Sunday, December 18, 2011

Marhaen (Begitulah Wajahmu)

Aku tenung wajahnya dalam dalam. Walau pada riak wajah dan suara penuh jujur, nyata sekali di dalamnya berlaku gelora dan taufan kerisauan yang sedang membadai. Ianya dapat disedari kalau kita merajinkan diri duduk dengannya lama sedikit untuk menafsir wajah tipikal marhaen yang sedang bersurah kisahnya padaku itu.

Sukar sekali bagiku untuk membahagikan tumpuan pancaindera yang berbelah bahagi ini. Telingaku cuba khusyuk mendengar riwayatnya, sedang mataku cuba terjun menyelami dan menafsir riak wajahnya. Kekadang pula, mulutku segan segan mencelah untuk menenangkan dan menggembirakan sang perawi yang sedang berkisah itu.

"Saya tidak berdendam dengan sesiapa pun. Saya bukan taikun kaya punyai banyak musuh. Saya cuma pengawal keselamatan sahaja.."
 kesal dia bersuara.

Engkau tidak perlu berkata begitu hai perawi marhaen, dari tutur dan wajahmu itu sendiri semua orang tidak akan mempercayai bahawa ada makhluk yang tergamak menganiayai kamu, aku berbisik sendiri.

"Petang sebelum kejadian, saya duduk di pos pengawal. Saya bentang tikar di lantai, dan kemudian duduk makan bersama anak dan isteri yang kebetulan datang melawat saya di tempat kerja, membawakan makanan. Kami makan bersama." dia menyambung lagi kisahnya.

"Waktu itu saya memang perasan ada satu kereta berhenti berdekatan pos pengawal kilang Toyota tempat saya berkawal. Penumpangnya tertinjau-tinjau. Saya tidak syak apa-apa. Mungkin orang itu tersesat dan sedang mencari-cari jalan. Maka saya teruskan makan bersama anak-anak"

"Anak berapa orang bang?"

"Anak saya tiga orang. Yang sulung darjah tiga. Dua orang lagi kembar, baru empat tahun. Ada gambar mereka, tapi saya tak bawa. Saya lekatkan di kereta,"

Aku memang menyedari perubahan wajahnya yang sedikit sebak bila menyebut tentang anak. Aku kesal kerana bertanya tentang itu. Nampaknya kehadiran aku dan teman teman tidak menjadi seperti apa yang dimatlamatkan. Kami, seperti yang dirancang untuk aktiviti ziarah pesakit ini, harus berbual untuk menggwmbirakan mereka yang sedang menderita sakit itu. Selain itu, kami datang untuk bertanyakan khabar iman pesakit pesakit.

" Malam itu, saya berkawal seperti biasa. Seingat saya, waktu jam 2 pagi, datang seorang lelaki, menegur saya"

"Memang selalunya pagi pagi begitu akan ada pekerja yang datang menghantar kereta untuk dibawa ke bengkel kilang. Maka saya bukakan pagar hadapan kilang"

"Pagar itu tidak habis saya buka lagi, bila tiba tiba seorang lagi lelaki menerpa keluar dari balik pagar. Rupanya ada seorang lagi lelaki yang menunggu di situ. Saya memang tak perasan. Keadaan gelap waktu itu"

"Dia tak kata apa-apa,terus hayun parang pada saya. Mujur saya sempat angkat sebelah tangan. Kalau tidak, pasti parang melekat pada kepala.."

"bukan sekali, tetapi berkali kali parang dihayun pada saya.. Saya memang terperanjat benar waktu itu.. Tiada yang saya fikir melainkan mati.."

Aku menjeling pada tangan kiri yang berbalut tebal. Aku dapat rasakan kengerian, rasa ngilu dan pedih, membayangkan kalau aku yang mengalaminya.

"dalam kejutan semacam itu, Allah masih beri saya tenaga untuk berlari... Dengan tangan sebelah kanan yang sudah pun terkulai, ditambah dengan darah yang memancut mancut, tetao saya gagahi.. "

"Mereka tak kejar bang?"

"tak.. Mereka masuk ke pos pengawal.. Saya rasakan mereka mungkin tengah mencari kunci untuk membuka stor simpanan kereta..saya waktu itu sempat memyorok dalam kesakitan..mujur juga setelah menggeledah pos, mereka tak mencari saya, sebaliknya terus sahaja lari.."

Aku terfikir adakah abang ini ada mengambil nombor plat kereta penjenyah.

"mereka parking kereta jauh dari situ. Dengan gelap malam, saya tak dapat nak membaca nombor plat kereta."

Bagaimanakah rasanya berlari dalam pekat malam, dalam keadaan darah yang keluar terlalu banyak, dan tangan yang terkulai macam leher ayam yang disembelih?

"dalam keadaan tu pun abang masih larat berlari?"

"Nak buat macamana dik.. Abang fikirkan anak anak..waktu petang tu abanag baru jumpa dengan mereka.. Kalau abang mati siapa nak tanggung mereka?"

"abang capai kunci kereta.. Abang lari ke kereta cepat cepat waktu tu.. Sampai di kereta, mata abang dah mula kabur.. Badan dah macam hampir nak tumbang.."

Aku dapat rasakan yang saudara ini tentu sudah hilang darah dalam kadar yang banyak sekali.

"tapi waktu itu, abang terpandang gambar anak anak..abang ada tampal di kereta.. Terus, abang gagahkam juga pandu kereta ke hospital.. Alhamdulillah, mujur sempat sampai.."

Ada sedikit nada lega di situ.

Sepanjang hampir dua tahun dalam tahun klinikal ini, seseungguhnya inilah kali pertama aku perolehi sentuhan hati secara terus dan langsung dari pesakit.

Aku dapat rasakan sesuatu yang lain pada lelaki ini. Aku pasti, ini ialah kerana dia ini seorang yang jujur! Seorang manusia yang bekerja dengan ikhlas, bukan untuk kaya atau bermewah, akan tetapi hanyalah sekadar untuk mencari rezeki buat disuap ke mulut anak dan isteri!

Saheh, dia jujur dan ikhlas sekali tindakannya!

"Abang, saya ada satu cerita hendak dikongsi dengan abang.."
Tiba tiba seorang teman bersuara.

No comments:

Post a Comment