Friday, September 17, 2010

Story Telling Session 2 : Skuad Haiwan Ajaib (as seen on tv)

Suasana di pejabat 'Angkatan Haiwan Ajaib' hening seperti biasa. Jam baru menunjukkan tepat 2.25 petang. Seekor anak tikus belanda, anak itik, dan anak kura-kura sedang berehat-rehat di kamar masing-masing.

Tidak semena-mena, petang yang hening tadi bertukar menjadi riuh.

Kriiiinggg!!! Kriiiing!!! Kriiiiingg! Tiba-tiba telefon berbunyi.

Senyap,. Tidak bergerak. Ketiga-tiga haiwan tadi yang merupakan ahli tetap pasukan 'Angkatan Haiwan Ajaib' duduk diam dan tiada seekor pun antara mereka yang mahu mengangkat telefon. Masing-masing buat muka tidak kisah.

Anak kura-kura yang memang terkenal pemalasnya, pura-pura tidur, sedang anak itik yang tidak mahu mengalah dengan anak kura-kura, berlakon seperti sedang lemas di dalam mangkuk kecil berisi air dalam sangkarnya.

Anak tikus belanda melihat jam. Sudah menunjukkan jam 2.30 petang.

"Patutlah pun..." anak tikus belanda mengeluh. Sudah jam 2,30, dan ini bermakna masa untuk mereka bekerja sudahpun tiba. Bunyi telefon tadi adalah petandanya.

"Telefon, telefon berbunyi!" anak tikus belanda memberitahu rakan-rakannya.

"Telefon, kami datang...huh," anak itik bergerak malas-malas ke telefon, dan dia terpaksa patuh pada ketuanya itu, si anak tikus belanda. Kalau tidak, pastilah bekalan daun saderi kegemarannya akan disekat.

"Telefon, telefon berbunyi!" anak kura-kura tiba-tiba ikut sama menyampuk, seperti mahu menyuruh anak itik lekas-lekas menagangkat telefon.

Panas hati anak itik mendengarnya. Tahulah dia telefon itu berbunyi, dan memang dia mahu ke sana mengangkatnya. Sekurang-kurangnya dia bergerak ke arah telefon, biarpun lambat-lambat dan malas-malas bapuk. Bukannya seperti anak kura-kura, pandai bercakap, tetapi kudratnya tidak mahu digerakkan. Dasar keturunan lembap!

"Ada haiwan dalam bahaya!"

"Ada haiwan dalam bahaya!"

"Ada haiwan dalam bahaya di sana!"

Anak itik sampai dan terus mengangkat telefon. Kalau diikutkan hatinya yang panas itu, sudah dia gigit-gigit wayar telefon itu, biar ia terus senyap dan tidak menganggu hidupnya lagi dengan bunyian kring kring yang menyakitkan hati.

Matanya pantas sahaja menuju ke arah corong telefon ajaib itu, untuk melihat-lihat apa yang berlaku. Dalam hatinya terddetik juga rasa kagum dengan telefon ajaib itu. Telefon ajaib itu bukanlah hanya sekadar mengeluarkan bunyi dan suara dari pemanggil, malahan ia juga boleh memaparkan muka dan wajah si pemanggil melalui corong ganggangnya.

Itulah tugas harian skuad 'Angkatan Haiwan Ajaib' ini. Saban hari, mereka akan menerima panggilan dari pelbagai jenis binatang yang sedang berada di dalam kesusahan. Ada kes anak paus tertelan batu karang, anak singa tercekik sayur mentimun, ibu rusa buntingkan anak luar nikah, dan bermacam-macam lagilah kes-kes yang pelik-pelik, yang kadang kala tidak masuk akal. Namun, itulah tugas mereka, menyelamatkan haiwan yang di dalam kesusahan, dan mereka tidak boleh lari darinya.

"Kawan-kawan, lihat ini!" anak itik memanggil ahli pasukannya yang lain, untuk sama-sama melihat pada ganggang telefon.

Kelihatan di skrin telefon itu, seekor anak kucing sedang mengiau-ngiau ketakutan. Seorang tua, yang berpakaian seperti seorang pembesar, sedang memeluk anak kucing itu dengan kuat.

"Anak kucing, kamu di mana? Kenapa dengan kamu?" anak tikus belanda terus bertanya.

"Tolong! Tolong saya wahai Angkatan Haiwan Ajaib!" anak kucing merayu-rayu meminta dikasihani.

"Apa masalah kamu? Nampak bahagia saja kena peluk..Tak macam bahaya pun.." anak kura-kura menyampuk.

Anak tikus belanda memandang anak kura-kura dengan pandangan penuh tajam. Hatinya kecewa dengan sikap anak kura-kura yang tidak prihatin itu. Dalam hatinya dia bertekad hendak melaporkan akan hal itu pada bosnya di Amerika sana, biar anak kura-kura kena pecat. Habislah dia tidak dapat merasa daun saderi yang sedap-sedap lagi.

"Tolong! Saya takut! Takut kena peluk! Tolong , arghhh!!!Takut! Takut! Tolong!" anak kucing merayu lagi.

"La..Itu je ke? Tak da lah bahaya sangat.."anak kura-kura menyindir. Fikirnya lagi, kalaulah sekadar itu sahaja masalahnya, lebih baik dia duduk diam-diam di dalam sangkar, dari membuang masa menolong anak kucing.

"Ada lagi bahaya dari itu.."anak kucing berkata lagi.

"Apa dia?" serentak mereka semua bertanya.

"Aku takut..tak..takut..takut kena letup! Arghhh!" kali ini anak kucing bertempik lebih kuat.

Mendengar sahaja perkataan 'letup' disebut, terus ketiga-tiga haiwan tadi mengigil. Ini kes serius, dan perlu diberi perhatian sehabis baik! Anak kura-kura yang malas-malas tadi, tiba-tiba berubah. Timbul pula rasa kasihan di hatinya terhadap anak kucing. Dia tidak mahu anak kucimg merasakan pengalaman pahit diletupkan sampai berkecai-kecai badannya.

"Anak kucing, takut kena letup.."

"Ini serius! Mesti tolong dia!"

"Selamatkan kucing! Selamatkan kucing! Selamatkan kucing!" semua bertempik semangat tiba-tiba.


 

Kemudian, mereka bergerak berlari ke arah kenderaan rasmi mereka , iatu sebuah bot ajaib yang boleh terbang. Tanpa sempat membaca doa naik kenderaan (tidak hafal sebenarnya), mereka terus memecut laju ke lokasi kejadian.

Di dalam bot mereka menyanyi lagi,

Tikus, itik, dan kura-kura juga,

Haiwan ajaib datang membantu,

Kami tak besar dan kami tak rasuah,

Bila bekerjasama semua jadi mudah,

Yeyy Haiwan Ajaib! Yeyy!


 

15 minit kemudian...

Mereka akhinya berjaya menyelamatkan anak kucing. Keadaan sungguh bahaya tadi, dan nyaris-nyaris sahaja mereka gagal. Mujurlah, dengan pengalaman dan ketangkasan mereka selaku skuad Angkatan Haiwan Ajaib, mereka berjaya juga menempuh halangan dan seterusnya membawa anak kucing jauh dari bahaya tadi.

Di dalam bot mereka menyanyi lagi, riang,

Tikus, itik, dan kura-kura juga,

Haiwan ajaib dah berjaya,

Membantu anak kucing yang kesusahan,

Kami tak besar dan kami tak rasuah,

Bila bekerjasama semua jadi mudah,

Yeyy haiwan ajaib, Yeyy!


 

"Huh..nyaris-nyaris aku diletupkan tadi..Kawan aku yang berbaka Mongolia tu dah kena dah dulu..Terima kaseh Haiwan Ajaib, terima kaseh..," anak kucing berkata dalam nada lelah, keletihan akibat berlari tadi.

"Tak mengapa.. Memang itu tugas kami.." anak tikus belanda pura-pura ikhlas.

Bot ajaib yang sarat dengan keempat-empat haiwan tadi akhirnya samapai mendarat di pengkalan Angkatan Haiwan Ajaib. Semuanya keletihan dan kelaparan, maklumlah tugas kali ini agak merbahaya, dan memerlukan tenaga yang banyak.

"Errr..Anak tikus. Boleh kita berjumpa sebentar?" tanya anak kucing sesampainya mereka di sana.

"Untuk apa?"

"Untuk bincang tentang bayarannya.." kata anak kucing lagi.

"Oh. Kamu ini. Apa bayar-bayar pula? Tapi sebab kamu dah kata, maka saya mesti terima bayarannya. Hajat orang jangan dihampakan.."kata anak tikus belanda. Kalau anak kucing tidak menawarkan bayaran pun tadi, dia akan memintanya juga.

Maklumlah, soal bayaran ini soal mustahak. Harga petrol bot terbang, harga daun saderi, semuanya naik belaka. Jadi, soal bayaran bukanlah soal main-main.

Anak tikus belanda memberi isyarat kepada rakan-rakannya yang lain agar mereka semua beredar masuk ke dalam kandang masing-masing. Soal wang ini soal mustahak, soal kempimpinan.Hanya ketua sahaja yang berhak menguruskannya. Anak itik dan kira-kura tidak berpengalaman dalam hal sepak terajang politik haiwan ini, jadi mereka tidak harus masuk campur.

"Kalau nak kritik-kritik, kena masuk politik. Kena pergi masuk bertanding. Jadi Ketua Bahagian,"katanya dahulu, pendek, sewaktu pernah anak kura-kura mempersoalkan tindakannya.

Anak itik dan kura-kura akur. Kalau membantah nanti, tidak pasal-pasal mereka dipecat dan sarang mereka dirobohkan macam Penjara Pudu. Kedua-duanya bergerak masuk ke sarang, sedang anak tikus belanda meneruskan bicaranya dengan si anak kucing.

Esok harinya, kem skuad Angkatan Haiwan Ajaib gempar dengan kehilangan anak tikus belanda. Apa yang tinggal hanyalah topi biru dan beberapa helai bulu badannya.

Tidak jauh dari situ, si anak kucing meneruskan perjalanan sambil mengosok-gosok misainya.

"Sekali-sekala merasa daging tikus belanda, sedap juga ya," katanya sendiri sambil tersenyum-senyum.

Wednesday, September 15, 2010

Story Telling Session : Misteri Anak Bulan

Imam Johar dan rakan-rakannya semua sudah siap siaga. Malam tadi, dia sendiri tidak pun sempat melabuhkan anak mata, dek kerana sibuknya dia menelaah buku astronomi. Semuanya khusus untuk hari ini, iatu hari mereka semua akan berangkat pergi ke Teluk Kemang untuk melihat anak bulan (adapun tahun ini bulan beranak melalui teknik caesarian, katanya kepada rakan-rakan yang semuanya mengangguk berkali-kali dengan laju, setuju.)


Masing-masing melongo sebentar, menunggu ketibaan Menteri Agama yang turut mahu serta datang sekali. Apapun, mereka sudah sedia maklum akan kelewatannya, yang memang sudah menjadi fiil rutin (dia seorang menteri berbangsa Melayu).


Ayam itik berkedek pulang,

Lembu kambing masuk ke kandang


Hari sudah menjelang senja, barulah Menteri Agama pun tiba, dan mereka semua pantas-pantas naik ke tempat teleskop diletakkan. Seperti biasa, Menteri Agama yang pergi dahulu melihat,sedang yang lain semua menunggu di tepi, termasuk yang ada di situ wakil dari syarikat penyiaran Tiga Suku, sedang membuat liputan acara melihat anak bulan yang penuh bersejarah itu.


Tiba-tiba wajah Pak Menteri berubah. Wajah penuh ceria lelaki berperut gendut itu berubah mendung. Peluh menitik-nitik dari tepi mukanya, bagai titisan air di tepi cawan penuh berisi ais.


"Mam, bulan puasa syaitan tak ada, kan?"


"Betul pak menteri, betul,"jawab Imam Johar, yakin 100 peratus.


"They all kena ikat, kan?"tanya menteri lagi, meminta kepastian.


"Betul, betul,"


"Nah, you pulak try. Tak nampak pun anak bulan,"kata menteri sambil menyuruh Imam Johar pula melihat teleskop.


Dia mungkin tidak menyedari, tetapi semua yang ada di situ dapat menyedari akan perubahan pada Menteri, yang menggeletar bagai terkena demam kura dan wajahnya berkerut-kerut laksana sedang meneran gamaknya.


Pak Imam melihat menerusi corong teleskop. Dia mencari-cari dan melihat dengan ketelitian serta kekhusyukan penuh tumpuan.


Tiba-tiba, tidak semena-mena, entah dari mana, dari corong teleskop, dia melihat satu objek terang sedang terbang dengan betul laju di langit. Imam memfokuskan lagi pandangannya.


Kelihatan dengan jelasnya figur seorang tua berjambang putih panjang, dengan tanjak keemas-emasan di atas kepala, sedang terbang di langit dengan mengenderai dua ekor kambing (kambing itu serupa dengan kambing imam yang hilang bulan lepas), satu ekor kuda, dan satu ekor lagi ialah seekor rusa yang patah sebelah tanduknya. Turut kelihatan ialah dua ekor mengkarung sedang menjelir-jelir lidah. Anak bulan yang dicari-cari tidaklah pula kelihatan.


"Hohohohoho! Raya hari khamis lah! Hohohoho!" orang Tua itu menjerit-jerit sambil ketawa.


Apapun, hanya Imam Johar dan Menteri sahaja yang mendengar jeritan itu. Semua yang hadir bertambah pelik bila melihat Imam Johar turut berpeluh-peluh.


"Astaghfirullah al Adzim," serentak kedua-dua mereka beristighfar.

Thursday, September 2, 2010

KAUNTER MANDI WAJIB CIPTA SEJARAH


SELANOR : Masjid Al-Maisi mencipta sejarah apabila menjadi masjid pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat kaunter mandi wajib di hadapan masjid.

Khidmat yang julung-julung kali diadakan itu telah menarik minat ramai pengunjung termasuk pelancong asing yang sejak dari awal pagi lagi telah beratur panjang untuk sama-sama dapat mandi wajib.

Turut disediakan ialah kelas menghafal niat mandi wajib dengan tajwid dan bacaan yang betul kepada para pengunjung yang rata-ratanya gembira atas langkah yang diambil pihak pengurusan masjid Al-Maisi.

Le Hong Wey, 60, salah seorang pengunjung ketika ditanya, menyatakan rasa bersyukur atas kewujudan perkhidmatan yang baru disediakan itu.

“Saya sudah lama mahu masuk itu masejid, mahu belajar itu pasal Tuhan Allah. Tapi dulu tak boleh masuk sebab imam kata saya tak suci, tak mandi wajib maa. Sikalang sudah boleh, wa manyak syukur sama itu Tuhan Allah,” kata Le Hong dengan pelat sambil mulutnya terkumat-kamit cuba menghafal niat mandi wajib dari pamplet yang diedarkan ahli jawatankuasa masjid.

Imam 1 masjid, Khusriyyun, ketika ditemuramah menyatakan rasa penuh bangga dan bersyukur atas kejayaan masjid kelolaannya menjadi masjid pertama menyediakan perkhidmatan mandi wajib.

“Kita merasa bangga dengan langkah yang diambil. Saya berharap agar langkah kami ini menjadi tauladan kepada masjid-masjid seluruh negara agar kesucian masjid-masjid kita terpelihara,” kata Khusriyyun.

Ketika ditanya adakah binatang seperti kambing atau lembu turut dibenarkan masuk ke dalam ruang solat masjid, Imam Khusriyyun tersenyum sambil mengangguk.

“Bukan setakat kambing atau lembu, hatta mengkarung pun dibenarkan, dengan syarat mereka kena dimandi wajibkan dahulu,” tambahnya lagi girang.

Sebarang pertanyaan bolehlah disalurkan terus ke laman sesawang masjid Khusriyyun, www.mandimanda.com, atau terus sahaja ketalian 013-3083124. Para pengunjung dinasihatkan mengikuti kelas tajwid terlebih dahulu sebelum belajar membaca niat mandi wajib.


Seorang pengunjung sedang mencuba perkhidmatan mandi wajib

Sunday, June 27, 2010

Kisah Khas Piala Dunia : Pasu Tempurung Kelapa


*demikianlah, ini kisah khusus untuk Piala Dunia yang sedang hangat, maka, silakanlah membacanya. Cerita ini agak panjang, jadi, kalau mahu lebih selesa, saya cadangkan salin ini dahulu ke Microsoft Word (kalau sudi, printkan sahaja), dan kemudian baca sahaja dari sana.

kenapa dengan warna kulit?



Dia tahu yang dia tidak sepatutnya keluar malam tadi. Memang dia menyesal atas sikap terburu-burunya. Dia boleh sahaja membeli tiket itu esok harinya. Namun, begitulah, dia ialah seorang yang bersikap penuh dengan gopoh-gapah dan tidak penyabarnya.



Mokui merengus ganas. Dadanya turun-naik, dengan nafas yang tertahan-tahan. Sesekali dia meronta sekuat hatinya, sehingga kelihatan bergoncang bilik kurungan itu. Letih meronta, dia berehat, menghela nafas seberapa dalam yang boleh, agar bekalan udara peparunya cukup kembali, sebagai persiapan untuk rontaan seterusnya. Rontaan yang entah kali ke berapa puluh kalinya dia lakukan, sepanjang 15 jam 27 minit 30 saat dia terkurung. Namun, apalah dayanya kudrat seorang budak kurus berumur 12 tahun yang tidak cukup nutrisi sepertinya, mahu melawan kudrat rantai besi yang memang sejak azali lagi sudah Tuhan takdirkan cukup utuh dan tahan, kecuali bila karat datang hinggap di mana-mana bahagian besi itu.


Yang sebetulnya, seingat dia, sudah berbulan-bulan lagi, barangkali hampir setahun dulu, dia telah menyatakan hasrat besarnya itu kepada ayahnya. Dia ingat, waktu dia mula-mula meluahkan harapannya, ayahnya baru sahaja pulang dari bercucuk tanam di tanah sepuluh kilometer dari rumah beratap jerami mereka. Orang tuanya itu balik dengan peluh menitik, penuh satu badan, sambil mengeluh-ngeluh memikirkan tanaman yang tidak mahu menjadi-jadi, ditambah hujan yang seolah-olah ada tutupan yang menahannya dari jatuh dan meresap masuk ke dalam tubuh sahabat baiknya, bumi. Dia ingat, waktu itulah dia mula-mula meminta pada ayahnya.



Dan kemudian, itulah rayuan yang diulang-ulang entah berapa banyak kali, dengan skrip yang hampir sama, seolah-olah kumpulan teater yang membuat persembahan yang sama, selagi mana, mereka di minta.



***********************************************************************************



“Ayah, tolonglah. Saya betul-betul mahu pergi,” Mokui meminta belas ehsan ayahnya, dengan mata berkaca penuh harapan.



Sejenak ayahnya berhenti mengelap peluh. Gyaweh memandang mata anaknya dalam-dalam. Kemudian dihelanya nafas panjang-panjang, sambil kepalanya sibuk memikirkan, alasan apa lagi boleh digunakan buat memadam impian bodoh anaknya itu. Masalahnya ialah, Mokui memang belum mahu faham-faham lagi.


“Mokui, kita tidak mampu! Kamu, atau senang katanya, kita, tidak layak berada di sana. Tiketnya sahaja sudah berapa ratus Rand! Mana kita mampu!” Gyaweh menekan suaranya kali ini, moga-moga ia melekat terus ke dalam benak anak sulungnya yang degil tidak mahu faham-faham itu.



“Ayah, sekali ini sahaja ayah. Lagipun, ianya empat tahun sekali. Kebetulan pula, tahun ini di Afrika. Bila lagi wahai ayah? Bila lagi kejohanan besar semacam ini mahu sampai lagi ke tanah miskin ini?”


“Kamu tak faham anakku..”



“Kita beli tiket yang paling murah. Bagaimana?”


“Kita masih tak mampu, Mokui..”



“Ah ayah..Kita mampu. Kalau tidak takkanlah mereka memilih Afrika sebagai tuan rumah tahun ini? Tentu mereka sudah maklum yang rakyat di sini kebanyakannya miskin, seperti kita,” Mokui menegaskan hujahnya. Sekali lihat, dia seperti seorang peguamcara yang paling petah sedang cuba mematahkan hujah para pendakwaraya.


Gyaweh ketawa kecil. Memang dasar budak hingusan anaknya itu. Baru du belas tahun, bagaimana mungkin dia memahami masalah yang berlaku kala abad 21 ini.



Anaknya itu tidak mengerti. Alasannya mengatakan, Piala Dunia diadakan di Afrika, agar rakyat-rakyat miskin seperti mereka boleh sama-sama bergembira, bertempik, bersorak sambil meniup Vuvuzela kuat-kuat. Bukan begitu, bukan begitu, sama sekali bukan begitu tujuannya.


Gyaweh faham benar apa yang berlaku. Lima puluh enam tahun dia hidup di tanah Afrika, sudah cukup untuk dia memahami beza antara kaya dan miskin, beza antara yang hitam dan putih, beza antara kuasa dan hamba.



Tolak enam belas tahun hidup sejak Nelson Mandela mengambil alih tampuk pemerintahan, maka empat puluh tahun lamanya dia hidup dalam derita. Derita ditindas dan dinafikan hak dalam segala macam perkara. Itu derita dirinya secara fisik, yang dirasai tubuh badan kurus keringnya. Belum dikira lagi derita dalam hatinya yang masih terasa sampai sekarang, yang juga, masih membekas dengan dalam, walau sudah enam belas tahun juga, sejak Parti Nasional Afrika tumbang bersama-sama dasar kejam Apartheid itu.


Ramai yang melihat, serta merasa kasihan kalau melihat rakyat-rakyat miskin Afrika yang kurus kering, dengan bibir merekah, serta wajah yang pucat lantaran kurang makanan,yang selalu ditayang-tayang di televisyen dan akhbar. Tapi, ramai yang tidak tahu, dan tidak dapat

melihat derita batin yang lebih mencengkam serta memeritkan.



Derita batin mereka, majoriti kaum kulit hitam yang dicarik-carik dan dihinakan oleh golongan minoriti kulit putih yang merasa diri cukup mulia dengan warna kulit putih mereka. Derita batin akibat rasa terhina dan maruah dijatuhkan.


Sepatutnya derita batin itulah yang dikasihankan lebih dari derita fisik mereka. Ramai yang lebih sanggup menanggung apa jua keadaan dan kesusahan, semata-mata agar batin mereka tidak menderita. Kalau tidak, masakan ramai yang sanggup mati, sanggup mengahadapi hukuman kejam lagi kasar oleh rejim terdahulu. Semua ini dilakukan agar mereka mencapai kepuasan batin, kerana batin itulah cerminannya fizikal.



Derita batin, deritalah fizikal. Puas dan gembira batin, maka puas dan bergembiralah fizikal, walau pada mata kasar mereka yang tidak memandang dengan mata hati, tubuh-tubuh para pejuang ini penuh dengan parut-parut bekas luka akibat diseksa semasa di penjara.


Sedang fizikal itu, hanyalah separuh sahaja dari refleksi kasar kepada kondisi batin seseorang. Malang sekali bagi yang lebih suka memandang dengan mata kasar, kerana mereka memandang fizikal sebagai penanda aras sebenar bagi batin seseorang. Orang-orang sebeginilah yang takut berjuang dan tidak mahu sanggup menyeksa sedikit fizikal mereka, demi untuk melihat kemenangan.



Mahu senang sahaja, dan tidak mahu bersusah-susah. Mahu menang sahaja, tetapi tidak mahu berpayah-payah. Penakut hakiki yang bacul dan rela dihambakan di bumi Tuhan yang Tuhan ciptakan buat dikongsi secara adil oleh semua makhluk, bukannya dimonopoli segelintir manusia berideologi sesat yang meletakkan warna kulit atas kemanusian.


Gyaweh terkenang bekas sahabatnya sewaktu belajar dahulu. Steven Biko, ketua pelajar di zamannya, yang mati dalam tahanan polis. Pedih hatinya, serasa mahu sahaja dia menangis tatkala terkenang rakan seperjuangannya itu. Namun, sekejap sahaja dia tersenyum, bila melihat legasi perjuangan beliau, diteruskan sehinggalah Apartheid akhirnya terkubur pada 1994.



Dia tidak merasa rugi dengan jalan yang dipilihnya dahulu. Jalan yang menyebabkan dia akhirnya dibuang dan ditamatkan dari pengajiannya di universiti. Jalan yang akhirnya mencampakkan dia ke tanah gersang kawasan Zandvliet, akibat tidak punya pekerjaan. Semuanya untuk perjuangan menamatkan Apartheid. Semua usia mudanya untuk menentang sang penzalim kulit putih yang jauh lebih hina dari najis berwarna hitam pekat.


Gyaweh tersenyum puas.



“Ah! Masa mudaku! Aku rindu masa itu. Derita dahulu itu manis belaka, sedang derita sekarang ini betul-betul menyakitkan!” keluhan itulah yang selalu bergema-gema disudut hati Gyaweh.


Benar. Derita yang sekarang itulah yang menyakitkan. Kalau dahulu, hanya dia seorang yang merasa sakitnya akibat diseksa dan dipukul polis anti-rusuhan, dan itupun dia masih menganggap ia sebagai satu kenikmatan. Namun, yang ini memang tidak dapat ditahan lagi, kerana anaknya, darah daginya sendiri yang menderita sekarang ini. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya kurus kering tidak cukup makan? Itulah yang paling memilukan hatinya sekarang.



“Ayah!”


“Ayah!”



“Bagaimana?”


Terpadam lamunan Gyaweh bila dipanggil anaknya. Mokui memandang dengan pandangan penuh harapan, minta dikasihani.



“Beginilah! Ayah ada jalan, tapi memerlukan sedikit usaha dari kamu sendiri anakku,” tenang Gyaweh bertutur dengan anaknya.


Bulat mata Mokui mendengara kata ayahhnya. Mimpi Piala Dunianya kembali cerah semula. Mentari yang dirasanya mendung tadi, seolah-olah kembali menjeling malu-malu, dari balik awan gelap hampa hatinya tadi. Dia tidak-tidak sabar, sehinga kepalanya terhangguk-hangguk, menanti apakah jalannya yang dikatakan ayahnya tadi, supaya dia dapat menonton Piala Dunia. Sambil dalam otaknya sudah terfikir-fikir, pasukan mana yang akan ditontonnya nanti. Afrika dengan Stephen Pinaar? Atau Argentina dengan si kecil lincah Lionel Messi? Kemudian stadium. Stadium mana? Durban? Johannsberg? Capetown? Kalau di Capetown, dia perlu bergerak awal. Kalau di Johannsberg, dia perlu bersiap membawa baju-baju yang tebal-tebal, kerana di sana sekarang musim sejuk.



“Kamu berniaga kraf,” Gyaweh berkata pada Mokui dengan bersahaja.


Mata Mokui membulat, lebih membulat dari tadi. Bulatnya yang ini bukan kerana gembira, akan tetapi kerana pelik dengan cadangan ayahnya. Membuat kraf?



Gyaweh tertawa melihat anaknya dan mata bulatnya itu. Dia tahu anaknya itu terkejut dengan ideanya.


“Kamu buat kraftangan . Kemudian jual kepada pelancong di pasar. Dari situ kamu kumpulkan duitnya.”



“Ayah, saya harap ayah bukan main-main..”


“Mokui, ayah tidak main-main. Kamu buat kraftangan, kemudian kamu jual di pasar. Ramai pelancong yang akan beli,” kali ini Gyaweh tegas berkata-kata, agar Mokui sedar yang dia bukan bermain-main.



Gyaweh yakin yang kraftangan itu pasti akan dibeli oleh para pelancong, meskipun ianya nampak tidak cantik. Dia punyai idea yang bernas untuk itu. Apapun, kadang-kala Gyaweh geli hati memikikan perangai pelancong-pelancong yang datang ke negaranya. Apa sahaja mahu dibeli di pasar itu. Apa sahaja yang menandakan mereka pernah sampai ke Afrika, maka akan dicapai. Padahal, pada pendapatnya, benda-benda yang dibeli itu, kadang-kadang hanya dibuang begitu sahaja oleh orang-orang Afrika sendiri.


“Mahu dibuat kraf apa ayah?” tanya Mokui, kali ini dia nampak yakin yang ayahnya serius, bukan main-main.



“Begini. Ayah pernah lihat orang tua yang tinggal selang dua buah rumah dari kita ini lakukan. Pak Tsabalala. Kamu kenal dia bukan?”


Mokui menganguk. Orang tua itu memang dia kenali. Tetapi, dia sudah meninggal akibat terjatuh ke dalam perigi bulan lepas. Ada apa dengan si tua malang itu?



“Kamu kumpulkan tempurung kelapa sebanyak yang boleh. Ayah akan ajarkan nanti.”


“Untuk apa itu semua ayah?” Mokui tergaru-garu kepalanya yang memangpun gatal

disebabkan kutu yang penuh beranak-pinak dan berfiesta darah di atas kepalanya.



“Kamu buat sahaja. Nah, ambil sekali wang 15 Rand ini, dan dapatkan untuk ayah dawai 10 meter, dan setin varnis. Bawa semuanya kemari dan ayah akan ajarkan ciptaan kraftangan baru untuk kamu” Gyaweh mengarahkan anaknya, sambil otaknya cuba mengingat-ingat apa yang pernah dilakukan oleh Pak Tsabalala dulu.


Mokui bergerak pantas mencari semua barang-barang itu. Kalaulah diikutkan letih dan panasnya cuaca di luar, pasti sahaja dia lebih selesa duduk berbaring-baring di rumah. Namun, kali ini, Piala Dunia telah menggerakkannya. Minatnya pada bola sepak sesungguhnya amatlah kuat, sehingga menyejuk dan mendinginkan cuaca di luar.



Lewat petang itu, baru Mokui pulang bersama-sama 2 guni tempurung kelapa, dan sebungkus plastik berisi dawai 10 meter dan varnis. Maka Gyaweh mengajarkan anaknya itu cara-cara membuat pasu bunga dari tempurung kelapa, sama seperti mana dia melihat Pak Tsabalala lakukan dahulu. Mula-mula, dia bersihkan dahulu tempurung itu sebersihnya, dan kemudian baru dia sapukan varnis pada tiap-tiap sudut tempurung kelapa itu, agar ia nampak bersinar dan kemas, buat menarik para pelancong yang bakal membelinya. Kemudian, diambilnya dawai, lalu dilalukan dawai itu masuk ke dalam lubang yang tadi awalnya sudah siap-siap ditebuk.



Mokui melihat dengan tekun dan lantas mencubanya.



“Hari sudah larut malam. Biar ayah masuk tidur dahulu”


“Baik ayah. Biarkan saya siapkan semua tempurung ini”



“Jangan tidur terlalu lewat, Mokui”


“Baik, ayah”



Gyaweh meninggalkan anaknya dan masuk tidur. Fikirannya ketika ini hanya tertumpu pada suatu perkara, apakah tiada jalan lain jika rancangannya yang dicadangkan pada Mokui tidak menjadi? Apakah ada sumber lain yang boleh dia dapatkan untuk mendapatkan tiket paling murah bagi anak kesayangannya itu? Gyaweh berfikir-fikir sambil berbaring di atas tikar lusuhnya. Bulan semakin terang, sedang kedinginan malam mula menikam-nikam. Akhirnya Gyaweh tertidur, bersama-sama kerisauan yang mengocak hatinya tadi.


Esoknya, dia bangun, demi untuk melihat yang Mokui
tertidur di bangsal belakang, bersama-sama pasu bunga tempurung kelapa yang sudah siap. Ada bermacam-macam bentuk. Bentuk bunga matahari, kura-kura,kumbang, dan bermacam-macam jenis lagi. Semuanya Mokui lakukan dengan kreativitinya sendiri. Terdetik rasa kagum di hati Gyaweh, bahawa anaknya ini cukup tinggi imaginasi dan bakat seninya. Tidak perlu diajar lebih-lebih, hanya sekadar asas sahaja, dan Mokui berjaya menghasilkan pasu-pasu yang cantik bersinar kesan varnis, untuk diniagakan di pasar nanti.



Selepas bangun, Mokui terus sahaja mandi. Kemudian dia bersiap, dengan memilih baju paling cantik yang dia ada, sehelai baju lusuh berwarna oren kekuning-kuningan, dengan seluar pendek khakis, dan itu sahaja yang paling cantik yang dia miliki, kerana yang lainnya semua punyai koyakkan-koyakkan kecil. Selepas kematian ibunya lima tahun lepas, tiada siapa yang mahu menjahitkan tampalan pada pakaiannya, termasuk Gyaweh yang memang langsung tidak tahu tentang hal-hal urusan menjahit. Hendak masukkan benang ke dalam jarum pun sudah menjadi masalah besar bagi dirinya. Biarlah pakaian paling cantiknya itu lusuh, kerana sekurang-kurangnya, ia tidak koyak di merata-rata.


Dengan berbekalkan sebotol air kosong, dan sebuku roti,iya, kalian betul wahai pembaca, sudah tentu Gyaweh berhutang harga roti itu dengan pekedai di pekan, maka Mokui duduk bersila di terik panas mentari, di pasar Zadfliet, sambil menjerit mempromosikan produk terbarunya.



“Pasu murah! Pasu murah! Mesra alam, menggunakan tempurung kelapa!”


“Pasu murah!”



“Miss, do you want to buy this? Very cheap! 15 Rands only!”


“10 rand? Cannot Miss..cannot..14 Rand?”



“Okay, okay! 12 Rand! 12 Rand! How is it?”


“Thank you miss! Very very thank you!”



“Pasu murah!”


“Pasu murah!”



Mokui tawar-menawar hari itu. Dia sungguh letih, dan sebuku roti pemberian ayahnya tadi pagi itulah satu-satunya bekalan tenaga yang dia bawa bersama. Namun, hatinya gembira melihatkan produk hasil kreativitinya mendapat tempat di hati para pelancong. Perniagaanya laris, macam Larva Weevil goreng panas. Keramahannya, serta kebijaksanaannya tawar-menawar, memikat para pelangannya. Mereka melihat Mokui sebagai simbol seorang budak lelaki yang miskin, yang mahu berusaha mengubah nasib keluarga dengan jalan berusaha, dan bukan dengan jalan meminta sedekah atau merayu belas ehsan orang lain. Maka, ramai antara mereka yang tidak keberatan membeli bukan sekadar satu, malah dua, atau tiga, semata-mata simpati melihat kegigihan Mokui.


Kegigihan Mokui ini barangkali diwarisi dari ayahnya. Putaran hidup mereka seolah-olah sama. Malah, kadang-kala, sewaktu duduk-duduk menghirup udara segar malam,dengan kopi cair dihirup berdikit-dikit, sambil ketika itu Mokui berbaring, tidur di atas lantai, dan Gyaweh akan merenung melihat wajah Mokui dalam-dalam. Ya, perjalanan kesusahan mereka sama. Masa muda mereka penuh dengan kesakitan mahu meneruskan hidup. Bezanya, apa yang menimpa Gyaweh adalah pilihannya sendiri, kerana dia sendiri mahu berkorban, sanggup hidup susah, dan terpisah dari keluarga, semata-mata untuk impian melihat kezaliman rejim Apartheid dihancur luluhkan dari bumi Afrika, sehingga akhirnya pilihan hidupnya itu (padan muka aku, itulah yang selalu diulang-ulangnya), mencampakkan dia ke lembah pertanian yang sebenarnya tidak pun sesuai mana untuk bercucuk tanam.



Sedang Mokui pula, ini bukan pilihannya. Bukanlah haknya mahu memilih lahir dalam keluarga mana, atau keturunan mana, atau warna kulit yang bagaimana. Adapun semua itu ketetapan Tuhan, yang memang sengaja menjadikan manusia ini berbagai-bagai bangsa, punya bermacam-macam rupa, dan berlain-lainan bahasa, semata-mata untuk manusia itu saling kenal-mengenal dan saling menghargai.



Mokui ditakdirkan lahir dalam keluarga miskin, daif seperti itu dan tiada pilihan. Dihadapan kuasa Tuhan Yang Esa, pilihan apakah yang kita ada? Tunduk dan jalanilah hidup ini dengan baik dan bersyukur, kerana ianya sementara, hanya tempat tumpangan buat sedikit masa. Falsafah ini memang Gyaweh pegang sungguh-sungguh. Hidup ini memang ujian. Ada yang diuji dengan kekayaan, dengan kecintaan, dengan kebanggaan, dan Tuhan memilih dia untuk diuji dengan kemiskinan. Lalu, haruslah dia tabah dan menjadikan hidup ini sebagai medan untuk berjuang, kerana dengan berjuang itulah baru hidup itu punya makna. Yang itu barulah betul namanya H-I-D-U-P.


Kerana itu amatlah pelik bila melihatkan, ada sesetengah insan yang mengaku punya hak istemewa ke atas yang lain, hanyalah berdasarkan warna kulit dan tempat tinggal. Sedangkan, alam ini Tuhan jadikan untuk semua manusia saling belajar berkongsi-kongsi, bertolong-tolong dalam memakmurkan ia dengan jalan baik-baik yang diatur Tuhan. Tanah milik Tuhan, dijadikan untuk semua makhluk, bukanlah hak milik istimewa sesiapa pun, bahkan untuk dikongsi. Bagaimana, kerana adalah sudah jelas bahawa meletakkan nilai kaum sebagai faktor mandatori dalam menentukan hak keistimewaan, sangatlah terkeluar dari hujah akal yang waras. Tiada siapa pun yang bisa memilih mahu lahir sebagai apa. Semuanya ketetapan Tuhan. Dari Tuhan kita datang, maka aturan Tuhanlah yang harus kita patuh, dan aturan Tuhan tegas menyatakan manusia itu tiada kelebihan atas yang lain dengan melihat pada warna kulit dan bangsa.



“Haaaaa..Hatiku puas! Hatiku puas! Aku sudah cukup besar untuk menyara diri sendiri!” Mokui menghela nafas kelegaan penuh keyakinan dan kekuatan, seolah-olah dia bukanlah lagi Mokui semalam, yang hilang punca dan terpaksa merayu-rayu pada ayahnya yang miskin itu.


Kemudian, dia berlari-lari anak, mencari kawasan yang sunyi sedikit dari orang ramai. Lalu dia duduk untuk menghilangkan lelah. Diraba-rabanya uncang dari kain guni yang dipinjam dari ayahnya, lalu ditonggengkannya uncang itu. Maka, terhamburlah bertaburan di atas lantai, wang untung perniagaan hari itu, bersama-sama bau dan bunyi-bunyinya sekali. Bau dan bunyi wang, tanda kemengan bagi Mokui hari itu. Perlahan-lahan dikiranya wang-wang itu (walaupun tidak bersekolah, Mokui pandai mengira. Ayahnya itu, sebelum dibuang pengajian dari kolej akibat pemberontakan anti-apartheid, adalah seorang mahasiswa Fakulti Matematik, dan ayahnyalah yang mengajar dia ilmu matematik di rumah).



“Seratus tujuh puluh satu..sera..errr..seratus sembilan puluh...dua..errr.dua ratus Rand! Cukup! Dua ratus Rand, sudah memadai untuk tiket paling murah! Huuuuuuuuuuuiiii!” Mokui melonjak kegembiraan dengan jumlah yang dikumpulnya hari itu.


Cepat-cepat dia bangun, mengibas-ngibas bajunya untuk menghilangkan debu. Lantas, terus bergerak ke arah pusat pekan, untuk terus ke kaunter jualan tiket perlawanan Piala Dunia. Yang sebenarnya, bukanlah kaunter tiket rasmi, melainkan ianya tempat jualan tiket secara gelap. Tiket-tiket itu, samaada dicuri, atau dibeli pada harga yang murah, kemudian dijual semula di pekan. Kemudian, disitulah akan berlaku tawar-menawar, dan sebenarnya, inilah permulaan kepada malang yang menimpa Mokui, akibat kegopohannya mahu mendapatkan tiket.




Seperti roller coaster dan hidup, begitulah Mokui. Namun, roller coaster hidup Mokui sangat cepat berubah tingginya. Berapa minit yang lalu, dia gembira, namun sekejapan sahaja, akan berlaku cerita sedih, menandakan roller coaster hidupnya kini sedang menjunam ke bawah pada kelajuan yang paling menyayat hati.


Di pekan, Mokui terus ke kaunter kecil (ataupun lebih sesuai kita panggil tapak kecil sahaja, kerana tiada meja kaunter dan sebagainya. Yang ada hanya seorang tinggi berkulit gelap pekat sedang duduk di atas bangku pendek sambil menjerit-jerit “Tiket!Tiket!”).


“Bang! Saya mahu membeli tiket. Berapa ya harganya, kira-kira yang paling murah sekali”

“Mahu perlawanan apa budak? Tinggal tiket untuk Afrika melawan Perancis sahaja. Mahu?”


“Berapa bang? Errr, maksud saya harganya?”



“200 Rand! 200 Rand! Tak lebih, tak kurang,”kata penjual itu acuh tak acuh, seolah-olah yakin benar dia, yang Mokui tidak punya cukup wang untuk itu.


Mokui berkira-kira sebentar. Pada jangkaannya, 150 Rand sudah cukup, dan 50 Rand lagi akan digunanya sebagai wang tambang ke stadium. Tetapi, ini harganya 200 Rand, cukup-cukup sahaja jumlah wangnya.



“Tidak mengapa! Nanti esok aku menjual pasu tempurung itu lagi, untuk wang tambangnya!

Tapi, yang ini harus aku beli awal-awal lagi,” Mokui berkata-kata dalam hati.


“Baiklah bang! 200 Rand, saya mahukan tiket itu,” kata Mokui, sambil mengeluarkan wang-wang itu dari uncangnya.



Berdeting-deting bunyi syiling, dicampur dengan shiu-shiu bunyi wang kertas. Akan sebenarnya, Mokui berasa agak kesal juga, kerana itu wang pertama hasil usahanya sendiri. Namun, tiba-tiba terbayang wajah Frank Ribery, pemain pujaannya dari Perancis, terus sahaja kesal itu dilempar jauh-jauh.



Penjual itu menghulurkan tiket kepada Mokui. Ketika tangan Mokui baru sahaja menyentuh tiket, dan penjual itupun masih belum melepaskan habis tiket itu dari pegangannya, tiba-tiba,


“Encik! Saya beli tiket itu! 300 Dolar! 300 Dolar!” seorang pelancong, dari Perancis barangkali, berdasarkan pada jersi pasukan yang dipakainya, tiba-tiba datang berlari-lari. Mungkin dia sedang terdesak mencari tiket. Tiket yang dijual secara rasmi selalunya habis cepat, dan jalan yang tinggal cuma ini, iatu jualan secara pasaran gelap.



Demi mendengarkan itu, penjual tadi terus menarik tiket dari tangan Mokui, lantas menyambut tawaran lelaki Perancis tadi, dengan girang tanpa ada rasa bersalah walau sedikit habuk pun.



Mokui terdiam, dan berdiri tegak, sambil tangannya masih lagi dalam keadaan posisi tadi, iatu ketika menyambut tiket itu dari sang penjual. Masih belum lama, sejak kali pertama dia merasakan hangatnya rasa tiket tadi, dengan warnanya cantik dan dicetak lambang bendera negara Afrika serta Perancis. Dan, hangat tiket itu tiba-tiba hilang, diganti dengan sejuk dingin tubuhnya, yang menggeletar tanda marah bercampur sedih, atas khianat yang berlaku tadi.



Pelancong tadi, memandang Mokui, sambil membayar wang 300 Rand kepada penjual yang juga mengeletar, dalam gembira. Harga asal tiket 150 Rand, dapat dijual 300 Rand, bemakna untung sekali ganda dia hari itu. Namun, dia merasa pelik juga melihatkan mimik muka pelik si pelancong tatkala memandang Mokui. Lama pelancong itu memerhatikan Mokui, dan kemudian pantas dia berlalu pergi dengan tiket, dan tangannya sibuk mendail nombor di telefon bimbit.


“Ya! Yang ini sesuai! Ya, pasti!” kata pelancong itu.



Penjual itu malas mahu ambil peduli, dan sama beredar, tanpa mempedulikan Mokui, yang dari tadi, masih di posisi sama.



Tuhan! Oh Tuhan! Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui apa rasanya menjadi budak malang seperti Mokui! Dia berdiri diam. Menangis tidak. Menjerit tidak. Badannya hanya tersengguk-sengguk, cuba menahan tangis, sedang nafasnya turun-naik, tercungap-cungap menahan letih berniaga di tengah panas tadi yang belum hilang. Tiada eksperesi lagi. Dia berjalan perlahan-lahan. Tidak tahu mahu berkata apa lagi. Fikirannya berkecamuk dengan pelbagai-bagai jenis tujahan memori dan emosi. Memori susah payahnya tidak tidur malam menyiapkan pasu, dan emosi tatkala dia dikhianati bercampur-baur. Orang yang lalu-lalang pelik melihat Mokui berjalan, seperti orang yang kosong, tidak punya apa-apa pemikiran dalam otak. Yang tinggal hanya naluri yang menggerakkan kaki, itupun dengan perlahan.


Sampai di satu simpang, di mana terletaknya gudang-gudang lama tempat menyimpan barang, tiba-tiba muncul sepasang tangan menarik Mokui dan terus menutup mulutnya dengan sapu tangan. Mokui mula rasa pening-pening, seperti mahu tertidur. Namun dilawannya rasa itu. Terasa mahu menjerit, tetapi tiada suara yang keluar dari anak tekaknya yang kering. Dia kemudiannya dihumban ke dalam sebuah lori pikap yang sedia menunggu di balik sebuah gudang betul-betul bersebelahan simpang.



Akhirnya, Mokui tertewas dengan kesan ubat penenang yang dilumur pada sapu tangan tadi. Matanya perlahan-lahan tertutup, sedang imej terakhir yang dilihatnya, ialah seorang lelaki kulit putih, berpakaian jersi Perancis, sedang berbincang dengan pemandu lori pikap itu. Mokui padam.


Padam. Padam. Padam. Padam. Padam.



Tup!


Mata Mokui terbuka. Bau hamis dan busuk serta hancing menusuk hidungnya. Ketika cuba menggerakkan tangan dan kaki, barulah dia sedar, yang semuanya sudah dirantai. Mokui terkena. Ini penculikan kulit hitam!

Di rumah, Ngaweh sedang leka mengecat sehelai kain putih dengan corak warna bendera negara kesayangannya, Afrika. Tekun dia mewarna, sambil matanya asyik-asyik menoleh ke muka pintu, menanti-nanti Mokui pulang.

“Ini akan Mokui bawa ke stadium nanti! Dia pasti suka, haha! Mokui, menjerit dan melompatlah kau ketika itu, tapi jangan lupa mengibarkan bendera ini! Ayah buat khusus untuk kamu anakku!” kata Gyaweh sendirian.

Di ibu kota, orang ramai sedang menari-nari sambil menyanyi gembira.

When I get older, I will be stronger,


They call me freedom, Just like a waving flag

Saturday, June 26, 2010

40 PENYAMUN SERTAI NTC - 25Jun2010

KUALA LUMPUR : Pejabat urusan NTC hari ini riuh rendah dengan pekerja-pekerja yang berpiket bagi membantah apa yang mereka panggil sebagai ‘pengkhianatan terhadap perjuangan penyamun’. Kakitangan-kakitangan NTC atau nama penuhnya National Thieves Council, atau dalam bahasa melayunya, Majlis Penyamun Kebangsaan, telah terpaksa bertungkuss lumus menghalang peserta piket yang terdiri daripada penyamun-penyamun yang berdaftar, dari menyerbu masuk ke dalam pejabat pengarah urusan.

Semuanya gara-gara pengumuman yang dibuat oleh salah seorang orang kuat NTC, yang mendakwa ada 100 orang penyamun baru lulusan phD (Penyamun Handalan Desa) yang akan mendaftar masuk sebagai ahli NTC yang baru.

Pengunguman itu nyata mencetuskan gempar di kalangan pengiat-pengiat profesyen penyamunan, yang rata-rata mula rasa tidak senang hati dengan berita itu. Namun, pada awalnya ramai antara mereka tidak mahu memulakan apa-apa langkah bantahan, mahupun kecaman, kerana masing-masing menganggap ia hanyalah sekadar khabar angin, yang sengaja dibuat-buat oleh orang kuat NTC itu, untuk menaikkan populariti beliau sempena perhimpunan ‘Penyamun Bangkit’ tempohari.

Malangnya, khabar yang datang laju menerpa umpama angin tengkujuh bulan tujuh, bukanlah sekadar khabar angin, melainkan ia berita yang benar belaka. Ini dibuktikan apabila malam tadi, 40 orang penyamun muda telah menghantar borang keahlian bagi menganggotai NTC. Orang kuat NTC itu, yang lebih senang dipanggil dengan panggilan Mr Judy, kelihatan tenang, sewaktu menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Penyamun Kebangsaan, Mr Muktamad.

“Kita mesti maklum, bahawa NTC ini ada 2 kumpulan, iatu satu kumpulan ialah ahli kuat NTC, seperti saya, dan kumpulan kedua ialah hanya sekadar penyokong NTC. Malam ini 40, yang lain akan menyusul kemudian,”katanya sambil membuka kitab Al-Kroniyyun, ketika ditanya mengapa hanya 40, sedangkan yang dijanjikan ialah 100.

Wakil penyamun-penyamun yang berpiket, Mr Mek Tyson, berkata, “Tindakan membenarkan 40 orang penyamun berkelulusan phD itu secara tidak langsung telah memburukkan nama NTC di mata penyamun-penyamun dunia. Saya malu dengan rakan penyamun saya di Israel sana.

“Ini kerana mereka semua hanya mencuri Hati orang dengan hujah-hujah Al-Quran dan sunnah, dan mereka tidak mencuri, menyamun, atau merembat harta orang lain seperti mana yang kami semua lakukan. Ini sesunggunya akan menyebabkan profisien yang berusia 52 tahun ini turun martabatnya,” tambahnya lagi.

Salah seorang peserta piket, Aly Ketam, 50, berkata,

“Mereka sudah tentu akan menjejaskan mata pencarian kami. Meraka hanya mencuri dan menawan hati, sedang kami merembat harta benda orang ramai. Ini sekaligus akan mendatangkan kesan perpecahan dalam NTC. Mereka sudah tentu akan menghalang kami dari menyamun harta orang ramai.”

Mr Marrie’kan, 40, juga sependapat dengan Aly Ketam ketika ditanya mengenai berita ini.

“Kami dah lakukan kerja menyamun ini sejak merdeka lagi. Siapa mereka mahu menghalang? Itu, phD dari kolej mana tu? NTC patut menyelidik dahulu siapa mereka semua ini. Saya dengar, orang kata mereka ini terrorist. Orang katalah, bukan saya. Saya dengar sajalah..” katanya mengulas, sambil menjerit-jerit tidak keruan selepas itu.

Selain itu, turut mencuri tumpuan ialah ketiadaan saudara Usrin, yang disebut-sebut sebagai antara salah seorang yang akan menyerahkan borang keahlian NTC malam tadi. Beliau yang terkenal lantang, dan telah berjaya mencuri hati ramai pihak, terutamanya yang bukan muslim, dengan hujah-hujahnya yang adil lagi sahih berlandaskan sunnah, tiada dalam kumpulan 40 itu.

Mr Judy ketika ditanya berkata,

“Dia akan sertai kumpulan kedua nanti,” jawabnya pendek.- ATP

Thursday, June 17, 2010

Akal, dan Bonsai

Masyarakat Malaysia, orang muda terutamanya, ada yang sudah hilang kelayakan untuk memimpin. Saya tidak katakan semua. Bukanlah mereka ini tidak mempunyai akal yang sihat, memandangkan ramai yang membesar dengan bermacam susu tepung yang penuh dengan DHA dan entah apa-apa lagi yang disumbat dalam itu. Asalnya, akal yang ada itu memang cukup sihat, dan mampu memikir perkara-perkara besar, dari hal-hal penting umat, tentang kebesaran Yang Maha Pencipta, serta mampu menyelesai masalah-masalah besar dalam hidup.

Cuma, masalahnya sekarang, ialah akal yang pada lahirnya tadi mampu, sudah ditumpulkan dan dibonsaikan! Umpama kita melihat pada pokok-pokok kecil yang dibonsaikan, yang sekarang ada dijual di merata-rata Nursery. Lihatlah, pada asalnya, pokok yang penuh dengan daun dan ranting itu, dipotong-potong, dicabut-cabut dahannya, sehingga jadilah ia togel dan berbentuk yang pelik-pelik, mengikut kehendak tukang bonsai. Begitulah akal yang dibonsaikan. Akal itu penuh dan bercabang-cabang dengan berbagai idea, kemudian habis jadi togel dikerjakan. Maka, bagaimana sampai ini terjadi?

1. Pertama, ialah bila akal muda remaja itu tadi dihalang, dipaksa tahan, dari berfikir. Ini berlaku bila ada segelintir, iani sebilangan pihak, yang takut pada kekuatan pemikiran anak muda. Pada anak muda, apa yang dilihat akal mereka, ialah memandang pada perkara ke hadapan. Akal mereka neutral, akal mereka cergas bertenaga, untuk mengeluarkan idea-idea yang baharu, dan itu dikuatkan lagi dengan fizikal yang masih utuh, sesuai dengan nama remaja itu tadi.

Izinkanlah diri kita memandang ke belakang sebentar, menyelak jendela-jendela sejarah dunia. Lihat bagaimana nama-nama seperti Saidina Ali, Tariq bin Ziyad, dan nama-nama lain seperti Napoleon Bonaparte, Lenin, dan sebagainya. Ini tokoh-tokoh yang mengubah dunia pada zaman muda mereka. (mari kita tolak sebentar ideologi salah sebahagian mereka, kerana apa yang ingin disampaikan di sini ialah fakta kebenaran bahawa pemikiran anak mudalah yang banyak mengubah dunia).

Kerana itu ramai pihak yang takut pada anak muda yang mampu berfikir luas dan memiliki ranting-ranting idea yang lebat pada pokok akal mereka. Sebabnya adalah, kerana anak muda ini nanti pasti akan mengubah dan menghukum kebejatan dan ketamakan sosial golongan-golongan pemuja kapitalis ini.


2. Kedua, ialah bila akal anak muda remaja itu tadi, berjaya diprogramkan. Komputer tidak akan sesuka hati berfungsi, kecuali hanya mengikut apa yang diprogramkan ia untuk dilakukan. Maka, akal yang berjaya diprogramkan, hanya akan berfikir mengikut apa yang telah diprogramkan mereka untuk berfikir. Maka dalam kes anak muda, mereka telah diprogramkan hanya untuk berfikir pada hal yang remeh-temeh belaka. Sibuk dengan cerita bahagia kemudian cerai ‘super setar-super setar’ Malaysia, cerita kawan serumah mereka baru ‘clash’ dengan balak barunya, dan ini memang kenyataan! Bukalah fesbuk kalau hendak tengok sendiri secara langsung.

Inilah antara contoh pemikiran yang tiada agenda bermanfaat di dalamnya. Maafkan saya kalau sedikit pedas di sini, kerana saya tidak tahu lagi bagaimana mahu mengatakannya secara berkias.


Jadi, lihatlah pada falsafah pokok bonsai; yang hilang ranting-rantingnya dan menjadi togel dengan berbagai bentuk mengikut acuan tukang ‘pembonsai’.

Sudah tentu, tukang pembonsai itu tiada lain, ialah ‘golongan-golongan’ penagih tegar kuasa dan harta, tidak kisahlah mereka itu dari Barat pun, kerana yang beragama Islam dan Melayu itu pun ramai juga yang begitu perangainya. Manakala, gunting tajam untuk membuat corak bonsai pada akal anak muda kita, juga tidak mengejutkan, ialah media, dan sekali lagi saya katakan, tidak kisahlah mereka itu media kafir di Amerika sana pun, kerana media yang beragama Islam pun, yang baca Yassin sampai berbuih pun, sama dua kali lima perangainya. Barangkali, mereka membaca dan langsung tidak faham apa yang dibacakan.Maka samalah mereka itu seperti burung murai.

-Burung apa?

“Burung Murai!” (jawab dengan ceria)

-Burung apa?

“Burung Murai...”

-Burung apa?

“Pis, sekali lagi ko tanya, aku bagi penyepak sepam kat ko!” kata seorang kawan.


Inilah dia, 2 perkara penghalang anak muda berfikir, pada pendapat hamba yang lemah ini. Sekadar renungan dan kritikan kritis, yang semoga dengannya, akan mempromosikan budaya berfikir dengan betul di kalangan anak muda.


Wahai yang berfikir, mari kita sama-sama hayati kata Hamka,

“KITA BERSATU PADA URAT DAN PADA POHON. ADAPUN JIKA BANYAK CABANG KAYU ADALAH ITU ALAMAT SUBURNYA - Hamka




Buat yang terakhir, sekali lagi saya ingin bertanya,



Burung a... Adeh!! (penulis telah ditinju tiga kali di ulu hatinya sebelum dia sempat menghabiskan soalan. Kesian)

Sunday, May 30, 2010

Siri CerDek 3


Hari itu Khairunnisa balik dalam tangisan. Dia berlari sambil tersedu-sedan menangis, masuk ke dalam biilik. Beg sekolahnya dicampak, terus dia melompat ke atas katil. Dia bernasib baik katil besi itu masih mampu menampung berat badannya yang walaupun masih kecil, sudah semacam Bik Mama saiznya. Diambilnya bantal, terus sahaja dia memeluk. Menjerit meraunglah dia di dalam kamar tidurnya itu.

Ayah dan ibunya terkejut melihatkan dia. Suara tangisannya kuat, bergema satu rumah, laksana anak jin menangis gamaknya. Encik Khir memandang isterinya. Puan Rosmah mengisyaratkan dia untuk masuk ke kamar anak perempuannya, barangkali ada masalah besar jadi di sekolah.


“Hu...Hu.,.Huuuuuuuuu...hu
uuuuuu....mengapa ini semua harus berlaku, apakah ini semua kerna diriku..huuuu...huuuu..”, Khairunisa menangis, berselang-seli dengan lagu-lagu sekali.


“Kenapa ni sayang? Kenapa ni,” Encik Khir mengusap-usap rambut anak perempuannya yang baru darjah dua itu. Rasa kasihan bersarang dalam hati, mana tidak, anaknya yang selalu sungguh periang, berlari-lari keliling meja makan dengan gelak tawa sampai lelah, sampai begini jadi tangisnya.

“Hu..hu..hu..tad..tadi.. di sek..sekolah..arghhh!!!waaah!huuu...,” belum sempat Khairunnisa menjawab, tangisannya bersambung kembali. Memang betullah, kalau anak jin sekalipun pasti lari sup sap sup sap, dek kerana takut mendengar Khairunnisa menangis.

“Kenapa sayang? Tenang, tenang. Cuba bagitau daddy kenapa sayang menangis macamni..” Encik Khir bertanya, dalam risau yang kian memuncak. Manalah tahu, jangan-jngan ada mambang atau jebon yang merasuk anaknya itu.

“Tadi di sekolah. Ustazah Mash marahkan Nisa’...hu..hu...hu..”

“Oh..itu je ke? Daddy ingatkan apa tadi.. sebab apa dia marah?” En Khir senyum, ah, hal budak-budak rupanya.

“Seb..sebab Nisa’ tak jawab salam dia! Hu..hu...hu..huhuhuhhu...hu..hu..hu...huhuhuhu.huhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhuhu hu...hu...huu..hu...huu...huu....huuu..hhuu..huhuhuhuhuhuhuhuh...huhuhuhuhuh..huhuhuhuhuh..huhuhuhuhuhu..huhuhuhuahhuahuahuahuhuah”

En Khir garu kepala. Takkan sebab salam sahaja, sampai begitu sekali Khairunnisa dimarahi. Anaknya ini anak yang baik, bersopan santun dan menghormati guru-guru.

“Eh, kenapa Nisa’ tak balas? Takkan Nisa’ tak tau nak jawab salam..cakap je la ‘Waalaikumsalam’..ha..kan senang begitu..” tenang En Khir melayan kerenah anak perempuannya itu.

“Tapi..tapi Ustazah Mash bagi salam lain..dia...dia..dia bagi sal..salam..salam 1Malaysia! Wargghhhhhh!!!huhuhu....”

En Khir terdiam. Buat seketika dia terasa yang dirinya bersangatanlah jahilnya. Rupanya ada juga jenis salam yang dia tidak tahu cara menjawabnya. Muslim jenis apakah dia ini?

Tidak lama kemudian, air mata jantannya pun tumpah juga, berderaian jatuh ke jendela pipinya, bagai manik-manik terputus dari rantai. Mereka berdua anak beranak menangis bersama.