumput panjang di sekeliling rumahnya untuk disabit lagi. Maka disuruhnya sahaja YB Jais menyabit rumput pendek di padang tepi rumahnya. Jurukamera berebut-rebut mengambil gambar YB Jais menyabit. Keadaanya juga sama, dengan beberapa orang kampung, tiba-tiba menebeng, berhimpit-himpit untuk memasukkan wajah ke dalam kamera, sambil semua mengangkat ibu jari masing-masing.


"Gambar menyabit pun boleh laku ya zaman sekarang?" Deraman pelik. Memang dia ini seorang yang sangat lurus sekali, tiada hasad, tiada dengki, apatah lagi agenda peribadi dalam diri mulusnya.


Dia bukannya jenis orang yang mengikuti perkembangan semasa. Hendak membeli akhbar pun tidak mampu. Dia tidak tahu, jangankan gambar menyabit, cerita orang tidak buang air besar dua hari pun boleh dibuat bahan kempen zaman sekarang.


Tapi, baru-baru ini, dalam perjalanan ke pekan, dia terserempak dengan YB Jais, siap dengan anak-anak buah, berkot mahal, bertali leher merah berjalan megah ke arah sebuah mahligai besar.


Seingat Deraman, disitu dulu tanah rezab simpanan khas untuk orang Melayu. Macamana YB boleh dapat hak membina rumah di atas tanah rakyat itu, tidaklah kuasa Deraman memikirkan. Malas dia mahu masuk campur.


"Hal-hal politik ini orang awam biasa jangan masuk campur. Tahulah pemimpin-pemimpin kita tu macamana nak memimpin negara. Tak perlulah nak diajar-ajar lagi," fikir Deraman.




*********************************************************************************




Amin masih memandang dari atas pokok. Rasa takut bercampur geli hati. Takut mengenangkan Deraman yang garang itu mungkin akan menghambatnya dengan tali pinggang sampai ke Kedai Gunting Rambut Rajoo di pekan. Geli hati kerana melihatkan ayah dan abangnya terkial-kial ke hulu ke ke hilir mencarinya. 


Buat kali pertama, Amin rasa mereka berdua itu lebih terencat akal dari dirinya yang memang sedia terbantut akal fikirnya.


"Aku tak terencat! Mereka tu semua yang terencat!" jerit Amin kuat-kuat, tapi bukan dengan mulut, hanya dalam hati. Kalau dengan mulut, pastilah tempat persembunyiannya akan terdedah dan sudah tentu pasti, selipar abangnya sudah melayang ke mukanya, tepat dari bawah pokok mangga itu tadi. Amin, walau terencat, masih ada lagi sisa baki buah fikiran dalam otak kecilnya.


Amin memang sudah lama tidak berpuas hati. Rakan-rakan sekolah, abangnya, semua suka mengejeknya. Terencat, terencat, terencat, itu sahaja yang di dengarnya di sekolah dan di rumah. Kadang-kadang, bila mereka semua bosan, ditukarnya perkataan lain. Gila, gila, gila, gila, sampai naik kematu telinga kecilnya mendengar ejekan 'terencat' dan 'gila' dari insan-insan yang perasan berfikiran waras itu.


"Lagi baik berzikir, sebut nama Tuhan, dari zikir sebut gila, gila, terencat, terencat. Lainlah aku. Akukan gila. Ustazah kata orang gila dapat masuk syurga. Eh, aku ni gila ke tak sebenarnya? Entah. Hari ni makan apa agaknya ya? " Amin keliru sendiri.


Siapa kata Amin malas belajar? Dia bukan malas. Dia sudah cuba sedaya-upaya. Tapi, ilmu yang diajar cikgunya di sekolah cukup payah hendak difahaminya. Sebab itu Amin lebih banyak termenung sahaja dalam kelas. Kata ibu, ini semua bukan salah Amin. Ini semua sudah takdir Amin. Amin bukan tidak pandai, tapi Amin sudah ditakdir jadi begitu. Kata Rosnah, kalau sudah ditakdir begitu, apa lagi daya kita mahu perbuat lagi. Terus sahajalah hidup dalam keadaan terencat itu, kerana semuanya sudah ditakdir!


Amin tahu, dari tazkirah Ustazah di sekolah, dengan pelajaranlah nasib keluarganya yang miskin boleh diubah. 


Dia kasihan melihat ayahnya, Deraman bekerja berat semata-mata mahu menangung makan minumnya. 


Dia kasihan juga dengan abangnya yang selalu mengejeknya itu, yang bercita-cita mahu jadi pemain bola terkenal, macam Lionel Messi, tetapi tidak punya wang untuk membeli hatta but kain sekalipun.


 Kalau di padang sebelah rumahnya itu, hanya abangnya, Radhuan sahaja yang berkaki ayam. Setiap kali balik dari bermain, kakinya pasti penuh dengan kesan stud dari but bola teman-teman sepermainannya yang memang tiada belas ehsan itu. Dipijaknya kaki Radhuan itu dengan kasut stud enam, walaupun mereka tahu Radhuan itu berkaki ayam. Itu sahaja cara yang mereka ada untuk menyekat si Radhuan yang lincah itu dari menjaringkan gol. Radhuan pula memang tidak pernah merungut. Bagi anak orang kelas miskin seperti dirinya, dibenarkan bermain sekali dengan anak-anak orang kampung yang lain itu, sudahpun dikira cukup baik.


"Aku terencat bukan sebarang terencat! Aku ada wawasan!" itulah mantera yang Amin ulang-ulang hampir setiap hari.


"Memang gila adik aku ni. Cakap sorang-sorang!" kata Radhuan, bila melihat Amin berulang-ulang membaca mantera semangatnya itu.


Sebab itu Amin mahu jadi penyanyi rock kapak, macam Amy Search. Dia tahu, itu sahajalah cara yang dia ada untuk membantu keluarganya. Hendak belajar, dia tidak pandai. Bila jadi 'rockstar' nanti, dia boleh dapat royalti (orang gila pun tahu pasal royalti ya). Waktu itu, waktu sudah kaya, dia mahu belikan ayahnya kereta BMW 5 Series yang baru. Ibunya pula akan dapat baju kebaya berlabuci, siap dengan butang kilau-kilaunya sekali. Abangnya, Ridhuan pula, akan dibelikannya kasut but Adidas Predator yang harganya RM 700 sepasang itu, barulah nampak serupa Messi. Waduh, nampak kena sekali! Begitulah kira-kira yang dibuat Amin.


Sebelum mahu jadi 'rockstar', dia perlu simpan rambut panjang-panjang dahulu. Amy Search, Mus May, kumpulan Melissa, Rahmat Ekamatra, Awie Wing, semuanya ada rambut yang panjang. Cantik atau tidak mereka itu berambut panjang, tiadalah Amin ambil peduli. Yang penting, rambut panjang itu identiti rock. Kalau mahu rock, mesti perlu ada rambut yang panjang, begitulah fikir Amin. Nanti, dia akan menyanyi sambil memetik gitar eletriknya, diiringi dengan drum dan bassnya sekali. Kemudian, sambil menyanyi, rambutnya akan turut terbang mengerbang ditiup kipas di atas pentas. Wah, memang nampak rock!


"Fewwwittttt!!!," Amin akan menjerit setiap kali terbayang saat dia bakal berada di atas pentas nanti.


"Memang sah gila. Feewit fewit sorang-sorang dari tadi. Please, please, please, kamu jangan naughty," kata Radhuan sambil menyanyikan lagu Jangan Naughty nyanyian Alif Ba, penyanyi kegemarannya itu. Selera Radhuan dan Amin dalam pemilihan lagu ternyata nampak ketara bezanya.


Namun, sekarang ini, Amin sedang berada dalam krisis paling besar dalam hidupnya. Ada orang mahu menghancurkan harapan dan cita-citanya! 


Ah, siapa? Jahat betul mahu menganggu cita-cita orang terencat seperti Amin! 


Ayah dan abangnya. Mereka sedang mencari Amin. Mereka mahu rambut Amin di gunting. Perasaan kecewanya pada ayah dan abangnya semakin terasa. Tidak disangka-sangka, ahli keluarganya sendiri mahu menghancurkan cita-cita mulianya itu. Selama ini dia banyak mendengar Ustazah di sekolahnya mengajar tentang sifat hasad dengki yang sangat dikeji dalam Islam. Rupa-rupanya ayah dan abangnya sendiri telah dijangkiti penyakit penghancur agama dan bangsa itu.


"Patutlah orang Melayu tak maju-maju!" fikir Amin dalam hati.


Amin kembali mengusap-usap rambutnya. Dia tahu, ini semua mesti kerja Cikgu Berahim yang garang itu. Sudah tentu dia yang melaporkan pada Deraman tentang rambut panjangnya. Kalau tidak, Deraman pun malas mahu ambil kisah. Tetapi, bila suatu hari Cikgu Berahim datang sambil marah-marah, Pak Deraman sudah tidak boleh bersabar lagi. Ini peraturan sekolah. Rambut Amin mesti dipotong!


"Cikgu Berahim jahat! Cikgu Berahim hasad! Sial!" Amin menyumpah dalam hati.


"Bila aku sudah terkenal nanti, sudah famous, jangan harap aku naik sain autobot..ehh..ape aku cakap ni? Oh. Autograf.Ya, jangan harap aku nak sain autograf untuk Cikgu Berahim. Cikgu Berahim jahat. Cikgu Berahim tak dak wawasan," gerutu Amin lagi.


Sedang Amin leka menyumpah-nyumpah gurunya itu, suatu kejadian tidak disangka-sangka berlaku. Tiba-tiba sahaja, seekor Ular Daun datang menjalar di atas kaki Amin, barangkali Ular Daun ini sudah pening lalat sehingga tidak dapat membezakan antara dahan pokok dengan kaki budak Amin.


Amin terperanjat beruk. Dia memang sangat takutkan ular. Lebih-lebih lagi bila ular itu tiba-tiba sahaja menjelirkan lidah merah bercabangnya itu.


"Auuooooowwwwwwww!!!" Amin menjerit ketakutan.


Ketika itulah, Amin hilang imbangan badan dan terus jatuh menjunam ke bawah. Dia menutup mata. Waktu itu, apa yang difikirkannya hanya maut. Dia memikirkan juga mana tahu, barangkali mungkin di syurga nanti dia masih boleh menjadi rockstar. Akan tetapi, nasibnya baik sekali. Kebetulan, ketika itulah Wak Jo sedang lalu di bawah pokok itu sambil mengusung basikal tuanya. Di belakang basikal itu, diletakkannya satu tong besar berisi susu getah yang baru dikutipnya tadi.


Kuasa Tuhan. Amin jatuh menjunam, tepat ke dalam tong berisi susu getah itu. Keceluuuppp, bunyinya. Wak Jo jatuh beserta dengan basikal dan tongnya sekali. Habis, semua susu getah tertumpah. Wak Jo benar-benar terperanjat. Tambah memeranjatkannya lagi bila melihat, ada seorang budak yang sudah berlumuran dengan susu getah sedang duduk di depannya sambil mengosok-gosok kepalanya yang sakit. 


Kuasa Tuhan, mujur Amin selamat! Hanya benjol kecil sahaja. 


Kuasa Tuhan!


"Ayah! Amin di sini. Di sini dia!" tiba-tiba terdengar suara Radhuan menjerit memangil Deraman.


Deraman bergegas dengan tali pinggang siap di tangan. Wahai, demi sahaja melihatkan Amin yang sedang duduk sambil menggosok kepalanya yang kesakitan, Deraman melepaskan tali pinggangnya itu. Marah bertukar menjadi kasihan. Memang Tuhan itu Maha Kuasa membolak-balikkan hati. Pak Deraman segera mengosok-gosok kepala Amin. Hampir-hampir sahaja dia tidak mengenali Amin yang sudah pun penuh badan dan mukanya diselaputi susu getah yang likat melekit-lekit itu.


"Ayah...sakiiit...." Amin mengadu.


"Ayah tahu.. Siapa suruh nakal, kan sudah begini jadinya.. Sudah. Mari kita ke kedai gunting. Getah di rambut kamu itu tak boleh hilang. Gunting saja jalannya," leter Deraman.


"Sampai botak, ayah?"


"Ya, sampai botak"


Keluar titik air dari bibir kelopak mata bulatnya itu. Amin menagis teresak-esak.


 Habis. Khalas. Selesai.


 Hancur semua cita-citanya. Citanya tersekat di tengah jalan.


"Jangan risau, Amin.." tiba-tiba Radhuan bersuara lembut pada adiknya. Buat pertama kalinya.


"Amy Search pun sekarang dah botak. Tak percaya tengok poster ni," Radhuan menunjukkan pada Amin poster 'Konsert Suatu Masa' Amy Search di Istana Budaya. Kelihatan di situ Amy Search dengan penampilan barunya. Botak dan kemas. Tapi, walau botak sekalipun, Amy tetap nampak rock.


Amin berhenti menangis, lantas tersenyum. Deraman ketawa. Radhuan ketawa. Mereka anak beranak semua ketawa. Wak Jo sahaja yang termangu-mangu, pelik melihat anak beranak itu ketawa berdekah-dekah.


Deraman bersyukur dalam hatinya kerana Amin terselamat tanpa apa-apa kecederaan serius. Dia tersenyum memandang Amin dengan gigi rongaknya itu. 


Akan tetapi, dalam hatinya bergelojak pertanyaan maha berat.


Bagaimana mahu dia menggantikan susu getah Wak Jo?

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment